Followers

Thursday, August 7, 2014

Kesucian Surau Yang Boleh Dipertikaikan

...saya jarang menggunakan sejadah kerana bagi saya di sesetengah surau, sejadahnya lebih kotor berbanding lantai. Warnanya lusuh, berdaki dan sangat berbau macam stokin yang diperam lama dan tidak dibasuh. Bayangkan jika stokin kotor ditekup ke muka kita. Sanggupkah begitu? Sedangkan sejadah ialah alas bersih untuk mengelakkan kita solat di atas lantai yang kotor...
Alhamdulillah, masyarakat kita kini prihatin akan keperluan umat Islam. Surau atau tempat solat banyak disediakan terutamanya di tempat awam seperti pejabat, shopping complex dan juga stesen minyak.

Menunaikan kewajipan solat menjadi lebih mudah berbanding concern kita 'nak makan kat mana?' pada setiap kali kita keluar dari rumah. Kemudahan untuk solat amat banyak. Hanya tinggal kehendak kita, sama ada mahu ataupun tidak.

Masyarakat kita sensitif jika hal ehwal berkaitan agama dipertikaikan. Namun tidak ramai yang cuba memperbetulkan atau memperbaiki keadaan. Tempat solat itu suci kerana ianya tempat beribadah, tetapi ia kotor seperti tempat lain jika tidak dibersihkan.

Siapa yang patut membersihkan sejadah dan lantai surau-surau itu? Sudah tentu bukan orang yang 'datang dan pergi' kerana hanya singgah bersolat ketika bermusafir di kawasan itu.

Ia tanggungjawab pemilik bangunan dan juga pengguna tetap surau itu. Apa salahnya kalau ada 10 helai sejadah di situ, kita bawa pulang 5 helai untuk dibasuh di rumah. Setelah itu dikembalikan semula dan membasuh 5 helai lagi yang tinggal? Apakah nilainya jika sebatang mop dan penyapu diwaqafkan untuk kita sendiri bantu membersihkan bilik kecil itu ataupun ia boleh digunakan oleh pengunjung lain?

Insya-Allah. Nilai kesukarelaan itu sangat besar di sisi Allah kerana kita membersihkan tempat yang suci. Namun kalau dibiarkan, maka kita memang tak ambil peduli langsung!

Monday, December 23, 2013

Resmi Biji Benih

“Diumpamakan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah, seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, setiap tangkai terdapat seratus biji benih lagi, dan Allah melipatgandakan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya…”

*****

SYAFIQ merenung jauh ke arah sawah padi milik arwah ayahnya – cantik. Tanah lapang itu berwarna hijau dan kuning keemasan apabila disinari mentari yang hampir kegelinciran.

Pemandangan itu membuatkan hatinya tenang. Tidak seperti kecelaruan akibat sering menghadap hiruk-pikuk di kota raya. Sesekali pulang ke kampung sebegini memang merehatkan minda.

Syafiq bukan termenung menerawang masa hadapan. Biasanya duduk termenung dianggap sedang memikirkan masa hadapan. Mungkin juga mengenang nasib badan. Ataupun berangan-angan Mat Jenin.

Renungan Syafiq pula berbeza. Dia bermuhasabah diri.

“Banyaknya butiran padi,” hatinya berkata. Sebutir padi menghasilkan setitik warna kuning dari pandangan jauh Syafiq. Seluruh jelapang itu menjadi kuning. Ia terjadi dengan gabungan warna butiran-butiran padi masak yang tidak terkira banyaknya.

“Kau berangan, ya!” Sergah ibunya sambil menepuk lantai pondok kecil di tengah sawah itu. Tepukan itu mengejutkan Syafiq daripada lamunannya. Dia tersengih. Namun, otaknya masih ligat bermuhasabah diri.

Pondok yang hanya bertiang, berlantai, beratap dan tidak berdinding itu sungguh menyamankan. Sejuk mata memandang alam sekeliling yang dihiasi warna kuning keemasan, kehijauan alam dan biru putih awan di langit.

“Nyaman rasanya tiupan angin.” Ibunya duduk di sisi Syafiq. Angin sepoi-sepoi bahasa itu memang enak. Mungkin tidak sedingin alat penyaman udara. Tetapi bagi ibunya yang baru lepas berjemur di bawah teriknya matahari, angin biasa itu terasa luar biasa nikmatnya.

“Bu, macam mana arwah ayah mula menanam padi dulu?” Syafiq menoleh ke arah ibunya. Dia masih duduk dengan sebelah kaki melunjur memeluk kaki kanannya yang terlipat. Lagak seorang pujangga memburu inspirasi.

Si ibu terus menyuap nasi bekalan berlauk ikan goreng ke mulutnya. Lapar benar rasanya setelah membanting tulang mengusahakan tanah sekangkang kera itu.

“Syafiq, semua yang banyak bermula daripada yang sedikit.” Si ibu berkata sambil menyuap makanan ke mulutnya dengan penuh santun.

“Sepinggan nasi yang kita makan ini asalnya sebutir padi. Sebutir menjadi segenggam dan daripada segenggam pula boleh menjadi seguni...” Wajahnya serius.

Syafiq langsung teringatkan maksud sepotong ayat al-Quran. Ustaz Zambri, guru kelas fardu ain di surau pernah membacakan maksud ayat itu tempoh hari.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud, “Diumpamakan orang yang
menginfakkan hartanya di jalan Allah, seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, setiap tangkai terdapat seratus biji benih lagi, dan Allah melipatgandakan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya...”

‘Kalau begitu, untunglah orang-orang yang bersedekah,’ ujarnya di dalam hati. Daripada sebutir padi
boleh berkembang menjadi penuh satu padang. Syafiq berfikir jauh, sesekali dia mengalihkan punggungnya yang terasa hampir kebas.

Tapi sedekah yang macam mana boleh dapat ganjaran sebegitu? Timbul sedikit kemusykilan di hatinya.

“Kau fikir apa, Syafiq? Macam orang hendak berfalsafah saja.” Ibunya tertawa kecil melihat telatah anak bujangnya.

“Bu, orang macam kita ni kalau bersedekah macam mana? Kita bukannya berduit sangat pun. Berapa banyak pahala kita boleh dapat?” Syafiq yang hanya sesekali menyelitkan duit seringgit setiap Jumaat dalam tabung masjid, mulai sangsi. Bolehkah sekeping duit itu dibalas dengan beribu-ribu keping?

“Kau ni... itu semua kerja Tuhan, nak. Bukan kita yang memberi ganjaran, tetapi Yang Maha Kuasa. Dia yang memberi rezeki.” Si ibu menghabiskan baki makanan di dalam pinggannya. Kemudian menoleh ke kiri dan kanan mencari air minuman.

“Yang penting kau ikhlas! Jangan lupa sedekahkan yang terbaik. Jangan barang yang kau hendak buang, yang kau sendiri tidak mahu, lalu kau bagi pada orang.” Ibu terus mencapai termos dan menuang kopi O suam ke dalam penutupnya.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 265 yang bermaksud, “Orang-orang yang menafkahkan hartanya kerana menginginkan keredaan Allah dan menetapkan keimanan hatinya, umpama sebidang kebun yang terletak di dataran tinggi dan diturunkan hujan lebat, maka hasil buahnya dua kali ganda banyaknya. Maka jika tiada hujan lebat, memadailah hujan gerimis, dan Allah melihat apa yang kamu kerjakan.”

“Tapi kalau kau ada duit lebih, jangan teragak-agak. Sedekahkan kepada sesiapa saja. Insya-Allah, berkat hidup kau.” Ibu menambah lagi sambil tersenyum melihat anaknya yang bersih nuraninya itu.

“Kalau nak berkat lagi, sedekahkan pada ibu, ya! Ibu lagi suka!” Seloroh ibunya. Hilai mesra antara mereka memecah kesunyian seketika.

Walaupun Syafiq bekerja di bandar, dia sering menjenguk ibunya di kampung. Anak-beranak itu sungguh mesra. Kalau Syafiq mula rasa kurang tenang, dia akan pulang ke kampung buat pengubat jiwa.

“Ibu, duit simpanan peninggalan arwah ayah dulu banyak tak?”

“Hah? Kau nak buat apa?” Ibunya mula memikirkan yang bukan-bukan. Jangan-jangan anak aku ni hendak kahwin agaknya. Hendak pinjam duit ke?

“Bagaimana kalau kita sedekahkan sedikit duit ayah ke masjid? Kita tambahkan amal jariahnya.” Syafiq memberi cadangan kepada ibunya.

Si ibu tersenyum dan mengangguk setuju.

Kisah ini disedut daripada buku 'Warkah Alam' terbitan Al-Ameen Serve.
Penulis adalah Mohd Fadzli Abu Bakar dan Wahyu Budiwa Rendra.

Thursday, July 18, 2013

Resipi Nasi Arab

Di sini saya kongsikan resipi NASI ARAB. Resipi ni saya tak letakkan sukatan. Kalau orang biasa masak akan faham sukatannya sebanyak mana sebab masaknya hampir macam nasi ayam dan lebih mudah daripada briyani. Bagi yang tak biasa masak, pandai-pandai korang la ye.

A: Nasi Arab
  • Beras Basmathi
  • Rebusan kambing
  • Kambing panggang
  • Bawang merah
  • Bawang putih
  • Cili padi 2-3 biji (tambahan kalau nak spicy)
  • Halia
  • Serai
  • Lada hitam tumbuk
  • Jintan kisar
  • Ketumbar kisar
  • Rempah adik beradik
  • Buah pelaga kisar
  • Tomato
  • Safron
  • Daun ketumbar
  • Minyak masak (tak perlu minyak sapi nanti muak)

B: Kambing dan Ayam Panggang
  • Bawang merah
  • Bawang putih
  • Lada kisar
  • Halia kisar
  • Lada hitam
  • Jintan kisar
  • Buah pelaga kisar
  • Perahan lemon
  • Minyak zaitun
  • Garam
  • Gaul semua dan perap sebelum panggang

C: Salad (sebagai ulam)
  • Tomato potong dadu
  • Timun potong dadu
  • Perahan lemon
  • Daun ketumbar mayang
  • Garam
  • Gaul semua

CARA MASAK
1. Rebus kambing, ambil airnya untuk nasi
2. Gaul kambing dengan bahan B dan panggang
3. Salad C kasi setel. Masuk esbok.

Jangan lupa panggang ayam ye. Kang takde lauk lak. Tekak dah mula mengidam ni.

Mula masak nasi
3. Panaskan minyak, masuk rempah adik beradik, tumis bawang merah, putih, halia, serai
4. Masuk jintan kisar, ketumbar kisar, pelaga kisar, tomato
5. Masuk air rebusan kambing (sukatan 1.2:1 dengan beras)biar mendidih
6. Masuk lada hitam, lada padi, safron, garam
7. Masuk beras (rujuk teknik masak basmathi)
8. Bila air mula kering, masuk kambing panggang dan serih. Tabur daun ketumbar
9. Tutup rapat dan kecilkan api. (ini part penting, jangan buka, tutup rapat)
10. Lepas tu makan la. Terpulang nak hidang dalam dulang ke pinggan ke. Lauk ayam panggang. Salad pun buat ulam ye puan-puan.

Nota tambahan
  • Tekak Melayu tak biasa makan nasi tak berkuah. Tapi boleh la makan dengan dalca, kari atau sup daging. Kira cincai la.
  • Ada banyak cara masak basmathi. Ada yang lebihkan air supaya lembut. Ada yang rebus dulu supaya kembang. Ada yang air ngam2 tapi tutup periuk rapat guna konsep briyani gam.
  • Mengambil kira faktor kesihatan, rebusan kambing boleh dicairkan. Kang tak pasal2 ada orang darah tinggi terlentang.
  • Untuk modifikasi, fahamkan konsep. Nasi Arab ni macam nasi ayam je cuma bezanya guna rebusan kambing. Rempah2 tu untuk mengimbangi rasa hanyir kambing. Nasi Arab perlu aroma kambing panggang atau ayam panggang, itu beza dengan briyani. Sampai tahap ada orang masukkan bara arang dalam aluminum foil untuk aroma itu. Terpulang.
  • Bagi menambahkan lagi keceriaan, bolehlah memakai jubah dan serban ketika makan. Adapun memakai ‘igal adalah lebih afdal supaya rasa macam orang Arab. Buka lagu Arab ataupun mp3 Quran. :P

Semoga diberkati pada Bulan Ramadan yang mulia ini.

Tuesday, February 19, 2013

Kisah Raja Sufi


Ibrahim bin Adham atau nama asalnya ialah Abu Ishak Ibrahim bin Adham dilahirkan daripada keluarga bangsawan Arab yang kaya raya. Beliau terkenal sebagai seorang raja Balkh yang sangat luas wilayah kekuasaannya. Ke mana saja pergi, beliau akan diiringi empat puluh bilah pedang emas dan empat batang tongkat kebesaran emas diusung di depan dan belakangnya. Nama beliau berada dalam tinta sejarah daripada seorang raja yang masyhur kepada ahli sufi yang terkenal.

Bermulanya perubahan kehidupan Ibrahim bin Adham apabila pada suatu malam ketika baginda tertidur di bilik istananya, langit-langit di biliknya bergerak seolah-olah ada seseorang yang sedang berjalan di atas atap. Ibrahim terjaga dan berseru: “Siapakah itu?”

“Saya adalah seorang sahabat, untaku hilang, aku sedang mencarinya di atas atap ini.” Terdengar sahutan dari atas.

“Bodoh, tidak ada orang mencari unta di atas atap!” Ibrahim menengkingnya.

“Wahai manusia yang lalai, apakah engkau hendak mencari Allah Subhanahu wata’ala dengan berpakaian sutera dan tidur di alas tilam emas?” Jawab suara itu penuh simbolik.

Kata-kata ini sangat menggetarkan hati Ibrahim. Ia sangat gelisah dan tidak dapat meneruskan tidurnya sehingga pagi. Seperti kebiasaannya, di sebelah siang Ibrahim berada di atas singgahsananya untuk mendengar pengaduan dan masalah rakyat jelata. Tetapi hari itu keadaannya berlainan, dirinya gelisah dan banyak termenung.

Para menteri, pembesar istana dan rakyat yang hadir merasa hairan melihat perubahan yang terjadi dengan tiba-tiba kepada raja mereka.

Tiba-tiba masuk seorang lelaki berwajah menakutkan ke dalam ruangan perjumpaan itu. Tidak seorangpun di antara askar dan pengawal istana yang berani menanyakan sesuatu dan menghalangnya masuk. Kejadian berlaku begitu pantas, semua lidah menjadi kelu. Lelaki itu melangkah ke depan Ibrahim Adham.

“Apakah yang engkau inginkan daripada aku?” Tanya Ibrahim.

“Aku baru sahaja sampai, bagilah aku rehat dulu”, jawab lelaki itu.

“Ini bukan tempat persinggahan kafilah. Ini istanaku. Lagak engkau seperti orang gila saja!” Ibrahim menengking.

“Siapa pemilik sebenar istana ini sebelum engkau?” Tanya lelaki itu.

“Ayahku!” Jawab Ibrahim pendek.

“Sebelum ayahmu?”

“Datukku!”

“Sebelum dia?”

“Datuk kepada datuk-datukku!”

“Ke manakah mereka sekarang ini?“ Tanya lelaki itu.

“Mereka telah meninggalkan dunia ini”, jawab Ibrahim.

“Jika demikian, tidakkah ini sebuah persinggahan yang diduduki oleh seseorang kemudian ditinggalkannya dan diganti oleh yang lain pula?” Kata lelaki itu.

Tersentak juga hati Ibrahim mendengar kata-kata lelaki itu. Belum sempat Ibrahim menjawab, lelaki itu mengundur ke belakang dan tiba-tiba ghaib di tengah orang ramai. Banyak para alim ulama membuat tafsiran sesungguhnya lelaki itu adalah Nabi Khidhir ‘Alaihissalam yang sengaja datang mengetuk hati raja Ibrahim bin Adham yang semakin lalai dengan tipu daya dunia.

Kegelisahan Ibrahim semakin menjadi-jadi sejak kejadian tersebut. Ia dihantui oleh bayangan dan suara lelaki itu sejak peristiwa di istananya. Akhirnya kerana tidak tahan lagi Ibrahim memerintah pengawalnya: “Persiapkan kudaku yang terbaik! Aku hendak pergi berburu. Ya, Allah! Bilakah semua ini akan berakhir?”

Ibrahim bin Adham dan rombongan terus merentasi padang pasir yang luas saujana mata memandangnya. Baginda memacu kudanya begitu laju sehingga akhirnya terpisah dengan rombongan tersebut. Dalam mencari jalan keluar baginda terlihat seekor rusa. Tiba-tiba Ibrahim ghairah hendak memburu rusa itu. Belum sempat berbuat apa-apa rusa itu berkata kepadanya: “Wahai manusia yang lalai, aku disuruh oleh Allah Subhanahu wata’ala memburumu. Engkau tidak dapat menangkapku. Bertaubatlah, untuk inikah engkau diciptakanNya?”

Ibrahim yang di dalam ketakutan itu tiba-tiba terkejut dengan kata-kata itu. Baginda langsung tidak terfikir selama ini untuk apa baginda dicipta ke dunia. Sekarang keyakinan serta keimanannya telah tertanam di dalam dadanya. Seluruh pakaian dan tubuh kudanya basah oleh cucuran air mata penyesalannya selama ini. Dengan sepenuh hati Ibrahim bertaubat kepada Allah Subhanahu wata’ala. Dalam keadaan panas terik itu, baginda meninggalkan kudanya dengan berjalan kaki yang akhirnya baginda bertemu dengan seorang penggembala yang sedang menjaga sekumpulan kambing-kambingnya.

Tiba-tiba Ibrahim meminta keizinan untuk menyerahkan bajunya yang bersulam emas serta topinya yang bertatahkan batu-batu permata yang sangat mahal harganya. Sebaliknya baginda mengenakan pakaian dan topi gembala itu yang diperbuat daripada kulit dan bulu kambing. Gembala kambing itu melihat kelakuan Ibrahim itu dengan penuh kehairanan. Semua malaikat menyaksikan perbuatan Ibrahim itu dengan penuh kekaguman sehingga salah satu malaikat berkata: “Lihat, betapa megahnya kerajaan yang diterima putera Adham sebelum ini, akhirnya telah mencampakkan pakaian dunia yang kotor dan menggantinya dengan jubah kesedaran.”

Dengan berjalan kaki Ibrahim mengembara merentasi gunung dan menyusuri padang pasir yang luas sambil menginsafi dosa-dosa yang pernah dilakukannya. Akhirnya sampailah baginda di sebuah gua. Ibrahim yang dulunya seorang raja yang hebat akhirnya menyendiri dan berkhalwat di dalam gua selama sembilan tahun. Selama di dalam gua itulah Ibrahim betul-betul mengabdikan dirinya kepada Allah Subhanahu wata’ala. Setiap hari Khamis baginda ke pekan untuk menjual kayu api. Setelah sembahyang Jumaat baginda pergi membeli roti dengan wang yang diperolehinya. Roti itu separuh diberikan kepada pengemis dan separuh lagi untuk berbuka puasa. Demikianlah yang dilakukannya setiap minggu.

Akhirnya baginda mengambil keputusan keluar dari gua tersebut untuk merantau lagi merentasi padang pasir yang terbentang luas itu. Baginda tidak tahu lagi ke mana hendak ditujui. Setiap kali baginda berhenti di sebuah perkampungan, baginda kumpulkan orang-orang setempat untuk memberitahu betapa kebesaran Allah terhadap hambaNya dan azab yang akan diterima oleh sesiapa yang mengingkarinya. Justeru itu banyaklah orang yang akrab dengannya dan ada yang menjadi muridnya. Baginda mengharungi padang pasir itu empat belas tahun lamanya. Selama itu pula baginda berdoa dan merendahkan dirinya serta tawaddhu’ kepada Allah Subhanahu wata’ala. Nama Ibrahim pula mula disebut-sebut orang; dari seorang raja berubah menjadi seorang ahli sufi yang merendah diri.

Pernah dalam perjalanannya baginda diuji. Disebabkan kewara’an baginda itu ada seorang kaya datang menemuinya untuk mengambil berkat ke atas baginda dengan memberi wang yang sangat banyak kepada Ibrahim. “Terimalah wang ini, semoga berkah”, katanya kepada Ibrahim.

“Aku tidak mahu menerima sesuatupun daripada pengemis”, jawab Ibrahim.

“Tetapi aku adalah seorang yang kaya”, pintas orang kaya orang itu.

“Apakah engkau masih menginginkan kekayaan yang lebih besar daripada apa yang telah engkau miliki sekarang ini?” tanya Ibrahim.

“Ya, kenapa tidak?” Jawabnya ringkas.

“Simpanlah wang ini kembali, bagi aku, engkau adalah ketua para pengemis di sini. Bahkan engkau bukan seorang pengemis lagi tetapi seorang yang sangat miskin dan meminta-minta.” Tegur Ibrahim.

Kata-kata Ibrahim itu membuatkan orang kaya itu tersentak seketika. Penolakan pemberiannya oleh Ibrahim disertai dengan kata-kata yang sinis lagi pedas itu turut meninggalkan kesan yang mendalam kepada dirinya. Dengan peristiwa tersebut orang kaya itu bersyukur kepada Allah kerana pertemuan dengan Ibrahim itu membuatkan dirinya sedar akan tipu daya dunia ini. Beliau lalai dengan nafsu yang tidak pernah cukup daripada apa yang perolehinya selama ini.

Suatu ketika sedang Ibrahim bin Adham menjahit jubah buruknya di tepi sungai Tirgis baginda ditanya oleh sahabatnya: “Engkau telah meninggalkan kemewahan kerajaan yang besar. Tetapi apakah yang engkau telah perolehi sebagai imbalannya?”

Disebabkan soalan yang tidak disangka-sangka itu keluar dari mulut sahabatnya sendiri maka dengan tiba-tiba jarum di tangannya terjatuh ke dalam sungai itu.

Sambil menunjukkan jarinya ke sungai itu Ibrahim berkata, “Kembalikanlah jarumku!”

Tiba-tiba seribu ekor ikan mendongakkan kepalanya ke permukaan air. Masing-masing ikan itu membawa sebatang jarum emas di mulutnya.

Ibrahim berkata: “Aku inginkan jarumku sendiri.”

Seekor ikan kecil yang lemah datang menghantarkan jarum besi kepunyaan Ibrahim di mulutnya.

“Jarum ini adalah salah satu di antara imbalan-imbalan yang ku perolehi, kerana meninggalkan kerajaan Balkh. Sedangkan yang lainnya belum tentu untuk kita, semoga engkau mengerti.” Kata Ibrahim Adham dengan penuh kiasan.

Begitulah kehidupan seorang raja Balkh yang bernama Ibrahim bin Adham yang luas pemerintahannya dan hidup di dalam kemewahan, tetapi akhirnya berkelana menjadi ahli sufi yang terkenal. Baginda menemui Allah Subhanahu wata’ala pada tahun 165H/782M di negeri Persia. Taubat Ibrahim itu merupakan sebuah kisah yang sangat unik bagi umat Islam yang merintis kehidupan yang penuh dengan tipu daya di dunia ini.

Wallahu ‘alam.

*********

Suatu hari Ibrahim Bin Adham ingin membuang air kecil,lalu dia pun pergi ke tandas awam.Apabila dia ingin masuk ke dalam,seraya seorang lelaki menegurnya, “wahai orang tua,bayarlah dulu sebelum masuk.”Mendengarkan sapaan lelaki itu,air mata Ibrahim Bin Adham pun bercucuran keluar dari matanya.

Lelaki tadi terkejut dan berkata, “wahai orang tua,andaikata kamu tiada wang untuk dibayar,masuklah secara percuma. Janganlah menangis kerana ini.”

Ibrahim bin Adham menjawab, “wahai pemuda,aku menangis bukan kerana aku tiada duit tetapi aku terfikir jika tempat sejijik ini pun harus dibayar untuk dimasuki,bagaimana pula dengan syurga Allah.Berapakah bayaran yang harus aku sediakan untuk masuk ke dalamnya…”

**********

Hatinya diketuk

Ibrahim mewarisi sifat ayahnya yang suka berburu.Suatu hari dia menunggang kudanya dan pergi ke dalam hutan untuk memburu burung. Dibawanya bersama sebuku roti sebagai bekalan makanan.Tengah dia asyik memburu seekor burung,seekor gagak menyambar rotinya.Dia cuba memanah gagak itu tetapi gagal.Kerana perasaan marahnya kepada gagak itu, dia memacu kudanya ke arah gagak itu sehingga sampai di lereng bukit.

Alangkah terkejutnya dia apabila dia mendapati terdapat seorang lelaki yang diikat pada sebatang pokok.

“Sudah berapa lama kamu diikat?”Tanya Ibrahim.

“7 hari lamanya,”jawab lelaki terbabit.

“Pantas,apa yang kamu makan sehingga mampu hidup sekian lama?”Soalnya lagi.

“Tiap-tiap hari,Allah memberiku rezeki melalui binatang-binatangnya. Hari ini Allah menggunakan burung untuk menghantar sebuku roti kepadaku,” jawab lelaki itu.

Dia terfikir,jika binatangpun mampu membantu manusia,bagaimana pula dengan manusia?Bukankah manusia mampu membantu sesama manusia?

**********

Perjalanan Seorang Hamba

Setelah dia sedar yang dia tidak akan berjumpa dengan Tuhan selagi dia tidak meninggalkan kemewahan yang dimilikinya,lalu dia memutuskan untuk berkelana ke Iraq tanpa membawa bersama kemewahan miliknya.

Dijadikan cerita,dia telah menetap di sebuah kampung.Sedang dia berjalan-jalan,dia ditegur oleh seorang musafir.

“Wahai lelaki,adakah kamu hamba?”Tanya si Musafir.

“Ya,aku seorang hamba,”jawab Ibrahim.

“Tahukah kamu di mana terdapat perkampungan terdekat?”Soal si Musafir.

“Di sana,”jawab Ibrahim sambil menunjuk-nunjuk ke arah kawasan perkuburan.

Lelaki tadi berfikir yang dirinya sedang dimain-mainkan oleh Ibrahim,lantas dia mengangkat tongkat yang dipegangnya dan memukul Ibrahim sehingga berdarah.Dalam keadaan parah,Ibrahim berkata, “pukullah kepala yang penuh dengan dosa ini.”

Lalu lelaki tadi beredar.Cerita itu diketahui oleh orang kampung.Seorang penduduk mencari lelaki yang memukul Ibrahim dan menegurnya.

“Wahai lelaki,tahukah betapa besar kesalahan yang telah kamu lakukan hari ini?Kamu telah memukul kepala seorang wali yang paling banyak beribadah di zamannya?”Ujar penduduk.

Mendengarkan kata-kata penduduk itu,lelaki tadi begitu menyesal dan dia mencari Ibrahim.

“Wahai Ibrahim,ampunilah kesalahan ku.Aku tidak mengenali siapa kamu. Tapi kenapa kamu mengakui dirimu hamba?”Tanya si Musafir.

“Kamu tidak bertanya aku hamba kepada siapa sebaliknya kamu bertanya adakah aku hamba.Aku menjawab ya kerana aku adalah hamba Allah dan selepas engkau memukul kepalaku,aku telah pun berdoa supaya engkau dimasukkan ke dalam syurga,”terang Ibrahim.

“Mana mungkin,”tanya lelaki itu yang dipenuhi dengan tanda tanya.

“Kerana,tatkala engkau memukulku,aku bersabar dan ganjaran bagi sabar tidak lain dan tidak bukan melainkan syurga Allah.Mana mungkin aku mendoakan engkau masuk ke neraka sedangkan kerana engkau aku dimasukkan ke dalam syurga,”jelas Ibrahim.

*********

Ibrahim bin Adham berkerja dengan seorang orang kaya yang memiliki ladang limau.Ditakdirkan Allah,pemilik ladang itu ingin bermusafir selama 2 bulan dan dia menyerahkan hak menjaga ladang limau itu kepada Ibrahim bin Adham.Apabila dia pulang,dia memanggil Ibrahim dan menyuruh Ibrahim membawa kepadanya sebiji buah limau yang manis.Namun,buah pertama yang dibawa oleh Ibrahim masam dan tidak enak dimakan.Tuannya mengarahkan Ibrahim mengambil sebiji lagi dan Ibrahim mengambil yang rasanya hampir sama.Maka perkara ini berulang sebanyak 4 kali sehingga tuannya timbul rasa hairan.

“Wahai Ibrahim,2 bulan aku tinggalkan ladang limau ini kepada engkau, apakah engaku tidak bisa mengenal yang mana manis dan yang mana masam? Soal Tuannya.

“Tidak tuan,”jawab Ibrahim dengan penuh ikhlas.

“Apakah engkau tidak memakan buah oren walaupun sebiji?”Soal tuannya lagi.

“Wahai tuan,semasa engkau ingin bermusafir,engkau telah berpesan kepadaku untuk menjaga ladang buah limau bukan makanlah buah limau.Maka dengan itu aku tidak makan walaupun sebiji buah limau,”jawab Ibrahim.

**********

Nasihat Ibrahim Bin Adham

Pada suatu hari, ada seorang lelaki datang menghadap Ibrahim bin Adham, slalu berkata: “Wahai Ibrahim bin Adham, aku ialah orang yang lupa diri. Oleh itu, berilah aku sesuatu yang dapat mencegah serta menyelamatkan hatiku daripada kecuaian!”

Ibrahim menjawab, “Jika kamu mahu menerima lima perkara serta mampu melaksanakannya, nescaya kemaksiatan tidak akan mampu menyerang dirimu dan kamu tidak mudah untuk dihancurkan oleh kelazatan duniawi.”

Lelaki itu berkata,“Tolong sampaikan hal itu kepadaku, wahai Abu Ishaq.” Ibrahim kemudian berkata,“Pertama apabila kamu hendak melakukan penderhakaan kepada Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Mulia, janganlah kamu memakan rezekinya.”

Pemuda itu kemudian bertanya lagi,“Lalu dari mana aku makan, bukankah semua yang ada di bumi ini adalah rezeki pemberian-Nya.” Ibrahim menjelaskan,”Begini, wajarkah kamu memakan rezeki-Nya, sedangkan kamu masih selalu menderhaka kepada-Nya?”

Lelaki itu berkata,“Sekarang tolong beritahukan yang kedua.” Ibrahim berkata,“Apabila kamu hendak berlaku derhaka kepada-Nya, jangan sampai kamu menginjak bumi-Nya.” Ujar lelaki itu,“Perkara ini mungkin lebih berat daripada perkara pertama. Segala sesuatu yang ada, bermula dari belahan timur sampai barat adalah sesuatu milik-Nya, lalu di mana aku akan tinggal?”

Ibrahim berkata,“Begini, wajarkah engkau memakan rezeki-Nya dan tinggal di wilayah-Nya, sedang kamu masih menderhakaiNya?” Lantas lelaki itu menjawab: “Tidak, sekarang tolong sebutnya yang ketiga!”

Ibrahim berkata lagi,“Jika kamu hendak melakukan sesuatu kemaksiatan, sedangkan kamu masih berada dalam rezeki dan wilayah-Nya, sekarang cuba carilah suatu tempat yang mustahil diketahui oleh-Nya, kemudian di tempat itu kamu dapat bebas berbuat maksiat.” Lelaki itu semakin bingung dan kemudian berkata,“Wahai Ibrahim! Bagaimana hal ini dapatku lakukan. Dia selalu mengetahui apa saja yang dirahsiakan?”

Ibrahim meneruskan hujahnya,“Wajarkah kamu memakan rezeki-Nya dan berada di wilayah-Nya, sedangkan kamu masih derhaka kepada-Nya dan Dia selalu mengawasi segala gerak-gerimu?”Pemuda itu segera menjawab,“Tidak, sekarang cuba sebutkan yang keempat!”

Ibrahim berkata,“Apabila malaikat pencabut nyawa datang hendak mengambil nyawamu, cuba mintalah kepadanya agar diberi tempoh hingga dapat bertaubat dengan taubat yang sesungguhnya serta beramal soleh kerana Allah.” Jawab lelaki itu,“Mustahil dia mahu menerima permohonan itu.”

Tanya Ibrahim,“Kamu tidak mungkin mampu menolak kematian hingga kamu dapat bertaubat dan di sini kamu dapat mengetahui bahawa malaikat pencabut nyawa mustahil memberi tempoh kepadamu, lalu bagaimana mungkin kamu akan mendapatkan sebuah jalan untuk menyelamatkan diri?” Lelaki itu seterusnya berkata ,“Sekarang cuba tolong sebutkan yang kelima.”

Ibrahim berkata,“Jika pada hari kiamat nanti, malaikat Zabaniyah datang kepadamu untuk membawamu ke neraka, usahakan untuk menolaknya.”Jawab lelaki itu,”Mereka tidak mungkin bersedia meninggalkanku begitu saja, walaupun aku kemukakan pelbagai alasan.”

Ibrahim bertanya lagi,“Jika demikian, bagaimana mungkin kamu akan mengharapkan suatu keselamatan?” Kata lelaki itu berkata,”Wahai Ibrahim! cukup, cukup! Sekarang aku akan memohon ampun dan taubat kepada-Nya.”

**********

Kisah Ibrahim Adham Bertaubat Kerana Termakan Benda Haram

Suatu hari selesai menunaikan ibadah haji, Ibrahim bin Adham berhajat untuk ziarah ke Masjidil Aqsa. Untuk bekal diperjalanan dia membeli 1 kilogram kurma daripada seorang peniaga tua berhampiran Masjidil Haram. Ketika kurma itu ditimbang Ibrahim melihat sebutir tergeletak di dalam timbangan. Dia menyangka kurma itu sebahagian daripada yang dibelinya. Lalu Ibrahim memungut memakannya. Kemudian dia berangkat menuju ke Al-Aqsa.

Dalam tempuh empat bulan Ibrahim tiba di Al-Aqsa. Seperti biasa Ibrahim suka memilih tempat beribadah di bawah kubah Sakhra. Dia solat dan berdoa dengan khusyuk sekali. Tiba-tiba dia mendengar dua malaikat berbual-bual mengenai dirinya." Itu, Ibrahim bin Adham, ahli ibadah yang zuhud, warak dan doanya selalu di kabulkan Allah SWT" kata salah seorang malaikat itu."

"Tetapi sekarang doanya ditolak kerana empat bulan yang lalu dia memakan sebutir kurma seorang peniaga tua di Masjidil Haram,"jawab malaikat yang satu lagi.

"Astaghfirullah, jadi selama empat bulan ini ibadahku, solatku, doaku dan mungkin amalanku yang lain tidak di terima oleh Allah SWT. kerana sebutir kurma yang bukan hakku itu!"

Terkejut Ibrahim mendengar ungkapan malaikat tadi. Dengan penuh penyesalan, dia bergegas ke Makkah menemui peniaga tua itu. Dia ingin meminta dihalalkan kurma yang terlanjur dimakannya dulu.

Sebaik sampai di Makkah, Ibrahim terus menuju tempat peniaga tua itu. Bagaimanapun, dia tidak melihat peniaga tua itu di situ lagi melainkan seorang anak muda yang sibuk melayan orang ramai yang membeli kurmanya.

"Empat bulan yang lalu saya membeli kurma disini daripada seorang tua .Ke mana pak cik tu sekarang?" tanya Ibrahim kepada anak muda itu.

"Sudah meninggal sebulan yang lalu dan saya yang akan meneruskan perniagaannya." jawab pemuda itu.

"Innalillahi wa innailaihi raji un, kalau begitu kepada siapa saya meminta penghalalan?" sambung Ibrahim yang kemudian menceritakan peristiwa yang dialaminya.

"Engkau sebagai waris orang tua itu, mahukah engkau menghalalkan sebutir kurma milik ayahmu yang terlanjur ku makan tanpa izinnya?" pinta Ibrahim.

"Insya Allah, saya halalkan tapi entah dengan saudara-saudara saya yang sebelas orang lagi. Saya tidak berani mewakili mereka kerana kami mempunyai hak waris yang sama ke atas perniagaan ini." jelas anak muda itu.

"Dimana saudara-saudaramu itu tinggal, saya mahu menemui mereka satu persatu." tanya Ibrahim bersungguh-sungguh.

Setelah mengetahui alamat sebelas waris itu, Ibrahim meneruskan perjalanan untuk mendapatkan penghalalan. Akhirnya, setelah berjalan jauh dan menemui sebelas beradik, hajat Ibrahim ditunaikan apabiala kesemua mereka bersetuju menghalalkan kurma milik ayah mereka yang tidak sengaja dimakan itu.

Empat bulan kemudian, Ibrahim bin Adham sudah berada di bawah kubah Sakhra.Dia kembali mendengar perbualan dua malaikat itu.

"Itulah Ibrahim bin Adham yang doanya tertolak akibat termakan sebutir kurma milik orang lain" kata salah satu malaikat itu.

"Oh. tidak sekarang doanya sudah makbul lagi kerana telah mendapat penghalalan dari waris peniaga kurma itu." bisik malaikat yang satu lagi.

Kini, diri dan jiwa Ibrahim sudah ceria serta bersih dari kotoran kurma yang haram itu.

**********

Bahan bacaan ini diperolehi daripada Blog Amalan Harian.

Friday, February 8, 2013

Perihal Harimau, Serigala dan Musang


Pagi tadi, saya menghadiri Majlis Sambutan Maulidur-Rasul di Nusajaya. Dalam majlis itu, Ustaz Hanafiah Abdul Razak menyampaikan ceramahnya.

Antara isi menarik yang saya catit ialah tentang kisah analogi tiga jenis haiwan berkaitan sikap masing-masing yang dikupas daripada kitab berbahasa arab “Hayatul-hayawan al-kubra”. Mungkin kita mempunyai pelbagai perspektif terhadap kisah ini. Namun ianya pasti boleh difahami supaya bermanfaat kepada diri sendiri.

Suatu hari, harimau, serigala dan musang mendapat tiga hasil buruan bersama, iaitu rusa, kancil dan arnab. Mereka berbincang tentang cara membahagikan hasil tersebut.

Serigala memberi cadangan supaya ia dibahagikan secara adil, iaitu hasil buruan itu dibahagikan mengikut saiz. Yang besar mendapat bahagian yang besar, manakala yang  kecil mendapat bahagian yang kecil berdasarkan saiz badan serta keperluannya.

Maka rusa dicadangkan untuk diberikan kepada harimau, manakala kancil kepada serigala, dan arnab pula kepada musang.

Harimau membantah. Pada pendapatnya pembahagian itu tidak adil kerana walaupun daging rusa banyak namun ianya liat dan tidak sesedap kancil ataupun arnab.

Serigala naik angin. Musang hanya berdiam. Harimau naik berang. Akhirnya serigala dan harimau bergaduh. Mereka bergaduh sehingga serigala mati.

Seterusnya harimau yang ego itu bertanya kepada musang. Tentang bagaimana untuk membahagikan hasil itu.

Sambil berundur ke belakang, musang menyerahkan rusa itu sebagai bahagian kepada harimau.

Dia berundur dan terus berundur. Kancil juga diserahkan kepada harimau. Bahkan bahagiannya sendiri, iaitu arnab juga diserahkan kepada harimau.

Musang terus beredar.

Baginya, tidak mengapa dia tidak mendapat bahagian. Asalkan dia bahagia dan masih hidup.

Pengajaran daripada kisah ini masih boleh dipertikaikan. Tahap logiknya juga boleh dipertikaikan. Namun bagi saya ianya adalah kisah berbentuk metafora, iaitu secara majazi atau kiasan yang ditulis supaya kita berfikir dan mengambil manfaat daripadanya. Sekian.