Followers

Thursday, August 27, 2009

Beautiful mind

Tajuk buku: How to have a beautiful mind
Penulis: Edward De Bono
ISBN: 978-0091894603
Tarikh terbit: 28 April 2008
Penerbit: Trafalgar Square
Bilangan halaman: 240
Harga: RM 59.90
De Bono menjelaskan bahawa minda atau pemikiran yang bijak adalah lebih utama daripada paras rupa atau penampilan fizikal yang menarik.

'Beautiful mind' yang dimaksudkan ialah mengenai wujudnya kepelbagaian aspek atau perspektif pemikiran. Dan orang yang cantik pemikirannya ialah yang menghormati dan mengambil manfaat daripada pendapat orang lain. Misalnya, saya suka karipap Mak Siti kerana intinya pedas. Sedangkan anda pula tidak suka kerana saiznya terlalu kecil. Itu adalah penilaian yang berbeza. Kedua-duanya betul dan masing-masing ada alasan tersendiri.

Orang yang cantik mindanya tidak memaksa orang lain ikut cara pemikirannya. Begitu juga tidak semestinya dia ikut cara pemikiran orang lain. Dia menghormati jika menolak dan menghargai jika menerima.

Cuba perhatikan, alangkah cantiknya ungkapan-ungkapan di bawah ini jika diajukan dalam perbualan. Berbanding ucapan-ucapan mencabar, mencari kesilapan dan menduga kepandaian orang, ia kelihatan kurang ajar dan biadap. Contoh ucapan untuk menolak pendapat orang lain ialah seperti berikut:
  • "Saya bersetuju dengan pendapat awak. Tetapi elok juga kalau...." (menolak tetapi bersopan)
  • "Memang benar kata-kata awak. Tetapi saya mempunyai pandangan yang berbeza." (bukan suruh orang ikut cakap dia saja!)
  • "Idea awak memang bagus dan sesuai untuk kes lain... Tetapi bagi kes ini, saya berpendapat..." (menghargai pendapat orang walaupun ingin memberi cadangan lain)
  • "Perkara itu memang menarik!!!" (tunjukkan minat)
Fakta unik yang saya temui dalam buku ini ialah De Bono memberi contoh mengenai status hadis Rasulullah yang perlu difahami dan diambil manfaat daripadanya. Ayatnya berbunyi begini:
"If you hear that the prophet Muhammad in the Hadith (his own saying) has several references to 'thinking', you may want to know what these references are."
Bagi saya, buku ini memang baik bagi meningkatkan cara pemikiran kita, menjadi orang yang beradab dan mengambil manfaat daripada orang lain. Ada kalanya kita rasa kita cukup bagus sedangkan kita masih kurang sopan ketika berbincang. Ahli bijak pandai kata, semakin banyak kita belajar, sepatutnya kita akan rasa makin banyak yang perlu dipelajari. Buruk akibatnya jika orang pandai mudah merasa cukup dengan apa yang diketahuinya.

Elok juga kalau kita ambil manfaat daripada buku ini. Kalau tidak banyak, sedikit pun jadilah...

2 comments:

Melihat Kesunyataan said...

Fadzli,
Bagus ulasan tentang pemikiran yang cantik ini. Dalam kehidupan seharian Rasullalah juga banyak contoh-contoh pemikirannnya yang cantik.

Fadzli Abu Bakar said...

Terima kasih, insyaAllah saya akan terus meningkatkan pembacaan buku-buku lain... Mohon tunjuk ajar daripada tuan...