Followers

Saturday, June 7, 2008

Start Your Engine

...keletihan dan bercelaru sendiri apabila melihat keadaan bilik yang langsung tak menyenangkan. Buku yang dibawa tadi masih dicampak lagi ke atas meja. Sama seperti yang pernah dilakukan pada hari-hari sebelumnya... Korang menghempas lesu tubuh ke katil dan termenung. Memikirkan apa nak jadi pada diri korang. Setiap hari melakukan kecuaian yang sama.

PERNAHKAH pada suatu hari, korang terlambat bangun dari tidur untuk pergi kelas? Kemudian dengan laloknya, korang bangkit dan duduk di tepi katil dengan mata yang tertutup. Terfikir pula, “Nak masuk kelas ke tak nak? Memang sempat lagi kalau nak pergi. Tapi kena cepat la sikit”. Lalu korang pun bingkas bangun membulatkan mata bersiap-siap menguruskan diri.

Tahniah diucapkan kerana kerang sudahpun “memulakan” sesuatu tindakan. Maka dengan permulaan tindakan itu, akhirnya korang berjaya melawan malas dan dapat ke kelas. Tetapi, katil ditinggalkan begitu sahaja tidak berkemas. Baju belum bersterika, seluar pun diambil daripada yang bergantung di belakang pintu. Sudah lebih 10 kali dipakai, tetapi masih belum dibasuh.

Buku yang ingin dibawa ke kelas pula berterabur di atas meja bukan kerana selalu dibaca, tetapi kerana setiap hari buku itu tidak dihiraukan serta hanya jadi teman yang diambil dan diletak untuk dibawa ke kelas sahaja.

Di sekitarnya pula ada bermacam-macam benda. Ada CD MP3 Rock, movie dan software yang kita guna beberapa hari lalu. Ada juga kopiah, resit beli barang, tiket bas, kertas conteng, cawan teh, gel rambut, minyak gamat dan berbagai khazanah lagi. Sehinggakan nak cari sebatang pen pun susah akibat terlalu serabut.

Lepas balik dari kelas, korang keletihan dan bercelaru sendiri apabila membuka pintu bilik melihat keadaan yang langsung tak menyenangkan. Buku yang dibawa tadi masih dicampak lagi ke atas meja. Sama seperti yang pernah dilakukan pada hari-hari sebelumnya sehingga ia menjadi penyebab meja berselerak.

Korang menghempas lesu tubuh ke katil dan termenung. Memikirkan apa nak jadi pada diri korang. Setiap hari melakukan kecuaian yang sama.

Korang pun bangun dan mengemas sedikit demi sedikit. Tanpa disedari korang makin seronok mengemas kerana melihat keadaan nampak lebih selesa. Hinggalah pakaian yang dibiarkan lama terus dicuci dan buku-buku disusun tegak macam dalam perpustakaan.

Tiba-tiba korang dapat idea untuk menjadikan bilik yang canggih. Ada rak buku. Ada bakul sampah. Ada sistem nota yang tersusun dan berwarna-warna indeksnya. Katil sentiasa berkemas sehinggakan korang sendiri pun rasa selesa pada setiap kali pulang dari kelas. Kalau tiba masanya menunaikan solat; sejadah, kain, kopiah, tasbih dan selipar jepun semuanya ada dan korang dapat beribadat dengan selesa.

Dalam apa sahaja rancangan dan cita-cita, mulakan sahaja dan kita akan terus mendapat semangat melaksanakannya.

Kita selalu merancang, “Bila aku bersemangat nanti, aku akan mula belajar bersungguh-sungguh”, “Bila aku ada mood, aku akan bekerja sekaligus menyiapkan kerja itu.” Setiap kali kita berfikir dan merancang, maka mulakanlah ia walaupun selangkah. Jangan tunggu-tunggu.

Percayalah bahawa korang akan mendapat kekuatan dan semangat untuk sesuatu perkara setelas kita memulakannya. Oleh itu, antara faktor kejayaan sesuatu perancangan ataupun matlamat adalah tindakan “memulakan”.

Daripada Chit Chat Remaja mengenai Langkah Kejayaan

No comments: