Followers

Monday, October 19, 2009

Perihal api, lu fikirlah sendiri...

Melihat unggun api. Kayu-kayu kering semakin rapuh dijilat api rakus yang tidak kenal erti kenyang itu.
Di sebuah lembah, ada seorang penggembala kambing. Dia tinggal di tempat yang subur. Kambingnya sihat-sihat belaka. Anak dan isterinya juga sentiasa sejahtera.

Di sebuah lembah lagi, ada juga seorang penggembala. Subur juga tempatnya. Tetapi kambingnya kurus-kurus. Kurang sihat pula. Dia masih bujang, tetapi lebih lama mengembala.

Saya bertanya kepada penggembala kedua, “Apa khabar? Ada baguskah?”

Dia menjawab, “Bagus? Kau tak nampak kambing aku kurus-kurus? Aku juga masih bujang. Tidak seperti si fulan di lembah sana. Keluarganya bahagia dan ternakannya sihat-sihat belaka.”

Saya memberi syor, “Marilah kita berdoa supaya kau juga dikurniakan rezeki dan jodoh seperti itu. Agar kau juga turut bergembira.”

Dia menjawab, “Saya tidak mahu.”

Saya mengesyorkan lagi, “Saya ada sedikit modal. Mahukah jika saya dermakan untuk tuan gunakan bagi mendapat kambing-kambing yang sihat? Saya juga boleh rekomenkan seorang wanita bujang untuk menjadi isteri tuan.”

Dia menjawab, “Tidak mahu.”

Saya bertanya lagi, “Jadi, apakah yang tuan mahu?”

Dia menjawab, “Saya mahu si penggembala itu mati bersama-sama dengan kambing-kambingnya. Dan saya mahu siksa anak isterinya. Kalau saya tiada kambing gemuk, orang lain juga jangan ada. Kalau saya tiada kebahagiaan berumah-tangga, orang lain juga akan saya hapuskan kebahagiaannya.”

Saya menjawab, “Kalau begitu, tak dapek eden menolongnyo…. Ekau beristighfar dan berzikirlah banyak-banyak. Semoga Allah memberi petunjuk dan melunakkan hati ekau."

Allah berfirman dalam surah az-Zumar ayat ke-53yang bermaksud, "Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Begitulah al-kisahnya...
Melihat bara… Akhirnya padam juga api. Itu pun bukan kerana ia dipadamkan. Tetapi ia terpadam sendiri, kerana tiada kayu lagi yang boleh dimamah. Dunia oh dunia... Manusia oh manusia...

1 comment:

Melihat Kesunyataan said...

Fadzli,
Cerita yang cantik pengajarannya. Sikap ini banyak terdapat di kalangan orang kita...terutama bila merujuk dalam bisnes.