Followers

Thursday, May 8, 2008

Orang Tua, Budak dan Keldai

"Jika kita ingin berjaya, bersedialah untuk memiliki sepasang telinga yang kebal. Orang akan mengkritik selagi kita melangkah berjaya. Orang hanya akan diam jika kita berada di takuk yang lama."

SUATU masa dahulu, di salah sebuah perkampungan terdapat seorang tua memiliki seorang anak yang masih budak lagi. Kehidupan sebagai warga desa ketika itu tidaklah semewah kehidupan kita di kawasan bandar yang penuh kesibukan ini. Orang tua tersebut tidak memiliki kereta tetapi hanya memiliki seekor keldai.

Suatu hari, si ayah bercadang untuk menjual keldainya di sebuah bandar berdekatan. Mungkin untuk membuat sedikit ‘trade in’ kepada seekor kambing, lembu, atau pun sebagainya. tak apalah, itu semua tak penting. Yang penting ialah dia akan menjual keldainya di bandar berdekatan.

Dalam perjalanan ke bandar, mereka hanya berjalan kaki melalui lembah-lembah yang sesekali akan beriringan dengan sebatang sungai. Si ayah berjalan bersama anaknya. Sedangkan keldai yang jinak itu berjalan di hadapan mereka. Si ayah bernyanyi dan diselangi dengan kata-kata lawak yang menghiburkan si anak. Seronoknya perjalanan mereka.

Dalam perjalanan tersebut, mereka bertemu dengan seorang petani yang merupakan sahabat karib si ayah. Si petani itu menegur dan mengkritik: ‘Apa gunanya kau berjalan bersama seekor keldai, sedangkan engkau tidak menjadikannya sebagai pembantu dengan meletakkan beban?’ Si ayah menjawab: ‘Biarlah, aku tidak membawa barang untuk dibebankan kepada keldai. Kami hanya berlenggang kangkung sahaja.’ Si petani membalas: ‘Tetapi, bukankah keldai berfungsi untuk membawa beban dan membantu kita?’

Si ayah terfikir: ‘Betul juga cakap member tadi tu.’ Lantas dia pun menerima cadangan petani tadi dan meletakkan anaknya sebagai beban kepada keldai tersebut. Anaknya gembira menunggang keldai. Mereka meneruskan perjalanannya.

Dalam perjalanan mereka, bertemu pula dengan seorang teman lain yang kelihatan ingin menyibuk sekali lagi. Dia melihat telatah anak beranak tersebut bersama keldai mereka. Si penyibuk itu berkata: ‘Sungguh tak patut korang buat begini. Ada ke patut budak yang masih kuat ini diletakkan menunggang keldai sedangkan lelaki tua yang kurang berdaya dibiarkan berjalan kaki?’

Lalu si ayah pun mengakui bahawa ada benarnya pendapat orang tersebut. Dia sepatutnya mengajar anaknya berbakti dengan baik supaya menghormati orang tua. Seterusnya si ayah pun bertukar tempat dengan anaknya. Kini anaknya pula yang berjalan kaki dan ayahnya si tua pula yang menunggang keldai. Perjalanan masih diteruskan.

Tidak berapa lama kemudian, mereka bertemu pula dengan seorang kenalan lagi. Orang yang ditemui juga mengkritik dan mengatakan: ‘Apa yang engkau buat ni? Ada ke patut sebagai seorang ayah engkau bersenang lenang menunggang keldai, sedangkan anak engkau dibiar berjalan kaki seperti seorang hamba?’

Si ayah agak terkejut ditegur sedemikian rupa. Dia sangat menyayangi anak lelakinya. Tanpa berlengah-lengah lagi, si ayah menarik dan mengangkat anaknya naik ke atas keldai. Maka jadilah keldai itu ditunggang bersama oleh si ayah dan si anak. Bagaimana agaknya keadaan keldai tersebut ya?

Belum sempat meneruskan perjalanan, lalu pula sekumpulan anak-anak muda. Mereka juga bersuara kerana melihat keadaan keldai yang kecil itu ditunggang oleh dua orang. Mereka menegur: ‘Kasihan dengan keldai itu. Kenapa la tuannya meletakkan beban sebegitu berat pada keldai? Tak patut betul!’

Si ayah mula berasa bosan dengan teguran-teguran tersebut. Dia mula naik angin kerana segala yang dilakukan dipersalahkan oleh setiap orang yang ditemui di sepanjang jalan. Membiarkan keldai tanpa beban dipersalahkan; anaknya menunggang keldai juga dipersalahkan; dirinya sendiri menunggang keldai juga dipersalahkan; kini setelah kedua-duanya menunggang keldai bersama juga dipersalahkan kerana seolah-olah menyiksa haiwan peliharaan. Serba salah dibuatnya.

Akibat terlalu mendengar banyak komen dan kritikan setiap orang, si ayah merasa sangat tertekan kerana tindakannya dianggap tidak pernah betul. Akhirnya dia berhenti berjalan dan mengikat keldainya pada sebatang kayu. Kaki keldai tersebut diikat dengan menggantungkannya pada sebatang kayu untuk dipikul. Maka berjalanlah mereka anak beranak sambil memikul keldai tersebut.

Tetapi tindakan mereka masih tidak menyelesaikan masalah. Mereka juga tidak berjaya menutup mulut orang lain daripada mengkritik mereka. Tindakan ini semakin menambahkan kritikan orang lain, bahkan membuatkan lebih ramai orang tertawa melihat telatah mereka.

Akhirnya, akibat tidak tertahan mendengar kritikan dan gelak ketawa orang ramai, si ayah mula merasa ‘fed up’. Semua tindakan telah dilakukannya. Setiap kritikan telah diterimanya dah diberi respon yang baik sebagai jalan penyelesaian. Akhirnya si ayah mencampakkan keldai yang dipikulnya tadi ke dalam sungai. Mereka anak beranak terus pulang ke rumah dengan senang hati tanpa sebarang kritikan lagi.

Kasihan. Akibat terlalu terkesan dengan kata-kata orang, si ayah kehilangan keldai dan terpaksa membatalkan hasrat untuk menjualnya. Itulah pengajarannya. Jika kita memiliki matlamat dan sedang berusaha menuju ke arahnya, jangan terlalu pedulikan kata-kata orang kerana kritikan itu tidak akan pernah berkesudahan. Ianya hanya akan terhenti jika kita menarik diri atau bertindak merugikan diri sendiri. Selagi kita ingin melakukan sesuatu perkara yang baik atau untuk berjaya, maka selagi itulah akan ada watak-watak pengganggu di sepanjang perjalanan kita.

Daripada Chit Chat Remaja mengenai Potensi Diri

No comments: