Followers

Sunday, September 13, 2009

Beza antara temujanji dengan Tuhan, dengan insan istimewa...

Apakah perbezaan antara persiapan temujanji kita menghadap Tuhan, dengan temujanji kita berjumpa insan istimewa dalam hidup kita?
Biasanya begini...

Temujanji dengan insan istimewa: Berpakaian cantik dan kemas. Pakaian paling baru dan sempurna dikenakan pada badan. Cantik molek. Kebersihan tahap maksimum. Mandi dahulu sebelum keluar. Gosok gigi dan mencuci mulut terlebih dahulu. Berwangi-wangian sehingga kalau lalu di suatu kawasan, bau wangi tertinggal di situ seketika. Harum semerbak. Wajah pun ceria. Kalau ada kereta, yang paling besar akan dipandu.

Temujanji dengan Tuhan: Baju Melayu dan kain pelikat belum tentu digosok rapi. Mungkin pakai yang lusuh pun tidak mengapa. Kalau di rumah, ada yang pakai singlet buruk, asalkan menutup aurat, katanya. Kebersihan sekadar suci daripada najis. Kalau bukan dalam hadas, belum tentu lagi kita mandi dahulu sebelum bersiap untuk ke masjid. Ada yang sampai ketiak pun berbau. Kalau di bulan Ramadhan, ketika berterawih mulut berbau pun dibiarkan. Bila melafaz ucapan 'Amin...', aromanya sampai kepada makmum di sebelah, bahkan boleh sampai ke sebelah lagi. Kalau ada kereta besar, simpan di rumah. Pergi ke masjid berjalan kaki, naik motor kapcai ataupun kereta kecil sahaja. Kereta besar hanya untuk ke tempat yang lebih istimewa daripada itu?

Kurang istimewakah masjid itu? Atau temujanji dengan Tuhan itu kurang utama? Atau memang sengaja diletakkan sebagai perkara nombor dua, ketiga, keempat ataupun ke 99 dalam hidup kita?

Allah tidak hanya memandang kepada rupa kita. Tetapi lebih menilai hati. Kalau kita tidak mampu berhias, Allah tetap menerima amalan kita. Namun sekiranya nikmat itu berlimpah-ruah, alangkah baiknya kalau kita persembahkan yang terbaik untuk bertemu dengan Tuhan. Apakah nilai hati itu jika harta yang ada tidak mahu digunakan ke jalan Allah?

Berpakaian kemas, berwangian, memakai yang terbaik dan bersuci terlebih dahulu adalah yang terbaik sebelum bertemu Tuhan. Dia yang maha memberikan rezeki. Bersyukurlah dengan rezeki itu dengan menggunakannya untuk menambah kualiti ibadah kita.

No comments: