Followers

Wednesday, December 2, 2009

Main komputer atau guna komputer?

Suatu masa dahulu ketika penggunaan komputer dan internet baru mula berkembang, orang masih 'jakun' dengan teknologi itu. Maka, apabila menggunakannya kita akan mengaitkan komputer itu sebagai sesuatu yang menyeronokkan sahaja. Oleh itu, kita akan berkata, "Saya sedang main komputer." ataupun "Saya sedang main internet."
SEWAKTU perisian Windows belum meluas, iaitu sebelum Windows 3.1.1 dan Windows 95 diperkenalkan, berkerja menggunakan komputer masih dianggap sukar. Menulis dengan pen dan kertas lebih mudah berbanding menaip menggunakan komputer.

Mungkin ia timbul kerana pengetahuan dan kemahiran komputer di kalangan kita masih cetek lagi. Ataupun kemampuan komputer ketika itu tidaklah sepintar dan sangat berkuasa seperti komputer pada hari ini.

Cakera liut (soft disk) dan disket floppy yang hanya boleh menyimpan fail sebesar kurang 2 megabyte diusung ke sana dan ke mari. Sehingga ada yang berbangga kerana memiliki teknologi simpanan data itu, yang menunjukkan dia ialah pengguna komputer.

Namun pada hari ini komputer sangat berkuasa, pintar, murah dan memudahkan sebarang pekerjaan. Sesiapa yang cetek kemahiran komputer memang ketinggalan seperti masih merangkak sedangkan orang lain sudah jauh berlari ke hadapan.

Komputer dan internet menjadi alat komunikasi yang praktikal dan menjimatkan. Ia juga menjadi sistem simpanan data yang efektif dan menjimatkan ruang. Juga sebagai pemproses maklumat yang sangat berkuasa. Bahkan menjadikan segala maklumat berada di hujung jari sahaja dan boleh diperolehi dalam sekelip mata.

Cuma sehingga kini saya masih tidak faham. Kenapa perlu ada agensi atau pihak tertentu yang masih berfikiran kolot terhadap penggunaannya? Sama ada mereka berfikir untuk menyalahgunakannya ataupun terlalu mengongkong penggunaan orang lain.

Sebagai ibu bapa, mungkin lebih baik mengawal penggunaan komputer di rumah kerana anak-anak masih di peringkat "bermain komputer". Tetapi bagaimana pula dengan di pejabat atau tempat berkerja? Lebih ramai yang masih "bermain" ataupun lebih ramai lagi yang "menggunakannya"? Ada kalanya catuan atau limitasi penggunaan internet itu sangat menyusahkan. Oleh itu, saya berpendapat sekatan internet di pejabat itu sangat primitif dan menyekat kerja saya juga. Bagaimana dengan pendapat anda?

No comments: