Followers

Tuesday, June 24, 2008

Don't Make Our Mom Feels Upset

...siapa yang mengutamakan isteri berbanding ibunya maka dia akan dilaknat oleh Allah swt Ibadat fardhu dan sunatnya tidak akan diterima olehNya.

ADA seorang pemuda bernama Alqamah di zaman Rasulullah saw. Pemuda ini rajin beribadat dan banyak bersedekah.

Secara tiba-tiba ditakdirkan Alqamah jatuh sakit dan ianya agak kritikal. Lalu isterinya meminta seseorang untuk memberitahu dan memanggil Rasulullah saw bahawa suaminya sedang nazak kerana sakit.

Rasulullah saw memerintahkan sahabatnya iaitu Bilal, Ali, Salman dan Ammar ra untuk pergi ke tempat Alqamah dan menjenguk keadaannya. Tatkala sampai ke rumah Alqamah, mereka terus mendatangi Alqamah lalu memimpinnya agar mengucapkan La Ilaha IllAllah. Tetapi lidah Alqamah bagaikan terkunci. Dia tidak dapat mengucapkan kalimah syahadah itu.

Ketika para sahabat itu menjangkakan bahawa Alqamah pasti akan mati, lalu mereka menyuruh Bilal untuk memberitahu hal itu kepada Rasulullah saw Baginda terus bertanya, “Adakah dia masih mempunyai ibu dan ayah?" Jawabnya, "Ayahnya telah meninggal, tetapi ibunya masih hidup dan sudah terlalu tua."

Rasulullah saw bersabda kepada Bilal, "Wahai Bilal, pergilah kepada ibu Alqamah dan sampaikan salamku kepadanya. Katakan kepadanya, Jika kamu masih mampu berjalan, maka datanglah kepada Rasulullah saw; tetapi jika tidak, maka Rasulullah saw akan datang ke sana."

Ibu Alqamah menjawab, "Sayalah yang lebih sesuai untuk pergi kepada Rasulullah saw” Lalu dia mengambil tongkat dan berjalan hingga memasuki rumah Rasulullah saw Setelah mengucapkan salam, dia duduk di hadapan Rasulullah saw

Rasulullah saw bertanya, "Beritakan hal sebenar kepadaku, jika kau dusta kepada ku nescaya akan turun wahyu memberitahu kepadaku. Bagaimanakah keadaan Alqamah?" Ibu Alqamah menjawab, "Alqamah rajin beribadah sama ada solat, puasa dan sedekah sebanyak-banyaknya sehingga tidak terkira banyaknya."

Rasulullah saw bertanya lagi, "Lalu bagaimana hubunganmu dengan dia?" Ibu Alqamah menjawab, "Saya marah kepadanya." Rasulullah saw bertanya, "Mengapa?" Jawabnya, "Kerana dia mengutamakan isterinya lebih daripadaku dan lebih memenuhi kehendak isterinya berbanding aku dan juga menentangku."

Maka Rasulullah saw bersabda, "Kemurkaan ibunya…. Itulah yang mengunci (menutup) lidahnya untuk mengucap dua kalimah syahadah."

Kemudian Rasulullah saw menyuruh Bilal supaya mengumpul kayu sebanyak-banyaknya untuk membakar Alqamah dengan api. Ibu Alqamah bertanya, "Ya Rasulullah saw, puteraku, buah hatiku akan kau bakar dengan api di hadapanku? bagaimana perasaan ku akan dapat menerimanya?"

Rasulullah saw bersabda, "Wahai ibu Alqamah, siksaan Allah swt lebih berat dan kekal, kerana itu jika kau ingin agar Allah swt mengampunkan dosanya, maka relakan ia (redhakanlah kepadanya). Demi Allah swt yang nyawaku ada ditanganNya. Tiadalah bermanfaat solat dan sedekahnya selagi engkau masih murka kepadanya."

Lalu ibu Alqamah mengangkat kedua tangan dan berkata, "Ya Rasulullah, saya bersaksi kepada Allah swt di singgahsana dan kau wahai Rasulullah, juga sesiapa yang hadir di tempat ini bahawa saya telah redha kepadanya (memaafkannya)."

Setelah itu Rasulullah saw memerintahkan Bilal untuk pergi melihat keadaan Alqamah, adakah dia telah mengucapkan Laa ilaha illallah atau pun tidak. Baginda bimbang kalau-kalau ibu Alqamah mengucapkan sedemikian hanya kerana malu kepada Rasulullah saw dan tidak daripada hatinya.

Apabila Bilal sampai di pintu rumah Alqamah, kedengaran suara Alqamah membaca Laa ilaha illallah. Lalu Bilal masuk dan berkata, "Wahai kamu semua, sesungguhnya murka ibu Alqamah itu yang menutup lidahnya untuk mengucap dua kalimah syahadah dan redhanya kini melepaskan kongkongan lidahnya. Maka matilah Alqamah pada hari ini."

Rasulullah saw datang dan memerintahkan supaya mayatnya dimandikan dan dikafankan dengan segera. Lalu ia disembahyangkan oleh Rasulullah saw Sesudah dikebumikan, Rasulullah saw berdiri di sisi atas kubur sambil bersabda, "Wahai para sahabat Muhajir dan Anshar, siapa yang mengutamakan isteri berbanding ibunya maka dia akan dilaknat oleh Allah swt Ibadat fardhu dan sunatnya tidak akan diterima olehNya."

Kesan berbuat derhaka kepada ibu bapa itu bukan sahaja akan dibalasi dengan balasan di akhirat atau di akhir-akhir kehidupan sahaja. Akan tetapi dosa yang dilakukan terhadap ibu bapa akan dibuktikan kesalahannya melalui pembalasan di dunia.

Demikian adalah jelas sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud, “Dua (kejahatan) yang akan dibalas oleh Allah di dunia iaitu zina dan derhaka kepada ibu bapa.”

Bagaimana pula dengan kita? Derhaka kepada ibu bapa kerana pakwe ataupun makwe? Sedangkan kerana isteri tercinta pun balasannya sebegitu besar, bagaimana pula dengan derhaka kerana mengutamakan orang lain pula?

Daripada Chit Chat Remaja mengenai Ibu Bapa

No comments: