Followers

Wednesday, April 30, 2008

Siapa idola korang?

PERNAHKAH anda menonton rancangan hiburan popular yang mencari bakat-bakat baru dalam nyanyian yang telah banyak mendominasi pemikiran kita. Di mana dan sesiapa saja menjadikannya sebagai topik hangat untuk diperbincangkan. Ibu, ayah dan pakcik makcik pun sudah mula tahu tentang ‘trend’ dunia hiburan yang semakin melanda itu. Hampir semua orang nak jadi penyanyi dan penghibur?

Apa yang menakjubkan, kita lebih mudah mengingat tentang perkembangan rancangan tersebut berbanding mengambil tahu tentang perkembangan berita-berita semasa. Mungkin kerana hiburan adalah suatu bidang yang diminati dan menyeronokkan. Tetapi setakat manakah ianya berfaedah untuk dimanfaatkan dalam kehidupan kita? Ia bergantung kepada faktor penerimaan, pengamatan dan persepsi individu tersendiri. Kalau ianya positif, maka hasilnya juga adalah positif dan begitu pula jika sebaliknya.

Kanak-kanak kecil juga sangat tertarik dengan rancangan hiburan. Menonton rancangan yang melibatkan watak hero sedikit sebanyak mempengaruhi corak pemikiran mereka. Aksi ‘Spiderman’, ‘Power Rangers’ atau ‘Ultraman’ sering menjadi bahan lakonan kanak-kanak.

Golongan remaja juga tidak ketinggalan untuk terpengaruh meniru aksi-aksi daripada media hiburan. Harry Potter, Lord of the Ring, pelakon Jet Li dan sebagainya menjadi sasaran untuk ditiru gaya dan penampilannya. Namun, lebih kuat lagi pengaruh artis dalam bidang muzik seperti artis muzik Rock, Rap, Hip Hop, Alternative dan banyak lagi.

Mengapa peniruan sedemikian sangat mudah dan cepat terjadi? Penerimaan kita terhadap pelajaran atau pembacaan buku secara formal lebih lambat untuk diterima dan dipraktikkan dalam kehidupan. Sedangkan kita lebih cepat mempelajari bahkan lebih cepat sampai ke peringkat praktikal dalam menerima maklumat-maklumat daripada dunia hiburan atau idola-idola tertentu.

Itulah yang dinamakan daya Pembelajaran Sosial manusia yang disusun oleh pakar psikologi Albert Bandura dalam Teori Pembelajaran Sosial.

Teori tersebut menjelaskan bahawa salah satu daripada cara penerimaan dan pembelajaran manusia adalah melalui pengalaman sosialnya daripada orang lain. Sejak di peringkat kanak-kanak, kita suka meniru hampir setiap gaya yang dilakukan oleh pihak yang sering kita lihat. Semakin rapat hubungan dan kerap memerhati aksi seseorang, maka lebih cepatlah kita mengingat dan mengikuti tingkah lakunya. Itulah yang dinamakan pembelajaran sosial.

Teori pembelajaran ini adalah melalui pemerhatian, peniruan (yang menghasilkan kemahuan untuk mengikuti), dan permodelan (yang menjadikan seseorang sebagai idolanya).

Kesan peniruan melalui pembelajaran sosial ini amat besar dan ia benar-benar berlaku di sepanjang hidup kita. Cuma teori pembelajaran ini berkesan dan berpengaruh sama ada dalam menerima maklumat yang positif ataupun negatif. Ia bergantung kepada kekuatan kita memilih perwatakan seseorang untuk diikuti, atau berdasarkan keadaan persekitaran hidup kita yang paling dominan.

Kita sering melihat tingkah laku seseorang yang terpilih untuk dinilai. Kemudian kita menilai perwatakan atau aksi-aksinya yang kelihatan menarik untuk diingat dan seterusnya diikuti sebagai suatu bentuk perlakuan atau personaliti baru. Ia adalah salah satu cara utama manusia mempelajari sesuatu tingkah laku. Manusia mempelajari sesuatu melalui pemerhatian terhadap tingkah laku orang lain.

Sedarkah kita bahawa kanak-kanak sekarang pun berkemahiran bergaduh dengan rakan-rakan sebayanya menggunakan teknik gusti WWF? Sedarkah kita bahawa golongan remaja kebanyakannya bergaduh dan bertindak ganas menggunakan teknik yang pernah dilihat dalam pelbagai babak filem?

Berapa ramai agaknya yang hanya memilih tingkah laku positif untuk memenuhi daya pembelajaran sosialnya? Siapa Idola anda?

Dari Chit Chat Remaja mengenai Potensi Diri

No comments: