Followers

Monday, January 25, 2010

Sultan Berjiwa Rakyat


Almarhum Tuanku Iskandar ialah seorang yang berjiwa rakyat. Baginda memang mesra dengan rakyat jelata. Walaupun baginda digeruni kerana tegas dan berterus terang, namun ada kalanya baginda disenangi serta menghiburkan hati rakyat.

Baginda menegur secara langsung jika melihat sesuatu yang kurang sopan ataupun melihat kesilapan. Dalam ucapan dan bacaan doa di majlis-majlis rasmi, baginda menegur jika tidak berkenan. Tegurannya memang digeruni, tetapi diterima sebagai suatu teguran ikhlas yang membina.

Baginda juga tegas dengan pendiriannya. Lebih-lebih lagi berkenaan kedaulatan negara. Mengenai isu jambatan bengkok, pulau dan jambatan ketiga, baginda lantang bersuara dan menegur. Kalau baginda tak berkenan, maka itulah yang kita perlu ikut. Kecuali kalau nasi sudah menjadi bubur.

Saya masih ingat lagi ketika menghadiri suatu majlis perasmian pusat pentadbiran baru kerajaan Johor. Baginda berjenaka kepada kakitangan awam supaya 'jangan mengular'. Pernah sekali baginda menyatakan kekesalannya mengenai suatu isu bahawa 'kita asyik ditipu dek orang putih'. Istilah itu mungkin agak lucu dalam ucapan rasmi, tetapi itulah perwatakan baginda yang berterus terang dan mesra. Baginda tidak berselindung dan pesanan itu memang ada kebenarannya. Kalau teks ucapannya salah pun, dia akan tegur di situ juga.

Saya hanya mengimbau kembali kenangan di zaman baginda. Sebagai rakyat biasa, kali ini saya berasa terpanggil untuk menceritakan apa yang saya fikir ketika ini. Semoga roh almarhum dicucuri rahmat oleh Allah SWT. Al-Fatihah.

pix: Gambar ihsan NST Online.

No comments: