Followers

Wednesday, April 30, 2008

Siapa idola korang?

PERNAHKAH anda menonton rancangan hiburan popular yang mencari bakat-bakat baru dalam nyanyian yang telah banyak mendominasi pemikiran kita. Di mana dan sesiapa saja menjadikannya sebagai topik hangat untuk diperbincangkan. Ibu, ayah dan pakcik makcik pun sudah mula tahu tentang ‘trend’ dunia hiburan yang semakin melanda itu. Hampir semua orang nak jadi penyanyi dan penghibur?

Apa yang menakjubkan, kita lebih mudah mengingat tentang perkembangan rancangan tersebut berbanding mengambil tahu tentang perkembangan berita-berita semasa. Mungkin kerana hiburan adalah suatu bidang yang diminati dan menyeronokkan. Tetapi setakat manakah ianya berfaedah untuk dimanfaatkan dalam kehidupan kita? Ia bergantung kepada faktor penerimaan, pengamatan dan persepsi individu tersendiri. Kalau ianya positif, maka hasilnya juga adalah positif dan begitu pula jika sebaliknya.

Kanak-kanak kecil juga sangat tertarik dengan rancangan hiburan. Menonton rancangan yang melibatkan watak hero sedikit sebanyak mempengaruhi corak pemikiran mereka. Aksi ‘Spiderman’, ‘Power Rangers’ atau ‘Ultraman’ sering menjadi bahan lakonan kanak-kanak.

Golongan remaja juga tidak ketinggalan untuk terpengaruh meniru aksi-aksi daripada media hiburan. Harry Potter, Lord of the Ring, pelakon Jet Li dan sebagainya menjadi sasaran untuk ditiru gaya dan penampilannya. Namun, lebih kuat lagi pengaruh artis dalam bidang muzik seperti artis muzik Rock, Rap, Hip Hop, Alternative dan banyak lagi.

Mengapa peniruan sedemikian sangat mudah dan cepat terjadi? Penerimaan kita terhadap pelajaran atau pembacaan buku secara formal lebih lambat untuk diterima dan dipraktikkan dalam kehidupan. Sedangkan kita lebih cepat mempelajari bahkan lebih cepat sampai ke peringkat praktikal dalam menerima maklumat-maklumat daripada dunia hiburan atau idola-idola tertentu.

Itulah yang dinamakan daya Pembelajaran Sosial manusia yang disusun oleh pakar psikologi Albert Bandura dalam Teori Pembelajaran Sosial.

Teori tersebut menjelaskan bahawa salah satu daripada cara penerimaan dan pembelajaran manusia adalah melalui pengalaman sosialnya daripada orang lain. Sejak di peringkat kanak-kanak, kita suka meniru hampir setiap gaya yang dilakukan oleh pihak yang sering kita lihat. Semakin rapat hubungan dan kerap memerhati aksi seseorang, maka lebih cepatlah kita mengingat dan mengikuti tingkah lakunya. Itulah yang dinamakan pembelajaran sosial.

Teori pembelajaran ini adalah melalui pemerhatian, peniruan (yang menghasilkan kemahuan untuk mengikuti), dan permodelan (yang menjadikan seseorang sebagai idolanya).

Kesan peniruan melalui pembelajaran sosial ini amat besar dan ia benar-benar berlaku di sepanjang hidup kita. Cuma teori pembelajaran ini berkesan dan berpengaruh sama ada dalam menerima maklumat yang positif ataupun negatif. Ia bergantung kepada kekuatan kita memilih perwatakan seseorang untuk diikuti, atau berdasarkan keadaan persekitaran hidup kita yang paling dominan.

Kita sering melihat tingkah laku seseorang yang terpilih untuk dinilai. Kemudian kita menilai perwatakan atau aksi-aksinya yang kelihatan menarik untuk diingat dan seterusnya diikuti sebagai suatu bentuk perlakuan atau personaliti baru. Ia adalah salah satu cara utama manusia mempelajari sesuatu tingkah laku. Manusia mempelajari sesuatu melalui pemerhatian terhadap tingkah laku orang lain.

Sedarkah kita bahawa kanak-kanak sekarang pun berkemahiran bergaduh dengan rakan-rakan sebayanya menggunakan teknik gusti WWF? Sedarkah kita bahawa golongan remaja kebanyakannya bergaduh dan bertindak ganas menggunakan teknik yang pernah dilihat dalam pelbagai babak filem?

Berapa ramai agaknya yang hanya memilih tingkah laku positif untuk memenuhi daya pembelajaran sosialnya? Siapa Idola anda?

Dari Chit Chat Remaja mengenai Potensi Diri

Tuesday, April 29, 2008

Tanda kebesaran Allah!!!

CUBA perhatikan pada badan ikan tu... Ada tertulis kalimah Allah...

Ni bukan gambar palsu. Gua ambil sendiri gambar ni dan tengok ikan tu dengan mata kepala sendiri. Subhanallah...

Ikan ni adalah ikan sepat milik jiran mak mertua gua... Satu hari tu, dia panggil gua yang kebetulan memang tengah main-main dengan kamera... Dia tanya: "Li, cuba kau tengok ikan aku ni ada kalimah la. Betul ke? Aku macam tak caya. Mungkin kau lebih faham..."

Korang percaya atau tak? Perhatikan dan buat persepsi korang sendiri.

Friday, April 25, 2008

Si botak tak nak balik!!!

SEJAK bercukur di tanah suci Mekah Mac lalu, gua rasa macam tak nak balik Malaysia je... Ibadah umrah memang satu pengalaman bercuti yang paling menyeronokkan. Apa yang seronok? Minda zahir dan batin. Jasad dan roh.

Di sana, gua tak fikir langsung pasal kerja, harta benda dan masalah. Cuma ingat keluarga di Malaysia je. Tanah suci Mekah dan Madinah memang tempat paling ideal untuk kita beribadah. Ia memang tanah yang penuh berkat dan menarik hati kita untuk mendekatkan diri kepada Allah. Itulah uniknya tanah suci sehingga semua orang ingin ke sana jika berkemampuan. Lepas tu, kalau dah sekali pergi mesti rasa tak nak balik dan ingin pergi lagi. Itulah lambaian Kaabah dan kedamaian tanah suci.

Kisah selanjutnya gua dah tulis dan hantar ke majalah Santai Village untuk dimasukkan dalam keluaran bulan Julai nanti.

Gambar yang gua letak tu masa sebelum Subuh dalam Masjidil Haram (muka tak mandi) dan bersama isteri tercinta di Jabal Rahmah. Macam tu la rupa gua masa botak.

p/s: Ada orang kata, gua botak lagi hensem... hehehe

Apa korang buat kalau...

APA korang buat kalau member kita tengah sedih dan susah hati kerana ada masalah? Lebih-lebih pun kita selalu akan cakap, "Sabar la ye.. semua ni ada hikmahnya..."

Last-last kawan kita akan balas balik, "Kau cakap senang... Cuba kau sendiri rasa..." Ni memang dialog paling koman kita selalu dengar bila orang susah hati diberi nasihat...

Tepi ni gambar hiasan je tau... korang jangan ingat dua orang ni muka bermasalah lak... hehehe

Aduh, macam mana kita nak bantu orang macam ni? Ada idea tak? Ada ayat yang lebih best tak?

Thursday, April 24, 2008

Chit Chat Remaja mengenai Sayangi Diri

SIRI CHIT CHAT REMAJA mengenai Sayangi Diri sudahpun diterbitkan dan berada di pasaran. Terima kasih diucapkan kepada PTS Millennia kerana dengan sokongan mereka, tau-tau je siri chit chat dah sampai yang ke lapan. Wow! Sila dapatkan buku ini di pasaran atau boleh order terus ikut www.pts.com.my. Oh ya... terima kasih juga diucapkan kepada para pembaca. Tanpa sokongan korang, siapa la kita ni kan...

Aku perlu makan!!!

Tip Sayangi Diri: “Ambil berat mengenai keperluan jiwa. Nilai dalaman memberi kekuatan kepada segalanya pada diri kita.”

PERNAH RASA SUNYI? Serba tak kena? Rasa tak sedap hati? Serba salah? Tapi kita tak tahu apa sebabnya. Lepas kita akan cuba mencari jawapannya. Apa yang tak cukup? Nak kata ‘boring’, masa tu kita dapatkan hiburan pun masih rasa tak terhibur. Nak kata sunyi, kita berteman pun masih rasa sunyi. Apa nak buat ni? Nak kata lapar, baru je lepas makan. Apa nak buat ni! Arghhhh, tertekan la!!!

Kalau pernah rasa begitu, Chit Chat nak cadangkan satu jalan penyelesaian. Biasanya, kalau kita rasa serba tak kena, itu maknanya kita sedang kelaparan. Bukan perut yang lapar, tetapi jiwa kita yang lapar. Ohh, patutlah rasa macam ada yang tak kena dan ada yang kurang.

Kita sering terlupa, jiwa dan roh kita juga perlu diberi makan. Akibat terlalu banyak melayan aspek fizikal, kita lalai seketika mengenai keperluan dalaman kita.

Apa kita buat kalau perut kita lapar? Tentulah kita akan makan nasi. Paling ‘koman’ pun kita akan makan ‘mi megi’. Sedapnya, cakap tentang makanan, kita terasa lapar pula. Ada kalanya, kita tak lapar pun, tetapi ingin mengunyah. Bila dah makan ataupun mengunyah, barulah kita rasa selesa.

Apa pula perlu kita buat kalau jiwa ataupun roh kita yang lapar? Makanan jiwa dan roh adalah amalan-amalan agama. Solat, puasa, zikir, mengaji al-Quran dan menambahkan ilmu agama adalah makanan buat jiwa kita. Jadi, tunggu apa lagi? Makanlah!!!

Percaya atau tidak? Kita kena percaya juga! Kalau kita selalu rasa serba tak kena, pergilah luangkan masa untuk mengisi jiwa dan roh dengan amalan-amalan yang baik.

Kalau nak mengaji al-Quran dalam hati je cukup tak? Ataupun hanya dengar kaset dan CD sahaja? Itu pun dah cukup bagus, tapi tak cukup la. Serupa macam orang makan kuaci ataupun cuma tengok saja makanan tanpa memakannya betul-betul. Mana boleh kenyang kan?

Kalau nak makan, kenalah duduk bersungguh-sungguh di meja makan. Sertakan sekali dengan adab-adabnya. Siap dengan air minuman di sisi.

Macam tu juga kalau nak kasi jiwa kita makan. Kita perlu luangkan masa yang khusus untuk duduk menumpukan perhatian. Buatlah di masjid, surau ataupun bilik peribadi kita sendiri. Bukannya lama sangat. Lebih kurang dalam setengah jam pun dah memadai.

Kalau amalan wajib yang lima waktu setiap hari tu kita memang biasa kena buat. Tetapi sekali-sekala kena juga buat yang sunat supaya makanan jiwa kita ibarat diberi makan yang ‘sedap-sedap’ untuk sekali-sekala.

Jiwa dan roh kita sebenarnya memerlukan kekuatan untuk menempuhi kehidupan. Makanan menguatkan tubuh badan kerana nutrien yang terkandung di dalamnya.

Amalan yang baik-baik pula memberi kekuatan kepada jiwa dan roh. Dengan adanya kekuatan jiwa, kita akan memiliki kekayaan jiwa berupa keimanan, ketenangan, kesabaran dan keselesaan.

Sayangilah diri kita! Kalau dah kelaparan, siapa lagi yang nak bagi kita makan melainkan diri sendiri. Ingat, kalau rasa diri serba tak kena, itu tandanya jiwa kita memberontak dan berkata: “Aku mahu makan!”. Kalau begitu, berilah ia makan.

Dipetik daripada Siri Chit Chat Remaja mengenai Sayangi Diri

Apa komen korang? Pernah mengalami ke? Setuju ataupun tidak?

Selamat Datang ke blog Chit Chat Remaja

Assalamualaikum...

SELAMAT DATANG ke blog Chit Chat Remaja. Ekpresikan minda anda sebagai remaja. Kalau join blog ni, tak semestinya guna bahasa skema... selamba je... yang penting sampai maksudnya...

Blog ini dibangunkan untuk semua peringkat umur. Pada asalnya saya fikir nak buat blog bagi buku hasil karya saya yang diterbitkan oleh PTS Millennia iaitu Siri Chit Chat Remaja. Tapi, lebih baik kita open je supaya semua orang dapat menyumbang idea, pandangan, luahan masalah dan sebagainya. Saya harap blog ini juga akan menjadi platform untuk maklum balas mengenai buku-buku saya.

Kalau boleh jika blog ini mendapat sambutan, saya berhasrat nak tubuhkan sebuah kelab CCremaja. Tapi tak bermaksud yang dah bapak-bapak atau mak-mak tak boleh join. Boleh juga jadi pemimpin dan penasihat. Remaja kita perlukan idea yang lebih matang dan ruang untuk membangkitkan potensi.

Apa yang anda boleh buat dalam blog ni? Macam-macam! Anda boleh bagi pendapat. Kalau nak meluah perasaan pun boleh. Ataupun nak mengadu masalah? Macam tu pun boleh... Saya lebih suka kalau ada di antara kita yang nak beri pandangan atau nasihat bagi membantu kawan-kawan yang bermasalah...

Terima kasih diucapkan kepada saudara Azmee Awang (brader IT) dan HairulAbuBakar (brader grafik) yang banyak membantu dalam usaha membangunkan blog ini.

Jangan lupa... ini blog "Chit Chat".... luahkan apa saja dan kongsi apa saja yang anda rasa bermanfaat untuk semua... Selamat menyertai... Enjoy yourself!