Followers

Wednesday, December 9, 2009

Idea untuk menabur janji

Alangkah baiknya kalau kita dapat menunaikan sesuatu itu lebih daripada yang dijanjikan. Tetapi mampukah kita?

Mungkin kita tidak mampu sepenuhnya.

Daripada pergaulan saya dengan orang-orang tertentu, saya dapati mereka selalu berada lebih awal daripada yang dijanjikan.

Contohnya jika kita menghantar komputer untuk diservis. Mengikut prosedur dalaman, komputer itu boleh siap dibaiki dalam tempoh satu minggu. Seterusnya tauke kedai tidak berjanji menyiapkannya dalam tempoh seminggu. Tetapi dia berjanji bahawa ia akan siap dalam tempoh dua minggu kerana dikhuatiri akan berlaku hal-hal yang membuatkannya terpaksa lewat untuk menguruskannya.

Dalam kes itu, di peringkat awal penghantaran kita akan bersetuju dan bersedia menunggu selama dua minggu untuk mendapatkannya semula. Apa perasaan kita kalau komputer yang dijanjikan siap dalam tempoh dua minggu hanya boleh siap dalam seminggu sahaja? Tentu seronok kan? Kita akan terkejut dan berkata, "Eh, kata siap dua minggu. Ni seminggu dah siap. Baguslah."

Bagaimana pula kalau kita dijanjikan siap tiga hari. Tetapi akhirnya selepas dua minggu baru siap? Panas hati?

Dalam konteks menepati masa pula, ada baiknya kalau kita anjakkan waktu perjanjian. Kalau kita menjangkakan boleh tiba di suatu tempat pada jam 3, misalnya. Maka kita meletakkan janji akan tiba jam 3.30 ataupun jam 4.00.

Ia bukan teknik menipu. Tetapi adalah suatu usaha supaya kita menyediakan peruntukan masa lebihan. Ia juga suatu perancangan yang realistik dalam sesetengah keadaan. Malang tak berbau, mungkin kita tidak menyangka akan terkandas di kesesakan jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat temu janji. Ataupun kita terkhayal seketika.

Ini semua suatu pandangan peribadi daripada saya. Sama ada ia sesuai untuk diaplikasikan ataupun tidak, bergantung pada para pembaca.

No comments: