Followers

Friday, August 21, 2009

Di dalamnya ada nilai pengorbanan dan kesabaran

Firman Allah SWT. dalam surah al-Baqarah ayat ke-183 yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, diwajbkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa."

Teringat suatu ketika dahulu saya pernah berbincang dengan seseorang mengenai puasa. Dia menimbulkan persoalan tentang adakah bersahur itu macam mengelat dalam puasa. Menurutnya, perspektif saintifik mengatakan sebahagian besar air yang kita minum menyerap di bahagian salur tekak kita selama beberapa jam lamanya. Bermaksud, kita masih lagi minum walaupun matahari sudah terbit tinggi. Saya tak pasti sama ada faktanya benar ataupun tidak.

Bagaimanapun saya tidak peduli sama ada fakta itu benar ataupun tidak. Perspektif saya pula berbeza.

Pada pandangan saya, maksud puasa itu perlu difahami. Masa zaman kanak-kanak dulu, orang tua kita ajar, kalau tak sengaja makan atau minum, puasa kita tak batal dan boleh diteruskan. Hukum syariat juga kata begitu. Jangan pula kita pelik, mengapa puasa tak batal walaupun dah terminum atau termakan.

Cuba lihat maksud ayat al-Quran di atas. Kita diwajibkan berpuasa supaya kita bertakwa kepada Allah. Tujuan berpuasa bukan semestinya untuk berlapar. Syaratnya ialah menahan diri daripada lapar dan dahaga dan tempohnya dari terbit fajar hingga waktu Maghrib.

Adakah kita boleh mengorbankan seluruh kehidupan kita untuk Allah? Kita perlu korbankan hati dan lidah untuk mengucap kalimah syahadah. Kita juga perlu korbankan masa dan komitmen untuk kewajipan lima waktu dalam sehari. Kita perlu korbankan harta dan wang ringgit untuk berzakat. Dan kita juga menyerahkan seluruh kehidupan untuk menunaikan haji. Bagi ibadah puasa, ia adalah pengorbanan nafsu.

Dalam bulan puasa ni, nak balik ke rumah dari pejabat pun jalan sesak luar biasa. Waktu tengah hari pun panasnya boleh tahan juga. Semakin banyak pula makanan yang sedap-sedap di bazar Ramadhan. Santapan mata pun tiada kurangnya macam hari biasa. Itu semua dugaan kerana berpuasa itu mendidik kesabaran.

Di dalam amalan puasa itu terdapat nilai-nilai pengorbanan dan kesabaran. Ikutlah cara yang disyariatkan. Kalau kita masih banyak songel lagi tentang hukumnya, itu maknanya kita tidak faham mengapa perlu puasa. Soal faedah kesihatan badan atau selainnya, itu semua manfaat sampingan sahaja.

Semoga bulan Ramadhan tahun ini meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah. Sama-samalah kita berusaha. Selamat berpuasa untuk semua!

No comments: