Followers

Saturday, October 31, 2009

Cuba Windows 7

Kelmarin, saya ke kedai software untuk mendapatkan DVD Windows Vista. Seorang lelaki Cina di situ mengesyorkan saya Windows 7 dan memberi jaminan bahawa ia pasti lebih baik daripada Vista. Jadi, saya mahu lihat sendiri.
Perisian itu dijadikan system operasi Notebook Dell Inspiron 1420 saya dengan kemampuan Processor Core 2 Duo, 4GB Memory dan onboard graphic card. Sebagai pengguna, saya teruja dengan beberapa pembaharuan padanya termasuk:

1) Cantik: Itu adalah penilaian pertama saya. Skrin saya sedikit malap tetapi selesa dilihat kerana Windows 7 menambah fungsi calibration yang mengawal gamma, brightness, contrast dan clear type font. Paparan window dan desktop juga lebih menarik. Oleh kerana tugas saya banyak terlibat dengan teks, maka secara peribadi saya suka paparan sebegitu.

2) Lebih laju: Mungkin perkara ini agak subjektif untuk dinilai. Yang pastinya, ia lebih laju daripada Vista. Tempoh masa untuk install memang pendek. Sekejap sahaja sudah selesai.

3) Driver sedia ada: Lebih 80% hardware saya diinstall secara automatik. Hanya 2 sahaja yang saya perlu dapatkan daripada internet untuk versi Windows 7.

4) Lebih kemas: Sistem taskbar yang kecil. Sebelum ini taskbar dilabelkan dengan teks dan icon menjadikan bentuknya panjang melintang. Kali ini bentuknya segi empat kecil kerana hanya label icon sahaja yang dipaparkan. Ada pula sistem Aero Peek dan Aero Snap yang membolehkan kita ‘menghendap’ kerja kita yang terlindung seketika.


Wednesday, October 28, 2009

Andakah orang yang betul itu?

Tajuk buku: Courtship After Marriage
Penulis: Zig Ziglar
ISBN: 983-897-009-3
Tahun terbit: 2004
Penerbit: Thomas Nelson

Saya tertarik dengan penulisan buku ini mengenai idea-idea bernas yang boleh kita manfaatkan bagi merapatkan lagi hubungan suami isteri.

Sebelum itu, perlu saya nyatakan terlebih dahulu bahawa saya tidak menafikan kepentingan syariat dan gaya hidup Islam adalah yang terbaik untuk diamalkan dalam keluarga.

Secara umumnya, buku ini memotivasikan diri pembaca untuk menjadi seorang pasangan yang baik.

Mencari pasangan yang baik itu sangat penting. Tetapi buku ini mengingatkan kita supaya terlebih dahulu menjadi orang terbaik buat pasangan kita. Setelah itu, barulah kita boleh menilai sama ada kita perlu menilai yang terbaik ataupun tidak.

Dalam prakata buku ini, penulis memberi komen mengenai suatu perbualan beliau dengan seseorang di sebelahnya dalam kapal terbang. Individu itu memakai cincin perkahwinannya di jari yang salah.

Lantas penulis bertanya, "Cincin kahwin kamu disarung di jari yang salah?" Si pemakai menjawab, "Ya, kerana saya telah berkahwin dengan salah orang (iaitu salah pilih pasangan)."

Penulis memberi komen melalui buku ini, iaitu bahawa ramai orang berpegang pada idea yang salah mengenai perkahwinan dan untuk mendapatkan hubungan yang membahagiakan.

Mungkin tidak mustahil berlaku kesalahan dalam memilih. Namun jika kita mampu berlaku benar terlebih dahulu, melayan dan mendidik dengan betul, maka pilihan yang salah itu boleh menjadi suatu pilihan yang betul.

Namun jika kita berjaya memilih pasangan yang betul sekalipun, tetapi kita sendiri ialah orang yang salah, tidak mampu melayan dan mendidik dengan baik, maka pilihan yang betul itu pula boleh menjadi sebaliknya.

Apakah ukuran antara betul dan salah itu? Bagi kita sebagai orang Islam, ukuran di antara betul dan salah itu ialah syariat Islam. Manakala bagi orang barat pula, saya kurang pasti apa ukuran kebaikan itu pada kaca mata mereka.

Apa yang pastinya, kita perlu menjadi seorang yang betul sebelum menilai pasangan itu betul ataupun salah.

Sunday, October 25, 2009

The tiny frog competition

This is a story about tiny frogs in their tower climbing competition. The winner is a deaf frog. Why? Let see this animation. It has been published by my 4th sibling, Mohd Fahim Abu Bakar from Universiti Malaya.

Friday, October 23, 2009

Tajamkan kapak terlebih dahulu

Setiap hari kita berkerja mengejar matlamat. Namun, kita perlu ada 'life'. Luangkan sedikit masa untuk berehat, bercuti, bersama keluarga dan bergembira. Tubuh badan juga perlu bertenaga. Elok juga kalau ada ambil 'supplement' zat tambahan. Kadangkala kita juga perlu berikan insentif pada diri sendiri.
Tangan merasa lenguh ketika sedang mengangkat barang. Sama ada ianya berat ataupun agak ringan, dalam jangka masa lama ia akan lenguh juga.

Mengangkat segelas air juga begitu, misalnya. Kalau ditatang terlalu lama, tangan akan mula menggigil. Lantas naluri manusia mengarahkan kita untuk meletakkannya di meja. Kalau tiada meja, mungkin ditatang pula dengan sokongan riba. Kemudian jika ia ingin diminum, maka akan diangkat semula.

Pepatah Inggeris mengatakan, "Sharpen your axe".

Ia pepatah yang berkisarkan kisah dua orang penebang pokok (lumberjack).

Salah seorangnya sangat rajin berkerja, bahkan lebih banyak menghabiskan masa dalam sehari untuk menebang pokok berbanding si penebang kedua.

Yang peliknya, si penebang kedua lebih banyak menebang pokok dalam sehari berbanding si penebang pertama. Apakah rahsianya?

Penebang pertama sering mengabaikan masa untuk mengasah kapaknya. Dia juga terlalu banyak kehabisan tenaga kerana tidak berehat seketika dalam waktu berkerja.

Penebang kedua tidak pernah lupa untuk meluangkan sedikit masa menajamkan kapaknya dan berehat seketika.

Manakah yang lebih berkesan? Menebang pokok menggunakan kapak yang tajam ataupun yang tumpul? Manakah yang lebih bertenaga?

Mungkinkah 1 tetakan kapak tajam menyamai 5 tetakan kapak tumpul? Mungkin juga. Kalau begitu ia memang memenatkan. Juga membazirkan tenaga dan masa.

Setiap hari kita berkerja mengejar matlamat. Namun, kita perlu ada 'life'. Luangkan sedikit masa untuk berehat, bercuti, bersama keluarga dan bergembira. Tubuh badan juga perlu bertenaga. Elok juga kalau ada ambil 'supplement' zat tambahan. Kadangkala kita juga perlu berikan insentif pada diri sendiri.

Adakah berehat itu bertentangan dengan konsep displin atau dikaitkan dengan sikap malas? Bagi saya, tidak. Kerana berehat juga perlukan displin dan perlu sesuai pada waktunya.

Wednesday, October 21, 2009

Usaha + pengorbanan = kejayaan

Jangan berbicara tentang kejayaan, jika tidak sanggup melakukan pengorbanan.
Itulah prinsip yang disampaikan oleh seorang pemanggil yang menelefon penyampai radio Hot FM, Farah Fauzana dan Faizal Ismail pada suatu pagi. Ketika itu saya sedang dalam perjalanan ke pejabat.

Saya tertarik dengan falsafah itu. Beliau jadikan inspirasi daripada kata-kata seorang yang berjaya, Syed Mokhtar al-Bukhari.

Memang benar, untuk mencapai sesuatu kejayaan kita perlu berkorban. Tidak kira sama ada ianya pengorbanan masa, wang ringgit dan komitmen. Bahkan, waktu tidur kita juga ada kalanya dikorbankan untuk mencapai sesuatu matlamat.

Kalau kita perhatikan perjalanan orang-orang yang berjaya. Mereka sudah pasti orang yang sebelum ini telah banyak berkorban. Namun apakah yang mereka korbankan? Mereka korbankan perkara yang kecil untuk mendapatkan yang lebih besar. Hanya bentuknya sahaja yang berbeza.

Monday, October 19, 2009

Perihal api, lu fikirlah sendiri...

Melihat unggun api. Kayu-kayu kering semakin rapuh dijilat api rakus yang tidak kenal erti kenyang itu.
Di sebuah lembah, ada seorang penggembala kambing. Dia tinggal di tempat yang subur. Kambingnya sihat-sihat belaka. Anak dan isterinya juga sentiasa sejahtera.

Di sebuah lembah lagi, ada juga seorang penggembala. Subur juga tempatnya. Tetapi kambingnya kurus-kurus. Kurang sihat pula. Dia masih bujang, tetapi lebih lama mengembala.

Saya bertanya kepada penggembala kedua, “Apa khabar? Ada baguskah?”

Dia menjawab, “Bagus? Kau tak nampak kambing aku kurus-kurus? Aku juga masih bujang. Tidak seperti si fulan di lembah sana. Keluarganya bahagia dan ternakannya sihat-sihat belaka.”

Saya memberi syor, “Marilah kita berdoa supaya kau juga dikurniakan rezeki dan jodoh seperti itu. Agar kau juga turut bergembira.”

Dia menjawab, “Saya tidak mahu.”

Saya mengesyorkan lagi, “Saya ada sedikit modal. Mahukah jika saya dermakan untuk tuan gunakan bagi mendapat kambing-kambing yang sihat? Saya juga boleh rekomenkan seorang wanita bujang untuk menjadi isteri tuan.”

Dia menjawab, “Tidak mahu.”

Saya bertanya lagi, “Jadi, apakah yang tuan mahu?”

Dia menjawab, “Saya mahu si penggembala itu mati bersama-sama dengan kambing-kambingnya. Dan saya mahu siksa anak isterinya. Kalau saya tiada kambing gemuk, orang lain juga jangan ada. Kalau saya tiada kebahagiaan berumah-tangga, orang lain juga akan saya hapuskan kebahagiaannya.”

Saya menjawab, “Kalau begitu, tak dapek eden menolongnyo…. Ekau beristighfar dan berzikirlah banyak-banyak. Semoga Allah memberi petunjuk dan melunakkan hati ekau."

Allah berfirman dalam surah az-Zumar ayat ke-53yang bermaksud, "Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Begitulah al-kisahnya...
Melihat bara… Akhirnya padam juga api. Itu pun bukan kerana ia dipadamkan. Tetapi ia terpadam sendiri, kerana tiada kayu lagi yang boleh dimamah. Dunia oh dunia... Manusia oh manusia...

Sunday, October 18, 2009

Mari memakan cili

Merawat luka kehidupan seseorang bukanlah suatu usaha yang mudah. Kita perlu cuci lukanya. Jauhkannya daripada sebarang mekanisme yang boleh mencederakan. Dan juga berikannya antibody yang ampuh, supaya dia lebih kuat menghadapi ancaman pada masa akan datang.

Di luar sana...

Manusia miliki dua sifat, iaitu sifat kemanusiaan dan kebinatangan.

Manusia punyai dua unsur dalam jiwanya, iaitu unsur roh dan jasad.

Manusia juga punyai akal dan nafsu.

Malangnya... ada yang menggunakan kekuatan manusia, roh dan akal; untuk memenuhi serakah kebinatangan, jasad dan nafsunya.

Kita jangan peduli, seseorang yang naif itu pernah berkata apa. Kita perlu memaafkan seseorang yang jahil dan lemah mentalnya. Dan kita perlu ambil kira bahawa dia pernah cedera.

Apakah perspektif anda mengenai kenyataan-kenyataan tersebut? Tepuk dada, tanya selera... Setiap orang tahu tentang apa yang dia lakukan. Kerana setiap perlakuan itu bermula dengan NIAT...

Friday, October 16, 2009

Analogi lubang biawak

Kamu akan mengikut tatacara orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga walaupun mereka itu masuk ke lubang biawak, maka kamu turut serta bersama di dalamnya.
Pernahkah anda mendengar analogi lubang biawak? Selain itu ada yang mengungkapkannya sebagai teori lubang biawak.

Idea itu berkaitan sebuah perspektif doktrin psikologi Islam terhadap teori psikologi barat. Perspektif ini dibangkitkan oleh seorang pakar psikologi klinikal yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang itu, iaitu Prof. Dr. Malik Badri dari Sudan.

Baginya, sebagai orang Islam kita perlulah bersifat kritikal terhadap bidang psikologi barat yang langsung tidak melibatkan unsur kerohanian dalam teori-teori mereka. Sedangkan menurut Islam, diri manusia itu terdiri daripada jasad dan roh.

Oleh itu, teori barat tidak semestinya diambil bulat-bulat tanpa sebarang pertimbangan dan pengkayaan aspek rohani.

Maka apakah pula kaitannya dengan lubang biawak?

Asas hujah Malik Badri bagi doktrin ini ialah bersandarkan kepada hadis Rasulullah SAW. yang diriwayatkan oleh imam Muslim yang bermaksud, “Kamu akan mengikut tatacara orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga walaupun mereka itu masuk ke lubang biawak, maka kamu turut serta bersama di dalamnya.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah yang dimaksudkan itu ialah orang-orang Yahudi dan Nasrani?” Baginda menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka?”

Itulah maksudnya analogi ataupun teori lubang biawak. Orang Islam yang terlalu fanatik dengan teori psikologi barat, diumpamakan seperti mengikut orang-orang Yahudi dan Nasrani sesat hingga boleh masuk sampai ke lubang biawak.

Malik Badri menambah analoginya, bahawa beliau yakin pakar-pakar psikologi Islam masih ramai yang belum terjerumus ke dalam lubang biawak, apatah lagi sudah gemuk dalam lubang itu sehingga tidak dapat keluar lagi.

Berdasarkan idea ini, apakah respons kita? Mahu ikut teori baratkah? Ataupun teori Islam sudah cukup sempurna bagi kita? Ataupun idea ini tidak relevan langsung? Ataupun kita mahu memanfaatkan teori barat, lalu kita perkayakan dengan aspek kerohanian dalam Islam? Terpulang kepada anda…

Sunday, October 11, 2009

Trauma ataupun fobia?

Saya menyedari terdapat sedikit kekeliruan pada penggunaan istilah dan pemahaman terhadap perkataan trauma dan fobia di kalangan masyarakat. Seseorang pernah berkata, "Saya fobia apabila melihat orang marah kerana saya pernah dipukul dengan teruk." Ataupun, "Saya fobia untuk memandu kereta kerana pernah mengalami kemalangan teruk."

Benarkah maksud dan penggunaan istilah itu? Mari kita lihat maksud sebenarnya... Apakah perbezaan di antara trauma dengan fobia?
Apa itu trauma?

Trauma boleh dianggap sebagai kecederaan mental yang menyebabkan seseorang itu berasa ngeri, terancam dan mengimbas kembali peristiwa buruk yang pernah dialami.

Ia berpunca daripada pengalaman buruk yang pernah di lalui seperti pernah menjadi mangsa keganasan, dimaki hamun, diserang penyakit kronik, kemalangan dan cedera teruk.

Contohnya, Ali pernah ditimpa kemalangan jalanraya yang teruk hingga menyebabkan dia trauma untuk memandu kereta. Maka dia katakan, ”Saya masih trauma untuk memandu kereta.” Bukan fobia untuk memandu kerana fobia itu lain maksudnya.

Ataupun, Zila pernah dipukul dengan teruk sehingga menyebabkan dia trauma kerana sering teringat-ingat semula peristiwa itu. Setiap kali dia mengimbas peristiwa itu, dia berasa sangat takut seperti mengalaminya semula.

Apa itu fobia?

Fobia ialah ketakutan tidak terkawal, tidak rasional dan berlaku secara berterusan dalam kehidupan seseorang. Ketakutan itu mendorong seseorang untuk mengelakkan diri daripada objek, aktiviti ataupun situasi yang menimbulkan rasa takut yang tidak sepatutnya.

Contohnya, tidak semua orang takut dengan air. Tetapi orang yang terlalu takut dengan air dianggap mengalami fobia.

Begitu juga dengan ular, tikus, lipas dan sebagainya. Takut berhadapan dengan ular itu normal kerana naluri untuk menyelamatkan diri daripada bahaya. Tetapi terlalu takut apabila melihat ular pula dianggap fobia.

Ada juga orang yang takut berada di tempat orang ramai sehingga menyebabkan dia hilang kewarasan seketika. Itu dipanggil agoraphobia, iaitu fobia dengan keadaan orang ramai.

Semua orang ada perasaan takut. Tetapi ketakutan yang tidak rasional itu adalah abnormal dan diklasifikasikan sebagai fobia.

Thursday, October 8, 2009

Muhammad SAW.: Tokoh teratas dalam susunan orang paling berpengaruh di dunia

Michael H. Hart, penulis buku 100 orang paling berpengaruh di dunia sepanjang sejarah meletakkan Nabi Muhammad sebagai tokoh teratas dan pertama dalam bukunya. Beliau bukanlah seorang Islam. Mengapa?

Antaranya sebab yang dinyatakan ialah baginda telah mengembangkan salah satu agama besar di dunia yang pengaruhnya masih kuat sehingga kini.

Rasulullah juga dinilai sebagai seorang yang telah membina kejayaannya dalam wilayah Arab yang agak mundur pada ketika itu. Sedangkan kebanyakan tokoh-tokoh lain berjaya dalam wilayah yang sudah tinggi kemajuannya.

Baginda ialah seorang pemimpin dalam banyak bidang termasuk agama, politik dan juga sekular.

Monday, October 5, 2009

100 orang paling berpengaruh di dunia

Tajuk buku: 100 Orang Paling Berpengaruh di Dunia Sepanjang Sejarah
Penulis: Micheal H. Hart
Penterjemah: Ken Ndaru, M. Nurul Islam
ISBN: 978-979-19645-8-6
Tarikh terbit: 1 Jun 2009
Penerbit: Penerbit Hikmah, Jakarta
Bilangan halaman: 580
Harga: RP 99,500 (RM37.00)

Buku ini adalah terjemahan daripada buku bahasa Inggeris bertajuk 100 A Ranking of The Most Influential Persons in History kepada bahasa Indonesia.

Edisi pertamanya diterbitkan pada tahun 1978 dan menimbulkan kontroversi di seluruh dunia kerana penulis meletakkan Nabi Muhammad SAW di tempat pertama dalam buku ini.

Buku ini memaparkan biografi orang-orang hebat dan berpengaruh di dunia ini termasuk Nabi Muhammad SAW., Isaac Newton Albert Einstein, Aristotles, Iskandar Zulkarnain dan Voiltaire.

InsyaAllah saya akan kongsikan beberapa bab daripada buku tersebut dari semasa ke semasa melalui blog ini. Sila ikuti...

Thursday, October 1, 2009

ikan emas hidangan istimewa

Pada malam ini, saya dijamu masakan padang di Danau Toba, Medan, Indonesia. Hidangannya adalah ikan emas (dipanggil ikan Leekoh di Malaysia) masak gulai.

Menurut Mr. Jerry, pemandu lawatan kami, ikan emas menjadi santapan istimewa di majlis perkahwinan suku Batak di sini.

"Pengantin perempuan perlu menghantar ikan emas yang telah digulai untuk santapan ibu mertua, menandakan bahawa dia boleh memasak, katanya.

Beliau menjelaskan bahawa ikan itu adalah hasil tangkapan daripada Danau Toba itu sendiri.

"Kalau mahu cuba, malam ini kita cuba memancing ikan emas di sini, katanya lagi.

Kami bersetuju untuk mencuba. 3 batang joran murah dibeli bersama sedikit umpan udang.

Malam ini saya akan memancing ikan emas. Kita lihat hasilnya nanti.