Followers

Thursday, December 31, 2009

Selamat Tahun Baru 2010

Menjelang jam 12.00 malam, hampir setiap orang mula memikirkan apakah jenis sambutan yang akan dibuat. Saya akan menyambut ulang tahun hari lahir isteri tercinta, iaitu pada 1 Januari 1981.

Bergembiralah dengan sambutan tahun baru malam nanti. Tetapi cuba kita fikirkan apakah signifikannya kita bersuka ria ketika itu? Apakah yang diseronokkan sebenarnya? Itu semua terletak pada penilaian masing-masing. Jika signifikasi itu tiada, maka sedarlah bahawa kita melakukan sesuatu yang tidak diketahui akan hujung pangkalnya. Jika ada, maka teruskanlah.

Sempena tahun baru 2010 ini, marilah kita menyingkap semula tentang apakah yang telah kita lakukan di sepanjang tahun 2009 yang berlalu pergi. Mungkin dalam tidak sedar, kita terlalu asyik tertawa (dengan perkara yang tak berapa nak kelakar), bergolek-golek di katil kemalasan (menikmati rehat yang tidak pernah cukup) ataupun khayal dalam dunia keseronokan (yang sebenarnya tak seronok mana pun). Namun kita terlupa bahawa set pemikiran kita jauh ketinggalan dengan orang yang mengejar kejayaan.

Marilah kita perbaiki semula kekurangan ataupun kesilapan yang telah dilakukan pada tahun lepas. Pandang ke hadapan dengan set pemikiran yang lebih matang. Kejayaan itu boleh dicapai dalam banyak aspek kehidupan. Ia tidak semestinya berbentuk kenaikan pangkat ataupun gaji. Tetapi mungkin juga dicapai melalui sejauh manakah diri kita di nilai sebagai seorang yang diperlukan di sesebuah komuniti.

Cuba kita hayati hadis nabi yang bermaksud, "Sesungguhnya yang terbaik di kalangan kamu adalah yang bermanfaat kepada manusia."

Marilah kita tingkatkan nilai diri. Jangan sampai kewujudan kita tidak memberi perubahan apa-apa pada kehidupan sejagat. Ada dengan takde, sama saja! Mohon dijauhkan dengan keadaan itu...

Tuesday, December 29, 2009

BUKU FREE: Bagaimana Memotivasikan Manusia?

Kalau kita perhatikan, dunia hari ini sangat dipengaruhi oleh wang dan ganjaran material. Sehinggakan apa sahaja yang kita lakukan akan berkisar tentang dorongan untuk mendapatkan wang. "Kalau tak dapat duit, jadi tak payah buat..." Mungkinkah sampai ke tahap begitu?

Di Facebook saya ada menimbulkan isu mengenai apakah benda selain duit yang boleh memotivasikan manusia untuk melakukan sesuatu perkara? Maka ramai yang masih merasa bahawa duit itu suatu pengaruh paling kuat untuk mendorong kita melakukan sesuatu. Lalu, timbul persoalan di minda saya. Adakah manusia sudah tidak memandang nilai-nilai lain selain daripada mendapatkan duit?

Merujuk kepada Arkes dan Garske (1982) dalam buku bertajuk Psychological Theories of Motivation dalam salah satu teori motivasi (Maslow) menyatakan bahawa manusia secara fitrahnya mempunyai dorongan untuk mencapai kesempurnaan kendiri.

Ini bermaksud bahawa duit tidak semestinya satu-satunya nilai yang boleh kita gunakan untuk memotivasikan manusia. Motivasi tidak terkongkong kepada maksud memberi semangat sahaja, maksudnya adalah lebih luas, iaitu termasuk dorongan dan keinginan.

Kesempurnaan kendiri (self-actualization) adalah keinginan untuk kepuasan diri, iaitu kecenderungan untuk menjadi seseorang yang sempurna dengan mencapai potensi diri. Secara ringkasnya ia adalah merealisasikan potensi diri dengan sepenuhnya.

Misalnya, seorang penulis ingin berkarya kerana dia mempunyai potensi untuk menulis. Maka kejayaannya menghasilkan sebuah buku adalah suatu kepuasan kerana dia dapat membuktikan potensinya. Setelah itu, barulah dia layak diberikan ganjaran.

Saya juga akui dan tidak menafikan bahawa duit sememangnya elemen asas untuk kita meneruskan hidup dalam dunia moden ini. Persoalannya, APAKAH perkara selain duit yang boleh memotivasikan manusia untuk melakukan sesuatu pekerjaan? MENGAPA? Sila berikan pandangan yang memfokuskan kepada persoalan tersebut melalui ruangan komen posting ini. Saya peruntukkan tiga buah buku Siri Chit Chat Remaja (kalau bukan untuk anda, mungkin untuk adik-adik membacanya) untuk diposkan kepada pemberi pandangan yang layak diberikan ganjaran. Sila nyatakan nombor telefon atau email untuk kita berhubung lanjut.

Marilah kita sama-sama membuka minda dan cuba berfikir di luar kotak materialistik...

Wednesday, December 23, 2009

Gajah Lawan Badak Air

Pada suatu hari gajah menengking kura-kura, "Nyah engkau dari laluan aku. Ke tepi! Jangan halang jalan aku. Aku lebih kuat daripada engkau. Sekali aku pijak, penyek engkau nanti."

Kura-kura yang berada di tengah jalan tidak gentar dan menjawab, "Kalau berani, pijaklah..."

Selesai mencabar, kura-kura masuk ke dalam cengkerangnya. Gajah pun memijak kura-kura. Bagaimanapun pijakan itu tidak memberi kesan. Kura-kura berkata, "Belum tentu engkau besar, bermakna engkau lebih kuat daripada aku."

Gajah mencabar, "Kalau begitu, marilah kita beradu kekuatan." Kura-kura menyahut cabaran itu, "Esok pagi kita lawan tarik tali. Tunggu aku di belakang pokok besar di tepi sungai."

Keesokkan hari, kura-kura bertemu dengan seekor badak air di sungai dan berkata, "Aku lebih kuat daripada engkau." Badak air tergelak mendengar kenyataan kura-kura, "Kih kih kih kih".

"Marilah kita beradu kekuatan. Kita lawan tarik tali nak?" Kura-kura mencabar badak air dan dia bersetuju.

"Kalau begitu, kau pegang hujung tali ini. Aku akan tarik dari belakang pokok besar di atas sana. Kita akan mula lawan tarik tali bila aku jerit 'tarik' ok?" Kura-kura memberikan hujung tali kepada badak air. Manakala pangkalnya dibawa ke belakang pokok besar tempat dia berjanji untuk bertemu dengan gajah.

Kura-kura berkata kepada gajah, "Nah, pegang hujung tali ini. Aku akan tarik dari tebing sungai di bawah sana. Kalau aku jerit 'tarik', maka perlawanan pun bermula."

Kura-kura pun bersembunyi di tengah-tengah. Gajah dan badak air tidak saling kelihatan kerana dihalang oleh jarak dan pokok besar. Kura-kura pun menjerit, "Tarik!!!"

Bermulalah perlawanan tarik tali itu. Ianya suatu perlawanan sengit kerana gajah dan badak air sama-sama kuat. Mereka beradu sehingga kedua-duanya kehabisan tenaga. Padahal mereka tidak tahu bahawa yang bertanding itu sebenarnya pihak lain. Sekarang gajah rasa kura-kura itu kuat dan begitu juga dengan badak air yang mula percaya tentang kekuatan itu.

Monday, December 21, 2009

Kita Semua Istimewa

Pagi semalam, sewaktu sedang bersiap-siap untuk keluar bersarapan di Tanjong Puteri Golf Resort, Pasir Gudang, saya menonton rancangan Motivasi Pagi di televisyen. Saya tertarik dengan satu kenyataan yang diberikan.

Kenyataan itu mengatakan bahawa setiap orang adalah istimewa dan mempunyai kelebihan. Cuma yang berbeza hanyalah sama ada seseorang itu telah menemukan kelebihan itu dalam dirinya atau belum.

Orang kurang upaya (OKU) juga adalah istimewa dan mempunyai kelebihan. Ada yang boleh melukis menggunakan kaki, misalnya. Ataupun buta tetapi mempunyai deria lain yang sangat peka. Itu semua suatu kelebihan yang tidak semua orang ada.

Bagi kita yang mempunyai kesempurnaan upaya, kelebihan dan keistimewaan itu juga ada. Mungkin kita belum menemukannya dalam diri kita. Ataupun kita tidak sedar bahawa ia adalah suatu kelebihan yang orang lain tidak memilikinya.

Pernah menonton movie DareDevil tak? Saya rasa itu adalah satu contoh orang istimewa yang menemukan kelebihan pada dirinya. Walaupun ia hanya sebuah cerita. Ia suatu contoh melalui lakonan yang boleh kita lihat.

Tuesday, December 15, 2009

Maal Hijrah 1431 dan Tahun Baru 2010

Menjelang awal Muharram tahun 1431 hijrah dan awal Januari 2010, kita semua mula memasang azam untuk berubah pada saat perkiraan kalander itu. Yang mana satukah akan menjadi keutamaan kita sama ada kalander Islam ataupun kalander masihi?
Bagi saya, kalander hijrah itu lebih besar maknanya kerana peristiwa yang berlaku pada awal perkiraan tahun Islam itu sangat bermakna kepada umat Islam. Ianya terkandung kisah mengenai hijrah diri dan maknawi umat Islam pada ketika itu ke tempat yang lebih baik. Umat Islam ketika itu juga meninggalkan harta benda bahkan juga keluarga untuk berpindah ke keadaan yang lebih baik juga.

Segalanya bermula dengan niat. Niat itu letaknya di hati. Kepentingan niat itu jelas dalam hadis masyhur yang sangat signifikan dengan peristiwa hijrah Rasulullah SAW. yang bermaksud, "Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang adalah apa yang diniatkan. Sesiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang mahu dikahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu."

Maka apakah pula niat kita dalam menanam azam dan usaha untuk menghadapi tahun baru akan datang?

Wednesday, December 9, 2009

Idea untuk menabur janji

Alangkah baiknya kalau kita dapat menunaikan sesuatu itu lebih daripada yang dijanjikan. Tetapi mampukah kita?

Mungkin kita tidak mampu sepenuhnya.

Daripada pergaulan saya dengan orang-orang tertentu, saya dapati mereka selalu berada lebih awal daripada yang dijanjikan.

Contohnya jika kita menghantar komputer untuk diservis. Mengikut prosedur dalaman, komputer itu boleh siap dibaiki dalam tempoh satu minggu. Seterusnya tauke kedai tidak berjanji menyiapkannya dalam tempoh seminggu. Tetapi dia berjanji bahawa ia akan siap dalam tempoh dua minggu kerana dikhuatiri akan berlaku hal-hal yang membuatkannya terpaksa lewat untuk menguruskannya.

Dalam kes itu, di peringkat awal penghantaran kita akan bersetuju dan bersedia menunggu selama dua minggu untuk mendapatkannya semula. Apa perasaan kita kalau komputer yang dijanjikan siap dalam tempoh dua minggu hanya boleh siap dalam seminggu sahaja? Tentu seronok kan? Kita akan terkejut dan berkata, "Eh, kata siap dua minggu. Ni seminggu dah siap. Baguslah."

Bagaimana pula kalau kita dijanjikan siap tiga hari. Tetapi akhirnya selepas dua minggu baru siap? Panas hati?

Dalam konteks menepati masa pula, ada baiknya kalau kita anjakkan waktu perjanjian. Kalau kita menjangkakan boleh tiba di suatu tempat pada jam 3, misalnya. Maka kita meletakkan janji akan tiba jam 3.30 ataupun jam 4.00.

Ia bukan teknik menipu. Tetapi adalah suatu usaha supaya kita menyediakan peruntukan masa lebihan. Ia juga suatu perancangan yang realistik dalam sesetengah keadaan. Malang tak berbau, mungkin kita tidak menyangka akan terkandas di kesesakan jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat temu janji. Ataupun kita terkhayal seketika.

Ini semua suatu pandangan peribadi daripada saya. Sama ada ia sesuai untuk diaplikasikan ataupun tidak, bergantung pada para pembaca.

Wednesday, December 2, 2009

Main komputer atau guna komputer?

Suatu masa dahulu ketika penggunaan komputer dan internet baru mula berkembang, orang masih 'jakun' dengan teknologi itu. Maka, apabila menggunakannya kita akan mengaitkan komputer itu sebagai sesuatu yang menyeronokkan sahaja. Oleh itu, kita akan berkata, "Saya sedang main komputer." ataupun "Saya sedang main internet."
SEWAKTU perisian Windows belum meluas, iaitu sebelum Windows 3.1.1 dan Windows 95 diperkenalkan, berkerja menggunakan komputer masih dianggap sukar. Menulis dengan pen dan kertas lebih mudah berbanding menaip menggunakan komputer.

Mungkin ia timbul kerana pengetahuan dan kemahiran komputer di kalangan kita masih cetek lagi. Ataupun kemampuan komputer ketika itu tidaklah sepintar dan sangat berkuasa seperti komputer pada hari ini.

Cakera liut (soft disk) dan disket floppy yang hanya boleh menyimpan fail sebesar kurang 2 megabyte diusung ke sana dan ke mari. Sehingga ada yang berbangga kerana memiliki teknologi simpanan data itu, yang menunjukkan dia ialah pengguna komputer.

Namun pada hari ini komputer sangat berkuasa, pintar, murah dan memudahkan sebarang pekerjaan. Sesiapa yang cetek kemahiran komputer memang ketinggalan seperti masih merangkak sedangkan orang lain sudah jauh berlari ke hadapan.

Komputer dan internet menjadi alat komunikasi yang praktikal dan menjimatkan. Ia juga menjadi sistem simpanan data yang efektif dan menjimatkan ruang. Juga sebagai pemproses maklumat yang sangat berkuasa. Bahkan menjadikan segala maklumat berada di hujung jari sahaja dan boleh diperolehi dalam sekelip mata.

Cuma sehingga kini saya masih tidak faham. Kenapa perlu ada agensi atau pihak tertentu yang masih berfikiran kolot terhadap penggunaannya? Sama ada mereka berfikir untuk menyalahgunakannya ataupun terlalu mengongkong penggunaan orang lain.

Sebagai ibu bapa, mungkin lebih baik mengawal penggunaan komputer di rumah kerana anak-anak masih di peringkat "bermain komputer". Tetapi bagaimana pula dengan di pejabat atau tempat berkerja? Lebih ramai yang masih "bermain" ataupun lebih ramai lagi yang "menggunakannya"? Ada kalanya catuan atau limitasi penggunaan internet itu sangat menyusahkan. Oleh itu, saya berpendapat sekatan internet di pejabat itu sangat primitif dan menyekat kerja saya juga. Bagaimana dengan pendapat anda?

Thursday, November 26, 2009

Hayati Peristiwa Korban

Di kesempatan ini saya mengucapkan selamat hari raya Aidiladha kepada semua pengunjung blog ini. Semoga pengorbanan kita diterima oleh Allah SWT.

Di sebalik kisah pengorbanan nabi Ibrahim dan anaknya, Ismail AS., kita boleh memahami maksud pengorbanan itu dengan lebih luas. Korban bukan hanya pada sembelihan dan berlaku pada aidiladha sahaja, tetapi merangkumi seluruh kehidupan kita untuk berkorban kepada-Nya. Setiap yang dikorbankan 'kerana Allah' adalah sesuatu yang amat bermakna dan tidak akan merugikan.

Marilah kita sama-sama menghayati firman Allah SWT. dalam surah as-Shaffat yang bermaksud, "Setelah Ismail besar sedikit, Ibrahim berkata kepada anaknya: Hai anakku , bahawasanya aku bermimpi agar aku menyembelihmu, apakah pendapatmu? Ismail menjawab: Wahai bapaku, tunaikanlah apa yang diperintahkan, engkau akan dapati -InsyaAllah aku daripada orang-orang yang sabar. Maka Ismail telah menyerah dirinya dan dibaringkan, Kami berseru kepada Ibrahim: Engkau telah laksanakan mimpimu dengan benar dan bahawasanya Kami akan memberi pembalasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini adalah suatu percubaan yang nyata dan telah kami tebus Ismail itu dengan seekor kibasy yang besar."

Saturday, November 21, 2009

How to simplify your life?

DESIRE DEERA says...
Tajuk buku: How to simplify your life
Penulis: Tiki Kustenmacher dan Lothar J.Steiwert
ISBN: 9780071433860
Tahun terbit: 2004
Penerbit: McGraw-Hill
Buku ini ialah salah satu bacaan yang saya kira sesuai bagi mereka yang kerap dibebani kesukaran dalam menguruskan kehidupan harian, dan menjadikan ia sebagai panduan.

Hasil penulisan Tiki Kustenmacher bersama Lothar J.Steiwert ini lebih menekankan cara mempermudah urusan sehari-hari.

Terdapat 7 langkah utama yang merangkumi aspek keperluan, kewangan, masa, kesihatan dan perhubungan.Penulis banyak menekankan kaedah dan panduan dengan bahasa yang mudah di fahami, terperinci dan sangat membantu. Dalam setiap kaedah yang diberi, penulis menerangkan tentang cara memulakan langkah awal dalam persekitaran hidup dan bagaimana untuk menjadikan ia mudah.

Contohnya, di dalam bab pengurusan masa, penulis memberi gambaran melalui satu hasil illustrasi kecil yang menunjukkan bahawa mulanya pengurusan masa yang baik dan mudah adalah dengan menetapkan tahap keutamaan bagi setiap tugasan.

Mengenai hal itu, penulis menyatakan bahawa, “The secret of successful and happy people, is usually that they are able to concentrate totally on one thing: Try to set a clear priority for your personal and professional tasks."

Lebih menarik lagi, buku ini bukan sekadar memberi tunjuk ajar tetapi ia berkongsi contoh-contoh perbandingan besar di antara kehidupan yang terurus dan sebaliknya, di mana ia berpotensi mempengaruhi tahap kesihatan, emosi dan lain-lain yang merujuk kepada hasil eksperimen oleh golongan profesional dan doktor.

Saya pasti bagi yang membaca dan mencuba kesemua kaedah yang terdapat dalam buku ini, pasti berpuas hati dan akan menjalani kehidupan yang normal dan lebih mudah. Satu berita baik untuk anda, buku ini boleh dibaca dengan paparan terhad. Sila klik di sini.

Friday, November 20, 2009

Kelab Myvi Extreme Malaysia, siswa jelajah 18 kampung

JOHOR BAHRU: Lebih 50 anak muda daripada kelab Myvi Extreme Malaysia skuad selatan yang turut disertai mahasiswa berkonvoi menjelajah ke 18 kampung terpilih di daerah zon D meliputi daerah Kulaijaya, Pontian dan Johor Bahru baru-baru ini menggunakan 25 buah kereta Myvi...

Wednesday, November 18, 2009

Ayam Samurai di Pasaran

Setiap kali ke pasar raya, secara peribadinya saya kurang yakin untuk membeli ayam di situ kerana warnanya agak kemerahan. Pernah sekali saya membelinya, apabila digoreng, ayam itu mengeluarkan sisa darah yang agak banyak. Saya bukanlah mempertikaikan status halal ataupun haram. Tetapi timbul persoalan di minda, adakah penyembelihannya sempurna? Adakah ia dilakukan oleh orang Islam dan ada mengambil berat syarat membaca bismillah ketika menyembelih?
Tujuan penyembelihan haiwan halal untuk dimakan ialah bagi mengeluarkan kotoran pada darah dan mematikan haiwan itu dengan cepat, mudah serta mengurangkan kesakitan.

Bercerita tentang sembelihan, semua orang tahu bahawa ia menentukan sama ada daging itu halal dimakan ataupun tidak. Dalam artikel ini, saya memilih ayam sebagai contoh membincangkan isu penyembelihan ini.

Dunia hari ini serba canggih. Sembelih ayam pun sudah pakai mesin. Gantung ayam berderet-deret, lantas dengan cantasan pisau mesin yang tajam, beratus bahkan beribu ekor ayam dimatikan dengan mesin dalam masa yang singkat.

Biasanya, ayam yang digantung berderet itu diberi kejutan elektrik kecil untuk melemahkan atau membuatkannya pengsan, agar tidak meronta-ronta tatkala mesin menjalankan penyembelihan.

Dr. Sulaiman al-Ashqar dalam bukunya al-ijtihad fi fiqhu-thibbiyah ada menimbulkan isu ini yang mengatakan bahawa penyembelihan sehingga tulang leher terputus terus itu dibolehkan. Namun yang lebih sempurna adalah memotong tenggorok dan dua urat marih sahaja.

Bagaimanapun, beliau berpendapat bahawa bahawa cara penyembelihan mesin ini tidak boleh digunakan di negara Islam kerana hal-hal berikut:

1. Kejutan elektrik atau tindakan memengsankan melemahkan ayam itu boleh menyebabkan darah yang keluar setelah sembelihan itu sangat lambat. Mungkin ada pula ayam yang mati terlebih dahulu akibat kejutan elektrik tersebut.

2. Ada kemungkinan pisau penyembelih yang sudah dilaraskan itu tidak mengena. Akhirnya yang terpotong bukan bahagian leher tetapi mungkin dada ataupun kepala.

Ayah saya (Abu Bakar Othman, 012-7803271) seorang pembekal ayam dan daging di sekitar Senai dan Johor Bahru yang masih mempertahankan kaedah penyembelihan tradisional berasaskan syariat (guna tangan). Baginya, status ayam halal dan disembelih sempurna adalah lebih utama berbanding keghairahan mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda.

Saya sendiri juga akan mengelakkan daripada membeli ayam yang tidak diketahui asal-usulnya. Sebagai anak pengedar ayam dan daging, saya sudahpun banyak melihat tauke-tauke bukan Islam membekal ayam untuk orang Islam. Cara sembelihan dan penyelenggaraannya bertentangan dengan syariat (tidak perlu saya nyatakan di sini).

Namun orang Islam pada hari ini tidak ambil berat tentang hal kesempurnaan penyembelihan itu. Apa yang lebih penting ialah perbandingan harga yang entah berapa sen sahaja.

Monday, November 16, 2009

Rencah Kepemimpinan

Bukan atas dasar paranoid, saya akui bahawa dalam memimpin tidak semestinya setiap orang suka dengan apa yang kita lakukan. Perkara-perkara remeh seperti degil, iri hati, naif, keseronokan ekstrim, cuai dan tidak tahu adalah rencah ataupun boleh juga kita anggap sebagai tidak disengajakan dan merupakan watak-watak biasa dalam sesebuah kelompok.
Terlebih dahulu saya memohon maaf kerana agak lewat mengemaskini blog ini. Sebenarnya kebelakangan ini agak sibuk menyelaras dan mengarah program Jelajah Johor di Zon D pada 14 dan 15 November 2009 lepas.

Program itu adalah suatu penjelajahan berkonvoi untuk menimba pengalaman dan meninjau pembangunan di kampung-kampung. Ia disertai oleh 50 orang kelab Myvi Extreme Malaysia skuad selatan, jurufoto efotosintesis, profesional dan mahasiswa.

Sejak awal saya menguruskan dan mengarah program tersebut, terdapat banyak perkara yang saya perhatikan. Antaranya ialah mengenai trend dan senario kepemimpinan yang berlaku dalam sebuah kelompok yang ramai.

Di sepanjang program itu, ada kalanya saya tertindak dan bersuara tegas. Ada kalanya juga saya bergurau mesra dengan para peserta. Ketika sedang tegas, mungkin ada segelintir kecil yang tidak berkenan. Itu berlaku di kalangan peserta. Begitu juga di kalangan urus setia. Ada yang membantu orang lain tetapi mengelakkan diri daripada membantu saya. Namun saya bersyukur kerana sebahagian besar masih terus berkerjasama dan bergembira dengan perjalanan program tersebut.

Bukan atas dasar paranoid, saya akui bahawa dalam memimpin tidak semestinya setiap orang suka dengan apa yang kita lakukan. Perkara-perkara remeh seperti degil, iri hati, naif, terlalu asyik dengan keseronokan, cuai dan sebagainya adalah rencah ataupun boleh juga kita anggap sebagai watak-watak biasa dalam sesebuah kelompok.

Sebagai pengarah program, ada kalanya saya tidak dapat membiarkan hal-hal kecil mengganggu perjalanan program secara keseluruhan. Matlamat dan objektif perlu diutamakan, manakala masalah-masalah kecil pula perlu diselesaikan kemudian ataupun secara berasingan.

Bagaimanapun, saya berpuas hati kerana program tersebut secara keseluruhannya berjalan dengan baik. Sokongan dan kerjasama semua pihak yang terlibat adalah komponen-komponen penting dalam program ini. Tanpanya, kepemimpinan saya tidak sah bahkan tidak wujud langsung.

Monday, November 9, 2009

Minta duit kopi

Semalam, pada 8 November 2009, saya di sekitar bandar JB menjalankan aktiviti penggambaran untuk sebuah tayangan video (shooting filemlah konon). Lebih kurang jam 1.30 tengah hari, saya bersama adik, jurufoto dan jurukamera menaiki sebuah kereta menuju ke Kotaraya untuk makan tengah hari.
Tiba-tiba kami ditahan seorang polis yang sedang meronda. Lokasinya di Jalan Trus, Johor Bahru. Dia menahan kami supaya berhenti...

Polis: Minta lesen dengan IC. Kenapa tak pakai seat belt? Aku dah pandang-pandang tadi tu, sepatutnya kau pakailah... (dengan suara tegas atau mungkin juga nada samseng)

Adik saya: Minta maaf encik. Kami terlupa pakai. Datang dari sekitar bandar juga. Berjalan dekat-dekat biasanya asyik terlupa. Minta maaf.

Polis itu membelek-belek IC sambil bertanya soalan-soalan yang tidak ada kaitan dengan kesalahan trafik seperti, "Kenapa kau keluar dari simpang sana?" dan "Cantik sport rim kau?"

Saya mula terhidu bahawa dia inginkan sesuatu yang tidak sepatutnya dia minta. Akhirnya lesen dikembalikan kepada adik saya yang memandu kereta.

Polis: Kira selesailah. Bagi la duit minum sikit... Dah bagi lepas ni takkan kosong begitu saja?

Kami tidak memberikannya. Saya ditanya berkerja di mana. Lantas saya mengaku berkerja dalam bidang media dan komunikasi. Serta merta dia memecut dengan motornya. Hilang entah ke mana.

Saya fikir, kalau dia hendak saman pun tidak mengapa. Saya lebih rela membayar saman daripada membayar rasuah. Tetapi, malangnya polis itu terlajak kata kerana sudah meminta. Sekaligus mencemarkan tugasnya sendiri.

Dunia oh dunia. Manusia oh manusia.

Friday, November 6, 2009

Tarzan Metropolitan

Tarzan seorang hero di hutan. Dia ada gajah, monyet dan juga haiwan-haiwan lain yang sentiasa memperhambakan diri kepadanya. Tarzan juga seorang yang bijak dan handal. Cara tarzan mengumpulkan haiwan-haiwan adalah dengan menjerit dan melolong. Lantas mereka pun akan datang berkumpul.

Tarzan tidak fikir perasaan binatang lain kerana dia mengaku dirinya penyelamat serta membawa kemaslahatan kepada flora dan fauna di hutan. Tarzan juga tidak pernah rasa bersalah kerana dia fikir di hutan itu hanya dia seorang sahaja yang manusia.

Itu hidup di hutan bersama haiwan. Bagaimana agaknya kalau tarzan masuk ke bandar? Dia pastinya perlu belajar banyak perkara termasuklah budi bahasa, sopan santun dan erti menghormati orang. Kalau tarzan pernah hidup di hutan bersama-sama haiwan, sikap kasar dan tamadun kebinatangan (saya tidak pasti sama ada binatang bertamadun ataupun tidak) itu janganlah dibawa ke bandar.

Kita janganlah hidup seperti tarzan… Jangan jadi tarzan di hutan metropolitan.

Monday, November 2, 2009

Telinga bernanah jadi photographer

Saya tertarik dengan sebuah posting di blog teman saya. Ia bertajuk 'Telinga bernanah jadi photographer'. Saya kongsikan link blog tersebut untuk para pembaca yang berminat mengetahui isinya. Sila klik di sini.

Saturday, October 31, 2009

Cuba Windows 7

Kelmarin, saya ke kedai software untuk mendapatkan DVD Windows Vista. Seorang lelaki Cina di situ mengesyorkan saya Windows 7 dan memberi jaminan bahawa ia pasti lebih baik daripada Vista. Jadi, saya mahu lihat sendiri.
Perisian itu dijadikan system operasi Notebook Dell Inspiron 1420 saya dengan kemampuan Processor Core 2 Duo, 4GB Memory dan onboard graphic card. Sebagai pengguna, saya teruja dengan beberapa pembaharuan padanya termasuk:

1) Cantik: Itu adalah penilaian pertama saya. Skrin saya sedikit malap tetapi selesa dilihat kerana Windows 7 menambah fungsi calibration yang mengawal gamma, brightness, contrast dan clear type font. Paparan window dan desktop juga lebih menarik. Oleh kerana tugas saya banyak terlibat dengan teks, maka secara peribadi saya suka paparan sebegitu.

2) Lebih laju: Mungkin perkara ini agak subjektif untuk dinilai. Yang pastinya, ia lebih laju daripada Vista. Tempoh masa untuk install memang pendek. Sekejap sahaja sudah selesai.

3) Driver sedia ada: Lebih 80% hardware saya diinstall secara automatik. Hanya 2 sahaja yang saya perlu dapatkan daripada internet untuk versi Windows 7.

4) Lebih kemas: Sistem taskbar yang kecil. Sebelum ini taskbar dilabelkan dengan teks dan icon menjadikan bentuknya panjang melintang. Kali ini bentuknya segi empat kecil kerana hanya label icon sahaja yang dipaparkan. Ada pula sistem Aero Peek dan Aero Snap yang membolehkan kita ‘menghendap’ kerja kita yang terlindung seketika.


Wednesday, October 28, 2009

Andakah orang yang betul itu?

Tajuk buku: Courtship After Marriage
Penulis: Zig Ziglar
ISBN: 983-897-009-3
Tahun terbit: 2004
Penerbit: Thomas Nelson

Saya tertarik dengan penulisan buku ini mengenai idea-idea bernas yang boleh kita manfaatkan bagi merapatkan lagi hubungan suami isteri.

Sebelum itu, perlu saya nyatakan terlebih dahulu bahawa saya tidak menafikan kepentingan syariat dan gaya hidup Islam adalah yang terbaik untuk diamalkan dalam keluarga.

Secara umumnya, buku ini memotivasikan diri pembaca untuk menjadi seorang pasangan yang baik.

Mencari pasangan yang baik itu sangat penting. Tetapi buku ini mengingatkan kita supaya terlebih dahulu menjadi orang terbaik buat pasangan kita. Setelah itu, barulah kita boleh menilai sama ada kita perlu menilai yang terbaik ataupun tidak.

Dalam prakata buku ini, penulis memberi komen mengenai suatu perbualan beliau dengan seseorang di sebelahnya dalam kapal terbang. Individu itu memakai cincin perkahwinannya di jari yang salah.

Lantas penulis bertanya, "Cincin kahwin kamu disarung di jari yang salah?" Si pemakai menjawab, "Ya, kerana saya telah berkahwin dengan salah orang (iaitu salah pilih pasangan)."

Penulis memberi komen melalui buku ini, iaitu bahawa ramai orang berpegang pada idea yang salah mengenai perkahwinan dan untuk mendapatkan hubungan yang membahagiakan.

Mungkin tidak mustahil berlaku kesalahan dalam memilih. Namun jika kita mampu berlaku benar terlebih dahulu, melayan dan mendidik dengan betul, maka pilihan yang salah itu boleh menjadi suatu pilihan yang betul.

Namun jika kita berjaya memilih pasangan yang betul sekalipun, tetapi kita sendiri ialah orang yang salah, tidak mampu melayan dan mendidik dengan baik, maka pilihan yang betul itu pula boleh menjadi sebaliknya.

Apakah ukuran antara betul dan salah itu? Bagi kita sebagai orang Islam, ukuran di antara betul dan salah itu ialah syariat Islam. Manakala bagi orang barat pula, saya kurang pasti apa ukuran kebaikan itu pada kaca mata mereka.

Apa yang pastinya, kita perlu menjadi seorang yang betul sebelum menilai pasangan itu betul ataupun salah.

Sunday, October 25, 2009

The tiny frog competition

This is a story about tiny frogs in their tower climbing competition. The winner is a deaf frog. Why? Let see this animation. It has been published by my 4th sibling, Mohd Fahim Abu Bakar from Universiti Malaya.

Friday, October 23, 2009

Tajamkan kapak terlebih dahulu

Setiap hari kita berkerja mengejar matlamat. Namun, kita perlu ada 'life'. Luangkan sedikit masa untuk berehat, bercuti, bersama keluarga dan bergembira. Tubuh badan juga perlu bertenaga. Elok juga kalau ada ambil 'supplement' zat tambahan. Kadangkala kita juga perlu berikan insentif pada diri sendiri.
Tangan merasa lenguh ketika sedang mengangkat barang. Sama ada ianya berat ataupun agak ringan, dalam jangka masa lama ia akan lenguh juga.

Mengangkat segelas air juga begitu, misalnya. Kalau ditatang terlalu lama, tangan akan mula menggigil. Lantas naluri manusia mengarahkan kita untuk meletakkannya di meja. Kalau tiada meja, mungkin ditatang pula dengan sokongan riba. Kemudian jika ia ingin diminum, maka akan diangkat semula.

Pepatah Inggeris mengatakan, "Sharpen your axe".

Ia pepatah yang berkisarkan kisah dua orang penebang pokok (lumberjack).

Salah seorangnya sangat rajin berkerja, bahkan lebih banyak menghabiskan masa dalam sehari untuk menebang pokok berbanding si penebang kedua.

Yang peliknya, si penebang kedua lebih banyak menebang pokok dalam sehari berbanding si penebang pertama. Apakah rahsianya?

Penebang pertama sering mengabaikan masa untuk mengasah kapaknya. Dia juga terlalu banyak kehabisan tenaga kerana tidak berehat seketika dalam waktu berkerja.

Penebang kedua tidak pernah lupa untuk meluangkan sedikit masa menajamkan kapaknya dan berehat seketika.

Manakah yang lebih berkesan? Menebang pokok menggunakan kapak yang tajam ataupun yang tumpul? Manakah yang lebih bertenaga?

Mungkinkah 1 tetakan kapak tajam menyamai 5 tetakan kapak tumpul? Mungkin juga. Kalau begitu ia memang memenatkan. Juga membazirkan tenaga dan masa.

Setiap hari kita berkerja mengejar matlamat. Namun, kita perlu ada 'life'. Luangkan sedikit masa untuk berehat, bercuti, bersama keluarga dan bergembira. Tubuh badan juga perlu bertenaga. Elok juga kalau ada ambil 'supplement' zat tambahan. Kadangkala kita juga perlu berikan insentif pada diri sendiri.

Adakah berehat itu bertentangan dengan konsep displin atau dikaitkan dengan sikap malas? Bagi saya, tidak. Kerana berehat juga perlukan displin dan perlu sesuai pada waktunya.

Wednesday, October 21, 2009

Usaha + pengorbanan = kejayaan

Jangan berbicara tentang kejayaan, jika tidak sanggup melakukan pengorbanan.
Itulah prinsip yang disampaikan oleh seorang pemanggil yang menelefon penyampai radio Hot FM, Farah Fauzana dan Faizal Ismail pada suatu pagi. Ketika itu saya sedang dalam perjalanan ke pejabat.

Saya tertarik dengan falsafah itu. Beliau jadikan inspirasi daripada kata-kata seorang yang berjaya, Syed Mokhtar al-Bukhari.

Memang benar, untuk mencapai sesuatu kejayaan kita perlu berkorban. Tidak kira sama ada ianya pengorbanan masa, wang ringgit dan komitmen. Bahkan, waktu tidur kita juga ada kalanya dikorbankan untuk mencapai sesuatu matlamat.

Kalau kita perhatikan perjalanan orang-orang yang berjaya. Mereka sudah pasti orang yang sebelum ini telah banyak berkorban. Namun apakah yang mereka korbankan? Mereka korbankan perkara yang kecil untuk mendapatkan yang lebih besar. Hanya bentuknya sahaja yang berbeza.

Monday, October 19, 2009

Perihal api, lu fikirlah sendiri...

Melihat unggun api. Kayu-kayu kering semakin rapuh dijilat api rakus yang tidak kenal erti kenyang itu.
Di sebuah lembah, ada seorang penggembala kambing. Dia tinggal di tempat yang subur. Kambingnya sihat-sihat belaka. Anak dan isterinya juga sentiasa sejahtera.

Di sebuah lembah lagi, ada juga seorang penggembala. Subur juga tempatnya. Tetapi kambingnya kurus-kurus. Kurang sihat pula. Dia masih bujang, tetapi lebih lama mengembala.

Saya bertanya kepada penggembala kedua, “Apa khabar? Ada baguskah?”

Dia menjawab, “Bagus? Kau tak nampak kambing aku kurus-kurus? Aku juga masih bujang. Tidak seperti si fulan di lembah sana. Keluarganya bahagia dan ternakannya sihat-sihat belaka.”

Saya memberi syor, “Marilah kita berdoa supaya kau juga dikurniakan rezeki dan jodoh seperti itu. Agar kau juga turut bergembira.”

Dia menjawab, “Saya tidak mahu.”

Saya mengesyorkan lagi, “Saya ada sedikit modal. Mahukah jika saya dermakan untuk tuan gunakan bagi mendapat kambing-kambing yang sihat? Saya juga boleh rekomenkan seorang wanita bujang untuk menjadi isteri tuan.”

Dia menjawab, “Tidak mahu.”

Saya bertanya lagi, “Jadi, apakah yang tuan mahu?”

Dia menjawab, “Saya mahu si penggembala itu mati bersama-sama dengan kambing-kambingnya. Dan saya mahu siksa anak isterinya. Kalau saya tiada kambing gemuk, orang lain juga jangan ada. Kalau saya tiada kebahagiaan berumah-tangga, orang lain juga akan saya hapuskan kebahagiaannya.”

Saya menjawab, “Kalau begitu, tak dapek eden menolongnyo…. Ekau beristighfar dan berzikirlah banyak-banyak. Semoga Allah memberi petunjuk dan melunakkan hati ekau."

Allah berfirman dalam surah az-Zumar ayat ke-53yang bermaksud, "Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Begitulah al-kisahnya...
Melihat bara… Akhirnya padam juga api. Itu pun bukan kerana ia dipadamkan. Tetapi ia terpadam sendiri, kerana tiada kayu lagi yang boleh dimamah. Dunia oh dunia... Manusia oh manusia...

Sunday, October 18, 2009

Mari memakan cili

Merawat luka kehidupan seseorang bukanlah suatu usaha yang mudah. Kita perlu cuci lukanya. Jauhkannya daripada sebarang mekanisme yang boleh mencederakan. Dan juga berikannya antibody yang ampuh, supaya dia lebih kuat menghadapi ancaman pada masa akan datang.

Di luar sana...

Manusia miliki dua sifat, iaitu sifat kemanusiaan dan kebinatangan.

Manusia punyai dua unsur dalam jiwanya, iaitu unsur roh dan jasad.

Manusia juga punyai akal dan nafsu.

Malangnya... ada yang menggunakan kekuatan manusia, roh dan akal; untuk memenuhi serakah kebinatangan, jasad dan nafsunya.

Kita jangan peduli, seseorang yang naif itu pernah berkata apa. Kita perlu memaafkan seseorang yang jahil dan lemah mentalnya. Dan kita perlu ambil kira bahawa dia pernah cedera.

Apakah perspektif anda mengenai kenyataan-kenyataan tersebut? Tepuk dada, tanya selera... Setiap orang tahu tentang apa yang dia lakukan. Kerana setiap perlakuan itu bermula dengan NIAT...

Friday, October 16, 2009

Analogi lubang biawak

Kamu akan mengikut tatacara orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga walaupun mereka itu masuk ke lubang biawak, maka kamu turut serta bersama di dalamnya.
Pernahkah anda mendengar analogi lubang biawak? Selain itu ada yang mengungkapkannya sebagai teori lubang biawak.

Idea itu berkaitan sebuah perspektif doktrin psikologi Islam terhadap teori psikologi barat. Perspektif ini dibangkitkan oleh seorang pakar psikologi klinikal yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang itu, iaitu Prof. Dr. Malik Badri dari Sudan.

Baginya, sebagai orang Islam kita perlulah bersifat kritikal terhadap bidang psikologi barat yang langsung tidak melibatkan unsur kerohanian dalam teori-teori mereka. Sedangkan menurut Islam, diri manusia itu terdiri daripada jasad dan roh.

Oleh itu, teori barat tidak semestinya diambil bulat-bulat tanpa sebarang pertimbangan dan pengkayaan aspek rohani.

Maka apakah pula kaitannya dengan lubang biawak?

Asas hujah Malik Badri bagi doktrin ini ialah bersandarkan kepada hadis Rasulullah SAW. yang diriwayatkan oleh imam Muslim yang bermaksud, “Kamu akan mengikut tatacara orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga walaupun mereka itu masuk ke lubang biawak, maka kamu turut serta bersama di dalamnya.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah yang dimaksudkan itu ialah orang-orang Yahudi dan Nasrani?” Baginda menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka?”

Itulah maksudnya analogi ataupun teori lubang biawak. Orang Islam yang terlalu fanatik dengan teori psikologi barat, diumpamakan seperti mengikut orang-orang Yahudi dan Nasrani sesat hingga boleh masuk sampai ke lubang biawak.

Malik Badri menambah analoginya, bahawa beliau yakin pakar-pakar psikologi Islam masih ramai yang belum terjerumus ke dalam lubang biawak, apatah lagi sudah gemuk dalam lubang itu sehingga tidak dapat keluar lagi.

Berdasarkan idea ini, apakah respons kita? Mahu ikut teori baratkah? Ataupun teori Islam sudah cukup sempurna bagi kita? Ataupun idea ini tidak relevan langsung? Ataupun kita mahu memanfaatkan teori barat, lalu kita perkayakan dengan aspek kerohanian dalam Islam? Terpulang kepada anda…

Sunday, October 11, 2009

Trauma ataupun fobia?

Saya menyedari terdapat sedikit kekeliruan pada penggunaan istilah dan pemahaman terhadap perkataan trauma dan fobia di kalangan masyarakat. Seseorang pernah berkata, "Saya fobia apabila melihat orang marah kerana saya pernah dipukul dengan teruk." Ataupun, "Saya fobia untuk memandu kereta kerana pernah mengalami kemalangan teruk."

Benarkah maksud dan penggunaan istilah itu? Mari kita lihat maksud sebenarnya... Apakah perbezaan di antara trauma dengan fobia?
Apa itu trauma?

Trauma boleh dianggap sebagai kecederaan mental yang menyebabkan seseorang itu berasa ngeri, terancam dan mengimbas kembali peristiwa buruk yang pernah dialami.

Ia berpunca daripada pengalaman buruk yang pernah di lalui seperti pernah menjadi mangsa keganasan, dimaki hamun, diserang penyakit kronik, kemalangan dan cedera teruk.

Contohnya, Ali pernah ditimpa kemalangan jalanraya yang teruk hingga menyebabkan dia trauma untuk memandu kereta. Maka dia katakan, ”Saya masih trauma untuk memandu kereta.” Bukan fobia untuk memandu kerana fobia itu lain maksudnya.

Ataupun, Zila pernah dipukul dengan teruk sehingga menyebabkan dia trauma kerana sering teringat-ingat semula peristiwa itu. Setiap kali dia mengimbas peristiwa itu, dia berasa sangat takut seperti mengalaminya semula.

Apa itu fobia?

Fobia ialah ketakutan tidak terkawal, tidak rasional dan berlaku secara berterusan dalam kehidupan seseorang. Ketakutan itu mendorong seseorang untuk mengelakkan diri daripada objek, aktiviti ataupun situasi yang menimbulkan rasa takut yang tidak sepatutnya.

Contohnya, tidak semua orang takut dengan air. Tetapi orang yang terlalu takut dengan air dianggap mengalami fobia.

Begitu juga dengan ular, tikus, lipas dan sebagainya. Takut berhadapan dengan ular itu normal kerana naluri untuk menyelamatkan diri daripada bahaya. Tetapi terlalu takut apabila melihat ular pula dianggap fobia.

Ada juga orang yang takut berada di tempat orang ramai sehingga menyebabkan dia hilang kewarasan seketika. Itu dipanggil agoraphobia, iaitu fobia dengan keadaan orang ramai.

Semua orang ada perasaan takut. Tetapi ketakutan yang tidak rasional itu adalah abnormal dan diklasifikasikan sebagai fobia.

Thursday, October 8, 2009

Muhammad SAW.: Tokoh teratas dalam susunan orang paling berpengaruh di dunia

Michael H. Hart, penulis buku 100 orang paling berpengaruh di dunia sepanjang sejarah meletakkan Nabi Muhammad sebagai tokoh teratas dan pertama dalam bukunya. Beliau bukanlah seorang Islam. Mengapa?

Antaranya sebab yang dinyatakan ialah baginda telah mengembangkan salah satu agama besar di dunia yang pengaruhnya masih kuat sehingga kini.

Rasulullah juga dinilai sebagai seorang yang telah membina kejayaannya dalam wilayah Arab yang agak mundur pada ketika itu. Sedangkan kebanyakan tokoh-tokoh lain berjaya dalam wilayah yang sudah tinggi kemajuannya.

Baginda ialah seorang pemimpin dalam banyak bidang termasuk agama, politik dan juga sekular.

Monday, October 5, 2009

100 orang paling berpengaruh di dunia

Tajuk buku: 100 Orang Paling Berpengaruh di Dunia Sepanjang Sejarah
Penulis: Micheal H. Hart
Penterjemah: Ken Ndaru, M. Nurul Islam
ISBN: 978-979-19645-8-6
Tarikh terbit: 1 Jun 2009
Penerbit: Penerbit Hikmah, Jakarta
Bilangan halaman: 580
Harga: RP 99,500 (RM37.00)

Buku ini adalah terjemahan daripada buku bahasa Inggeris bertajuk 100 A Ranking of The Most Influential Persons in History kepada bahasa Indonesia.

Edisi pertamanya diterbitkan pada tahun 1978 dan menimbulkan kontroversi di seluruh dunia kerana penulis meletakkan Nabi Muhammad SAW di tempat pertama dalam buku ini.

Buku ini memaparkan biografi orang-orang hebat dan berpengaruh di dunia ini termasuk Nabi Muhammad SAW., Isaac Newton Albert Einstein, Aristotles, Iskandar Zulkarnain dan Voiltaire.

InsyaAllah saya akan kongsikan beberapa bab daripada buku tersebut dari semasa ke semasa melalui blog ini. Sila ikuti...

Thursday, October 1, 2009

ikan emas hidangan istimewa

Pada malam ini, saya dijamu masakan padang di Danau Toba, Medan, Indonesia. Hidangannya adalah ikan emas (dipanggil ikan Leekoh di Malaysia) masak gulai.

Menurut Mr. Jerry, pemandu lawatan kami, ikan emas menjadi santapan istimewa di majlis perkahwinan suku Batak di sini.

"Pengantin perempuan perlu menghantar ikan emas yang telah digulai untuk santapan ibu mertua, menandakan bahawa dia boleh memasak, katanya.

Beliau menjelaskan bahawa ikan itu adalah hasil tangkapan daripada Danau Toba itu sendiri.

"Kalau mahu cuba, malam ini kita cuba memancing ikan emas di sini, katanya lagi.

Kami bersetuju untuk mencuba. 3 batang joran murah dibeli bersama sedikit umpan udang.

Malam ini saya akan memancing ikan emas. Kita lihat hasilnya nanti.

Sunday, September 27, 2009

Reverse thinking about love and wealth

Last week in hari raya, i watched a short drama in TV titled Halimah Jongang. Its a comedy but it makes me thinking reversely. Please enjoy the Halimah Jongang song by Eddie Hamid untill it ends... It's very funny...



One of a kampung boy likes a pretty girl. The girl comes from a prestige and wealthy family. Her mother looks more to a value of money. But the 'kampung boy' doesn't has much for it.

The kampung boy says, "Makcik, i have a true love. I love makcik's daughter very much."

The makcik asks him to save at least rm30,000 to get married with her daughter.

Tonight, the makcik and her daugther have fun chit-chat. The mother says, "Can you imagine? How can only true love gives a happines to your life? Can he (kampung boy) goes to a shop and tell the seller like this? 'Hello shopkeeper, i have a true love. May i buy some rice from you? I will pay by this true love' Hahahaha"

I think, maybe it's true. The ONLY true love can't give us happiness to build a life and family. We need to work hard and get some money to fare our life.

But at the same time, i think reversely. How if we ask back to a girl, "I have money. May I get your true love? I will pay it as much as u want."

We can't buy a material by love. And we can't buy a love by money... What is your comment?

Monday, September 21, 2009

Awas... Bahaya tersembunyi...

Dua Hari Raya... Kita semua mengunjungi keluarga terdekat dan sanak saudara. Keluarga didahulukan. Bermula minggu kedua, barulah mengunjungi sahabat handai. Kawan-kawan juga diutamakan.

Dua Hari Raya... Kemeriahannya terasa. Sudah menjadi budaya. Selain beramah mesra dan saling bermaafan, menjamu selera adalah pengisiannya. Ketupat, lemang, rendang, sambal kacang, sayur lodeh, biskut raya, minuman bergula dan pelbagai jenis makanan lagi dihidangkan.

Di rumah orang tua saya, hidangan raya divariasikan kepada selain ketupat atau lemang. Tahun ini, ibu memasak Laksa Johor dan Soto. Manakala saya sendiri pula memasak briyani kambing.

Sempena kemeriahan hari raya ini, sama-samalah kita beringat. Awas, bahaya tersembunyi dalam kelazatan makanan-makanan itu. Kalau tidak makan, tidak meriah pula. Ikut sunnah nabi, makan ketika lapar, berhenti sebelum kenyang.

Kalau tidak dapat amal prinsip hanya makan ketika lapar sahaja, maka berhentilah sebelum perut terlalu kenyang.

Selamat berhari raya...

Friday, September 18, 2009

Di mana kemeriahan Hari Raya?

Saban tahun, pada seminggu ataupun beberapa hari sebelum raya, ada yang berkata, "Tak sabar rasanya hendak beraya. Berdebar-debar menanti lebaran."

Di sebalik itu, ada juga yang kata, "Raya tiada apa-apa. Membosankan. Tidak tahu hendak buat apa..."
Kemeriahan atau keseronokan Hari Raya datangnya daripada diri sendiri. Perkara pertama yang boleh menjadikan ia lebih bermakna, ialah kejelasan kita mengenai apakah sambutan Aidilfitri itu sebenarnya. Aidilfitri disambut sebagai tanda kesyukuran selesainya ibadah puasa dan bulan Ramadhan.

Kesyukuran itu digambarkan dengan takbir memuji kebesaran Allah. Solat sunat Aidilfitri, berzakat fitrah, bersedekah kepada kanak-kanak, memberi makan kepada miskin dan kaya, bermaaf-maafan dan sebagainya.

Ia sangat signifikan dengan bulan Ramadhan. Oleh itu, jika Ramadhan berlalu dengan hampa maka tiada apa-apa kegembiraan yang hendak disambut pada hari raya. Jika ada pun, ianya hampa.

Sunday, September 13, 2009

Beza antara temujanji dengan Tuhan, dengan insan istimewa...

Apakah perbezaan antara persiapan temujanji kita menghadap Tuhan, dengan temujanji kita berjumpa insan istimewa dalam hidup kita?
Biasanya begini...

Temujanji dengan insan istimewa: Berpakaian cantik dan kemas. Pakaian paling baru dan sempurna dikenakan pada badan. Cantik molek. Kebersihan tahap maksimum. Mandi dahulu sebelum keluar. Gosok gigi dan mencuci mulut terlebih dahulu. Berwangi-wangian sehingga kalau lalu di suatu kawasan, bau wangi tertinggal di situ seketika. Harum semerbak. Wajah pun ceria. Kalau ada kereta, yang paling besar akan dipandu.

Temujanji dengan Tuhan: Baju Melayu dan kain pelikat belum tentu digosok rapi. Mungkin pakai yang lusuh pun tidak mengapa. Kalau di rumah, ada yang pakai singlet buruk, asalkan menutup aurat, katanya. Kebersihan sekadar suci daripada najis. Kalau bukan dalam hadas, belum tentu lagi kita mandi dahulu sebelum bersiap untuk ke masjid. Ada yang sampai ketiak pun berbau. Kalau di bulan Ramadhan, ketika berterawih mulut berbau pun dibiarkan. Bila melafaz ucapan 'Amin...', aromanya sampai kepada makmum di sebelah, bahkan boleh sampai ke sebelah lagi. Kalau ada kereta besar, simpan di rumah. Pergi ke masjid berjalan kaki, naik motor kapcai ataupun kereta kecil sahaja. Kereta besar hanya untuk ke tempat yang lebih istimewa daripada itu?

Kurang istimewakah masjid itu? Atau temujanji dengan Tuhan itu kurang utama? Atau memang sengaja diletakkan sebagai perkara nombor dua, ketiga, keempat ataupun ke 99 dalam hidup kita?

Allah tidak hanya memandang kepada rupa kita. Tetapi lebih menilai hati. Kalau kita tidak mampu berhias, Allah tetap menerima amalan kita. Namun sekiranya nikmat itu berlimpah-ruah, alangkah baiknya kalau kita persembahkan yang terbaik untuk bertemu dengan Tuhan. Apakah nilai hati itu jika harta yang ada tidak mahu digunakan ke jalan Allah?

Berpakaian kemas, berwangian, memakai yang terbaik dan bersuci terlebih dahulu adalah yang terbaik sebelum bertemu Tuhan. Dia yang maha memberikan rezeki. Bersyukurlah dengan rezeki itu dengan menggunakannya untuk menambah kualiti ibadah kita.

Friday, September 11, 2009

Malam-malam sejahtera


Allah SWT. berfirman dalam surah al-Qadar yang bermaksud, "Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur'an) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar."

Wednesday, September 9, 2009

Mengapa malas bangun pagi?

Mengapa ada orang yang mudah bangun pagi? Dia lebih cergas dan segar pada waktu itu. Manakala pada waktu malam pula, dia cepat mengantuk dan tidur lebih awal.

Ada pula orang yang susah hendak bangun pagi. Dia lebih cergas pada waktu malam. Apabila orang lain tidur, dia masih segar dan berjaga. Waktu pagi pula adalah “blur” baginya.
Pakar psikologi dalam personaliti mengaitkannya dengan faktor biologi yang berbeza. Mereka menggelarkan dua personaliti berlawanan itu sebagai dimensi Morningness dan Eveningness.

Pada diri kita ada set kitaran perubahan suhu badan dan tahap perembesan endokrin di sepanjang 24 jam sehari, iaitu Circadian Rhythm (Circa = sepanjang. Dia = hari). Rajah di bawah adalah contoh Circadian Rhythm seseorang yang ada turun naiknya.Kajian menyatakan bahawa seorang yang normal memiliki Rhythm lengkap sepanjang 24 hingga 25 jam sehari. Setelah lengkap satu kitaran, maka ia akan berulang kembali.

Perbezaan personaliti diperolehi apabila terdapat sesetengah orang yang memiliki kitaran set rentak Circadian lebih pendek, misalnya 16 jam sehari atau lebih panjang, misalnya 50 jam sehari.

Orang yang pendek tempoh rhythm-nya akan lebih segar pada waktu pagi dan mudah letih pada waktu malam, kerana kondisi kecergasan badannya bermula pada awal pagi.

Orang yang panjang tempoh rhythm-nya pula sukar untuk bangun pagi kerana kondisi kecergasannya masih belum tiba pada waktu itu. Kondisi kesegarannya bermula agak lewat.

Keadaan ini memberi kelebihan pada diri masing-masing. Sama ada kita lebih cergas dan bertenaga untuk berkerja pada awal pagi ataupun lewat malam.

Bagaimanapun, ia bukanlah alasan untuk kita bangun lewat daripada tidur. Manusia boleh diubah dengan latihan displin yang berterusan. Rentak itu boleh dipinda.

Tanggungjawab terhadap Tuhan, diri sendiri, keluarga, tempat kerja dan masyarakat boleh mengatasi tabiat tersebut. Orang sanggup bangun awal ataupun tidur lewat untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing. Azam, semangat dan jati diri adalah lebih kuat untuk menangani keadaan itu.

Mengenai tahap kecergasan, pakar psikologi mencadangkan pengambilan kafein (secawan kopi atau teh) untuk membantu meningkatkan kesegaran pada waktu pagi. Susu panas pula boleh diambil untuk membantu merehatkan saraf supaya mudah tidur.

p/s: Patutlah ramai yang "mengeteh" dulu sebelum mula berkerja. Mungkin orang itu eveningness agaknya... :)

Monday, September 7, 2009

Nuzul Quran

Pada hari ini, bersamaan 17 Ramadhan 1430 adalah hari ulang tahun nuzul ul-Quran.

Pada malam Jumaat, 17 Ramadhan ketika Rasulullah berusia 41 tahun, iaitu bersamaan 6 Ogos 610 masihi, ayat pertama daripada al-Quran diturunkan kepada baginda. Ayat pertama yang diturunkan ialah Iqra' yang bermaksud bacalah.

Allah SWT. berfirman dalam surah al-'Alaq ayat 1 hingga 5 yang bermaksud,
Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan pena (tulisan). Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.

Ayat al-Quran itu diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril.

Adapun wahyu itu disampaikan kepada Rasulullah melalui tiga cara, iaitu:
1. Melalui hati, iaitu Allah menyampaikan wahyu kepada nabi tanpa suara dan rupa, terus ke hati.
2. Dialog di belakang tabir, iatu nabi mendengar kalam Allah tetapi tidak melihat-Nya
3. Melalui perantaraan Jibril, iaitu sama ada Nabi mendengar suaranya seperti deringan loceng ataupun dia menyerupai manusia untuk bertemu nabi secara langsung.

Wallahu a'alam

Sunday, September 6, 2009

Displin seorang penulis

Saya menerima email rawak daripada seorang kawan. Di dalamnya ada gambar-gambar unik yang menarik perhatian saya, iaitu gambar yang saya paparkan di bawah ini.

Mana-mana penulis perlu ada displin untuk menulis. Lebih-lebih lagi bagi menghasilkan sebuah buku. Kesabaran, ketekunan, ketelitian dan ketekalan sangat penting di samping kemahiran menulis. Bagaimanapun, kemahiran tidak semestinya datang dengan pakej kelahiran seseorang. Seni boleh dipelajari dan boleh dilatih.

p/s: Imej di atas ni mungkin menggambarkan displin penulis. Mungkin secara rela atau mungkin juga secara paksa, penulis perlu rantai tangannya supaya menulis juga. Kalau tidak, kita tak akan jumpa buku-buku yang terhasil dijual di pasaran.

Friday, September 4, 2009

Alkohol dalam minyak wangi

Kebanyakan minyak wangi pada hari ini dipromosikan sebagai “tanpa alkohol”. Begitu juga dengan produk-produk lain seperti deodorant, make-up dan sebagainya yang digunakan untuk kegunaan luar badan (bukan untuk diminum).

Saya terfikir, kalau benar sesuatu produk itu mengandungi alkohol, maka apakah masalahnya? Apakah masalah tentang sama ada ia beralkohol ataupun tidak? Jika di klinik, penggunaan alkohol juga meluas untuk proses disteril, sedangkan ada banyak alternatif lain untuk menjalankan proses itu. Pernah juga suatu ketika dahulu masyarakat sibuk memilih sama ada pen/dakwat itu mengandungi alkohol ataupun tidak. Itu saya lagi pelik.

Saya tidak faham mengapa hal ini dipertikaikan. Mungkin masyarakat masih keliru kerana dimanipulasikan oleh iklan-iklan yang mengaitkan produk tanpa alkohol itu dengan status 'suci' dan halal.

Saya akan berkongsi maklumat mengenai hukum penggunaan alkohol secara luaran. Ia dipetik daripada buku yang pernah saya terjemahkan, iaitu Ijtihad Dalam Fiqh Perubatan yang tulis oleh Dr. Muhammad Sulaiman al-Ashqar

Hukum penggunaan alkohol secara luaran bergantung pada jawapan bagi persoalan, adakah hukum alkohol yang digunakan itu sama seperti hukum arak dari setiap sudut, maka penjualan, pembelian, pemilikan, dan penggunaannya diharamkan? Lantas ianya perlu dijauhi pada setiap keadaan? Ataupun ia langsung tidak berkaitan dengan arak sama sekali?

Setahu saya, alkohol yang digunakan untuk melarutkan minyak wangi dan bahan kegunaan luar yang lain adalah alkohol sintetik. Bukan alkohol arak daripada proses penapaian.

Bagaimanapun, mari kita nilai semula berdasarkan persoalan-persoalan berikut:

1. Adakah kandungan alkohol sintetik itu sama dengan yang terdapat pada arak? Ataupun arak itu adalah benda lain, hasil campuran jus buah yang jika diperam akan menghasilkan bahan yang memabukkan?

2. Arak itu jika diminum akan menghasilkan perasaan seronok, berpoya-poya, dan kesenangan di samping melemahkan akal. Adakah alkohol sintetik juga diambil untuk untuk tujuan berseronok sebagaimana yang boleh diperolehi daripada meminum arak?

3. Adakah peminum arak yang sentiasa memerlukannya akan meminta alkohol yang digunakan di dalam minyak wangi, ataupun alkohol yang digunakan di farmasi, kemudian akan meminumnya seperti meminum arak? Ataupun perasaan mereka tidak memerlukannya dan tidak menginginkannya?

4. Adakah alkohol yang terkandung di dalam perahan anggur yang telah diperam (dijadikan arak) itu berbeza dengan jenis-jenis alkohol yang sumbernya daripada benda lain dari sudut kandungan kimianya?

5. Adakah alkohol tiruan yang digunakan itu terdapat pada buah-buahan yang dimakan pada kebiasaannya? Seperti kulit limau, lemon, dan sebagainya? Dan pada susu setelah ianya diperam? Juga pada adunan tepung (yang telah diragikan) setelah ianya diperam dengan cara sebegitu?

6. Adakah mungkin bahawa mabuk itu terjadi hasil daripada benda yang tidak diambil pada kebiasaan para pemabuk, contohnya seperti minyak petrol?

7. Adakah alkohol tiruan itu juga digunakan sebagai minuman? Dan adakah jika seseorang meminumnya akan menyebabkan dia mabuk atau pun tidak?

Berdasarkan pemahaman mengenai sifat alkohol dengan menjawab persoalan-persoalan tersebut, maka bolehlah kita menjawab mengenai hukum penggunaannya.

Jika kita mengatakan ia adalah arak, maka hukumnya seperti arak juga dari setiap sudut. Ia tidak boleh diminum kecuali ketika darurat. Juga tidak dihalalkan untuk menjual, membeli, membawanya, dan tidak juga dihalalkan untuk mengambil keuntungan daripadanya. Tidak dibolehkan juga untuk digunakan dalam minyak wangi dan sebagainya.

Jika kita mengatakan ia adalah bahan lain yang berbeza dengan arak (alkohol sintetik), sekalipun padanya terdapat sebahagian sifat arak – maka ianya haram untuk diminum serta menggunakannya secara dalaman. Manakala penggunaannya secara luaran pula adalah tidak mengapa. Tidak diharamkan menjual, membeli, dan sebagainya kerana perbezaannya dengan arak.

Wednesday, September 2, 2009

MP3 al-Quran 30 juzuk

Di bulan Ramadhan yang mulia ini, saya ingin berkongsi fail bacaan al-Quran oleh imam Masjidil Haram, Abdul Rahman as-Sudaisi.

Sekurang-kurangnya kalau kita tidak sempat mengaji al-Quran, elok juga kita mendengar dan menghayati bacaannya. Anda boleh download di sini.

Terima kasih kepada sahabat saya, Mohd Imran Abdul Rashid dari Singapura yang menumpangkan fail-fail tersebut dalam hostingnya.

Bonus raya kakitangan kerajaan

Pagi tadi, sewaktu dalam perjalanan ke pejabat, saya terdengar berita di radio IKIM mengenai bonus raya untuk kakitangan awam pada tahun ini.

Katanya, pembayaran bonus itu sedang dipertimbangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak. Isu itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Putrajaya, YB Datuk Tengku Adnan bin Tengku Mansor dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri. Beliau menerima cadangan itu daripada ramai kakitangan awam di Putrajaya.

Presiden CUEPAC menyatakan komennya bahawa jika kakitangan dibayar berikan bonus raya, maka ini ialah pertama kali kerajaan membayar bonus kepada kakitangan awam sebelum membentangkan bajet bagi tahun berikutnya.

Saturday, August 29, 2009

Selamat menyambut hari ulang tahun kemerdekaan ke-52

Saya ingin mengucapkan selamat menyambut hari ulang tahun kemerdekaan negara kita yang ke-52. Tema kita pada tahun ini ialah, 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Sambutan kemerdekaan tahun ini dijangka akan diadakan di Bangunan Parlimen dengan mengambil kira langkah pengawalan influenza A H1N1 dan menghormati bulan Ramadhan.

Dalam tempoh 52 tahun kita merdeka ini, marilah kita renungi semula apakah pencapaian yang telah kita raih. Sekuat manakah integrasi kaum yang telah kita bina selama itu?

Elok juga sambutan kemerdekaan tahun ini jatuh pada bulan Ramadhan yang mulia. Semoga kita semua beroleh berkat dan keredhaan daripada-Nya. Tapi tak tahulah kalau masih ada mentaliti 'celebrate' merdeka dengan cara yang tidak diketahui asal-usulnya. Menjerit, melolong dan berpesta bagai... tiada signifikasi langsung dengan kemerdekaan. Harap-harap pada bulan Ramadhan ini, sambutan tidak berasas itu tidak berlaku.

Sepatutnya kita lebih merenung masa depan. Sejauh manakah nikmat kemerdekaan ini akan kita sama-sama pertahankan?

Begitu juga kita sepatutnya mengimbau kembali perjalanan memperjuangkan kemerdekaan pada tahun 1957 dahulu. Mungkin dengan itu kita akan lebih menghayati. Bagi yang ingin menyingkap semula proses ke arah kemerdekaan yang diperjuangkan dahulu, bolehlah klik di sini.

Thursday, August 27, 2009

Beautiful mind

Tajuk buku: How to have a beautiful mind
Penulis: Edward De Bono
ISBN: 978-0091894603
Tarikh terbit: 28 April 2008
Penerbit: Trafalgar Square
Bilangan halaman: 240
Harga: RM 59.90
De Bono menjelaskan bahawa minda atau pemikiran yang bijak adalah lebih utama daripada paras rupa atau penampilan fizikal yang menarik.

'Beautiful mind' yang dimaksudkan ialah mengenai wujudnya kepelbagaian aspek atau perspektif pemikiran. Dan orang yang cantik pemikirannya ialah yang menghormati dan mengambil manfaat daripada pendapat orang lain. Misalnya, saya suka karipap Mak Siti kerana intinya pedas. Sedangkan anda pula tidak suka kerana saiznya terlalu kecil. Itu adalah penilaian yang berbeza. Kedua-duanya betul dan masing-masing ada alasan tersendiri.

Orang yang cantik mindanya tidak memaksa orang lain ikut cara pemikirannya. Begitu juga tidak semestinya dia ikut cara pemikiran orang lain. Dia menghormati jika menolak dan menghargai jika menerima.

Cuba perhatikan, alangkah cantiknya ungkapan-ungkapan di bawah ini jika diajukan dalam perbualan. Berbanding ucapan-ucapan mencabar, mencari kesilapan dan menduga kepandaian orang, ia kelihatan kurang ajar dan biadap. Contoh ucapan untuk menolak pendapat orang lain ialah seperti berikut:
  • "Saya bersetuju dengan pendapat awak. Tetapi elok juga kalau...." (menolak tetapi bersopan)
  • "Memang benar kata-kata awak. Tetapi saya mempunyai pandangan yang berbeza." (bukan suruh orang ikut cakap dia saja!)
  • "Idea awak memang bagus dan sesuai untuk kes lain... Tetapi bagi kes ini, saya berpendapat..." (menghargai pendapat orang walaupun ingin memberi cadangan lain)
  • "Perkara itu memang menarik!!!" (tunjukkan minat)
Fakta unik yang saya temui dalam buku ini ialah De Bono memberi contoh mengenai status hadis Rasulullah yang perlu difahami dan diambil manfaat daripadanya. Ayatnya berbunyi begini:
"If you hear that the prophet Muhammad in the Hadith (his own saying) has several references to 'thinking', you may want to know what these references are."
Bagi saya, buku ini memang baik bagi meningkatkan cara pemikiran kita, menjadi orang yang beradab dan mengambil manfaat daripada orang lain. Ada kalanya kita rasa kita cukup bagus sedangkan kita masih kurang sopan ketika berbincang. Ahli bijak pandai kata, semakin banyak kita belajar, sepatutnya kita akan rasa makin banyak yang perlu dipelajari. Buruk akibatnya jika orang pandai mudah merasa cukup dengan apa yang diketahuinya.

Elok juga kalau kita ambil manfaat daripada buku ini. Kalau tidak banyak, sedikit pun jadilah...

Wednesday, August 26, 2009

Rumah Diri...

Kita membina rumah diri
tahun demi tahun
tiangnya adalah takwa
pintunya adalah akidah
kuncinya adalah karsa
dindingnya adalah dakwah
jendelanya adalah jauhari

Ini rumah sakinah
kamar karisma kian terkunci
di hujung dan awal tahun
si pencari dengan ruang ragunya
bukalah pintu-tingkap amarahmu
benarkan cahaya iman
keluar masuk
hari-hari yang mendatang
tanpa sangsi.
Shapiai Mohd. Ramly
Berita Minggu, 25 Februari 2007

Tuesday, August 25, 2009

Keris Sebilah Itu dan Mazhab Cinta

Keris Sebilah Itu adalah buku yang menghimpunkan lebih 100 buah puisi yang dikarang oleh Shapiai Mohd. Ramly.
Mazhab Cinta pula adalah himpunan 20 buah puisi terbaik yang dikarang oleh W.B. Rendra.

Pada pagi ini saya mendapat hadiah yang sangat berharga, iaitu buku bertajuk Keris Sebilah Itu dan Mazhab Cinta daripada penulisnya sendiri. Terima kasih diucapkan kepada Tuan Haji Shapiai Mohd. Ramly dan W.B. Rendra atas pemberian itu.

Saya telah mendapat kebenaran daripada penulis untuk berkongsi beberapa buah puisi kandungan buku keris tersebut. Oleh itu saya akan siarkan puisi pilihan saya di blog ini. Selebihnya, anda boleh mendapatkan bukunya yang diterbitkan oleh Citra Kurnia Enterprise.

Monday, August 24, 2009

Apa anda tahu mengenai kaunseling?

Ramai orang salah faham mengenai kaunseling. Ada yang kata, kaunseling itu ilmu memujuk, menyelesaikan masalah orang ataupun suatu kemampuan menguasai pemikiran orang. Benarkah begitu? Allah SWT. berfirman dalam surah az-Zumar ayat ke-9 yang bermaksud, "Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna."
Kaunseling bukan bererti nasihat walaupun terdapat nasihat yang diberikan. Malah kaunselor tidak memberi jawapan secara langsung kepada semua persoalan klien kerana apa yang baik untuk kaunselor tidak semestinya baik juga untuk klien.

Keistimewaan khidmat kaunseling ialah membimbing klien mengenali dirinya yang menyumbang kepada permasalahan yang dihadapi oleh klien. Penerimaan dan perakuan diri adalah penting dalam menghasilkan perubahan diri.

Oleh sebab kaunseling bukan nasihat, maka hubungan kaunseling adalah berbentuk dua hala. Kaunselor cuba memahami dengan cara mendengar dan memberikan layanan serta interaksi yang baik. Manakala klien pula menceritakan masalah mereka dan cuba memahami permasalahan tersebut. Selepas itu, klien akan mengambil tindakan menyelesaikan masalah itu.

Kaunseling menggerakkan klien memahami diri dari segi kelemahan yang menghasilkan masalah dalam hidup dan bagaimana klien terdedah kepada permasalahannya. Oleh itu, fokus perbincangan adalah pada diri klien dan peranannya, bukan masalahnya.

Secara umumnya, kaunseling merupakan satu proses pembelajaran semula. Pembelajaran semula berlaku melalui perkongsian cerita atau penglahiran perasaan. Dengan ini, klien akan mendapat pengetahuan atau maklumat baru hasil daripada interaksi bersama kaunselor. Selain itu, klien mendapat kemahiran baru melalui contoh atau model daripada kaunselor serta melalui main peranan.

Kaunseling merupakan suatu proses yang mempunyai ciri-ciri, iaitu suatu jangka masa tertentu untuk membolehkan klien berubah yang mungkin memerlukan beberapa jam, beberapa sesi atau pertemuan.

Pertukaran aksi dan reaksi antara klien dengan kaunselor turut membantu klien mengenali diri dan persoalan yang dihadapi olehnya. Melalui kaunseling, klien dapat memahami rutin permasalahan manusia, mendapat motivasi, dan memperoleh kaedah pembelajaran yang bersesuaian dengan dirinya.

Oleh itu, proses kaunseling akan bermula apabila ada persetujuan antara dua individu, iaitu klien dan kaunselor untuk melibatkan diri mereka dalam menguruskan sesuatu persoalan atau masalah.

Sunday, August 23, 2009

Ucapan Takziah Kepada Hadijah Jaffri

Ucapan takziah kepada sahabat saya Hadijah Jaffri. Ayahnya telah kembali rahmatullah pada hari ini, iaitu Ahad, 23 Ogos 2009 bersamaan 2 Ramadhan 1430 hijriah. Saya mengetahui berita itu pada jam 6.00 petang tadi. Sama-samalah kita hadiahkan al-Fatihah kepada Allahyarham bapa beliau. Al-Fatihah.
Saudari Hadijah adalah senior saya ketika di sekolah menengah dahulu. Beliau juga adalah guru kepada saya yang pernah memberi tunjuk ajar ketika saya menyiapkan tesis pengajian master psikologi pendidikan di UTM.

Allah SWT. berfirman dalam surah al-Baqarah ayat ke-156 dan 157 yang bermaksud, "...(iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa mushibah, mereka mengucapkan: Innaa Lillaahi Wa Innaa ilaihi Raaji’uun. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk."

Perkembangan Emosi: Faktor Warisan dan Persekitaran

Alhamdulillah, hasil penulisan psikologi saya bertajuk Perkembangan Emosi: Faktor Warisan dan Persekitaran (Aspek Genetik, Pemakanan dan Pencemaran) dimuat naik ke laman web eprint Universiti Teknologi Malaysia. Artikel itu mungkin sudah agak lama. Bagaimanapun saya sekali lagi berbangga kerana hasil penulisan saya digunakan untuk menjadi bahan rujukan di situ.
Artikel itu ditulis mengenai pembentukan/perkembangan emosi manusia dengan aspek pengaruh genetik/perwarisan, persekitaran, pemakanan dan pencemaran. Jika berminat untuk merujuknya, sila klik di sini.

Kesimpulan bagi kandungan artikel tersebut adalah seperti berikut:

Keadaan serta corak emosi seseorang adalah sentiasa berubah-ubah berdasarkan faktor peringkat perkembangan, penetapan genetik dan persekitaran yang dialami.

Faktor genetik merupakan faktor utama terhadap pembentukan asas emosi seseorang. Ia adalah sebagai pemula dan bertindak sebagai acuan kepada variasi perbezaan di antara individu.

Dalam aspek perkembangan emosi, faktor-faktor persekitaran yang dialami oleh seseorang semakin mula mendominasi seiringan dengan peningkatan tahap umur dan pengalaman.

Genetik sememangnya satu faktor pembentuk yang asas namun ia boleh berubah dengan faktor persekitaran yang lebih kuat.

Corak emosi berubah melalui faktor pemakanan kerana makanan boleh menyebabkan perubahan pada fungsi biologi dan psikologi.

Faktor pencemaran lebih mempengaruhi perubahan emosi manusia pada aspek penghasilan rasa tidak selesa dan perubahan suasana secara mendadak.

Boleh dikatakan bahawa faktor perwarisan dan persekitaran merupakan dua faktor utama yang membentuk corak emosi seseorang. Dari sudut penilaian masa, faktor perwarisan memainkan peranan sebagai pelopor peringkat permulaan. Namun peranan kedua-duanya adalah sama-sama kuat.

Friday, August 21, 2009

Di dalamnya ada nilai pengorbanan dan kesabaran

Firman Allah SWT. dalam surah al-Baqarah ayat ke-183 yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, diwajbkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa."

Teringat suatu ketika dahulu saya pernah berbincang dengan seseorang mengenai puasa. Dia menimbulkan persoalan tentang adakah bersahur itu macam mengelat dalam puasa. Menurutnya, perspektif saintifik mengatakan sebahagian besar air yang kita minum menyerap di bahagian salur tekak kita selama beberapa jam lamanya. Bermaksud, kita masih lagi minum walaupun matahari sudah terbit tinggi. Saya tak pasti sama ada faktanya benar ataupun tidak.

Bagaimanapun saya tidak peduli sama ada fakta itu benar ataupun tidak. Perspektif saya pula berbeza.

Pada pandangan saya, maksud puasa itu perlu difahami. Masa zaman kanak-kanak dulu, orang tua kita ajar, kalau tak sengaja makan atau minum, puasa kita tak batal dan boleh diteruskan. Hukum syariat juga kata begitu. Jangan pula kita pelik, mengapa puasa tak batal walaupun dah terminum atau termakan.

Cuba lihat maksud ayat al-Quran di atas. Kita diwajibkan berpuasa supaya kita bertakwa kepada Allah. Tujuan berpuasa bukan semestinya untuk berlapar. Syaratnya ialah menahan diri daripada lapar dan dahaga dan tempohnya dari terbit fajar hingga waktu Maghrib.

Adakah kita boleh mengorbankan seluruh kehidupan kita untuk Allah? Kita perlu korbankan hati dan lidah untuk mengucap kalimah syahadah. Kita juga perlu korbankan masa dan komitmen untuk kewajipan lima waktu dalam sehari. Kita perlu korbankan harta dan wang ringgit untuk berzakat. Dan kita juga menyerahkan seluruh kehidupan untuk menunaikan haji. Bagi ibadah puasa, ia adalah pengorbanan nafsu.

Dalam bulan puasa ni, nak balik ke rumah dari pejabat pun jalan sesak luar biasa. Waktu tengah hari pun panasnya boleh tahan juga. Semakin banyak pula makanan yang sedap-sedap di bazar Ramadhan. Santapan mata pun tiada kurangnya macam hari biasa. Itu semua dugaan kerana berpuasa itu mendidik kesabaran.

Di dalam amalan puasa itu terdapat nilai-nilai pengorbanan dan kesabaran. Ikutlah cara yang disyariatkan. Kalau kita masih banyak songel lagi tentang hukumnya, itu maknanya kita tidak faham mengapa perlu puasa. Soal faedah kesihatan badan atau selainnya, itu semua manfaat sampingan sahaja.

Semoga bulan Ramadhan tahun ini meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah. Sama-samalah kita berusaha. Selamat berpuasa untuk semua!

Thursday, August 20, 2009

Kes Kaunseling: Proses dan Rawatan

BUKU KARYA SAYA, iaitu Kes Kaunseling: Proses dan Rawatan sudahpun berjaya diterbitkan oleh Penerbit UTM, sebagai sebuah buku rujukan akademik... Sila lihat http://www.penerbit.utm.my/cgi-bin/katalog/buku.cgi?id=468 untuk review buku saya... terima kasih
Buku ini ialah kompilasi daripada pelbagai contoh sesi kaunseling yang telah dijalankan. Contoh sesi kaunseling ini dipersembahkan dengan susunan format laporan sesi kaunseling dan proses kaunseling yang diselaraskan.

Setiap kes dimulakan dengan gambaran ringkas permasalahan klien yang mengikuti sesi kaunseling. Seterusnya, disusuli dengan latar belakang masalah, aplikasi teori, proses kaunseling, penilaian, dan ulasan.

Dalam laporan kaunseling ini, teori-teori kaunseling diaplikasikan dan penjelasan tentang teori terbabit turut disertakan. Antara teori yang diaplikasikan ialah Teori Pemusatan Klien, Terapi Rasional Emotif Tingkah Laku, Teori Psikoanalisis, Teori Tingkah Laku, Pendekatan Islam, Teori Gestalt, dan sebagainya.

Melalui laporan dalam buku ini, para pembaca dapat melihat kepelbagaian tingkah laku dan permasalahan masyarakat yang mungkin wujud di negara ini.

Kes Kaunseling: Proses & Rawatan ini boleh dijadikan sebagai bahan rujukan kepada para kaunselor, khususnya yang baru menceburi bidang kaunseling. Hal ini kerana buku ini dapat memberikan gambaran yang cukup jelas tentang amalan sesi kaunseling dan contoh aplikasi mengikut kesesuaian kes.

Buku ini juga sesuai digunakan oleh para guru bagi menangani masalah yang timbul di kalangan pelajar. Bagi para pelajar pula, mereka dapat meningkatkan kefahaman tentang amalan kaunseling. Selanjutnya, bagi masyarakat umum pula, buku ini adalah suatu bahan bacaan yang sangat berguna dalam memperoleh maklumat tentang pengalaman kaunselor dalam sesi kaunseling.

Titik-titik hitam dan putih

Rasulullah SAW. pernah bersabda daripada riwayat Ibnu Majah yang bermaksud, "Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya satu titik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam."
Cuba bayangkan, ada berapa titik hitam dalam hati kita? Dan berapa banyak kalikah kita memadam titik-titik hitam itu satu persatu? Apa agaknya warna hati kita sekarang? Jika semakin hitam, maka semakin liatlah kita melakukan ibadah.

Dalam sehari, ada berapa banyak kebaikan ataupun keburukan yang kita lakukan? Berapa kali kita meninggalkan solat? Berapa peratuskah kita melaksanakan amalan-amalan yang diwajibkan kepada kita dengan baik?

Kalau tidak pernah ataupun jarang sekali meninggalkan solat, adakah kita menjaga hubungan baik sesama manusia? Ataupun makin rajin kita bersolat, semakin hebat kita mengumpat, mengutuk dan menyakiti hati orang lain?

Ini semua soal hati. Soal hati tidak semestinya berkaitan cinta sahaja. Hati memang tempat menyimpan perasaan. Tetapi hati juga pendorong kepada amalan baik dan buruk, bahkan ia lebih dahulu daripada akal dalam menghasilkan sesuatu tindakan.

Allah pula berfirman dalam surah al-Muthaffifiin ayat ke-14 yang bermaksud, "Sebenarnya ayat-ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka telah diseliputi kekotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan."

Kebaikan dan keburukan itu merangkumi hubungan kita dengan Allah dan juga dengan manusia. Adakah cukup kita menjaga salah satu daripadanya sahaja? Lebih teruk lagi kalau mengabaikan kedua-duanya?

Segalanya terletak pada hati. Jika hati kita baik, maka baiklah seluruh jasad. Maka begitulah keadaan sebaliknya.

Wednesday, August 19, 2009

Pertemuan yang menghidupkan inspirasi

"Saya akan muncul semula untuk menghasilkan buku-buku komersil..." Itulah ayat yang muncul dalam hati saya ketika memandu untuk pulang ke pejabat selepas temujanji pagi tadi.

Pada jam 10 pagi tadi, saya menghadiri satu temujanji dengan seorang penulis berpengalaman di Larkin Perdana, Johor Bahru untuk perbincangan mengenai gerak kerja projek penerbitan.

Beliau adalah Haji Shapiai Mohd Ramli yang memperkenalkan dirinya sebagai peminat bidang penulisan, guru dan pendidik. Beliau adalah penulis (walaupun tidak mengaku sebagai penulis dalam blognya) sajak, cerpen dan novel.

Selepas berbincang mengenai tugas utama yang dipertanggungjawabkan kepada kami berdua. Kami berborak mengenai penerbitan dan pendekatan baru dalam penghasilan buku. Saya tertarik dengan perkongsian pengalaman dan pengetahuannya mengenai sejarah Melayu yang mencetuskan idea untuk kami menghasilkan sebuah karya kelak.

Saya berasa gembira dapat kenal dan mesra dengan karyawan yang banyak pengalamannya dalam bidang penulisan ini. Saya harap akan mendapat tunjuk ajar daripada beliau. Mari kita baca sedutan puisi karya beliau... memang indah...
Ini bumi tandus simpati
setiap ketika orang mengusung keranda sengketa
telah dikebumikan kemanusiaan itu
telah ditalkinkan hak asasi
telah ditabalkan kemenangan kebatilan

Setiap saat
kita tersesat
di belukar perasaan
di bakar kekecewaan

Ini bunga amarah berkembangan mekar
ini debu-debu angkuh enggan bersimpuh
keberanian tumbang dalam kekalahan menyerah
makna duka tertulis di depan mata. Luka.

Shapiai Muhammad Ramly
Sri Wangsa, Batu Pahat, Johor.
Berita Harian, Sabtu 18 Julai 2009.

Hendak dijadikan cerita, rakan sepejabat di sebelah meja beliau juga orang sastera. Beliau adalah saudara W.B.Rendra yang terkenal sebagai penghasil cerpen dan novel. Antara karya terkenal adalah Mazhab Cinta yang menghimpunkan 24 buah cerpen beliau yang pernah disiarkan di Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Jendela Selatan dan lainnya.

Kami juga sempat berbincang mengenai penghasilan buku kontemporari remaja. Saya berminat untuk bekerjasama dengan beliau. Semoga perbincangan kami akan berjaya menghasilkan buku-buku santapan motivasi berguna untuk masyarakat kita di Malaysia.

p/s: Hari ini saya memang rasa termotivasi untuk kembali prolifik menghasilkan buku komersil. Dah lama tertangguh (lebih kurang setahun) kerana sibuk menghabiskan pengajian di peringkat Sarjana, tugas di pejabat dan penulisan buku akademik.