Followers

Thursday, November 26, 2009

Hayati Peristiwa Korban

Di kesempatan ini saya mengucapkan selamat hari raya Aidiladha kepada semua pengunjung blog ini. Semoga pengorbanan kita diterima oleh Allah SWT.

Di sebalik kisah pengorbanan nabi Ibrahim dan anaknya, Ismail AS., kita boleh memahami maksud pengorbanan itu dengan lebih luas. Korban bukan hanya pada sembelihan dan berlaku pada aidiladha sahaja, tetapi merangkumi seluruh kehidupan kita untuk berkorban kepada-Nya. Setiap yang dikorbankan 'kerana Allah' adalah sesuatu yang amat bermakna dan tidak akan merugikan.

Marilah kita sama-sama menghayati firman Allah SWT. dalam surah as-Shaffat yang bermaksud, "Setelah Ismail besar sedikit, Ibrahim berkata kepada anaknya: Hai anakku , bahawasanya aku bermimpi agar aku menyembelihmu, apakah pendapatmu? Ismail menjawab: Wahai bapaku, tunaikanlah apa yang diperintahkan, engkau akan dapati -InsyaAllah aku daripada orang-orang yang sabar. Maka Ismail telah menyerah dirinya dan dibaringkan, Kami berseru kepada Ibrahim: Engkau telah laksanakan mimpimu dengan benar dan bahawasanya Kami akan memberi pembalasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini adalah suatu percubaan yang nyata dan telah kami tebus Ismail itu dengan seekor kibasy yang besar."

Saturday, November 21, 2009

How to simplify your life?

DESIRE DEERA says...
Tajuk buku: How to simplify your life
Penulis: Tiki Kustenmacher dan Lothar J.Steiwert
ISBN: 9780071433860
Tahun terbit: 2004
Penerbit: McGraw-Hill
Buku ini ialah salah satu bacaan yang saya kira sesuai bagi mereka yang kerap dibebani kesukaran dalam menguruskan kehidupan harian, dan menjadikan ia sebagai panduan.

Hasil penulisan Tiki Kustenmacher bersama Lothar J.Steiwert ini lebih menekankan cara mempermudah urusan sehari-hari.

Terdapat 7 langkah utama yang merangkumi aspek keperluan, kewangan, masa, kesihatan dan perhubungan.Penulis banyak menekankan kaedah dan panduan dengan bahasa yang mudah di fahami, terperinci dan sangat membantu. Dalam setiap kaedah yang diberi, penulis menerangkan tentang cara memulakan langkah awal dalam persekitaran hidup dan bagaimana untuk menjadikan ia mudah.

Contohnya, di dalam bab pengurusan masa, penulis memberi gambaran melalui satu hasil illustrasi kecil yang menunjukkan bahawa mulanya pengurusan masa yang baik dan mudah adalah dengan menetapkan tahap keutamaan bagi setiap tugasan.

Mengenai hal itu, penulis menyatakan bahawa, “The secret of successful and happy people, is usually that they are able to concentrate totally on one thing: Try to set a clear priority for your personal and professional tasks."

Lebih menarik lagi, buku ini bukan sekadar memberi tunjuk ajar tetapi ia berkongsi contoh-contoh perbandingan besar di antara kehidupan yang terurus dan sebaliknya, di mana ia berpotensi mempengaruhi tahap kesihatan, emosi dan lain-lain yang merujuk kepada hasil eksperimen oleh golongan profesional dan doktor.

Saya pasti bagi yang membaca dan mencuba kesemua kaedah yang terdapat dalam buku ini, pasti berpuas hati dan akan menjalani kehidupan yang normal dan lebih mudah. Satu berita baik untuk anda, buku ini boleh dibaca dengan paparan terhad. Sila klik di sini.

Friday, November 20, 2009

Kelab Myvi Extreme Malaysia, siswa jelajah 18 kampung

JOHOR BAHRU: Lebih 50 anak muda daripada kelab Myvi Extreme Malaysia skuad selatan yang turut disertai mahasiswa berkonvoi menjelajah ke 18 kampung terpilih di daerah zon D meliputi daerah Kulaijaya, Pontian dan Johor Bahru baru-baru ini menggunakan 25 buah kereta Myvi...

Wednesday, November 18, 2009

Ayam Samurai di Pasaran

Setiap kali ke pasar raya, secara peribadinya saya kurang yakin untuk membeli ayam di situ kerana warnanya agak kemerahan. Pernah sekali saya membelinya, apabila digoreng, ayam itu mengeluarkan sisa darah yang agak banyak. Saya bukanlah mempertikaikan status halal ataupun haram. Tetapi timbul persoalan di minda, adakah penyembelihannya sempurna? Adakah ia dilakukan oleh orang Islam dan ada mengambil berat syarat membaca bismillah ketika menyembelih?
Tujuan penyembelihan haiwan halal untuk dimakan ialah bagi mengeluarkan kotoran pada darah dan mematikan haiwan itu dengan cepat, mudah serta mengurangkan kesakitan.

Bercerita tentang sembelihan, semua orang tahu bahawa ia menentukan sama ada daging itu halal dimakan ataupun tidak. Dalam artikel ini, saya memilih ayam sebagai contoh membincangkan isu penyembelihan ini.

Dunia hari ini serba canggih. Sembelih ayam pun sudah pakai mesin. Gantung ayam berderet-deret, lantas dengan cantasan pisau mesin yang tajam, beratus bahkan beribu ekor ayam dimatikan dengan mesin dalam masa yang singkat.

Biasanya, ayam yang digantung berderet itu diberi kejutan elektrik kecil untuk melemahkan atau membuatkannya pengsan, agar tidak meronta-ronta tatkala mesin menjalankan penyembelihan.

Dr. Sulaiman al-Ashqar dalam bukunya al-ijtihad fi fiqhu-thibbiyah ada menimbulkan isu ini yang mengatakan bahawa penyembelihan sehingga tulang leher terputus terus itu dibolehkan. Namun yang lebih sempurna adalah memotong tenggorok dan dua urat marih sahaja.

Bagaimanapun, beliau berpendapat bahawa bahawa cara penyembelihan mesin ini tidak boleh digunakan di negara Islam kerana hal-hal berikut:

1. Kejutan elektrik atau tindakan memengsankan melemahkan ayam itu boleh menyebabkan darah yang keluar setelah sembelihan itu sangat lambat. Mungkin ada pula ayam yang mati terlebih dahulu akibat kejutan elektrik tersebut.

2. Ada kemungkinan pisau penyembelih yang sudah dilaraskan itu tidak mengena. Akhirnya yang terpotong bukan bahagian leher tetapi mungkin dada ataupun kepala.

Ayah saya (Abu Bakar Othman, 012-7803271) seorang pembekal ayam dan daging di sekitar Senai dan Johor Bahru yang masih mempertahankan kaedah penyembelihan tradisional berasaskan syariat (guna tangan). Baginya, status ayam halal dan disembelih sempurna adalah lebih utama berbanding keghairahan mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda.

Saya sendiri juga akan mengelakkan daripada membeli ayam yang tidak diketahui asal-usulnya. Sebagai anak pengedar ayam dan daging, saya sudahpun banyak melihat tauke-tauke bukan Islam membekal ayam untuk orang Islam. Cara sembelihan dan penyelenggaraannya bertentangan dengan syariat (tidak perlu saya nyatakan di sini).

Namun orang Islam pada hari ini tidak ambil berat tentang hal kesempurnaan penyembelihan itu. Apa yang lebih penting ialah perbandingan harga yang entah berapa sen sahaja.

Monday, November 16, 2009

Rencah Kepemimpinan

Bukan atas dasar paranoid, saya akui bahawa dalam memimpin tidak semestinya setiap orang suka dengan apa yang kita lakukan. Perkara-perkara remeh seperti degil, iri hati, naif, keseronokan ekstrim, cuai dan tidak tahu adalah rencah ataupun boleh juga kita anggap sebagai tidak disengajakan dan merupakan watak-watak biasa dalam sesebuah kelompok.
Terlebih dahulu saya memohon maaf kerana agak lewat mengemaskini blog ini. Sebenarnya kebelakangan ini agak sibuk menyelaras dan mengarah program Jelajah Johor di Zon D pada 14 dan 15 November 2009 lepas.

Program itu adalah suatu penjelajahan berkonvoi untuk menimba pengalaman dan meninjau pembangunan di kampung-kampung. Ia disertai oleh 50 orang kelab Myvi Extreme Malaysia skuad selatan, jurufoto efotosintesis, profesional dan mahasiswa.

Sejak awal saya menguruskan dan mengarah program tersebut, terdapat banyak perkara yang saya perhatikan. Antaranya ialah mengenai trend dan senario kepemimpinan yang berlaku dalam sebuah kelompok yang ramai.

Di sepanjang program itu, ada kalanya saya tertindak dan bersuara tegas. Ada kalanya juga saya bergurau mesra dengan para peserta. Ketika sedang tegas, mungkin ada segelintir kecil yang tidak berkenan. Itu berlaku di kalangan peserta. Begitu juga di kalangan urus setia. Ada yang membantu orang lain tetapi mengelakkan diri daripada membantu saya. Namun saya bersyukur kerana sebahagian besar masih terus berkerjasama dan bergembira dengan perjalanan program tersebut.

Bukan atas dasar paranoid, saya akui bahawa dalam memimpin tidak semestinya setiap orang suka dengan apa yang kita lakukan. Perkara-perkara remeh seperti degil, iri hati, naif, terlalu asyik dengan keseronokan, cuai dan sebagainya adalah rencah ataupun boleh juga kita anggap sebagai watak-watak biasa dalam sesebuah kelompok.

Sebagai pengarah program, ada kalanya saya tidak dapat membiarkan hal-hal kecil mengganggu perjalanan program secara keseluruhan. Matlamat dan objektif perlu diutamakan, manakala masalah-masalah kecil pula perlu diselesaikan kemudian ataupun secara berasingan.

Bagaimanapun, saya berpuas hati kerana program tersebut secara keseluruhannya berjalan dengan baik. Sokongan dan kerjasama semua pihak yang terlibat adalah komponen-komponen penting dalam program ini. Tanpanya, kepemimpinan saya tidak sah bahkan tidak wujud langsung.

Monday, November 9, 2009

Minta duit kopi

Semalam, pada 8 November 2009, saya di sekitar bandar JB menjalankan aktiviti penggambaran untuk sebuah tayangan video (shooting filemlah konon). Lebih kurang jam 1.30 tengah hari, saya bersama adik, jurufoto dan jurukamera menaiki sebuah kereta menuju ke Kotaraya untuk makan tengah hari.
Tiba-tiba kami ditahan seorang polis yang sedang meronda. Lokasinya di Jalan Trus, Johor Bahru. Dia menahan kami supaya berhenti...

Polis: Minta lesen dengan IC. Kenapa tak pakai seat belt? Aku dah pandang-pandang tadi tu, sepatutnya kau pakailah... (dengan suara tegas atau mungkin juga nada samseng)

Adik saya: Minta maaf encik. Kami terlupa pakai. Datang dari sekitar bandar juga. Berjalan dekat-dekat biasanya asyik terlupa. Minta maaf.

Polis itu membelek-belek IC sambil bertanya soalan-soalan yang tidak ada kaitan dengan kesalahan trafik seperti, "Kenapa kau keluar dari simpang sana?" dan "Cantik sport rim kau?"

Saya mula terhidu bahawa dia inginkan sesuatu yang tidak sepatutnya dia minta. Akhirnya lesen dikembalikan kepada adik saya yang memandu kereta.

Polis: Kira selesailah. Bagi la duit minum sikit... Dah bagi lepas ni takkan kosong begitu saja?

Kami tidak memberikannya. Saya ditanya berkerja di mana. Lantas saya mengaku berkerja dalam bidang media dan komunikasi. Serta merta dia memecut dengan motornya. Hilang entah ke mana.

Saya fikir, kalau dia hendak saman pun tidak mengapa. Saya lebih rela membayar saman daripada membayar rasuah. Tetapi, malangnya polis itu terlajak kata kerana sudah meminta. Sekaligus mencemarkan tugasnya sendiri.

Dunia oh dunia. Manusia oh manusia.

Friday, November 6, 2009

Tarzan Metropolitan

Tarzan seorang hero di hutan. Dia ada gajah, monyet dan juga haiwan-haiwan lain yang sentiasa memperhambakan diri kepadanya. Tarzan juga seorang yang bijak dan handal. Cara tarzan mengumpulkan haiwan-haiwan adalah dengan menjerit dan melolong. Lantas mereka pun akan datang berkumpul.

Tarzan tidak fikir perasaan binatang lain kerana dia mengaku dirinya penyelamat serta membawa kemaslahatan kepada flora dan fauna di hutan. Tarzan juga tidak pernah rasa bersalah kerana dia fikir di hutan itu hanya dia seorang sahaja yang manusia.

Itu hidup di hutan bersama haiwan. Bagaimana agaknya kalau tarzan masuk ke bandar? Dia pastinya perlu belajar banyak perkara termasuklah budi bahasa, sopan santun dan erti menghormati orang. Kalau tarzan pernah hidup di hutan bersama-sama haiwan, sikap kasar dan tamadun kebinatangan (saya tidak pasti sama ada binatang bertamadun ataupun tidak) itu janganlah dibawa ke bandar.

Kita janganlah hidup seperti tarzan… Jangan jadi tarzan di hutan metropolitan.

Monday, November 2, 2009

Telinga bernanah jadi photographer

Saya tertarik dengan sebuah posting di blog teman saya. Ia bertajuk 'Telinga bernanah jadi photographer'. Saya kongsikan link blog tersebut untuk para pembaca yang berminat mengetahui isinya. Sila klik di sini.