Followers

Thursday, August 20, 2009

Titik-titik hitam dan putih

Rasulullah SAW. pernah bersabda daripada riwayat Ibnu Majah yang bermaksud, "Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya satu titik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam."
Cuba bayangkan, ada berapa titik hitam dalam hati kita? Dan berapa banyak kalikah kita memadam titik-titik hitam itu satu persatu? Apa agaknya warna hati kita sekarang? Jika semakin hitam, maka semakin liatlah kita melakukan ibadah.

Dalam sehari, ada berapa banyak kebaikan ataupun keburukan yang kita lakukan? Berapa kali kita meninggalkan solat? Berapa peratuskah kita melaksanakan amalan-amalan yang diwajibkan kepada kita dengan baik?

Kalau tidak pernah ataupun jarang sekali meninggalkan solat, adakah kita menjaga hubungan baik sesama manusia? Ataupun makin rajin kita bersolat, semakin hebat kita mengumpat, mengutuk dan menyakiti hati orang lain?

Ini semua soal hati. Soal hati tidak semestinya berkaitan cinta sahaja. Hati memang tempat menyimpan perasaan. Tetapi hati juga pendorong kepada amalan baik dan buruk, bahkan ia lebih dahulu daripada akal dalam menghasilkan sesuatu tindakan.

Allah pula berfirman dalam surah al-Muthaffifiin ayat ke-14 yang bermaksud, "Sebenarnya ayat-ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka telah diseliputi kekotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan."

Kebaikan dan keburukan itu merangkumi hubungan kita dengan Allah dan juga dengan manusia. Adakah cukup kita menjaga salah satu daripadanya sahaja? Lebih teruk lagi kalau mengabaikan kedua-duanya?

Segalanya terletak pada hati. Jika hati kita baik, maka baiklah seluruh jasad. Maka begitulah keadaan sebaliknya.

1 comment:

suhaimibillionaire said...

keep up a good. Jihad, bro. Excellent!