Followers

Thursday, December 31, 2009

Selamat Tahun Baru 2010

Menjelang jam 12.00 malam, hampir setiap orang mula memikirkan apakah jenis sambutan yang akan dibuat. Saya akan menyambut ulang tahun hari lahir isteri tercinta, iaitu pada 1 Januari 1981.

Bergembiralah dengan sambutan tahun baru malam nanti. Tetapi cuba kita fikirkan apakah signifikannya kita bersuka ria ketika itu? Apakah yang diseronokkan sebenarnya? Itu semua terletak pada penilaian masing-masing. Jika signifikasi itu tiada, maka sedarlah bahawa kita melakukan sesuatu yang tidak diketahui akan hujung pangkalnya. Jika ada, maka teruskanlah.

Sempena tahun baru 2010 ini, marilah kita menyingkap semula tentang apakah yang telah kita lakukan di sepanjang tahun 2009 yang berlalu pergi. Mungkin dalam tidak sedar, kita terlalu asyik tertawa (dengan perkara yang tak berapa nak kelakar), bergolek-golek di katil kemalasan (menikmati rehat yang tidak pernah cukup) ataupun khayal dalam dunia keseronokan (yang sebenarnya tak seronok mana pun). Namun kita terlupa bahawa set pemikiran kita jauh ketinggalan dengan orang yang mengejar kejayaan.

Marilah kita perbaiki semula kekurangan ataupun kesilapan yang telah dilakukan pada tahun lepas. Pandang ke hadapan dengan set pemikiran yang lebih matang. Kejayaan itu boleh dicapai dalam banyak aspek kehidupan. Ia tidak semestinya berbentuk kenaikan pangkat ataupun gaji. Tetapi mungkin juga dicapai melalui sejauh manakah diri kita di nilai sebagai seorang yang diperlukan di sesebuah komuniti.

Cuba kita hayati hadis nabi yang bermaksud, "Sesungguhnya yang terbaik di kalangan kamu adalah yang bermanfaat kepada manusia."

Marilah kita tingkatkan nilai diri. Jangan sampai kewujudan kita tidak memberi perubahan apa-apa pada kehidupan sejagat. Ada dengan takde, sama saja! Mohon dijauhkan dengan keadaan itu...

Tuesday, December 29, 2009

BUKU FREE: Bagaimana Memotivasikan Manusia?

Kalau kita perhatikan, dunia hari ini sangat dipengaruhi oleh wang dan ganjaran material. Sehinggakan apa sahaja yang kita lakukan akan berkisar tentang dorongan untuk mendapatkan wang. "Kalau tak dapat duit, jadi tak payah buat..." Mungkinkah sampai ke tahap begitu?

Di Facebook saya ada menimbulkan isu mengenai apakah benda selain duit yang boleh memotivasikan manusia untuk melakukan sesuatu perkara? Maka ramai yang masih merasa bahawa duit itu suatu pengaruh paling kuat untuk mendorong kita melakukan sesuatu. Lalu, timbul persoalan di minda saya. Adakah manusia sudah tidak memandang nilai-nilai lain selain daripada mendapatkan duit?

Merujuk kepada Arkes dan Garske (1982) dalam buku bertajuk Psychological Theories of Motivation dalam salah satu teori motivasi (Maslow) menyatakan bahawa manusia secara fitrahnya mempunyai dorongan untuk mencapai kesempurnaan kendiri.

Ini bermaksud bahawa duit tidak semestinya satu-satunya nilai yang boleh kita gunakan untuk memotivasikan manusia. Motivasi tidak terkongkong kepada maksud memberi semangat sahaja, maksudnya adalah lebih luas, iaitu termasuk dorongan dan keinginan.

Kesempurnaan kendiri (self-actualization) adalah keinginan untuk kepuasan diri, iaitu kecenderungan untuk menjadi seseorang yang sempurna dengan mencapai potensi diri. Secara ringkasnya ia adalah merealisasikan potensi diri dengan sepenuhnya.

Misalnya, seorang penulis ingin berkarya kerana dia mempunyai potensi untuk menulis. Maka kejayaannya menghasilkan sebuah buku adalah suatu kepuasan kerana dia dapat membuktikan potensinya. Setelah itu, barulah dia layak diberikan ganjaran.

Saya juga akui dan tidak menafikan bahawa duit sememangnya elemen asas untuk kita meneruskan hidup dalam dunia moden ini. Persoalannya, APAKAH perkara selain duit yang boleh memotivasikan manusia untuk melakukan sesuatu pekerjaan? MENGAPA? Sila berikan pandangan yang memfokuskan kepada persoalan tersebut melalui ruangan komen posting ini. Saya peruntukkan tiga buah buku Siri Chit Chat Remaja (kalau bukan untuk anda, mungkin untuk adik-adik membacanya) untuk diposkan kepada pemberi pandangan yang layak diberikan ganjaran. Sila nyatakan nombor telefon atau email untuk kita berhubung lanjut.

Marilah kita sama-sama membuka minda dan cuba berfikir di luar kotak materialistik...

Wednesday, December 23, 2009

Gajah Lawan Badak Air

Pada suatu hari gajah menengking kura-kura, "Nyah engkau dari laluan aku. Ke tepi! Jangan halang jalan aku. Aku lebih kuat daripada engkau. Sekali aku pijak, penyek engkau nanti."

Kura-kura yang berada di tengah jalan tidak gentar dan menjawab, "Kalau berani, pijaklah..."

Selesai mencabar, kura-kura masuk ke dalam cengkerangnya. Gajah pun memijak kura-kura. Bagaimanapun pijakan itu tidak memberi kesan. Kura-kura berkata, "Belum tentu engkau besar, bermakna engkau lebih kuat daripada aku."

Gajah mencabar, "Kalau begitu, marilah kita beradu kekuatan." Kura-kura menyahut cabaran itu, "Esok pagi kita lawan tarik tali. Tunggu aku di belakang pokok besar di tepi sungai."

Keesokkan hari, kura-kura bertemu dengan seekor badak air di sungai dan berkata, "Aku lebih kuat daripada engkau." Badak air tergelak mendengar kenyataan kura-kura, "Kih kih kih kih".

"Marilah kita beradu kekuatan. Kita lawan tarik tali nak?" Kura-kura mencabar badak air dan dia bersetuju.

"Kalau begitu, kau pegang hujung tali ini. Aku akan tarik dari belakang pokok besar di atas sana. Kita akan mula lawan tarik tali bila aku jerit 'tarik' ok?" Kura-kura memberikan hujung tali kepada badak air. Manakala pangkalnya dibawa ke belakang pokok besar tempat dia berjanji untuk bertemu dengan gajah.

Kura-kura berkata kepada gajah, "Nah, pegang hujung tali ini. Aku akan tarik dari tebing sungai di bawah sana. Kalau aku jerit 'tarik', maka perlawanan pun bermula."

Kura-kura pun bersembunyi di tengah-tengah. Gajah dan badak air tidak saling kelihatan kerana dihalang oleh jarak dan pokok besar. Kura-kura pun menjerit, "Tarik!!!"

Bermulalah perlawanan tarik tali itu. Ianya suatu perlawanan sengit kerana gajah dan badak air sama-sama kuat. Mereka beradu sehingga kedua-duanya kehabisan tenaga. Padahal mereka tidak tahu bahawa yang bertanding itu sebenarnya pihak lain. Sekarang gajah rasa kura-kura itu kuat dan begitu juga dengan badak air yang mula percaya tentang kekuatan itu.

Monday, December 21, 2009

Kita Semua Istimewa

Pagi semalam, sewaktu sedang bersiap-siap untuk keluar bersarapan di Tanjong Puteri Golf Resort, Pasir Gudang, saya menonton rancangan Motivasi Pagi di televisyen. Saya tertarik dengan satu kenyataan yang diberikan.

Kenyataan itu mengatakan bahawa setiap orang adalah istimewa dan mempunyai kelebihan. Cuma yang berbeza hanyalah sama ada seseorang itu telah menemukan kelebihan itu dalam dirinya atau belum.

Orang kurang upaya (OKU) juga adalah istimewa dan mempunyai kelebihan. Ada yang boleh melukis menggunakan kaki, misalnya. Ataupun buta tetapi mempunyai deria lain yang sangat peka. Itu semua suatu kelebihan yang tidak semua orang ada.

Bagi kita yang mempunyai kesempurnaan upaya, kelebihan dan keistimewaan itu juga ada. Mungkin kita belum menemukannya dalam diri kita. Ataupun kita tidak sedar bahawa ia adalah suatu kelebihan yang orang lain tidak memilikinya.

Pernah menonton movie DareDevil tak? Saya rasa itu adalah satu contoh orang istimewa yang menemukan kelebihan pada dirinya. Walaupun ia hanya sebuah cerita. Ia suatu contoh melalui lakonan yang boleh kita lihat.

Tuesday, December 15, 2009

Maal Hijrah 1431 dan Tahun Baru 2010

Menjelang awal Muharram tahun 1431 hijrah dan awal Januari 2010, kita semua mula memasang azam untuk berubah pada saat perkiraan kalander itu. Yang mana satukah akan menjadi keutamaan kita sama ada kalander Islam ataupun kalander masihi?
Bagi saya, kalander hijrah itu lebih besar maknanya kerana peristiwa yang berlaku pada awal perkiraan tahun Islam itu sangat bermakna kepada umat Islam. Ianya terkandung kisah mengenai hijrah diri dan maknawi umat Islam pada ketika itu ke tempat yang lebih baik. Umat Islam ketika itu juga meninggalkan harta benda bahkan juga keluarga untuk berpindah ke keadaan yang lebih baik juga.

Segalanya bermula dengan niat. Niat itu letaknya di hati. Kepentingan niat itu jelas dalam hadis masyhur yang sangat signifikan dengan peristiwa hijrah Rasulullah SAW. yang bermaksud, "Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang adalah apa yang diniatkan. Sesiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang mahu dikahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu."

Maka apakah pula niat kita dalam menanam azam dan usaha untuk menghadapi tahun baru akan datang?

Wednesday, December 9, 2009

Idea untuk menabur janji

Alangkah baiknya kalau kita dapat menunaikan sesuatu itu lebih daripada yang dijanjikan. Tetapi mampukah kita?

Mungkin kita tidak mampu sepenuhnya.

Daripada pergaulan saya dengan orang-orang tertentu, saya dapati mereka selalu berada lebih awal daripada yang dijanjikan.

Contohnya jika kita menghantar komputer untuk diservis. Mengikut prosedur dalaman, komputer itu boleh siap dibaiki dalam tempoh satu minggu. Seterusnya tauke kedai tidak berjanji menyiapkannya dalam tempoh seminggu. Tetapi dia berjanji bahawa ia akan siap dalam tempoh dua minggu kerana dikhuatiri akan berlaku hal-hal yang membuatkannya terpaksa lewat untuk menguruskannya.

Dalam kes itu, di peringkat awal penghantaran kita akan bersetuju dan bersedia menunggu selama dua minggu untuk mendapatkannya semula. Apa perasaan kita kalau komputer yang dijanjikan siap dalam tempoh dua minggu hanya boleh siap dalam seminggu sahaja? Tentu seronok kan? Kita akan terkejut dan berkata, "Eh, kata siap dua minggu. Ni seminggu dah siap. Baguslah."

Bagaimana pula kalau kita dijanjikan siap tiga hari. Tetapi akhirnya selepas dua minggu baru siap? Panas hati?

Dalam konteks menepati masa pula, ada baiknya kalau kita anjakkan waktu perjanjian. Kalau kita menjangkakan boleh tiba di suatu tempat pada jam 3, misalnya. Maka kita meletakkan janji akan tiba jam 3.30 ataupun jam 4.00.

Ia bukan teknik menipu. Tetapi adalah suatu usaha supaya kita menyediakan peruntukan masa lebihan. Ia juga suatu perancangan yang realistik dalam sesetengah keadaan. Malang tak berbau, mungkin kita tidak menyangka akan terkandas di kesesakan jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat temu janji. Ataupun kita terkhayal seketika.

Ini semua suatu pandangan peribadi daripada saya. Sama ada ia sesuai untuk diaplikasikan ataupun tidak, bergantung pada para pembaca.

Wednesday, December 2, 2009

Main komputer atau guna komputer?

Suatu masa dahulu ketika penggunaan komputer dan internet baru mula berkembang, orang masih 'jakun' dengan teknologi itu. Maka, apabila menggunakannya kita akan mengaitkan komputer itu sebagai sesuatu yang menyeronokkan sahaja. Oleh itu, kita akan berkata, "Saya sedang main komputer." ataupun "Saya sedang main internet."
SEWAKTU perisian Windows belum meluas, iaitu sebelum Windows 3.1.1 dan Windows 95 diperkenalkan, berkerja menggunakan komputer masih dianggap sukar. Menulis dengan pen dan kertas lebih mudah berbanding menaip menggunakan komputer.

Mungkin ia timbul kerana pengetahuan dan kemahiran komputer di kalangan kita masih cetek lagi. Ataupun kemampuan komputer ketika itu tidaklah sepintar dan sangat berkuasa seperti komputer pada hari ini.

Cakera liut (soft disk) dan disket floppy yang hanya boleh menyimpan fail sebesar kurang 2 megabyte diusung ke sana dan ke mari. Sehingga ada yang berbangga kerana memiliki teknologi simpanan data itu, yang menunjukkan dia ialah pengguna komputer.

Namun pada hari ini komputer sangat berkuasa, pintar, murah dan memudahkan sebarang pekerjaan. Sesiapa yang cetek kemahiran komputer memang ketinggalan seperti masih merangkak sedangkan orang lain sudah jauh berlari ke hadapan.

Komputer dan internet menjadi alat komunikasi yang praktikal dan menjimatkan. Ia juga menjadi sistem simpanan data yang efektif dan menjimatkan ruang. Juga sebagai pemproses maklumat yang sangat berkuasa. Bahkan menjadikan segala maklumat berada di hujung jari sahaja dan boleh diperolehi dalam sekelip mata.

Cuma sehingga kini saya masih tidak faham. Kenapa perlu ada agensi atau pihak tertentu yang masih berfikiran kolot terhadap penggunaannya? Sama ada mereka berfikir untuk menyalahgunakannya ataupun terlalu mengongkong penggunaan orang lain.

Sebagai ibu bapa, mungkin lebih baik mengawal penggunaan komputer di rumah kerana anak-anak masih di peringkat "bermain komputer". Tetapi bagaimana pula dengan di pejabat atau tempat berkerja? Lebih ramai yang masih "bermain" ataupun lebih ramai lagi yang "menggunakannya"? Ada kalanya catuan atau limitasi penggunaan internet itu sangat menyusahkan. Oleh itu, saya berpendapat sekatan internet di pejabat itu sangat primitif dan menyekat kerja saya juga. Bagaimana dengan pendapat anda?