Followers

Wednesday, December 15, 2010

Jangan Cakap...

"WAK, saya tengok wak ni jarang betul sakit dan bermasalah. Tak pernah tengok muka wak bermasalah. Apa rahsia wak? Kalau ada ilmu atau mentera yang diamalkan tu, kongsilah dengan saya..." salah seorang kawan saya, Subandrio kepada Wak Rimon, bapa kepada kawan saya yang lain.

Wak Rimon berusia dalam lingkungan umur 80-an. Berkerja sebagai petani sawah padi. Masih kuat mengusahakan tanahnya sendiri. Semua orang pelik, entah apa rahsia yang diamalkan sehingga dia jarang sakit atau nampak bermasalah.

Ketika ditanya oleh Subandrio dia menjawab dengan serius, "JANGAN CAKAP..."

Kami yang berada di situ terkedu. Masa tu kami sedang makan malam bersama. Agaknya dia tak bagi bercakap semasa makan. Ataupun dia tak suka ditanya begitu.

Tetapi Subandrio ingin tahu juga. Dia tanya lagi, "Wak, apa rahsianya? Kongsilah..."

Wak Rimon menjawab lagi, "JANGAN CAKAP la..."

"Ala Wak... kami pun nak juga sentiasa sihat dan jarang ada masalah." Subandrio tetap dengan pendiriannya kerana ingin tahu.

"Iya... JANGAN CAKAP... Kalau sakit sikit-sikit tu diam saja sudahlah. Kalau ada masalah pun, tak payah nak bising-bising. Makan ubat dan selesaikan saja." Wak Rimon menjelaskan jawapannya sambil tersenyum dan terus menyuap nasi ke mulutnya.

"Ooooohhhh," saya, Subandrio dan kawan-kawan lain baru faham apa maksudnya.

Itu kisah 10 tahun lepas, saya tinggal di rumah seorang kawan di Sekinchan, Selangor. Perkampungan itu adalah kawasan penanaman padi yang cantik dan mendamaikan. Banyak perkara yang saya pelajari di situ. Macam-macam petua dan prinsip orang kampung.

Kini, apabila ramai orang semakin aktif dengan Facebook dan rajin update statusnya mengingatkan saya tentang kisah itu. Memang ada betulnya. Semua orang ada masalah dan pernah sakit. Tapi tak semua orang suka mengeluh dan menceritakan kelemahannya kepada orang lain.

Kita ni memang gatal mulut. Kalau di Facebook, kita gatal tangan :)

Thursday, December 9, 2010

Siapakah yang lebih malang?

SI CELIK berkata, "Malangnya aku tak dapat melihat saat-saat bahagia."

Si rabun pula berkata, "Aku lebih malang sebab aku tak boleh melihat dengan jelas."

Si buta mencelah, "Aku lebih malang sebab aku tak boleh melihat langsung."

Seorang yang pernah sempurna penglihatannya tetapi cedera hingga buta pun menyampuk, "Aku lebih malang sebab aku pernah ada nikmat penglihatan, tetapi nikmat itu hilang."

Seorang pesakit kronik katarak mata pula berkata, "Aku lagi la malang. Susah nak melihat. Kenan tanggung kos perubatan lagi."

Si celik menjawab semula, "Semua tu tak mengapa. Aku yang ada penglihatan normal ni pun tak dapat melihat saat bahagia."

Dialog itu akan berkitar semula menceritakan keadaan masing-masing yang dianggap lebih malang.

Siapa yang lebih malang sebenarnya?

Jika kita bersedih, lihatlah orang yang lebih malang ataupun lebih teruk daripada kita. Nescaya kita akan merasa lebih bersyukur.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Sesiapa yang tidak bersyukur pada yang sedikit, maka dia juga tidak akan bersyukur pada yang banyak."

Adakah kita lebih banyak bersyukur? Bersyukur itu selalu menenangkan hati...

Monday, December 6, 2010

Petanda baik Jika ada orang iri hati kepada kita

Apabila wujud watak-watak iri hati terhadap kita, itu suatu petanda kita sudah melepasi tahap sederhana dalam hidup. Cuma ada lebih kurang 5 peratus sahaja orang yang berada di atas tahap sederhana, iaitu menjadi seorang yang hebat dan berjaya.

Itu maksud kata seorang motivator terkenal, Irfan Khairy dalam artikelnya. Semalam saya terbaca artikel itu di sebuah majalah Solusi dan tertarik dengan pandangannya.

Dalam hidup kita memang wujud orang-orang yang berperasaan iri hati. Bagi saya ia adalah normal kerana manusia ingin bersaing dan menjadi yang terbaik. Jika ia disusuli dengan tindakan dan pemikiran positif, maka hasilnya pun begitu juga akan berbalik kepada kita.

Iri hati itu ada sasarannya yang tersendiri, iaitu iri hati kepada kejayaan dan pencapaian orang lain. Setakat ini belum ada orang iri hati kerana orang lain gagal atau mundur :)

Semoga perkongsian ini memberi semangat kepada kita. Jangan mudah terkesan dengan tindakan iri hati orang lain. Biarlah ia bersemadi dalam diri orang itu sendiri. Jangan usaha kita pula tersangkut disebabkan hati orang lain. Ia tidak berbaloi. Mohon juga dijauhkan daripada persaingan yang negatif dan tindakan hasad dengki.

***

Di kesempatan ini, saya ucapkan selamat menyambut tahun baru Hijriah. Ia suatu detik yang amat bermakna dalam sejarah kita sebagai umat Islam. Tahun baru ini tidak disambut dengan mercun, seks bebas, party, lumba motor dan countdown. Mari kita sambut dengan membaca doa akhir tahun dan awal tahun. Begitu juga dengan niat supaya kita berhijrah seluruh jiwa raga ke destinasi yang lebih baik.


Tuesday, November 9, 2010

Runtuhnya Melayu Singapura

Saya tidak bermaksud menyokong ataupun menolak pendapat dalam artikel ini. Sekadar berkongsi dengan apa yang telah saya baca daripada akhbar Mingguan Malaysia tempoh hari. Selamat membaca dan beri komen...

RUNTUHNYA MELAYU SINGAPURA

Oleh Zainuddin Maidin

DALAM memoirnya, The Singapore Story, Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew menceritakan ketika serangan Jepun ke atas Singapura dalam tahun 1941, beliau yang sedang berjalan kaki dari Teluk Kurau ke Norfolk Road telah melihat orang-orang Melayu mencuri kerusi dan meja dari rumah rumah besar. Tetapi orang-orang Cina mencuri barang-barang keperluan dan barang kecil yang ringan dan lebih berharga.

Sebuah buku lagi mengenai Kuan Yew, The Man and His Ideas telah memetik tulisan seorang sosiologis Barat, Judiht Jumour, isteri kepada seorang profesor antropologi University of London mengenai Malay kinship and Marriage in Singapore akhir 1940 dan awal tahun 1950 yang diterbitkan oleh London School Of Economic.

Jumour mengemukakan perbezaan nilai Melayu dan Cina Singapura. Orang Cina Singapura pada keseluruhannya menganggap pencarian kekayaan suatu matlamat hidup yang sangat penting dan mereka adalah pekerja yang rajin dan peniaga yang berminat. Sebaliknya Melayu Singapura mengutamakan kehidupan yang mudah dan santai.

Sebagai contoh beliau memberikan anekdot tentang seorang jiran Melayunya yang mempunyai suami yang berkerja sebagai pemandu lori berpendapatan $120 sebulan. Suatu hari dia memberitahu bahawa dia sangat gembira kerana suaminya telah mendapat kerja baru menjadi pemandu sebuah van kecil dengan gaji $80 sebulan.

Bagi wanita Melayu ini, keadaan ini adalah lebih baik kerana masa kerja yang lebih pendek dari memandu lori dan kurang memenatkan, suaminya boleh pulang ke rumah lebih awal di sebelah petang dan mempunyai banyak masa untuk bersenang senang, lebih baik dari kerja sehingga pukul 9 atau 10 malam dan mendapat $120 sebulan. Apa gunanya mempunyai gaji besar jika tidak mempunyai masa untuk berehat. Lagipun membawa lori mengotorkan baju, tetapi dengan kerja baru ini, isterinya tidak perlu lagi melakukan banyak kerja membasuh.

Banyak lagi anekdot yang dikemukakan oleh Kuan Yew dalam buku ini yang memberikan persepsinya terhadap nilai dan sikap orang Melayu. Berasaskan kepada perjuangan politiknya sesudah menyertai Malaysia dan setelah keluar dari Malaysia maka jelas bahawa beliau mempunyai pandangan yang sama terhadap orang Melayu hingga hari ini.

Penilaian ini tidak semestinya benar sepenuhnya kerana ketika Kuan Yew melihat orang Melayu tidak tahu menilai mana lebih penting antara perabot atau makanan dalam keadaan peperangan, beberapa orang wartawan Melayu yang diketuai oleh seorang bernama Yusof Ishak berasal dari Perak dengan beberapa orang lagi wartawan dan pekerja bahagian cetakan sedang berkerja di sebuah bangunan di Queen Street Singapura, bagi memastikan akhbar Utusan Melayu dapat berada dipasaran pada esoknya. Mereka tidak mempedulikan bom sedang digugurkan.

Yusof menjalankan amanah Kesatuan Melayu Singapura bagi menerbitkan harian Utusan Melayu memandangkan beliau seorang yang berpengalaman dalam pengurusan akhbar, rajin, komited , dedikasi, jujur dan mendukung semangat kebangsaan yang tinggi. Sebelum itu beliau telah pun berkerja dengan Warta Malaya, akhbar yang dimodali sepenuhnya oleh orang Arab.

Ini adalah kualiti yang jarang ada pada orang Melayu pada masa itu. Beliau merupakan kesinambungan golongan terpelajar Melayu yang telah bangkit dan gigih berusaha meneroka berbagai bidang di Singapura sejak awal tahun 20-an.

Atas kualiti dan nilai-nilai inilah Kuan Yew yang mengenali Yusof lebih 20 tahun sejak beliau menjadi peguam pertama Utusan Melayu, telah melantik Yusof Ishak menjadi Yang Dipertuan Singapura dan seterusnya menjadi Presiden Singapura yang pertama selepas merdeka.

Yusof adalah antara orang Melayu keturunan Minangkabau yang berhijrah dari Semenanjung Tanah Melayu ke Singapura, mendapat didikan Inggeris di Singapura dan memahami sifat dan kualiti yang diperlukan oleh orang Melayu untuk hidup di kota kosmopolitan.

Seorang lagi anak Melayu yang juga dari keturunan Minangkabau yang membuktikan semangat keusahawanan yang tinggi bernama Mohd Eunos Abdullah yang mendapat pendidikan di Raffles Institution Singapura. Setelah tamat pelajarannya pada tahun 1894 beliau menjadi Ketua Pengawas Pelabuhan Singapura dan Ketua Pelabuhan Kecil Muar tetapi menempa nama besar apabila pada tahun 1907 dalam usia 31 tahun telah ditawarkan oleh William Makepeace, tuan punya sebuah akhbar Inggeris yang paling tua di Singapura, Free Press untuk menjadi pengarang edisi Melayu akhbar itu yang dinamakan Utusan Melayu.

Tetapi Utusan Melayu ini bukanlah Utusan Melayu yang dimodali sepenuhnya oleh orang Melayu yang diterbitkan atas tajaan Kesatuan Melayu Singapura dengan Yusuf Ishak sebagai salah seorang penajanya dan menjadi pengarahnya yang pertama yang diterbitkan pada tahun 1939.

Utusan Melayu pimpinan Mohd Eunos telah menunjukkan kebijaksanaan dan kehalusan orang Melayu dalam berinteraksi dengan pemerintah kolonial bagi memperjuang kepentingan masyarakat Melayu.

Umpamanya dalam meminta pemerintah Singapura mendirikan sebuah sekolah pertanian di Singapura, Mohd Eunos menyatakan keyakinan bahawa pemerintah yang senantiasa menggalakkan usaha yang dijalankan oleh orang orang Melayu tentu tidak akan membiarkan rayuan itu berlalu begitu sahaja. (muka 171 Nasionalisme Melayu oleh William Roff terjemahan Ahmad Boestamam. Naskhah asalnya The Origin of Malay Nationalism).

“Sikap tidak memihak yang diperhitungkan dan teguran yang saksama ini memberikan Utusan Melayu ciri-ciri utamanya sebagai sebuah lidah Melayu yang bertanggungjawab yang dapat diterima oleh pihak Inggeris, tetapi tidak pula gentar membela kepentingan Melayu yang ganjil apabila keadaan memerlukan (Lihat The Origin of Malay Nationalism oleh William R.Roff terbitan Universiti Malaya).

Mohd Eunos telah membina kepercayaan masyarakat dan penjajah Inggeris terhadap dirinya sehingga dilantik sebagai seorang Jaksa Pendamai dan sebagai anggota Melayu yang pertama dalam Majlis Undangan Negeri Negeri Selat.

Kegiatannya dalam gerakan sosial dan kebajikan orang Melayu dan Islam menyebabkan beliau kemudiannya telah diberikan kepercayaan untuk menjadi pengasas dan yang Dipertua pertama Kesatuan Melayu Singapura yang merupakan sebuah pertubuhan politik Melayu yang pertama di Singapura dan Semenanjung yang ditubuhkan pada awal tahun 20-an.

Keturunan

Dicatatkan oleh Roff, Mohd Eunos, sebagai seorang rakyat biasa dan bukan keturunan raja lebih mudah mencapai kedudukan ini di Negeri- Negeri Selat daripada di negeri- negeri Semenanjung.

Pemusatan intelek Melayu dari Semenanjung di Singapura adalah oleh kerana suasana yang lebih kondusif, dan bebas untuk perkembangan idea dan juga bagi menjalankan aktiviti yang bersifat kerakyatan.

Ini dibuktikan daripada 13 suratkhabar dan majalah Melayu yang diterbitkan antara tahun 1904 hingga 1918, lapan daripadanya diterbitkan di Singapura.

Buku The Origin of Malays Nationalism juga perihal sebilangan kecil pemuda Melayu yang terpelajar dan berjaya di Singapura dan komited untuk membantu rakan-rakan sebangsa yang berhijrah ke Singapura untuk memajukan diri dalam bidang pelajaran dan mencari peluang pekerjaan dalam kehidupan di Singapura yang amat mencabar.

Dalam tahun 1921, Mohd Eunos bersama -sama dengan Dr. Abdul Samad, doktor Melayu yang pertama dan Tengku Abdul Kadir dari keturunan Istana Kampung Gelam telah menubuhkan Muslim Institute untuk menyediakan tempat tinggal dan memberikan lain-lain bantuan yang diperlukan oleh penghijrah penghijrah sebangsa ini.

Ini adalah berbeza dengan keadaan sekarang, anak-anak Melayu yang berjaya sebagai orang profesional, sebagai usahawan dan sebagainya dengan bantuan biasiswa dan pinjaman, tidak ramai yang menunjukkan kesedaran seperti mereka yang telah berdiri atas kaki sendiri pada awal kebangkitan Melayu di Singapura.

Lebih buruk lagi apabila mereka yang diharapkan oleh pemimpin negara untuk melahirkan lebih ramai lagi orang Melayu yang berjaya atau membiakkan jutawan Melayu setelah mereka berjaya, hanya lebih berjaya melahirkan jutawan yang terdiri dari isteri-isteri yang mereka ceraikan.

Kebanyakan isteri yang diceraikan membuat tuntutan nafkah berpuluh juta malah sampai kepada peringkat beratus juta. Ini adalah antara episod yang telah menutup kejayaan Melayu menerusi Dasar Ekonomi Baru.

Kesatuan Melayu Singapura ditubuhkan oleh orang-orang Melayu yang sedar di Singapura dan melihat kewartawanan sebagai senjata paling berkesan untuk meluaskan lagi kebangkitan dan kesedaran Melayu.

Kebangkitan nasionalisme Melayu di Singapura sebelum serangan Jepun bukannya kerana menentang penjajahan tetapi kerana menentang eksploitasi orang Arab dan juga Jawi Peranakan terhadap orang Melayu. Intelek Melayu hanya menjadi pekerja kepada penerbit akhbar dan majalah yang dimodali dan dipunyai sepenuhnya oleh orang Arab.

Dengan tingkah lalu mereka, keturunan Arab telah meletakan diri mereka lebih mulia daripada orang Melayu, mendakwa diri sebagai keturunan Rasullullah, mahu tangan mereka dicium dan tidak membenarkan anak mereka, Syed atau Syarifah berkahwin dengan orang Melayu.

Penentangan terhadap orang Arab dan Jawi Peranakan ini dijuarai oleh Utusan Melayu sehingga Dato’ Onn mencairkannya demi untuk mengwujudkan perpaduan yang lebih besar di kalangan orang Melayu bagi menentang Malayan Union. Takrif Melayu diperluaskan oleh Dato’ Onn dengan Melayu mencakupi mereka yang beragama Islam dan mengamalkan adat istiadat Melayu.

Selepas Perang Dunia Kedua apabila revolusi Indonesia membahang ke Singapura, penulis dan wartawan-wartawan Melayu serta intelek Melayu telah terdedah dan terpengaruh dengan perjuangan politik nusantara yang dijuarai oleh Sukarno dan politik antarabangsa yang condong kepada gerakan komunis antarabangsa.

Beberapa orang intelek Melayu dari Semenanjung dan juga Singapura berada di hadapan dalam gerakan kiri di Singapura malah seorang wartawan Utusan Melayu Samad Ismail mempunyai pengaruh yang sangat kuat di kalangan kaum pekerja Cina dan kesatuan-kesatuan sekerja di Singapura yang didokong oleh orang-orang komunis seperti Lim Chin Siong, Fong Swee Suan, James Puthucheary , Devan Nair dan lain lain. Maka itu Kuan Yew memerlukan Samad untuk menubuhkan PAP bersama dengannya.

Di tahun- tahun kebangkitan anti kolonialisme di Singapura, nama -nama seperti Kassim Ahmad, Ahmad Mustaffa, Dr. Ungku Omar dan Abdullah Majid merupakan nama-nama besar dalam gerakan nasionalis dan sosialis di kalangan mahasiswa Universiti Singapura. Walaupun jumlah mereka kecil tetapi mereka berjaya meyakinkan bukan Melayu untuk menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam Malaya Merdeka.

Pada masa kebangkitan kaum pekerja di Singapura awal tahun 1950- an, Utusan Melayu tidak dilihat sebagai akhbar orang Melayu tetapi akhbar yang mewakili suara paling berani rakyat semua kaum terutama kaum pekerja bagi menentang penjajahan, suara kesatuan kesatuan sekerja menentang majikan dan kapitalisme.

Operasi

Pejabat Utusan Melayu di 185, Cecil Street, semasa revolusi Indonesia menjadi pusat operasi pejuang-pejuang kemerdekaan Indonesia telah bertukar menjadi pusat pertemuan dan permesyuaratan pemimpin kiri untuk merancang tindakan kebangkitan rakyat memperjuangkan kemerdekaan. Antaranya yang sering datang ke Utusan Melayu masa itu ialah ialah Kuan Yew , Devan Nair (bekas Presiden Singapura , Lim Chin Siong Pemimpin Barisan Sosialis Singapura dan lain-lain nama besar yang menempa sejarah.

Kekalutan dan kehangatan politik Singapura masa itu diceriakan oleh kegiatan sastera, kebudayaan, kesenian dan perfileman Melayu yang menampilkan P. Ramlee, Kasma Booty, S. Romainoor, Umi Kalsum, Osman Gumanti, Nordin Ahmad yang penerbitnya adalah terdiri taikun Cina ,Run Run Shaw dari Hong Kong dan pengarah- pengarah dari orang India.

Di samping itu berkembang dengan hebatnya drama-drama Melayu menampilkan dramatis dan penulis-penulis skrip seperti Kalam Hamidi, Osman Zailani, Fatimah Yassin, Noraini Hashim, Malik Selamat , Rahman B, Aimi Jarr dan Shukor Harun sebagai pengarah.

Juga muncul berbagai majalah hiburan dan pengetahuan seperti Hiburan, Belia, Utusan Filem dan Sport, Mutiara, Gelanggang Filem, Qalam dan banyak lagi. Radio Singapura popular dengan Bangsawan Di Udara.

Bidang kesusasteraan menampilkan nama nama besar seperti Keris Mas, Tongkat Warrant atau Usman Awang , Hamzah, Masuri S.N, M. Amin, Awamil Sarkam, Asni, Adibah Amin dan lain lain.

Kebangkitan intelek Melayu ini senantiasa diikuti oleh anak-anak muda di Semenanjung dan telah memberikan penghayatan dan ikutan kepada mereka untuk bangun dan menjalankan kegiatan yang sama.

Pemindahan Utusan Melayu ke Kuala Lumpur yang kemudiannya diikuti oleh P. Ramlee dan sebahagian besar artis--artis besar Melayu, dramatis dan penulis ternama telah menyepikan Singapura dari kegiatan kesusasteraan dan kebudayaan seolah-olah telah hilang roh dan suara Melayu di pulau itu.

Demikian suatu zaman besar orang Melayu yang telah berlalu di Singapura , zaman kebangkitan perjuangan dan kegiatan orang Melayu yang bersandarkan kepada intelektualisme dan kegiatan yang sihat dan berbudaya dan menunjukkan keupayaan dan keyakinan diri orang Melayu untuk menyesuaikan diri dalam sebuah dunia kosmopolitan yang terbuka sifatnya dengan nasionalisme yang progresif dan dinamik tetapi akhirnya tenggelam dalam arus negara maju Singapura.

Apabila Utusan Melayu meninggalkan Singapura pada Februari 1958 ia seperti membawa bersamanya roh orang Melayu Singapura , berlaku perpisahan persahabatan selama lebih 20 tahun antara penaja Utusan Melayu Yusuf Ishak dengan Samad Ismail dan Samad Ismail dengan Kuan Yew yang menjadi peguam pertama Utusan Melayu.

Perkembangan-perkembangan politik di Singapura yang mengalahkan komunisme, penyertaan dan penyingkirannya dari Malaysia yang memarakkan politik perkauman di Singapura adalah antara faktor besar yang menyebabkan kemunduran semula politik Melayu di Singapura.

Singapura membuat kesilapan politik dengan menyertai pilihan raya Malaysia pada tahun 1964 dan menjual “Malaysian Malaysia” yang menolak kuasa dominan Melayu dan persamaan hak antara semua kaum dan selepas pilihan raya itu pula UMNO mahu mengembalikan dan memacu aliran politik Melayu di Singapura yang kosmopolitan global sifatnya.

UMNO mengambil alih cawangannya di Singapura dan menghantar wakilnya untuk membangunkan semula sentimen dan semangat Melayu di Singapura.

Dalam buku Men in White disebutkan Utusan Melayu yang menyokong PAP di tahun-tahun pembentukannya telah mengangkat pemidang “Agama, bangsa dan tanah pusaka” bersama UMNO, menjadi juara kepada perjuangan nasib Melayu dan menuduh kerajaan PAP menindas orang Melayu. Suara lantang dan paling berani dalam memarakkan api kemarahan orang Melayu Singapura pada masa itu ialah Setiuasaha Agung UMNO Datuk Syed Jaafar Albar.

Orang Melayu Singapura yang dari sejak tahun 1907 telah membangunkan diri mereka untuk menjadi kaum dinamik dalam masyarakat kosmopolitan Singapura dan telah pun keluar dari politik cauvinis dan terlibat dalam politik kosmoplitan dan universal. Singapura mahu di bawa kembali kepada politik dunia Melayu.

Beberapa orang Melayu yang progresif terutama dari Utusan Melayu sendiri telah menjadi anggota Parlimen dan Menteri dalam Kabinet kerajaan PAP Singapura seperti Rahim Ishak, Osman Wok, Baharuddin Ariff, Ahmad Ibrahim dan Ghazali Ismail. Yusuf Ishak, penaja Utusan Melayu akhirnya menjadi Presiden Singapura yang pertama setelah disingkirkan dari Utusan Melayu.

Rusuhan perkauman di Singapura pada 21 Julai 1964 bersempena dengan perarakan Maulud Nabi, maka senario politik Singapura telah mengubah pendirian politik Kuan Yew. Beliau tidak lagi menganggap orang Melayu sebagai rakan politiknya yang utama. Orang dalam politik Singapura dan juga pembangunan Singapura yang moden dan global identitinya memerlukan rakyat yang sanggup bersaing, dinamik, progresif dan tidak bersifat etnoentrik.

Dalam senario sejarah yang saya kemukakan secara ringkas ini, kita harus menilai diri kita untuk mengenali apakah yang diperlukan dalam perjuangan untuk survival orang Melayu dalam Malaysia yang juga akan menghadapi cabaran yang sama.

Moga-moga kita tidak lagi mewarisi kualiti manusia yang nampak perabut ketika beras diperlukan.

Sumber dari Mingguan Malaysia, 7 November 2010

Saturday, October 30, 2010

Jangan pandang belakang, jangan pandang ke bawah...

Jangan pandang belakang jika hendak berjalan laju ke hadapan. Takut nanti kita terjatuh dan sukar bangun semula untuk kembali melangkah.

Jangan pandang ke bawah jika kita memanjat ke suatu tempat yang tinggi. Takut nanti kita gayat dan tidak berani untuk terus memanjat ke atas lagi.

Berjalan laju dengan memandang ke hadapan itu amalan biasa.

Kalau kita tengok cerita-cerita dalam TV, watak yang sedang memanjat ke tempat tinggi biasanya dinasihatkan supaya tidak memandang ke bawah. Hanya teruskan memanjat untuk sampai ke atas.

Bagaimana pula dengan kehidupan kita? Kisah-kisah lampau kalau asyik dikenang akan melemahkan semangat kita.

Oleh itu, jangan terlalu asyik menoleh ke belakang atau melihat ke bawah jika ingin cepat maju dan meningkat tinggi. Tetapi jangan pula terus melupakannya kerana peristiwa semasa kita di belakang dan di bawah itu ada banyak pelajaran yang boleh dijadikan bekalan pada masa akan datang.

Monday, October 25, 2010

Tercicir tetapi berjaya

Saya tertarik dengan sebuah rencana dari akhbar Mingguan Malaysia pada 24 Oktober 2010 yang ditulis oleh Hafizahril Ahmad. Saya kongsikan rencana tersebut di sini untuk kita hayati bersama...

"RAMAI yang beranggapan ilmu adalah kunci kejayaan dalam hidup. Telah terbentuk dalam pemikiran hampir semua kita untuk berjaya mesti belajar sampai ke universiti. Setelah menamatkan pengajian maka hidup mereka akan lebih terjamin dan masa depan yang lebih gemilang menanti untuk diterokai.

Oleh sebab itu kita tidak boleh salahkan sesiapa waima ibu bapa jika mereka menuntut anak-anak mereka supaya menamatkan pengajian.

Namun sehingga sekarang ramai yang masih keliru dengan apa yang dimaksudkan dengan ilmu. Apakah sekadar menamatkan pengajian sudah cukup untuk mendabik dada bahawa diri mereka sudah terlalu bijak dan berjaya.

Ramai juga yang masih terumbang ambing setelah menamatkan pengajian sama ada dalam mencari pekerjaan, membina kerjaya mahupun mencari matlamat hidup.

Sesungguhnya ilmu yang diperoleh ketika di universiti adalah sekadar landasan kukuh untuk menempa hidup yang lebih baik namun tidak semestinya ia mampu melakar yang terbaik.

Sementelah pengalaman hidup yang diperoleh sama ada melalui kejayaan mahupun kegagalan adalah ilmu paling baik pernah diterima manusia dalam membentuk diri menjadi lebih sempurna.

Jika tidak kenapa begitu ramai manusia yang berjaya malah ada yang sehingga menjadi antara manusia terkaya dunia sebenarnya tidak menamatkan pengajian di peringkat universiti mahupun sekolah menengah.

Lihat saja barisan manusia terkaya dunia ramai di antara mereka sebenarnya tidak menamatkan pengajian atau persekolahan seperti mana yang dilalui oleh Bill Gates, Steve Jobs, Richard Branson. Keadaan ini juga berlaku kepada mereka yang lebih senior seperti Walt Disney, Henry Ford, Ingvar Kamprad atau generasi muda sekarang seperti Mark Zuckerberg, dan beberapa nama lagi.

Melihat kepada barisan generasi yang menempa nama dalam dunia perniagaan sehingga ada yang bergelar bilionair, pastinya kisah bagaimana mereka bermula adalah sesuatu yang menarik untuk diperkatakan.

Apatah lagi mereka ini bermula tanpa sebarang sijil ditangan malah "hanyut" ketika disekolah lagi.

Generasi terawal ini seperti Walt Disney, Henry Ford mahupun taikun perjudian Malaysia, mendiang Tan Sri Lim Goh Tong semuanya memiliki satu persamaan tidak menamatkan persekolahan atas faktor kemiskinan.

Melihat kepada apa yang berlaku kepada Henry Ford yang menawan dunia dengan penciptaan kereta murah Model T, beliau sememangnya mencipta kejayaan dari bawah.

Tidak menamatkan persekolahan apabila mencecah usia 16 tahun, lelaki yang dilahirkan pada 30 Julai 1863, kemudian bekerja sebagai jurumesin dan sebelum berhijrah menjadi mekanik yang pakar dalam enjin stim.

Beliau membuktikan tanpa pelajaran yang tinggi namun berjaya menjadi jurutera di Edison Illuminating Company yang dimiliki oleh pencipta terkenal, Thomas Edison.

Dengan sokongan kewangan dari beberapa jutawan seperti Alexander Y. Malcomson, John dan Horace E. Dodge Ford mula membina model kereta Ford 999. Namun impak besar mula dirasai setelah Model T dikeluarkan pada 1908.

Kejayaan yang dicipta oleh beliau ini juga mencatat sejarah bermulanya pengeluaran kereta secara besar-besaran. Ini kemudian membolehkan beliau menjadi antara bilionair terawal dunia sebelum kematiannya pada 1947 dengan aset dan wang tunai mencecah AS$188.1 bilion (RM601 bilion), jumlah berdasarkan tahun 2008.

Begitu juga kisah yang berlaku pada pengarah, penerbit dan pengasas taman tema Disneyland, Walter Elias "Walt" Disney yang tidak menamatkan sekolah apabila mencecah usia 16 tahun.

Bagi lelaki yang mempunyai susur galur dari Ireland ini, kejayaan yang diraih tidak mengubah imej dan karakter beliau yang senantiasa merendah diri.

Sebaik berhenti sekolah beliau mendaftarkan diri untuk menjadi tentera namun ditolak kerana bawah umur dan kemudian bekerja sebagai pemandu ambulans di Palang Merah.

Bankrap

Disney memulakan karier dalam bidang perfileman terutama dalam industri kartun dan animasi dari bawah. Bermula sebagai pelukis kartun untuk majalah dan suratkhabar, syarikat pengiklanan, malah pernah jatuh bankrap kerana gagal mengurus kewangan syarikat animasi miliknya Laugh-O-Gram Studio dengan baik.

Namun pengalaman yang dilalui ketika susah menjadi ilmu paling berharga sehingga membolehkan empayar perniagaannya berkembang seperti mana yang kita lihat sekarang.

Disney kemudiannya mencipta nama di Hoolywood melalui pelbagai animasi yang mencuit selera penonton antaranya Mickey Mouse, Snow White, Donald Duck dan pelbagai lagi.

Meneruskan legasi jutawan yang tidak menamatkan pendidikan, antara yang paling paling menonjol dalam generasi seterusnya adalah pengasas syarikat IKEA, Ingvar Kamprad.

Beliau yang kini berusia 84 tahun memulakan perniagaan pada usia muda dengan menjual pelbagai barangan yang dibeli pada harga yang murah kepada kenalan dan ahli keluarga.

Selepas berhenti sekolah pada usia 17 tahun, beliau telah membuka IKEA dengan pemberian wang oleh bapanya berikutan keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Pada awalnya perniagaan tersebut telah menjual pelbagai barangan namun kemudian bertumpu kepada perabot sejak 1947.

Nama IKEA yang diambil dari cantuman namanya IK- Ingvar Kampard dan E-Elmtaryd nama ladang ketika kecil dan A-Agunnaryd, nama perkampungan asalnya, telah memberi tuah kepadanya sehingga membolehkan beliau menduduki tempat ke 11 orang terkaya dunia dengan aset sebanyak AS$23 bilion (RM73.6 bilion).

Begitu juga beberapa nama dari Asia seperti Li Ka-shing yang kini menduduki tempat ke 14 terkaya dunia.

Merantau pada usia yang muda ke Hong Kong walaupun dilahirkan di Guangdong, China, kemudian kematian bapa ketika berusia 15 tahun telah memaksa beliau berhenti sekolah dan bekerja di sebuah kilang plastik.

Hasil dari kepayahan hidup telah memberi beliau pengalaman luas dan kemudian memulakan perniagaan pertama, Cheung Kong Industri pada 1950 dalam bidang barangan plastik sebelum berkembang dalam pelbagai industri lain seperti hartanah, tenaga, telekomunikasi dan pelbagai lagi.

Bagi generasi seterusnya nama-nama mereka yang tercicir ketika pengajian tidak lagi perlu diperkenalkan. Antaranya Bill Gates dan rakannya Paul Allen yang berhenti belajar di Harvard untuk menumpukan perhatian dalam pembangunan perisian komputer pada 1975.

Pada tahun yang sama beliau menubuhkan Micro-soft dan kini syarikat tersebut telah membantu beliau menjadi antara orang paling kaya di dunia.

Membina

Begitu juga yang berlaku kepada seorang lagi tokoh industri teknologi maklumat Steve Jobs. Pada penghujung 1970-an, Jobs, dengan pengasas bersama Apple Steve Wozniak dan Mike Markkula telah mereka bentuk, membina dan memasarkan komputer peribadi pertama di dunia.

Setelah keluar dari Apple pada 1985 akibat perebutan kuasa dan masuk kembali pada 1996, beliau kini membuktikan tindakan meninggalkan pengajiannya satu ketika dahulu telah berjaya membuahkan hasil yang sangat lumayan.

Begitu juga yang berlaku kepada pengasas Virgin Records, Richard Branson. Walaupun bapa dan datuknya merupakan hakim-hakim terkenal dan berpengaruh di England namun jejak itu tidak terdapat pada Branson.

Beliau menamatkan persekolahan pada usia 16 tahun dan kemudian menerbitkan majalah Student sebelum membuka syarikat rakaman Virgin Records pada 1982.

Jenama Virgin semakin mengembang pada 1980-an dengan tertubuhnya Virgin Atlantic Air dan kini sudah mula terlibat dalam pelancongan ke angkasa lepas untuk masa depan.

Bagi generasi yang lebih muda mungkin mereka mengagumi pemuda seperti Mark Zuckerberg yang kini menakluk dunia melalui facebook.

Beliau yang hanya berusia 26 tahun juga tidak menamatkan pengajian di Harvard kerana mahu mengembangkan potensi facebook.

Facebook mula diperkenalkan dari bilik asrama Zuckerberg ketika menuntut di Universiti Harvard pada Februari 2004 sebelum ia tersebar ke universiti dan kolej-kolej lain seperti Stanford, Dartmouth, Columbia, New York University, Cornell, Brown dan Yale.

Melihat kepada kejayaan yang diperoleh kesemua tokoh yang dinyatakan, pastinya kejayaan mereka berlandaskan kepada kesungguhan usaha, kreativiti, sifat percaya kepada kebolehan dan keupayaan diri.

Mungkin ada yang berpandangan selepas ini tidak perlu lagi untuk belajar tinggi kerana semua orang boleh berjaya. Namun kita perlu bertanya balik dari berbilion penduduk dunia hanya beberapa kerat sahaja yang terpilih untuk berjaya tanpa pelajaran tinggi.

Mungkin satu ketika dulu akibat kemiskinan telah memaksa mereka ini berhenti belajar dan kemudian bekerja untuk menyara hidup.

Langsung tidak terlintas dalam fikiran Henry Ford dan Walt Disney bahawa mereka akan menjadi begitu berjaya.

Apa yang berlaku kepada mereka ini akibat minat yang begitu mendalam dalam bidang yang mereka minati, membuka ruang untuk ia dieksploitasi hingga ke tahap maksimum dan akhirnya membuahkan hasil yang lumayan.

Mungkin jika kita sudah mengenalpasti minat dan kecenderungan yang boleh membuahkan hasil agak logik juga untuk berhenti belajar.

Tapi jika hanya sekadar mahu berhenti sebab malas dan kemudian berangan-angan untuk menjadi kaya pasti itu satu tindakan paling bodoh yang seseorang lakukan dalam hidupnya."

Thursday, October 7, 2010

Perjuangan bangsa tu pemikiran ortodoks ke?

Beberapa minggu lepas, saya ke sebuah negara jiran. Secara kebetulan berbual dengan seorang berbangsa Melayu di sana. Timbul cerita tentang perjuangan politik di Malaysia.

Katanya, Malaysia negara yang bagus dan berbilang bangsa. Ada semangat perpaduan dan tolak ansur.

Katanya lagi, tetapi ada beberapa pihak yang memperjuangkan bangsa kerana berfikiran ortodoks. Golongan itulah yang buat spoil.

Saya terdiam dan hanya berfikir sendiri. Adakah memperjuangkan bangsa sendiri itu adalah suatu amalan ortodoks? Salah ke mengaku bahawa 'saya bangsa Melayu'? Bagi saya, chauvanisme itu lebih teruk lagi.

Monday, August 30, 2010

RM 25.00: Buku Warkah Alam

Buku Warkah Alam sudahpun terbit. Anda boleh membuat tempahan untuk penghantaran melalui pos. Buku ini adalah bahan bacaan ringan yang memuatkan cerita-cerita motivasi. Ia mampu memberi semangat serta inspirasi kepada anda. Bacaan santai berimpak tinggi buat diri anda.

Harga buku adalah RM19.00 tidak termasuk harga pos. Caj pos dikenakan tidak lebih RM6.00 mengikut lokasi pengeposan. Sila buat tempahan dengan menghantar nama penuh, alamat surat menyurat, nombor telefon dan maklumat pembayaran melalui akaun Maybank 1011 2416 7951 (Nortinesha Ismail) ke email mfadzli@yahoo.com/ shatinie1@yahoo.com.

Dapatkan senaskhah buku Warkah Alam untuk diri anda. Ia juga sesuai untuk dihadiahkan kepada kawan-kawan. Buku ini pastinya akan bermakna buat anda semua.

Sunday, August 22, 2010

Segenggam Tanah, Setitis Darah

Akhbar Berita Harian semalam, iaitu pada 21 Ogos 2010 menyiarkan cerpen W.B. Rendra bertajuk Segenggam Tanah, Setitis Darah. Cerpen itu sangat menarik. Rendra ialah sahabat saya yang menulis buku Warkah Alam. Oleh itu, saya kongsikan cerpen beliau di sini... ikuti kisahnya...

"CICIT-CICITKU mahu mendengar kelangsungannya?" Buyut menghulurkan piring berisi nagasari. Disambut seorang cicit perempuan dan diletakkan di sisi juadah berbuka puasa. Buyut duduk perlahan-lahan.

“Ya, Buyut. Ini kesinambungan tempoh hari? Bagaimana nasib segenap penghuni Desa?” Dedaun tanya seorang cicit lelaki jatuh lembut di deria dengar Buyut. Membetulkan duduk punggung dan tumpuan mata. Busur panah cicit-cicitnya tertancap di bibir Buyut yang rekah seribu rahsia, menyampai kisah dan cerita bukan sia-sia

“Oh, cicit masih mengingati ya? Kita mesti mengambil erti dari jalan cerita ini. Buyut ada rentetannya. Seusai kisah ini, hantarkan sepiring kuih ke rumah sebelah.” Buyut mengerling ke dalam kolam makna mata cicitnya yang masih setia mendengar kisah-kisah epik yang diamati Buyut. Buyut khuatir masa hadapan mereka – cicit-cicitnya. “Cicit dengar ini, 'Segenggam Tanah Setitis Darah'.”

1

BAPA mula resah memerhatikan kepul-kepul asap hitam. Bapa melihatnya jauh. Tebal. Mengapung lambat. Dalam fikiran anak yang mengiringi bapa tertanya-tanya asap apakah itu? Seperti asap dari getah yang terbakar. Bergumpal, berkumpul, naik ke udara – putih awan bertukar kelabu dan hitam. Langit yang biru, hitam.

“Sekali dipandang persis cendawan gergasi,” runsing anak memandang bapa.

“Jika melihat dari arahnya, asap itu dari kawasan tasik.” Bapa mengecilkan sedikit kelopak mata. Cahaya menjelang petang membiaskan silau di celah pohon-pohon besar.
“Tasik yang dihuni naga itukah, ayah?” Anak memohon kepastian daripada bapa. Anak berusia lingkungan belasan tahun itu bimbang – apa yang terjadi?

“Ya.”

“Jika begitu, apakah mungkin kawasan Desa yang terbakar?”

“Mungkin, anakku.” Bapa menggeleng. Kelat durjanya lapisan bimbang.

“Bagaimana boleh terbakar, ayah? Apakah naga-naga yang menghuni tasik mula ....”

“Benar, naga-naga itu mula bangun dari habitatnya. Mengeluarkan api, membalun dengan ekor dan segala yang disembunyikan. Naga mula menyalakan nyali.”

“Api! Api!! Api!!!” Suara-suara marhaen dan jelata mula bergabung menjadi guruh yang kuat. Tetapi, naga-naga di dalam tasik menggunakan kelebihan dan kekuatan yang dimiliki. Penduduk Desa yang dahulunya begitu memanjakan naga mulai tersentak dan terkejut. Naga seakan meronta. Asap kelabu nipis keluar dari mulut naga. Api menjilat Desa. Rintik-rintik hujan di atas permukaan tasik tidak mampu lagi menerbitkan panorama tenang.

Kain panjang yang mengerdip kerlip bersilang di leher naga menjadikan penduduk serba rencam tanda tanya. Kain satin apakah itu? Atau kain berenda? Atau kelihatannya seperti sari? Mengapa naga itu bersilangkan sari di lehernya? Pundak semua penghuni Desa dibebani bungkah-bungkah tanya yang berat. Penghuni Desa terbongkok-bongkok dibebani angkuh sikap dan sifat. Mereka tertanya-tanya. Mengapa begini?

Gabungan suara seakan tidak lagi mampu menewaskan naga. Mengapa? Beberapa orang marhaen yang dahulunya ketawa menafikan kewujudan naga dan memperkecilkan tentang betapa utamanya penghuni Desa - jelata, marhaen, pengiring, pengikut, hulubalang, pemikir dan pendeta - perlu bersatu semula mula mengalirkan air mata darah. Berjurai-jurai. Deras. Terus menitis masuk ke dalam tasik. Naga-naga seraya mendapat tenaga dengan darah-darah air mata penduduk Desa. Naga-naga seperti menghamburkan ketawa melihat penduduk Desa menangis dengan air mata darah. Inilah peluangnya. Sesekali perlakuan naga persis manusia, berperasaan. Mencuri kesempatan dan merentap peluang. Aneh.

Dalam celah-celah belantara berhampiran tasik; ketika naga-naga mengeluarkan api menghembuskan asap, menghayunkan ekor tajam untuk membalun, tidak semena-mena melintas seekor singa yang seakan tersenyum-sengih kepada naga yang sedang membakar itu. Singa itu seakan-akan jinak, liar atau berbaur – ia sebenarnya berpura-pura. Singa itu barangkali sahabat kepada naga. Singa itu berpura-pura. Fikir seorang pendeta yang sempat memerhatikan tingkah singa itu, berulang kali. “Celaka!” Sentap pendeta. Cuma dengan kata-kata. Sebelum menggeleng ralat. Kesal. Kecewa. Kesah. Meratapi kemusnahan.

Dalam kekalutan yang menghambat, Paduka Raja mengumpulkan penghuni dan penduduk Desa. Juga beberapa orang kanan, hulubalang dan pengiring. Di sebalik rimba kecil yang di kelilingi pohon-pohon sederhana besar. Jauh sedikit dari tasik.

“Apakah ini mimpi?” Mendongak sambil melihat langit biru kian bertukar merah.

“Tidak Paduka Raja. Sesungguhnya kita sudah terlambat.” Singkap seorang pemikir yang telah lama menjangka situasi itu akan berlaku. Tetapi seringnya, kata-kata nasihat si pemikir itu tidak diambil dengar.

“Inilah kenyataan yang memang didamba sebahagian penghuni Desa.” Seorang pengiring memuntahkan kata-kata yang lama terpendam. Melihatkan tingkah laku saudara-maranya yang lebih suka mengadu domba – tentu, kehancuran ini yang didamba.

“Inilah timbal balas sifar sifat syukur yang dicipta. Inilah hasil yang dicari seusai tidak pernah mengirim rama-rama terima kasih, lantaran mencungkil-tuding silap saudara.” Seorang nenek tua melutut, memerhatikan kemusnahan yang terjadi dari celah-celah semak-samun sembunyi. Lantaran apakah lagi yang boleh diharapkan daripada sebuah kehancuran? Api marak mengunyah atap-atap rumbia. Rumah limas yang kukuh sebelum ini, rebah menjadi arang, bara dan debu.

“Apakah mereka alpa? Mencari kesalahan sahaja? Lantas mencalitkan sedikit luka, menanarkan seluruh lumpur ke tubuh penggawa.” Sedu-sedan menyebabkan bahunya terhinggut-hinggut. Tersengguk-sengguk menahan sebal. Pengiring membisikkan suaranya.

“Sudah begitu, marhaen tidak gemar bersatu. Leka. Yang muda gemarnya bernyanyi-tari di peterana libur. Yang berusia menuding silap dan bersetuju tanpa usul periksa.” Suara-suara berpusu seoalah-olah mula membariskan kenyataan yang menyebabkan naga-naga itu bangun muncul membakar Desa yang lewa; santai alpa. Naga mencuri peluang.

“Tidak hulubalang! Mulutmu usah terlalu pantas bicara begitu.” Paduka Raja menggenggam amarah. Bersilang tangan kanan-kirinya di belakang pinggang.

“Mengapa Paduka Raja sukar menerima. Ini kenyataan. Bagaimana harapan kita?” Seorang pengikut bangun dari tempat duduk, menganjak ke hadapan Paduka Raja.

“Lihat itu. Marhaen dan jelata di Desa kita. Ya Allah, berlari sedang tubuhnya terbakar. Apakah memang sejak dahulu kita seringnya 'berlari'? Tidak! Tidak!” Mengacungkan tangan kanannya ke arah penghuni Desa dikenal pasti berkhidmat di menara Paduka Raja namun sering menyebarkan hikayat cerita samar.

“Naga-naga ini memang tidak sedar untung. Sudah diberi makan dan habitat semasa kecil, sekarang sudah dewasa dan sebesar gunung, kita dibakar api dan dibalun ekornya.”

“Nagakah yang tidak sedar untung atau manusia yang tidak sedar syukur?” Suara garau seorang lagi marhaen kedengaran. Antara celah-celah rimba mereka memerhatikan Desa sekelip mata musnah. Segala retorik frasa dan polemik kosa-kota hanya tinggal sejarah.

“Bukankah, telah ada insan yang lebih berusia itu tempoh hari menasihatkan. Kita tidak mendengar.” Seorang pemegang tombak mengingatkan apakala kesedihan mula menggunung. Penyesalan hilang. Tiada makna. Tindakan menjadi tumpul oleh kata-kata.

“Kita dapatkan Cahaya Purnama. Kitakah yang akan ke sana. Atau wakil Cahaya Purnama yang akan menemui kita?” Pandangan seorang jelata yang masih tetap setia memegang kepada akar seluhur wangsa dan sesuci agama.

“Yang pentingnya adalah kesedaran bersama, Paduka Raja.”

“Demi Desa!”

“Keris Pekaka! Keris Pekaka!” Jerit seorang pengiring Paduka Raja berlari membawa Keris Pekaka diambil semula dari Rumah Pameran. Pernah dihebah, magis kebenarannya apakala Keris Pekaka dan Cahaya Purnama ditemukan dapat menewaskan naga-naga itu.

“Pengiring, ayuh kita perlu cepat.”

“Apakah naga-naga itu akan penat?”

“Lengkara! Mustahil!”

“Malah naga itu akan bertambah kuat. Tidakkah naga-naga itu berada di dalam satu tasik? Naga berapi, naga jadian, naga balun, segala bagai naga.”
“Jika dapat ditemu-jodohkan Cahaya Purnama dan Keris Pekaka, alangkah ...” seorang marhaen mengorak langkah. Sesekali beberapa orang marhaen terbatuk-batuk kecil oleh debu yang berterbangan. Asap memedihkan mata kanak-kanak, mengekang penglihatan orang tua.

“Seharusnya kita mengambil iktibar. Sekeliling tasik yang sudah terbakar oleh naga berapi itu – kita cermin sikap kita,” hulubalang Paduka Raja mencelah.
“Lihat, naga-naga itu pun mulai mendapat resa. Kembali ke dalam tasik. Kerana hanya nawaitu gabungan antara Keris Pekaka dan Cahaya Purnama.” Naga mulai diam, menyusup ke dasar tasik. Senyap. Keanehan mula mengepung Desa di tepian tasik.

“Lantaran itu membawa kepada kesatuan yang berterusan. Bermula di sini. Kesatuan yang mengukuh-jaminkan kebahagiaan hidup Desa dan isinya.” Tambah pendeta.

“Melaksanakan tidak semudah bicara, pendeta.” Fikir Paduka Raja.
“Kita belajar daripada kehancuran, Paduka Raja.” Tenang pendeta, melihat sinar bersatu melorongi jalan utama Desa.

2

“Bukankah ini ketika terbaik untuk mereka berbaik-baik?” Anak yang memerhati asap dan mendengar kata-kata bapanya, spontan mengeluarkan tutur.
“Benar. Ayah juga berharap mereka penduduk dan penghuni Desa mengambil iktibar ini.” Bara-bara api di dahan dan kayu dengan debu dan asap bertindan terbang dari jauh tasik menghampiri anak dan bapa. Anak mengipas dengan tangan menepis asap dan debu.

“Kita doakan moga mereka belajar daripada sejarah. Ayah percaya jika mereka berpecah-telagah, Desa di tepi tasik itu akan terbakar terus menerus – yang tinggal hanyalah debu dan nama. Sejarah tiada maknanya lagi.”

“Benar, ayah.” Anak mula belajar memahami apa yang ingin dikongsi oleh bapa.
“Kita mesti belajar daripada apa yang terjadi kepada Desa yang berhampiran dengan tasik itu. Kemusnahan itu sukar untuk disembuhkan. Khuatir tidak akan ada jalan menyembuhkannya.”

“Genggamlah tanah ini, kejap. Erat, seerat-eratnya.” Bapa tunduk mengepal tanah yang berpasir keras kerikil dengan tangannya.

“Ayah, darah menitis dari genggaman tangan ayah!”

“Ayah cinta akan tanah ini … kau jagalah tanah ini seperti kami – ayah dan nendamu menjaganya dahulu. Usah lupa, seperti yang terjadi pada Desa sebelah tasik itu.”

Kirmizi menjelma tanda waktu berbuka puasa tiba. Tidak jauh dari tangga, seorang anak jiran menghulurkan sepiring kuih untuk berbuka. Kedengaran suara kanak-kanak memberi salam. “Pak cik, Buyut kirim sepiring nagasari juadah untuk berbuka.”

Biodata Penulis:
WAHYU Budiwa Rendra lahir di Johor Bahru pada 15 Syawal 1399 Hijrah. Berkelulusan Bacelor Pentadbiran Perniagaan UPM. Berkarya sejak 2002, selepas mengikuti Bengkel Kelab Penulis Zaharah Nawawi. Mazhab Cinta (DBP, 2008) meraih Hadiah Kumpulan Cerpen Remaja Hadiah Sastera Darul Takzim 2009. Penerima Anugerah Penulis Muda Johor oleh Persatuan Penulis Johor (PPJ) pada 2007, kini bertugas di YWJ Citra Holdings Sdn Bhd. Buku Warkah Alam (Ameen Books, 2010) menghimpunkan cerita motivasi karya bersama-sama Mohd Fadzli Abu Bakar. Blognya boleh dilayari di wbrendra.blogspot.com

Tuesday, August 10, 2010

Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak

Di kesempatan ini saya mengucapkan selamat berpuasa dan beramal kepada semua di bulan Ramadhan yang mulia.

Marilah kita sama-sama mengisi masa dengan amalan berfaedah seperti membaca al-Quran, bersedekah dan berzikir. Jika tidak mampu lakukan yang berat-berat, eloklah kita buat yang ringan dan elakkan diri daripada melakukan atau menperkatakan sesuatu yang tidak sepatutnya.

Buku Warkah Alam juga sesuai dibaca pada bulan puasa ini. Ia ditulis berasaskan maksud ayat al-Quran dan hadis. Ceritanya pendek-pendek dan mudah difahami. Kalau anda tiada masa yang panjang untuk membaca, cukup sekadar menyingkap satu bab sahaja. Esoknya boleh sambung baca lagi. Apa yang pasti adalah setiap bab itu akan membuatkan anda bertafakur dan merenung demi kebaikan diri anda sendiri.

Buku itu sudahpun berada di pasaran. Harganya ialah RM19.00. Anda juga boleh pesan terus daripada saya melalui inbox di Facebook. Harganya ialah RM25.00 termasuk perkhidmatan pos.

p/s: Sementara tunggu waktu berbuka, bacalah satu bab. Anda akan faham setiap ayat daripada buku itu. Bak kata orang, sebiji demi sebiji masuk ke dalam minda :p

Thursday, July 29, 2010

Tawakal Mergastua

Hari ini, sepuluh naskhah percuma buku Warkah Alam hasil karya saya dengan W.B. Rendra tiba di rumah. Saya tidak sangka bahawa rupanya akan sebegitu cantik dan rasa pelik bagaimana saya mendapat idea untuk menulis isi kandungannya sebelum ini. Mungkin kerana saya agak terharu dan terlalu gembira melihat hasil karya ke-14 ini diterbitkan. Kali ini saya yakin hasil karya ini lebih memukau dan memberi manfaat kepada pembaca, percayalah...

Mari saya kongsikan petikan salah satu daripada bab yang bertajuk Tawakal Mergastua yang menceritakan bagaimana manusia itu sepatutnya mencontohi sifat tawakal pada burung ketika mencari rezeki.
Sesungguhnya jika kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu akan diberikan rezeki seperti rezeki burung-burung. Mereka keluar pada waktu pagi dengan kelaparan dan pulang pada waktu petang dalam keadaan kenyang.

Seawal fajar menyingsing, bayangan burung-burung terbang menyilangi langit. Seawal matahari terbit, kicauan burung memecah keheningan pagi - keluar mencari rezeki. Di rimba kemodenan pula, manusia sesak bersimpang-siur bersama tunggangan mereka - mahu mengisi keperluan dan kemewahan.

Mona menumpukan perhatian pada pemanduannya. Sesekali dia menjeling ke cermin pantulan kecil di sisinya. Melihat kenderaan bertayar dua menyelit lalu berderet-deret umpama kereta api yang tiada pengakhirnya. Hari ini dia terkandas lagi. Bukan hari ini saja, esok lusa mungkin seperti ini juga.

“Bosannya I nak pergi kerja.” Kata Mona sambil menekan suis tingkap automatik. Tingkap yang tadinya terbuka, ditutup rapat. Kononnya dia hendak jimatkan petrol, sebab itulah penghawa dingin pun tidak dibuka. Akibatnya terasa panas, bising dan bau asap yang tidak menyenangkan.
Sarah yang menumpang bersama sekadar menjeling. Pipi tembamnya mula kembung kerana mulutnya dimuncungkan.

“Kenapa pula bosan? Kalau tak kerja, you nak makan apa?” Dia memang penasihat motivasi amatur kepada Mona, rakan sekerjanya. Mereka jiran sederet di kawasan perumahan yang sama, pergi kerja pun bersama-sama. “Kerja setengah mati, tapi tak kaya-kaya juga. Duit
pun tak pernah cukup setiap bulan!” Tangannya lincah menukar ke gear satu. Jarak dengan kereta hadapan yang renggang mula dirapatkan semula....
Dapatkan senaskhah buku Warkah Alam yang akan berada di pasaran tidak lama lagi. Anda pasti terpesona dengan isi kandungannya.

Thursday, July 22, 2010

Adakah kita seperti keldai mengejar lobak?

Setiap pekerjaan yang kita lakukan pasti ada tujuan. Bagi golongan muda di bawah umur 30-an, mencari kekayaan dan kestabilan diri dalam kerjaya adalah tujuan utama. Semakin meningkat usia, maka semakin kita mencari makna hidup dan pekerjaan yang lebih bermakna, iaitu lebih daripada sekadar untuk mencari kemewahan hidup.

Hari ini, iaitu pada 22 Julai 2010 genap usia saya mencapai 31 tahun. Saya terus berfikir mencari makna hidup dan kepuasan berkaitan nilai pada diri saya sendiri. Kebanyakan masa saya dihabiskan dengan berkerja. Namun saya bertanya pada diri, apakah pengisian jiwa yang saya dapat daripada kerja-kerja itu? Atau ia sekadar tempat untuk cari makan?

Di mana-mana sahaja kita perlu berkerja dan bertanggungjawab dengan peranan kita sebagai satu komponen dalam masyarakat. Hasilnya, kita diberi ganjaran insentif sebagai bekalan untuk meneruskan hidup. Itu suatu keuntungan bagi setiap orang. Cukup makan, ada tempat tinggal, pakaian dan sedikit kemewahan. Syukur, Alhamdulillah...

Namun perbualan dengan ayah saya ketika makan malam meraikan ulang tahun kelahiran saya tadi membuatkan saya berfikir. Suatu kisah diceritakan, iaitu tentang keldai mengejar lobak. "Sebatang lobak digantung dengan tali di hadapan keldai supaya terus mengejar untuk mendapatkannya. Tetapi lobak itu terus ke depan mengikuti setiap langkah kita. Belum pasti lagi ia dapat dikongkang walaupun sudah sekian lama mengejarnya."

Saya berdoa supaya tidak tergolong daripada golongan itu serta diberi kekuatan untuk ikhlas menjalankan tanggungjawab sebagai seorang khalifah, insan bercita-cita tinggi, manusia yang berperasaan dan suami yang prihatin. Semoga doa kawan-kawan dan keluarga agar panjang umur serta dimurahkan rezeki itu dikabulkan Allah SWT. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Walau di mana pun kita berada, berlakulah adil kerana Tuhan itu maha adil yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk setiap hamba-Nya.

Renungi maksud sebuah hadis, "Jika mengejar dunia, nescaya semakin meninggalkan kita. Jika mengejar akhirat, maka dunia akan mengejar kita."

Thursday, July 15, 2010

Lapar dikelilingi makanan... Susah hati dalam kemewahan...

Pulang dari pejabat, saya membuka peti sejuk di dapur rumah untuk mengambil air minuman. Kelihatan banyak baki makanan yang tak habis dimakan sebelum ini. Saya terfikir...

"Hidup kita kini mewah dengan makanan. Rezeki melimpah-ruah kerana melebihi keperluan. Ada kalanya sampai terpaksa dibuang..."

Namun ada ketikanya kita terlalu memilih apabila perlukan makanan. Bahkan sanggup berlapar walaupun dikelilingi dengan makanan kerana kita tak mahu makan makanan sedia ada.

Ada masanya pula kita rasa susah hati. Mengenangkan kelengkapan hidup yang masih rasa kekurangan. Padahal keperluan asas sudahpun dipenuhi. Bahkan boleh dikatakan agak mewah. Kita bersusah hati dalam keadaan hidup yang serba mencukupi.

Akhirnya kita kembali berfikir tentang nilai ihsan pada diri. Sikap selalu bersyukur dan mengamalkan qanaah itu menenangkan jiwa dengan sentiasa merasakan cukup dengan apa yang ada.

Bagaimanapun jika mahu tambah kualiti hidup, eloklah kita terus berusaha. Tetapi jangan lupa, tenangkanlah hati dengan rasa syukur dan qanaah sentiasa.

Saturday, June 19, 2010

Peningkatan hidup itu seperti menanam pokok, bukan memanjat tangga...

Hidup bukan semestinya meningkat dengan hanya memanjat tangga untuk ke atas. Tetapi kehidupan itu sepatutnya umpama pokok tumbuh dan meninggi dengan penjagaan yang baik...
Itu kata Amitabh Bachan melalui kisah lakonannya dalam cerita bertajuk Baghban. Beliau memegang watak sebagai ayah kepada tiga orang anak yang mempunyai seorang anak angkat. Namun anak-anaknya jenis yang tidak mengenang budi ibu bapa. Kecuali anak angkatnya yang lebih menghormati dan mengambil hati.

Tiga orang anak itu dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan kelengkapan dalam hidup. Tetapi setelah berjaya dan berkahwin, mereka melupakan ibu bapa mereka bahkan mengherdik serta menyakitkan hati mereka tanpa timbang rasa.

Hanya seorang anak angkat sahaja yang tahu mengenang budi. Menjaga perasaan, bahkan sanggup menghadiahkan bapanya sebuah kereta mewah.

Akhirnya, si bapa baru mengetahui bahawa ada sebuah buku yang pernah ditulis olehnya laris di pasaran. Dia menjadi jutawan dan sangat terkenal.

Anak-anak yang telah melupakannya ingin kembali kerana mahukan kekayaan dan menumpang populariti.

Namun, nasi sudah menjadi bubur. Luka boleh dijahit dan sembuh. Tetapi parut tidak akan hilang.

Dalam sesi Bicara Buku, ayahnya memberi ucapan yang membuatkan saya sedar dan berfikir semula. Buku yang terkenal itu adalah kisah keperitan hidupnya sebagai seorang ayah.

Anak-anak selalunya membuang tangga yang dipanjatnya setelah berada di tempat yang tinggi. Tetapi sepatutnya mereka sedar bahawa hidup ini meninggi dan membesar seperti sebatang pokok. Ia perlu disiram dan dibaja sebagaimana di peringkat awal ia disemai dan bercambah. Bagaimanapun, setelah pokok itu membesar, apa yang menentukan survivalnya ialah kekuatan akarnya. Jika akarnya reput, maka pokok itu tiada maknanya.

Tuesday, June 8, 2010

Cakap banyak, kurang buat atau buat banyak, kurang cakap...

Banyak cakap, kurang buat. Atau kurang cakap, banyak buat. Mana satu yang lebih penting?

Minggu lepas, saya mendengar luahan masalah daripada seorang kawan. Lantas saya menasihatkannya supaya sabar dan menganggapnya sebagai suatu dugaan. Jawapan yang diberikan membuatkan saya berfikir semula, "Cakap senang la! Cuba hadap... baru tahu rasanya..."

Memang benar. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya.

Saya berfikir lanjut tentang hal kerja pula. Apakah dalam melakukan sesuatu kerja itu kita perlu banyak cakap, kurang buat ataupun kurang cakap, banyak buat?

Bagi pendapat saya, lebih baik diseimbangkan antara memberi cadangan dan melaksanakannya. Kalau asyik memberi cadangan tetapi tidak turut serta melaksanakannya, pun susah juga hingga membebankan orang lain. Sebaliknya, kalau senyap terus pun kurang elok juga kerana ia menunjukkan cara kerja yang pasif dan hanya menunggu arahan.

Itu perihal 'cakap' yang berkaitan dengan lontaran idea atau memberi cadangan. Bagaimana pula dengan perihal 'cakap menceceh' atau 'cakap kosong'? Ada kalanya saya sendiri terjerumus ke dalam percakapan itu sehingga kerja saya lambat siap kerana tidak fokus dengan kerja yang dibuat. Oleh itu, marilah kita kawal aktiviti 'cakap-cakap' kita ketika berkerja supaya lebih fokus, dapat menghasilkan output berkualiti dan lebih banyak kerja boleh disiapkan.

p/s: Satu sikap yang kita perlu elakkan, iaitu banyak cakap, kerja tak buat. Sama-samalah kita elakkannya.

Tuesday, May 4, 2010

Kursus Mentafsir Mimpi

Pagi ini saya tertarik dengan sebuah berita di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia 4 Mei 2010 mengenai kursus mentafsir mimpi di Saudi.

Kursus itu bakal diadakan melalui sebuah institusi pengajian oleh seorang pentakwil mimpi terkenal, Yusuf al-Harthy. Penuntut akan ditawarkan sijil di peringkat sarjana muda, master dan Ph.D.

Pada pandangan saya, ilmu ini agak sukar diterima masyarakat moden. Namun saya bersetuju dengan kenyataan al-Harthy bahawa mentakwil mimpi itu merupakan salah satu cara memberi kaunseling kepada seseorang. Bagi saya, idea ini sangat menarik kerana mimpi adalah sesuatu yang memberi kesan kepada orang yang mengalaminya.

Tidak kiralah sama ada kita percaya dengan mimpi ataupun tidak. Yang pastinya, selepas bermimpi sesuatu biasanya kita masih teringat-ingat tentang mimpi itu dan cuba memahamkan kaitannya dengan kehidupan ataupun pemikiran kita. Jadi, saya rasa ia boleh dikaitkan untuk memberi kaunseling kepada seseorang yang mempercayainya.

Teori psikoanalisis oleh Sigmund Freud ada mengakui peranan minda luar sedar dan bawah sedar yang boleh mempengaruhi tingkah laku seseorang.

Bagaimana pula dengan anda? Percayakah dengan mimpi? Ataupun hanya menganggap mimpi itu sekadar permainan dalam tidur? Kalau begitu, relevankah subjek mentakwil mimpi itu menjadi suatu bidang kepakaran yang diiktiraf sijilnya?

Thursday, April 15, 2010

Isi akaun anda walaupun ketika tidur...

Dunia hari ini… Orang mencari, menambah dan mengembangkan wang supaya ia menjadi lebih banyak. Kalau boleh, sambil tidur pun kita mahu duit masuk dalam akaun kita. Tetapi, adakah cukup dengan mencari wang semata-mata? Bagaimana pula dengan akaun pahala kita?

Kebiasaannya, cara mendapatkan ganjaran wang adalah dengan berkerja atau makan gaji. Ada kerja, ada wang. Tak ada kerja, tak ada wang. Bagaimanapun ada juga cara lain untuk menambah dan mengembangkan wang, iaitu dengan berniaga. Selain itu, ada pula cara bijak menambahkan wang, iaitu melalui pelaburan.

Memetik kisah seorang peniaga Cina daripada buku Jutawan Senyap, si peniaga itu berkata bahawa dia buat duit sambil tidur. Bila ditanya tentang cara, rupa-rupanya dia peniaga Yong Tofu yang merendam sotong sebelum tidur. Bila dia bangun pagi, sotong sudah menjadi lebih besar.

Banyak orang ingin menanam saham. Ada yang melabur di ASB ataupun Unit Amanah supaya duit yang disimpan itu berkembang. Para artis dan penulis pula sibuk menyiapkan album dan buku yang menjanjikan pendapatan melalui royalti. Jika royaltinya 10% daripada harga pasaran, kemudian dalam keadaan sedang enak dia tidur di petang hari minggu ada orang membeli bukunya di kedai, maka jadilah ia orang yang mendapat duit walaupun ketika tidur.

Itu perihal wang dan kekayaan duniawi! Bagaimana pula dengan saham pelaburan akhirat?

Rasulullah SAW. pernah bersabda yang bermaksud, “Apabila seseorang itu mati maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: Ilmu bermanfaat, sedekah jariah dan anak soleh yang mendoakannya.”

Oleh itu, ajarkan atau berkongsilah ilmu dengan orang lain tanpa sifat kedekut. Jika ilmu itu diamalkan, maka bertambahlah pahala dalam akaun kita walaupun ketika tidur.

Banyakkanlah bersedekah kerana selama pemberian kita digunakan, maka bertambahlah pahala dalam akaun kita walaupun ketika tidur.

Didiklah anak dengan betul supaya dia menjadi anak soleh yang mendoakan kita, maka sejahteralah keadaan dalam kubur walaupun ketika itu kita tidur untuk selamanya.

Mari kita cari pelaburan yang boleh penuhkan akaun wang dan pahala kita walaupun ketika itu kita sedang tidur. Menulis buku juga baik kerana kita berkongsi manfaat ilmu dan juga buat duit dengannya. Anda bila lagi?

Tuesday, April 6, 2010

Tata Cara membayar Zakat Insurans (video)

Saya ingin berkongsi sedikit pengetahuan mengenai zakat. Semoga ia bermanfaat untuk para pembaca.


Reka Multimedia dan Suara latar: Shahib Amin

Video-video lain mengenai Zakat klik sini.

Saturday, March 27, 2010

Jadi Masyarakat Dunia Prihatin

Sempena kempen The Earth Hours kali ini, marilah kita sama-sama menutup lampu selama sejam pada jam 8.30 malam ini, iaitu pada hari Sabtu, 27 Mac 2010.

Pada kempen yang lepas, saya perhatikan masih banyak lagi pihak yang tidak menyahut kempen tersebut. Mungkin kerana mereka perlu menjalankan operasi perniagaan yang tidak boleh dihentikan ataupun tiada maklumat yang sampai mengenai kempen ini. Oklah kalau begitu.

Jangan pula kita fikir bahawa tindakan kita seorang yang tidak menutup lampu tidak memberi kesan kepada kempen ini. Malanglah kalau di dunia ini ada ramai yang berfikir seperti itu. Jika semua orang berfikir positif untuk menyahut kempen ini, maka kesannya sangat besar kepada persekitaran dunia kita.

Wednesday, March 17, 2010

Berkongsi ilmu, perasaan dan mencari keserasian

"Berkongsi ilmu dan perasaan. Cari keserasian dengan pembaca."

Alhamdulillah, saya selamat kembali ke Johor Bahru setelah bertemu dengan beberapa orang yang dianggap penting dalam dunia penulisan buku saya. Di sepanjang pemanduan selama empat jam tadi, saya masih lagi memikir dan mengiyakan frasa di atas, ia berkaitan dengan niat serta hasrat seorang penulis.

Tuan Haji Che Mazlan dari AmeenBooks telah berkongsi sesuatu yang berharga untuk saya perkayakan lagi prinsip penulisan saya.

Benar katanya... Ketika menulis, kita perlu berkongsi idea secara langsung dengan pembaca. Kita mengolah, mempermudah dan menggayakan ayat supaya ia mudah dicernakan kepada pembaca. Pengetahuan disatukan dengan perasaan, barulah hasil penulisan itu boleh dihayati ataupun 'make sense'.

Beliau memberi ruang untuk saya bebas menyebarkan pengetahuan melalui buku dengan pendekatan tersendiri untuk ianya dihayati pembaca. Setelah itu, tugas penerbit pula termasuklah menggilap hasil penulisan itu agar ia lebih sempurna dan bernilai komersil.

Penulis perlu lebih berpengaruh menentukan bagaimana cara nak sampaikan maksud yang dituliskan. Oleh itu, manuskrip haruslah dihasilkan dengan lebih sempurna. Jangan main cincai sahaja dan berfikir bahawa editor akan memperbetulkannya. Kalau begitu, senanglah kerja penulis. Yang kena lanyak ialah editor :) Wajarkah begitu?

Saya kagum dengan buku yang dihasilkan oleh penulis-penulis terkenal. Mereka benar-benar berkongsi perasaan. Sebagai manusia biasa, kita bisa merasakan perasaan itu.

p/s: Kita terus berusaha untuk menjadi lebih sempurna walaupun orang kata 'no one is perfect'.

Sunday, March 14, 2010

Bacalah... Pasti ada manfaatnya...

Benarkah minat membaca semakin pudar dalam masyarakat kita? Kalau kita pergi ke tempat-tempat awam misalnya, memang jarang kelihatan ada orang membaca terutamanya ketika mereka sedang menunggu.

Baru-baru ini saya bertemu seorang pengurus pemasaran sebuah kedai buku ternama di Johor Bahru. Kami bertukar pandangan mengenai pasaran buku di Malaysia. Maka saya tertarik dengan kenyataannya bahawa kini kedai itu kekurangan tempat kerana buku-buku berbahasa Melayu semakin banyak.

Saya masih ingat lagi pada lima tahun lepas, seorang pengurus penerbit buku ternama di Malaysia berpandangan bahawa negara ini kekurangan buku berbahasa Melayu. Ruang yang sedikit disediakan untuk genre berbahasa Melayu di pesta-pesta buku agak kosong.

Alhamdulillah, kini keadaan itu telah berubah. Dunia penerbitan di negara kita semakin 'advance' dan menghasilkan banyak buku. Semakin banyak juga penulis-penulis baru yang muncul. Sehinggakan kebanyakan syarikat penerbitan mengalami lambakan manuskrip buku yang diperam kerana tidak sempat untuk diterbitkan.

Namun begitu, siapakah pula pembacanya? Berapa orangkah yang sanggup membelanjakan wang poketnya untuk membeli buku setiap bulan? Adakah buku-buku hiburan sahaja yang menarik perhatian kita?

Walau apa pun keadaannya, bacalah... Kerana membaca itu pasti akan ada manfaatnya.

Monday, March 8, 2010

Seminar Fotografi Tiga Ikon - "Live in Singapore"


SEMINAR 3 IKON
Mio Cade | Saiful Nang | Chot Touch


Book your tickets now: S$50/-

Ahad, 16 Mei 2010
Auditorium Masjid Sultan
9:00 pagi - 4:00 petang
Tiket - S$50 (Termasuk Makan Tengahari)

For Booking in Malaysia - Email booking at haslan@yahoo.com
1) Book your tickets by emailing your request to haslan@yahoo.com
2) Stat your request (name/HP/quantity of tickets)
3) We will contact you to collect your tickets in March in JB (place will be confirm on a later date)

For Booking in Singapore
1) Get your ticket at Muzika Records Joo Chiat Complex
2) Al-Mawaddah Mosque during office hours

Meet us at your nearest available place:
3) sms 9182 6646 ( Pasir Ris / Tampines )
4) sms 9666 9850 ( Sengkang / Punggol )
5) sms 9469 4616 ( Bukit Panjang / Jurong )
6) sms 9482 3347 ( Bedok )

LIMITED SEATS!

Monday, March 1, 2010

Komen untuk NOVEL FREE: Genius ataupun sikap?

Pertandingan komen terbaik kali ini menawarkan hadiah SEBUAH NOVEL. Saya akan beli sebuah novel yang popular di pasaran untuk dijadikan sebagai hadiah. Pertandingan ini agak subjektif kerana ia dinilai oleh saya sendiri berdasarkan kreativiti dan ketepatan anda melontarkan idea melalui komen. Keputusannya muktamad. Saya buka ruangan ini untuk dikomen sehingga 10 April 2010.

SOALANNYA BEGINI:

Di sekeliling kita, ada ramai orang yang genius. Di samping itu ramai juga orang yang bagus sikapnya dalam berusaha.

Ada pula yang genius tetapi bersikap buruk seperti suka bertangguh, banyak berangan dan sebagainya. Ada pula yang kurang genius tetapi sikapnya bagus seperti rajin, tidak putus asa, realistik dan berdisplin.

Mana satukah yang lebih berpengaruh dalam menentukan kejayaan hidup kita? Kepandaian (genius) ataupun sikap yang baik? Mengapa?

Bagi saya tiada jawapan yang salah ataupun betul dalam memberikan pandangan. Anda bebas memberi komen mengikut perspektif masing-masing. Tetapi haruslah tidak lari daripada soalan di atas. Mari kita lihat, siapa yang kena?

p/s: Benarkah Fadzli Abu Bakar akan hadiahkan novel sebagaimana yang dijanjikan? InsyaAllah. Sebelum ini Nurul 'Ain , Lyssa Villamor dan Lee sudahpun menerima hadiah buku daripada saya. Cubalah komen, untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

Sunday, February 28, 2010

Flickr Saya...

Di samping menulis, saya juga melibatkan diri dalam fotografi. Sila lawati Flickr saya di sini. Atau klik saja pada gambar di bawah. Selamat melayari.

Friday, February 26, 2010

Mengikut Sunnah Rasulullah

Sempena hari ulang tahun keputeraan Nabi Muhammad SAW. marilah kita sama-sama memperbanyakkan selawat kepada baginda.

Terdetik di minda saya mengenai sunnah-sunnah Rasulullah yang sepatutnya menjadi amalan seharian kita. Ada kalanya ia tidak fahami dengan betul, sehingga amalan itu boleh jadi jumud ataupun tidak mahu diamalkan langsung.

Nabi kata, ada dua perkara yang patut dijadikan pegangan, iaitu al-Quran dan sunnahnya. Mengenai amalan-amalan wajib, itu sudah tentu kita perlu mengikutinya. Tapi bagaimana pula dengan amalan-amalan sunat?

Apa kata kalau kita pilih yang mudah-mudah dahulu. Seperti cara memotong kuku, membela janggut, cara makan dan minum, memakai minyak wangi dan sebagainya. Niat itu menentukan sama ada kita melakukannya kerana mengikut sunnah lantas kita dapat pahala ataupun sebaliknya.

Sunnah nabi juga perlu dipelihara. Jangan sampai ia menimbulkan prejudis orang sekeliling kita. Ia perlu difahami. Contohnya membela janggut ialah sunnah nabi, tetapi ia hendaklah bersih dan rapi. Nilai-nilai asas hendaklah diambil kira terlebih dahulu termasuk nilai kebersihan dan adab sopan.

Saya pernah makan berempat di sebuah masjid menggunakan dulang. Itu sunnah nabi di samping ia juga dapat mengeratkan perhubungan. Tetapi saya terpaksa berhenti makan kerana orang di hadapan saya makan tidak tutup mulut sehingga nasi yang separuh dikunyah keluar daripada mulutnya dan masuk ke dalam dulang. Adakah sunnah nabi yang tidak betul ataupun pengamalnya ketika itu yang sengal?

p/s: Bersiwak bukan semestinya menggunakan kayu siwak walaupun mungkin ada banyak hikmahnya. Memberus gigi juga adalah bersiwak sebenarnya. Tapi berapa ramai yang tahu dan berniat bahawa dia mengikut sunnah nabi ketika membersihkan mulut itu?

Monday, February 22, 2010

Belajar berenang

Dunia internet sekarang memang menyeronokkan. Nak cari tentang apa sahaja boleh dapat. Kalau dalam Youtube, misalnya ada banyak tutorial yang mengajar kita step by step tentang sesuatu perkara.

Baru-baru ini saya sudahpun pandai berenang. Hasil pembelajaran daripada Youtube dan pemberian beberapa tip daripada kawan-kawan, saya berlatih sendirian di kolam renang. Akhirnya daripada hanya pandai berenang 'cara kampung' yang meletihkan, kini saya selesa terapung di perairan yang dalam. Teknik pernafasan juga dipelajari supaya tidak mengah ketika berenang.

Saya kagum dengan sistem pembelajaran manusia. Dengan mengamati, memahami, memberi tumpuan dan sedikit latihan, manusia boleh mahir dengan sesuatu bidang yang baru.

Itulah keunikan manusia. Kita sentiasa belajar dan memahami. Semakin banyak kita ambil tahu dan menerokai, maka semakin bermaknalah hidup kita.

p/s: Kalau kita benar2 belajar, kita juga boleh belajar daripada musuh. Kebencian orang juga boleh mengajar kita jika kita celik akal.

Thursday, February 18, 2010

Tanam sayur di kawasan kubur

Akhbar Kosmo hari ini, 19 Februari 2010 menarik perhatian saya mengenai kegiatan menanam pokok sayuran kecil di kawasan kubur di Kuantan. Tanaman itu adalah seperti serai, terung dan cili padi. Perbuatan ini agak memeranjatkan kerana sekian lama masyarakat kita menghormati segala yang berkaitan dengan si mati termasuklah kuburnya.

Namun Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman memberikan pandangannya bahawa tidak salah bercucuk tanam di kawasan perkuburan, ia dibolehkan tetapi kawasan tersebut hendaklah dihormati.

Benar juga. Kita tak perlulah terlalu taksub dengan budaya menghormati kubur. Bagaimanapun, jangan sampai kawasan kubur jadi kebun sayur sudahlah. Ataupun sampai tanam sayur di atas kubur, apa pula perasaan keluarga si mati itu?

Thursday, February 11, 2010

Lisa dapat buku

Alhamdulillah, buku yang saya hadiahkan untuk pemberi komen terbaik sudahpun sampai kepada penerimanya. Beliau ialah Alyssa Villamor. Dengan ini saya buktikan bahawa saya tunaikan janji untuk memberi hadiah buku kepada mereka yang layak dan terpilih.

Ini adalah komen beliau mengenai apakah yang boleh memotivasikan manusia selain duit... "Salam.. bagi manusia pd zmn skarng duit=kesenangan.. sbb tu lah apa yg manusia kejar2kan skrg~kesenangan.. Tapi nak dapat duit tak senang kn?? Jadi benda selain dr duit yg dpt memotivasikan manusia? Ilmu..offerkan ilmu kpd mereka, pastikan ia berguna (tak merepek2 je) agar mereka bole snang faham, n praktikkan..pastu bimbing mereka.. Ingat tak macam mana masa kite kecik2 dulu, kalu kita nak duit poket dari mak&ayah, mesti mintak elok2 dulu,ada caranya.. Mana kite blaja nie? Ilmu n Pengalaman.. Sumenye dtg dr ilmu. Insya Allah.. *duit hanya la kertas warna-warni duniawi, takkan dibawanya ke kubur."

Bagi saya, pandangan Lyssa ini sangat unik kerana dia melihat perspektif yang berbeza dengan pandangan orang lain. Memang benar, bagi pencinta ilmu ada kalanya dia sanggup buat apa sahaja asalkan dia boleh memperolehi pengetahuan. Bak kata pepatah, "knowledge is power". Dengan pengetahuan, maka banyaklah manfaat lain yang akan diperolehi termasuklah kerjaya yang baik. Dengan ilmu juga kita boleh berkhidmat kepada masyarakat. Ilmu juga meningkatkan martabat diri sebagai seorang manusia.

Ada satu kata hikmah daripada Saidina Ali R.A. yang bermaksud, "Ilmu itu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga engkau sedangkan engkau menjaga harta.... Harta itu berkurang apabila dibelanjakan sedangkan ilmu pula bertambah apabila dibelanjakan."

p/s: Sedang menunggu respons dua penerima lagi. Mungkin belum sampai lagi ataupun belum sempat dimaklumkan kepada saya.

Saturday, February 6, 2010

Apakah jenis personaliti terbaik?


Berdasarkan pandangan mata kasar kita, manusia ada pelbagai personaliti yang mempengaruhi perwatakan, sifat dan tingkah laku. Cara berfikir dan bakat juga akan berbeza berdasarkan personaliti tersebut. Bak kata pepatah, banyak orang maka banyaklah ragam.

Dari perspektif psikologi ada dua aspek personaliti major yang membezakan manusia, iaitu sama ada dia seorang introvert ataupun extrovert.

Manusia introvert memiliki sistem biologi yang halus dan sensitif. Oleh itu, dia akan lebih cenderung memilih keadaan yang lebih tenang dan kurang melibatkan input penderiaan. Biasanya personaliti ini dimiliki oleh orang yang lebih dominan otak kirinya yang bersifat logik dan aritmatik.

Manusia extrovert pula memiliki sistem biologi yang lebih kasar dan lasak. Oleh itu dia akan lebih cenderung memilih keadaan yang meriah untuk merangsang derianya. Otak kanannya yang bersifat seni adalah lebih dominan.

Dengan itu, orang introvert lebih suka keadaan yang senyap dan dia cepat rimas dengan keadaan yang menyerabutkan deria halusnya. Orang jenis ini juga sangat peka dan sensitif dengan persekitaran. Tetapi dia jenis mudah beremosi.

Orang extrovert pula tak boleh duduk diam kerana dia akan cepat bosan. Dia perlukan sesuatu untuk merangsang derianya yang kasar itu. Bunyi bising misalnya tidak mudah dapat mengganggu emosinya.

Mana satukah personaliti yang lebih baik? Jawapannya ialah, kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan mengikut perbezaan persekitaran dan bidang yang dilakukan.

Orang introvert lebih fokus dan pemikirannya tersusun serta berstruktur. Berkepala angin tetapi tinggi cita-citanya. Seorang intelek tetapi mudah stress. Manakala extrovert pula menghasilkan pemikiran menyeluruh dan bersifat seni. Tenang orangnya dan bersederhana mengejar cita-cita. Seorang seniman dan kurang stress. Itulah kelebihan masing-masing. Deria sensitif, mudah beremosi. Sukar beremosi, deria kurang sensitif pula.

Bagaimanapun, dalam menghadapi kehidupan seharian kita terpaksa menghadapi dan menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan. Namun itu tidak bermakna ukuran personaliti ini tidak sah sebagai suatu perbezaan. Kita boleh memainkan watak kedua-dua personaliti itu, namun KECENDERUNGAN tetap akan lebih dominan pada salah satu personaliti sahaja.

p/s: Saya suka melihat personaliti orang melalui gaya dia tidur :) Orang yang bertelinga tikus itu biasanya introvert dan sebaliknya kalau bom meletup pun dia tak sedar maka itu bermakna orang itu extrovert (harap faham maksud saya :P)

Wednesday, February 3, 2010

Pemenang Komen Terbaik

Pada bulan Disember 2009 lepas, saya ada memperuntukkan tiga buah buku percuma untuk komen terbaik bagi entri bertajuk "Bagaimana memotivasikan manusia?". Sehingga 31 Januari 2010, saya tertarik dengan tiga komen yang diberikan, iaitu daripada Alyssa Villamor, Lee dan Ain Mohd. Komen mereka adalah seperti berikut:

1) Alyssa Villamor kata, "Salam.. bagi manusia pd zmn skarng duit=kesenangan.. sbb tu lah apa yg manusia kejar2kan skrg~kesenangan.. Tapi nak dapat duit tak senang kn?? Jadi benda selain dr duit yg dpt memotivasikan manusia? Ilmu..offerkan ilmu kpd mereka, pastikan ia berguna (tak merepek2 je) agar mereka bole snang faham, n praktikkan..pastu bimbing mereka.. Ingat tak macam mana masa kite kecik2 dulu, kalu kita nak duit poket dari mak&ayah, mesti mintak elok2 dulu,ada caranya.. Mana kite blaja nie? Ilmu n Pengalaman.. Sumenye dtg dr ilmu. Insya Allah.. *duit hanya la kertas warna-warni duniawi, takkan dibawanya ke kubur."

2) l e e kata, "Orang sekeliling pun boleh dijadikan motivasi dalam diri seseorang sebenarnya. kalau suasana disekeliling tak kondusif atau sebagainya, kejayaan tak akan ditempa."

3) Ain Mohd kata, "apa lagi yang memotivasikan selain duit..hmm.. pandangan saya agama Islam itu motivasi terhebat.dan al quran buku terbaik nak memotivasikan diri. mengapa:
-kalau rasa sgt down bila baca quran dan terjemahan hati akan rasa tenang.
-bila rasa dikhianati di dunia, islam masih ada dengan hari akhirat.semua nih memotivasikan kitew ntok teros sabor...heh
-kalau rase malas nak buat keje or kurang motivasi sentiase perbetulkan niat dan ada pahala di setiap keje kita.
jadi boleh agaknya agama menjadi motivasi?=)"

Oleh itu, saya harap tiga pemberi komen terbaik ini memberikan nama penuh dan alamat rumahnya melalui ruangan komen entri ini. Saya akan poskan salah satu daripada buku Siri Chit Chat Remaja saya yang diterbitkan oleh PTS Millennia Sdn. Bhd. Maka dengan ini saya realisasikan janji saya. Terima kasih di atas pandangan yang diberikan. InsyaAllah kalau ada rezeki, saya akan tawarkan lagi buku percuma untuk pelawat setia blog ini. Terima kasih.

Tuesday, January 26, 2010

Jagalah bahasa... Jaga tutur kata

Sesi 'mengeteh' saya baru-baru ini menyentuh isu ungkapan penghinaan oleh seorang penulis blog yang ditujukan kepada Almarhum. Ungkapan itu sangat mengguris perasaan rakyat Johor khususnya dan masyarakat Melayu umumnya.

Penulis blog yang biadap itu ibarat mata berkutuk, hati bersetan. Manakan tidak? Orang kita tidak pernah tergamak untuk mengeluarkan perkataan kasar seperti 'itu' kepada seorang arwah. Apatah lagi perkataan itu ditujukan kepada peristiwa kemangkatan sultan yang dikasihi. Mujurlah ramai orang kita yang mengutuk tulisan.... KLIK SINI UNTUK BACAAN LANJUT

"Rahsia di hati tak siapa tahu, getar di jari satu dunia boleh tahu…"

Monday, January 25, 2010

Sultan Berjiwa Rakyat


Almarhum Tuanku Iskandar ialah seorang yang berjiwa rakyat. Baginda memang mesra dengan rakyat jelata. Walaupun baginda digeruni kerana tegas dan berterus terang, namun ada kalanya baginda disenangi serta menghiburkan hati rakyat.

Baginda menegur secara langsung jika melihat sesuatu yang kurang sopan ataupun melihat kesilapan. Dalam ucapan dan bacaan doa di majlis-majlis rasmi, baginda menegur jika tidak berkenan. Tegurannya memang digeruni, tetapi diterima sebagai suatu teguran ikhlas yang membina.

Baginda juga tegas dengan pendiriannya. Lebih-lebih lagi berkenaan kedaulatan negara. Mengenai isu jambatan bengkok, pulau dan jambatan ketiga, baginda lantang bersuara dan menegur. Kalau baginda tak berkenan, maka itulah yang kita perlu ikut. Kecuali kalau nasi sudah menjadi bubur.

Saya masih ingat lagi ketika menghadiri suatu majlis perasmian pusat pentadbiran baru kerajaan Johor. Baginda berjenaka kepada kakitangan awam supaya 'jangan mengular'. Pernah sekali baginda menyatakan kekesalannya mengenai suatu isu bahawa 'kita asyik ditipu dek orang putih'. Istilah itu mungkin agak lucu dalam ucapan rasmi, tetapi itulah perwatakan baginda yang berterus terang dan mesra. Baginda tidak berselindung dan pesanan itu memang ada kebenarannya. Kalau teks ucapannya salah pun, dia akan tegur di situ juga.

Saya hanya mengimbau kembali kenangan di zaman baginda. Sebagai rakyat biasa, kali ini saya berasa terpanggil untuk menceritakan apa yang saya fikir ketika ini. Semoga roh almarhum dicucuri rahmat oleh Allah SWT. Al-Fatihah.

pix: Gambar ihsan NST Online.

Peraturan Berkabung di Johor

Hari ini ialah hari ketiga perkabungan bagi rakyat Johor. Bagi mereka yang masih kabur tentang peraturan berkabung, bolehlah merujuk kepada kenyataan Pengumuman Kemangkatan oleh Y.A.B. Menteri Besar Johor.

Pada pengamatan saya, pasca kemangkatan Tuanku Sultan Johor setakat ini menimbulkan beberapa perspektif berkaitan daripada pihak-pihak tertentu. Antaranya ialah isu penghinaan melalui blog Aduka Taruna dan hukum syariat mengenai berkabung.

Penghinaan terhadap sultan oleh Aduka Taruna menimbulkan kemarahan rakyat Johor dan ia dinilai sebagai melanggar norma masyarakat kita. Bagaimanapun, akhirnya penulis blog ini meminta maaf secara terbuka mengenai keterlanjuran katanya. Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk bertindak ataupun tidak. Yang pastinya rakyat Johor sangat marah dengan kenyataan berbentuk penghinaan oleh penulis blog itu.

Mengenai arahan berkabung selama seminggu di Johor, saya mempunyai perspektif tersendiri. Bagi saya, peraturan berkabung itu tidak ekstrim. Hanya sebagai tanda penghormatan dan bukan menyesali kematian/kemangkatan seseorang. Peraturan itu tidaklah sampai membuatkan kita tidak boleh berhias, menyiksa diri ataupun meratapi. Oleh itu, perkabungan ini bagi saya tidak seperti perkabungan seorang isteri yang kematian suami, yang dilarang melebihi tempoh tiga hari.

Ini bukan fatwa saya. Saya juga tidak menafikan hukum tersebut. Cuma saya mempersoalkan adakah perkabungan yang dilarang itu sama dengan yang sedang kita lakukan di Johor? Tolong betulkan kenyataan saya jika saya salah. Terima kasih.

Saturday, January 23, 2010

Sultan Johor Mangkat

Seluruh rakyat Johor berbelasungkawa di atas kemangkatan Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail pada hari Jumaat, 22 Januari 2010, jam 7.15 petang di Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru.

Al-Fatihah...

Friday, January 22, 2010

1 Malaysia: Kesamarataan ataupun integrasi nasional?

Saya mengimbas semula perbualan saya dengan seorang tetamu berbangsa Melayu di rumah orang tua saya. Perbualan itu mengenai konsep 1 Malaysia.

Dia berkata, "Sepatutnya kerajaan bangunkan sekolah 1 Malaysia supaya semua kaum boleh disatukan dalam satu aliran pendidikan yang selaras."

Lantas saya bertanya, "Bukan ke sekolah kebangsaan itu ialah sekolah untuk semua kaum? Di dalamnya sudah sedia wujud konsep 1 Malaysia... Tapi kenapa masih ramai kaum lain memilih sekolah vernakular? Sebenarnya apa yang awak faham tentang 1 Malaysia?"

Dia jawab, "1 Malaysia ni untuk beri hak sama rata kepada semua kaum. Kalau kita beri masjid kepada orang Melayu, bermakna kita kena bagi kuil dan tokong juga untuk kaum lain."

Saya berasa agak janggal dengan kenyataannya dan inginkan penjelasan. Saya bertanya lagi, "Adakah bermakna kalau tiada konsep 1 Malaysia, kita berlaku tidak adil kepada kaum selain Melayu? Sebelum ini kita tak pernah bagi rumah ibadat ke kepada kaum lain? Bukankah sebenarnya konsep 1 Malaysia itu cenderung kepada memupuk perpaduan sesama kita? Apa yang kaum lain belum dapat selama ini ya? Pendidikan? Hak kebebasan beragama? Peluang menjalankan kegiatan ekonomi? Rasanya semua dah ada..."

Dia terpinga-pinga seketika. "Ntahlah." Lantas dia bangun mengambil air minuman. Seterusnya dia berbual dengan kawannya yang lain dengan berbahasa 'Jerman tiruan'...

Saya terfikir... Apakah konsep 1 Malaysia itu sudah disalaherti? Kalau begitu, marilah kita sama-sama mendalaminya semula...

Thursday, January 21, 2010

Format Penulisan Bahan Rujukan

Format ini saya kongsikan untuk kegunaan para penulis tesis dan saya sendiri. Ia adalah format APA yang boleh digunakan dalam banyak bentuk penerbitan. Rujukan ini saya petik daripada buku Panduan Menulis Tesis yang disediakan oleh UTM. Semoga ianya bermanfaat untuk semua.

(i) Buku

Nama penulis (Tahun). Judul Buku. Edisi. Tempat terbit: Penerbit. hlm.

Contoh:

Theusen, G. J. and Fabrycky, W. J. (1984). Engineering Economy. 6th ed.

Englewood Cliffs, N. J.: Prentice-Hall. 150–178.

(ii) Artikel dalam buku

Nama pengarang artikel (Tahun). Judul Artikel. Dlm. Nama pengarang buku. Judul

Buku. Tempat terbit: Penerbit. hlm.

Contoh:

Sukiman Sarmani (1987). Pencemaran Radioaktif. Dlm. Ahmad Badri Mohamad.

Perspektif Persekitaran. Petaling Jaya: Fajar Bakti. 71 - 87.

(iii) Artikel dalam jurnal

Nama penulis (Tahun). Judul Artikel. Judul Jurnal. Jilid (nombor):hlm.

Contoh:

Billings. S. A. (1980). Identification of Nonlinear Systems: A survey. Proc. Instn

Electr. Engrs, Part D. 127(6): 272-284.

26

(iv) Artikel daripada persidangan

Nama penulis. (Tahun). Judul Artikel. Tajuk Persidangan. Tarikh Persidangan.

Tempat diterbit: Nama Penerbit. hlm.

Contoh:

Sheta, A. F. and De Jong, K.(1996). Parameter Estimation of Nonlinear Systems

in Noisy Environments Using Genetic Algorithms. Proceedings of the 1966

IEEE International Symposium on Intelligent Control. September 15-18.

Dearborn, Michigan: IEEE, 360-365.

(v) Tesis

Nama Penulis (Tahun). Judul. Nama Institusi: Tesis.

Contoh:

Ahmad Zaki Abu Bakar (1989). Pemprosesan Teks Bahasa Melayu Untuk

Pemahaman Komputer. Universiti Teknologi Malaysia: Tesis Doktor

Falsafah.

(vi) Perundangan

Nama negara (Tahun). Judul Perundangan. : Nombor perundangan.

Contoh:

Malaysia (1983). Perintah Monumen Lama dan Tapak Tanah Bersejarah. :

P.U.(A)41 1983.

(vii) Piawai

Nama institusi (Tahun). Judul Piawai. Tempat terbit, Nombor piawai.

27

Contoh:

British Standards Institution (1987). Tongued and Grooved Software Flooring.

London, BS 1297.

(viii) Paten

Nama pemunya (Tahun). Judul Paten. (Nombor paten).

Contoh:

Lindgren, E. A. (1960). Screen Room Air Inlet and Wave Guard. (U.S. Patent

2, 925, 457).

(ix) Katalog dagang

Nama pengeluar (Tahun). Judul. Tempat terbit: Nota.

Contoh:

Howick Partitioning Ltd. (1984). Howick: Partitioning in Business. Redhill

(U.K.): Trade Brochure.

(x) Lukisan Terukur dan Teknik

Nama pengeluar (Tahun). Judul. Tempat terbit: Nota.

Contoh:

Zairul Azidin Badri (1980). Rumah Kutai Haji Sahak, Kampung Tanjung,

Kampung Gajah, Perak. UTM: Lukisan Terukur.

Salim Man (1989). Pengisi Sekam ke Dalam Kontena Penyimpan: Pandangan

Isometrik. UTM: Lukisan Teknik.

28

(xi) Bahan Sumber Yang Tidak Diterbitkan

Tuliskan mengikut format sama seperti di atas, tetapi ditulis Tidak diterbitkan

diakhirnya.