Followers

Saturday, August 29, 2009

Selamat menyambut hari ulang tahun kemerdekaan ke-52

Saya ingin mengucapkan selamat menyambut hari ulang tahun kemerdekaan negara kita yang ke-52. Tema kita pada tahun ini ialah, 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Sambutan kemerdekaan tahun ini dijangka akan diadakan di Bangunan Parlimen dengan mengambil kira langkah pengawalan influenza A H1N1 dan menghormati bulan Ramadhan.

Dalam tempoh 52 tahun kita merdeka ini, marilah kita renungi semula apakah pencapaian yang telah kita raih. Sekuat manakah integrasi kaum yang telah kita bina selama itu?

Elok juga sambutan kemerdekaan tahun ini jatuh pada bulan Ramadhan yang mulia. Semoga kita semua beroleh berkat dan keredhaan daripada-Nya. Tapi tak tahulah kalau masih ada mentaliti 'celebrate' merdeka dengan cara yang tidak diketahui asal-usulnya. Menjerit, melolong dan berpesta bagai... tiada signifikasi langsung dengan kemerdekaan. Harap-harap pada bulan Ramadhan ini, sambutan tidak berasas itu tidak berlaku.

Sepatutnya kita lebih merenung masa depan. Sejauh manakah nikmat kemerdekaan ini akan kita sama-sama pertahankan?

Begitu juga kita sepatutnya mengimbau kembali perjalanan memperjuangkan kemerdekaan pada tahun 1957 dahulu. Mungkin dengan itu kita akan lebih menghayati. Bagi yang ingin menyingkap semula proses ke arah kemerdekaan yang diperjuangkan dahulu, bolehlah klik di sini.

Thursday, August 27, 2009

Beautiful mind

Tajuk buku: How to have a beautiful mind
Penulis: Edward De Bono
ISBN: 978-0091894603
Tarikh terbit: 28 April 2008
Penerbit: Trafalgar Square
Bilangan halaman: 240
Harga: RM 59.90
De Bono menjelaskan bahawa minda atau pemikiran yang bijak adalah lebih utama daripada paras rupa atau penampilan fizikal yang menarik.

'Beautiful mind' yang dimaksudkan ialah mengenai wujudnya kepelbagaian aspek atau perspektif pemikiran. Dan orang yang cantik pemikirannya ialah yang menghormati dan mengambil manfaat daripada pendapat orang lain. Misalnya, saya suka karipap Mak Siti kerana intinya pedas. Sedangkan anda pula tidak suka kerana saiznya terlalu kecil. Itu adalah penilaian yang berbeza. Kedua-duanya betul dan masing-masing ada alasan tersendiri.

Orang yang cantik mindanya tidak memaksa orang lain ikut cara pemikirannya. Begitu juga tidak semestinya dia ikut cara pemikiran orang lain. Dia menghormati jika menolak dan menghargai jika menerima.

Cuba perhatikan, alangkah cantiknya ungkapan-ungkapan di bawah ini jika diajukan dalam perbualan. Berbanding ucapan-ucapan mencabar, mencari kesilapan dan menduga kepandaian orang, ia kelihatan kurang ajar dan biadap. Contoh ucapan untuk menolak pendapat orang lain ialah seperti berikut:
  • "Saya bersetuju dengan pendapat awak. Tetapi elok juga kalau...." (menolak tetapi bersopan)
  • "Memang benar kata-kata awak. Tetapi saya mempunyai pandangan yang berbeza." (bukan suruh orang ikut cakap dia saja!)
  • "Idea awak memang bagus dan sesuai untuk kes lain... Tetapi bagi kes ini, saya berpendapat..." (menghargai pendapat orang walaupun ingin memberi cadangan lain)
  • "Perkara itu memang menarik!!!" (tunjukkan minat)
Fakta unik yang saya temui dalam buku ini ialah De Bono memberi contoh mengenai status hadis Rasulullah yang perlu difahami dan diambil manfaat daripadanya. Ayatnya berbunyi begini:
"If you hear that the prophet Muhammad in the Hadith (his own saying) has several references to 'thinking', you may want to know what these references are."
Bagi saya, buku ini memang baik bagi meningkatkan cara pemikiran kita, menjadi orang yang beradab dan mengambil manfaat daripada orang lain. Ada kalanya kita rasa kita cukup bagus sedangkan kita masih kurang sopan ketika berbincang. Ahli bijak pandai kata, semakin banyak kita belajar, sepatutnya kita akan rasa makin banyak yang perlu dipelajari. Buruk akibatnya jika orang pandai mudah merasa cukup dengan apa yang diketahuinya.

Elok juga kalau kita ambil manfaat daripada buku ini. Kalau tidak banyak, sedikit pun jadilah...

Wednesday, August 26, 2009

Rumah Diri...

Kita membina rumah diri
tahun demi tahun
tiangnya adalah takwa
pintunya adalah akidah
kuncinya adalah karsa
dindingnya adalah dakwah
jendelanya adalah jauhari

Ini rumah sakinah
kamar karisma kian terkunci
di hujung dan awal tahun
si pencari dengan ruang ragunya
bukalah pintu-tingkap amarahmu
benarkan cahaya iman
keluar masuk
hari-hari yang mendatang
tanpa sangsi.
Shapiai Mohd. Ramly
Berita Minggu, 25 Februari 2007

Tuesday, August 25, 2009

Keris Sebilah Itu dan Mazhab Cinta

Keris Sebilah Itu adalah buku yang menghimpunkan lebih 100 buah puisi yang dikarang oleh Shapiai Mohd. Ramly.
Mazhab Cinta pula adalah himpunan 20 buah puisi terbaik yang dikarang oleh W.B. Rendra.

Pada pagi ini saya mendapat hadiah yang sangat berharga, iaitu buku bertajuk Keris Sebilah Itu dan Mazhab Cinta daripada penulisnya sendiri. Terima kasih diucapkan kepada Tuan Haji Shapiai Mohd. Ramly dan W.B. Rendra atas pemberian itu.

Saya telah mendapat kebenaran daripada penulis untuk berkongsi beberapa buah puisi kandungan buku keris tersebut. Oleh itu saya akan siarkan puisi pilihan saya di blog ini. Selebihnya, anda boleh mendapatkan bukunya yang diterbitkan oleh Citra Kurnia Enterprise.

Monday, August 24, 2009

Apa anda tahu mengenai kaunseling?

Ramai orang salah faham mengenai kaunseling. Ada yang kata, kaunseling itu ilmu memujuk, menyelesaikan masalah orang ataupun suatu kemampuan menguasai pemikiran orang. Benarkah begitu? Allah SWT. berfirman dalam surah az-Zumar ayat ke-9 yang bermaksud, "Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna."
Kaunseling bukan bererti nasihat walaupun terdapat nasihat yang diberikan. Malah kaunselor tidak memberi jawapan secara langsung kepada semua persoalan klien kerana apa yang baik untuk kaunselor tidak semestinya baik juga untuk klien.

Keistimewaan khidmat kaunseling ialah membimbing klien mengenali dirinya yang menyumbang kepada permasalahan yang dihadapi oleh klien. Penerimaan dan perakuan diri adalah penting dalam menghasilkan perubahan diri.

Oleh sebab kaunseling bukan nasihat, maka hubungan kaunseling adalah berbentuk dua hala. Kaunselor cuba memahami dengan cara mendengar dan memberikan layanan serta interaksi yang baik. Manakala klien pula menceritakan masalah mereka dan cuba memahami permasalahan tersebut. Selepas itu, klien akan mengambil tindakan menyelesaikan masalah itu.

Kaunseling menggerakkan klien memahami diri dari segi kelemahan yang menghasilkan masalah dalam hidup dan bagaimana klien terdedah kepada permasalahannya. Oleh itu, fokus perbincangan adalah pada diri klien dan peranannya, bukan masalahnya.

Secara umumnya, kaunseling merupakan satu proses pembelajaran semula. Pembelajaran semula berlaku melalui perkongsian cerita atau penglahiran perasaan. Dengan ini, klien akan mendapat pengetahuan atau maklumat baru hasil daripada interaksi bersama kaunselor. Selain itu, klien mendapat kemahiran baru melalui contoh atau model daripada kaunselor serta melalui main peranan.

Kaunseling merupakan suatu proses yang mempunyai ciri-ciri, iaitu suatu jangka masa tertentu untuk membolehkan klien berubah yang mungkin memerlukan beberapa jam, beberapa sesi atau pertemuan.

Pertukaran aksi dan reaksi antara klien dengan kaunselor turut membantu klien mengenali diri dan persoalan yang dihadapi olehnya. Melalui kaunseling, klien dapat memahami rutin permasalahan manusia, mendapat motivasi, dan memperoleh kaedah pembelajaran yang bersesuaian dengan dirinya.

Oleh itu, proses kaunseling akan bermula apabila ada persetujuan antara dua individu, iaitu klien dan kaunselor untuk melibatkan diri mereka dalam menguruskan sesuatu persoalan atau masalah.

Sunday, August 23, 2009

Ucapan Takziah Kepada Hadijah Jaffri

Ucapan takziah kepada sahabat saya Hadijah Jaffri. Ayahnya telah kembali rahmatullah pada hari ini, iaitu Ahad, 23 Ogos 2009 bersamaan 2 Ramadhan 1430 hijriah. Saya mengetahui berita itu pada jam 6.00 petang tadi. Sama-samalah kita hadiahkan al-Fatihah kepada Allahyarham bapa beliau. Al-Fatihah.
Saudari Hadijah adalah senior saya ketika di sekolah menengah dahulu. Beliau juga adalah guru kepada saya yang pernah memberi tunjuk ajar ketika saya menyiapkan tesis pengajian master psikologi pendidikan di UTM.

Allah SWT. berfirman dalam surah al-Baqarah ayat ke-156 dan 157 yang bermaksud, "...(iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa mushibah, mereka mengucapkan: Innaa Lillaahi Wa Innaa ilaihi Raaji’uun. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk."

Perkembangan Emosi: Faktor Warisan dan Persekitaran

Alhamdulillah, hasil penulisan psikologi saya bertajuk Perkembangan Emosi: Faktor Warisan dan Persekitaran (Aspek Genetik, Pemakanan dan Pencemaran) dimuat naik ke laman web eprint Universiti Teknologi Malaysia. Artikel itu mungkin sudah agak lama. Bagaimanapun saya sekali lagi berbangga kerana hasil penulisan saya digunakan untuk menjadi bahan rujukan di situ.
Artikel itu ditulis mengenai pembentukan/perkembangan emosi manusia dengan aspek pengaruh genetik/perwarisan, persekitaran, pemakanan dan pencemaran. Jika berminat untuk merujuknya, sila klik di sini.

Kesimpulan bagi kandungan artikel tersebut adalah seperti berikut:

Keadaan serta corak emosi seseorang adalah sentiasa berubah-ubah berdasarkan faktor peringkat perkembangan, penetapan genetik dan persekitaran yang dialami.

Faktor genetik merupakan faktor utama terhadap pembentukan asas emosi seseorang. Ia adalah sebagai pemula dan bertindak sebagai acuan kepada variasi perbezaan di antara individu.

Dalam aspek perkembangan emosi, faktor-faktor persekitaran yang dialami oleh seseorang semakin mula mendominasi seiringan dengan peningkatan tahap umur dan pengalaman.

Genetik sememangnya satu faktor pembentuk yang asas namun ia boleh berubah dengan faktor persekitaran yang lebih kuat.

Corak emosi berubah melalui faktor pemakanan kerana makanan boleh menyebabkan perubahan pada fungsi biologi dan psikologi.

Faktor pencemaran lebih mempengaruhi perubahan emosi manusia pada aspek penghasilan rasa tidak selesa dan perubahan suasana secara mendadak.

Boleh dikatakan bahawa faktor perwarisan dan persekitaran merupakan dua faktor utama yang membentuk corak emosi seseorang. Dari sudut penilaian masa, faktor perwarisan memainkan peranan sebagai pelopor peringkat permulaan. Namun peranan kedua-duanya adalah sama-sama kuat.

Friday, August 21, 2009

Di dalamnya ada nilai pengorbanan dan kesabaran

Firman Allah SWT. dalam surah al-Baqarah ayat ke-183 yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, diwajbkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa."

Teringat suatu ketika dahulu saya pernah berbincang dengan seseorang mengenai puasa. Dia menimbulkan persoalan tentang adakah bersahur itu macam mengelat dalam puasa. Menurutnya, perspektif saintifik mengatakan sebahagian besar air yang kita minum menyerap di bahagian salur tekak kita selama beberapa jam lamanya. Bermaksud, kita masih lagi minum walaupun matahari sudah terbit tinggi. Saya tak pasti sama ada faktanya benar ataupun tidak.

Bagaimanapun saya tidak peduli sama ada fakta itu benar ataupun tidak. Perspektif saya pula berbeza.

Pada pandangan saya, maksud puasa itu perlu difahami. Masa zaman kanak-kanak dulu, orang tua kita ajar, kalau tak sengaja makan atau minum, puasa kita tak batal dan boleh diteruskan. Hukum syariat juga kata begitu. Jangan pula kita pelik, mengapa puasa tak batal walaupun dah terminum atau termakan.

Cuba lihat maksud ayat al-Quran di atas. Kita diwajibkan berpuasa supaya kita bertakwa kepada Allah. Tujuan berpuasa bukan semestinya untuk berlapar. Syaratnya ialah menahan diri daripada lapar dan dahaga dan tempohnya dari terbit fajar hingga waktu Maghrib.

Adakah kita boleh mengorbankan seluruh kehidupan kita untuk Allah? Kita perlu korbankan hati dan lidah untuk mengucap kalimah syahadah. Kita juga perlu korbankan masa dan komitmen untuk kewajipan lima waktu dalam sehari. Kita perlu korbankan harta dan wang ringgit untuk berzakat. Dan kita juga menyerahkan seluruh kehidupan untuk menunaikan haji. Bagi ibadah puasa, ia adalah pengorbanan nafsu.

Dalam bulan puasa ni, nak balik ke rumah dari pejabat pun jalan sesak luar biasa. Waktu tengah hari pun panasnya boleh tahan juga. Semakin banyak pula makanan yang sedap-sedap di bazar Ramadhan. Santapan mata pun tiada kurangnya macam hari biasa. Itu semua dugaan kerana berpuasa itu mendidik kesabaran.

Di dalam amalan puasa itu terdapat nilai-nilai pengorbanan dan kesabaran. Ikutlah cara yang disyariatkan. Kalau kita masih banyak songel lagi tentang hukumnya, itu maknanya kita tidak faham mengapa perlu puasa. Soal faedah kesihatan badan atau selainnya, itu semua manfaat sampingan sahaja.

Semoga bulan Ramadhan tahun ini meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah. Sama-samalah kita berusaha. Selamat berpuasa untuk semua!

Thursday, August 20, 2009

Kes Kaunseling: Proses dan Rawatan

BUKU KARYA SAYA, iaitu Kes Kaunseling: Proses dan Rawatan sudahpun berjaya diterbitkan oleh Penerbit UTM, sebagai sebuah buku rujukan akademik... Sila lihat http://www.penerbit.utm.my/cgi-bin/katalog/buku.cgi?id=468 untuk review buku saya... terima kasih
Buku ini ialah kompilasi daripada pelbagai contoh sesi kaunseling yang telah dijalankan. Contoh sesi kaunseling ini dipersembahkan dengan susunan format laporan sesi kaunseling dan proses kaunseling yang diselaraskan.

Setiap kes dimulakan dengan gambaran ringkas permasalahan klien yang mengikuti sesi kaunseling. Seterusnya, disusuli dengan latar belakang masalah, aplikasi teori, proses kaunseling, penilaian, dan ulasan.

Dalam laporan kaunseling ini, teori-teori kaunseling diaplikasikan dan penjelasan tentang teori terbabit turut disertakan. Antara teori yang diaplikasikan ialah Teori Pemusatan Klien, Terapi Rasional Emotif Tingkah Laku, Teori Psikoanalisis, Teori Tingkah Laku, Pendekatan Islam, Teori Gestalt, dan sebagainya.

Melalui laporan dalam buku ini, para pembaca dapat melihat kepelbagaian tingkah laku dan permasalahan masyarakat yang mungkin wujud di negara ini.

Kes Kaunseling: Proses & Rawatan ini boleh dijadikan sebagai bahan rujukan kepada para kaunselor, khususnya yang baru menceburi bidang kaunseling. Hal ini kerana buku ini dapat memberikan gambaran yang cukup jelas tentang amalan sesi kaunseling dan contoh aplikasi mengikut kesesuaian kes.

Buku ini juga sesuai digunakan oleh para guru bagi menangani masalah yang timbul di kalangan pelajar. Bagi para pelajar pula, mereka dapat meningkatkan kefahaman tentang amalan kaunseling. Selanjutnya, bagi masyarakat umum pula, buku ini adalah suatu bahan bacaan yang sangat berguna dalam memperoleh maklumat tentang pengalaman kaunselor dalam sesi kaunseling.

Titik-titik hitam dan putih

Rasulullah SAW. pernah bersabda daripada riwayat Ibnu Majah yang bermaksud, "Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya satu titik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam."
Cuba bayangkan, ada berapa titik hitam dalam hati kita? Dan berapa banyak kalikah kita memadam titik-titik hitam itu satu persatu? Apa agaknya warna hati kita sekarang? Jika semakin hitam, maka semakin liatlah kita melakukan ibadah.

Dalam sehari, ada berapa banyak kebaikan ataupun keburukan yang kita lakukan? Berapa kali kita meninggalkan solat? Berapa peratuskah kita melaksanakan amalan-amalan yang diwajibkan kepada kita dengan baik?

Kalau tidak pernah ataupun jarang sekali meninggalkan solat, adakah kita menjaga hubungan baik sesama manusia? Ataupun makin rajin kita bersolat, semakin hebat kita mengumpat, mengutuk dan menyakiti hati orang lain?

Ini semua soal hati. Soal hati tidak semestinya berkaitan cinta sahaja. Hati memang tempat menyimpan perasaan. Tetapi hati juga pendorong kepada amalan baik dan buruk, bahkan ia lebih dahulu daripada akal dalam menghasilkan sesuatu tindakan.

Allah pula berfirman dalam surah al-Muthaffifiin ayat ke-14 yang bermaksud, "Sebenarnya ayat-ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka telah diseliputi kekotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan."

Kebaikan dan keburukan itu merangkumi hubungan kita dengan Allah dan juga dengan manusia. Adakah cukup kita menjaga salah satu daripadanya sahaja? Lebih teruk lagi kalau mengabaikan kedua-duanya?

Segalanya terletak pada hati. Jika hati kita baik, maka baiklah seluruh jasad. Maka begitulah keadaan sebaliknya.

Wednesday, August 19, 2009

Pertemuan yang menghidupkan inspirasi

"Saya akan muncul semula untuk menghasilkan buku-buku komersil..." Itulah ayat yang muncul dalam hati saya ketika memandu untuk pulang ke pejabat selepas temujanji pagi tadi.

Pada jam 10 pagi tadi, saya menghadiri satu temujanji dengan seorang penulis berpengalaman di Larkin Perdana, Johor Bahru untuk perbincangan mengenai gerak kerja projek penerbitan.

Beliau adalah Haji Shapiai Mohd Ramli yang memperkenalkan dirinya sebagai peminat bidang penulisan, guru dan pendidik. Beliau adalah penulis (walaupun tidak mengaku sebagai penulis dalam blognya) sajak, cerpen dan novel.

Selepas berbincang mengenai tugas utama yang dipertanggungjawabkan kepada kami berdua. Kami berborak mengenai penerbitan dan pendekatan baru dalam penghasilan buku. Saya tertarik dengan perkongsian pengalaman dan pengetahuannya mengenai sejarah Melayu yang mencetuskan idea untuk kami menghasilkan sebuah karya kelak.

Saya berasa gembira dapat kenal dan mesra dengan karyawan yang banyak pengalamannya dalam bidang penulisan ini. Saya harap akan mendapat tunjuk ajar daripada beliau. Mari kita baca sedutan puisi karya beliau... memang indah...
Ini bumi tandus simpati
setiap ketika orang mengusung keranda sengketa
telah dikebumikan kemanusiaan itu
telah ditalkinkan hak asasi
telah ditabalkan kemenangan kebatilan

Setiap saat
kita tersesat
di belukar perasaan
di bakar kekecewaan

Ini bunga amarah berkembangan mekar
ini debu-debu angkuh enggan bersimpuh
keberanian tumbang dalam kekalahan menyerah
makna duka tertulis di depan mata. Luka.

Shapiai Muhammad Ramly
Sri Wangsa, Batu Pahat, Johor.
Berita Harian, Sabtu 18 Julai 2009.

Hendak dijadikan cerita, rakan sepejabat di sebelah meja beliau juga orang sastera. Beliau adalah saudara W.B.Rendra yang terkenal sebagai penghasil cerpen dan novel. Antara karya terkenal adalah Mazhab Cinta yang menghimpunkan 24 buah cerpen beliau yang pernah disiarkan di Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Jendela Selatan dan lainnya.

Kami juga sempat berbincang mengenai penghasilan buku kontemporari remaja. Saya berminat untuk bekerjasama dengan beliau. Semoga perbincangan kami akan berjaya menghasilkan buku-buku santapan motivasi berguna untuk masyarakat kita di Malaysia.

p/s: Hari ini saya memang rasa termotivasi untuk kembali prolifik menghasilkan buku komersil. Dah lama tertangguh (lebih kurang setahun) kerana sibuk menghabiskan pengajian di peringkat Sarjana, tugas di pejabat dan penulisan buku akademik.