Followers

Wednesday, December 23, 2009

Gajah Lawan Badak Air

Pada suatu hari gajah menengking kura-kura, "Nyah engkau dari laluan aku. Ke tepi! Jangan halang jalan aku. Aku lebih kuat daripada engkau. Sekali aku pijak, penyek engkau nanti."

Kura-kura yang berada di tengah jalan tidak gentar dan menjawab, "Kalau berani, pijaklah..."

Selesai mencabar, kura-kura masuk ke dalam cengkerangnya. Gajah pun memijak kura-kura. Bagaimanapun pijakan itu tidak memberi kesan. Kura-kura berkata, "Belum tentu engkau besar, bermakna engkau lebih kuat daripada aku."

Gajah mencabar, "Kalau begitu, marilah kita beradu kekuatan." Kura-kura menyahut cabaran itu, "Esok pagi kita lawan tarik tali. Tunggu aku di belakang pokok besar di tepi sungai."

Keesokkan hari, kura-kura bertemu dengan seekor badak air di sungai dan berkata, "Aku lebih kuat daripada engkau." Badak air tergelak mendengar kenyataan kura-kura, "Kih kih kih kih".

"Marilah kita beradu kekuatan. Kita lawan tarik tali nak?" Kura-kura mencabar badak air dan dia bersetuju.

"Kalau begitu, kau pegang hujung tali ini. Aku akan tarik dari belakang pokok besar di atas sana. Kita akan mula lawan tarik tali bila aku jerit 'tarik' ok?" Kura-kura memberikan hujung tali kepada badak air. Manakala pangkalnya dibawa ke belakang pokok besar tempat dia berjanji untuk bertemu dengan gajah.

Kura-kura berkata kepada gajah, "Nah, pegang hujung tali ini. Aku akan tarik dari tebing sungai di bawah sana. Kalau aku jerit 'tarik', maka perlawanan pun bermula."

Kura-kura pun bersembunyi di tengah-tengah. Gajah dan badak air tidak saling kelihatan kerana dihalang oleh jarak dan pokok besar. Kura-kura pun menjerit, "Tarik!!!"

Bermulalah perlawanan tarik tali itu. Ianya suatu perlawanan sengit kerana gajah dan badak air sama-sama kuat. Mereka beradu sehingga kedua-duanya kehabisan tenaga. Padahal mereka tidak tahu bahawa yang bertanding itu sebenarnya pihak lain. Sekarang gajah rasa kura-kura itu kuat dan begitu juga dengan badak air yang mula percaya tentang kekuatan itu.

5 comments:

Que Ling said...

menarik cite nie, mesti ada maksud yg tersirat ke utk hiburan je??

Anonymous said...

gud wan

FadzliAbuBakar said...

Que Ling, cerita2 yang saya tuliskan adalah bebas untuk diinterpretasikan oleh semua pembaca. Ia sesuai mengikut pelbagai persepsi anda.

lankapo said...

mm pada pendapat ambo,

kita kena ada konfiden dan bijak dalam menyelesaikan masalah.

tak semestinya kita kecil tapi kita tidak buleh melakukan dan menyelesaikan masalah yg besarr

FadzliAbuBakar said...

betul tu... saya sokong pendapat anda