Followers

Monday, March 1, 2010

Komen untuk NOVEL FREE: Genius ataupun sikap?

Pertandingan komen terbaik kali ini menawarkan hadiah SEBUAH NOVEL. Saya akan beli sebuah novel yang popular di pasaran untuk dijadikan sebagai hadiah. Pertandingan ini agak subjektif kerana ia dinilai oleh saya sendiri berdasarkan kreativiti dan ketepatan anda melontarkan idea melalui komen. Keputusannya muktamad. Saya buka ruangan ini untuk dikomen sehingga 10 April 2010.

SOALANNYA BEGINI:

Di sekeliling kita, ada ramai orang yang genius. Di samping itu ramai juga orang yang bagus sikapnya dalam berusaha.

Ada pula yang genius tetapi bersikap buruk seperti suka bertangguh, banyak berangan dan sebagainya. Ada pula yang kurang genius tetapi sikapnya bagus seperti rajin, tidak putus asa, realistik dan berdisplin.

Mana satukah yang lebih berpengaruh dalam menentukan kejayaan hidup kita? Kepandaian (genius) ataupun sikap yang baik? Mengapa?

Bagi saya tiada jawapan yang salah ataupun betul dalam memberikan pandangan. Anda bebas memberi komen mengikut perspektif masing-masing. Tetapi haruslah tidak lari daripada soalan di atas. Mari kita lihat, siapa yang kena?

p/s: Benarkah Fadzli Abu Bakar akan hadiahkan novel sebagaimana yang dijanjikan? InsyaAllah. Sebelum ini Nurul 'Ain , Lyssa Villamor dan Lee sudahpun menerima hadiah buku daripada saya. Cubalah komen, untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

2 comments:

Anonymous said...

Salam,

Seperti yang kita sedia maklum, sememangnya wujud individu yang genius disekeliling kita daripada konteks keturunan yang diwarisinya (heredity) ; kini ia dapat diuji dengan “Ujian IQ”. Maka tidak hairanlah jika individu yang memiliki “anugerah” ini mampu untuk memperolehi lebih daripada 130 mata dalam Ujian IQ.

Namun, perkembangan situasi persekitaran dunia kini semakin berkembang pesat seiring dengan kesan negatif terhadap individu manusia termasuklah kepada insan-insan genius. Kecanggihan dan kemudahan teknologi masa kini adakalanya menjadikan seseorang itu semakin alfa, leka, gemar bertangguh atau lebih mudah disebut sebagai malas atau kurang mahu berusaha. Kesempatan terhadap keupayaan dan kepantasan teknologi menjadikan segelintir daripada mereka yang “dianugerahkan” ini kurang mahu berinisiatif.

Kejayaan hidup bagi seseorang insan itu sebenarnya bukanlah bergantung sepenuhnya kepada darah yang pantas mengalir melangkaui segenap kapilarinya. Ia bergantung kepada sikap yang tersemat erat di dalam sanubari dan jiwa insan tersebut. Selagi setiap sedutan nafas bagi insan yang bersikap sentiasa positif menerjah segenap sel-sel badannya, selagi itulah insan tersebut mampu untuk merubah apa saja bentuk nasib, kemungkinan atau corak seperti diingininya.

Alangkah bertuahnya badan jika kita dilahirkan dengan memiliki kedua-dua aspek ini ; kegeniusan dan sikap yang sentiasa proaktif. Sudah pasti hala tuju yang cemerlang dan terarah pasti menjadi milik kita (insyaAllah). Namun, bukan semua daripada kita mempunyai tuah seperti yang digambarkan. Jika kita bukan dilahirkan sebagai “intan terpilih”, maka kita perlu selalu membisikkan kepada diri kita bahawasanya kita juga mampu menjadi "intan yang bersinar" jika kita sentiasa rajin (dibaca : bersikap) mahu memperbaiki sebarang kelemahan ke arah satu kebaikan (kejayaan).

Sekian,

Azneezal Ar-Rashid
Sri Aman, Sarawak

Azrai Ahmad Zamri said...

Salam ziarah..
Bagi saya, definisi kejayaan hidup bagi seseorang individu cukup luas. Bukan sekadar memiliki motokar besar, mahligai mewah, syarikat ternama ataupun isteri ramai malah ia melangkaui aspek ketenangan hati, kebahgiaan hakiki serta keredhaan Ilahi. Era masyarakat dunia melihat kecerdasan intelektual (IQ) yang bersifat kuantitatif sebagai penentu kejayaan sebenarnya telah berakhir beberapa dekad yang lalu. Ini terbukti setelah analisis kajian McClelland di dalam bukunya ‘Testing For Competence Rather Than Intelligence’ merumuskan bahawa kemampuan akademik, markah penilaian dan tahap kelulusan tidak menggambarkan kemampuan individu tersebut di persada kerjayanya.

Sebaliknya, faktor kejayaan individu masa kini lebih dipengaruhi oleh keseimbangan antara kecerdasan emosi (EQ) dan kecerdasan rohani (SQ). Jalinan keseimbangan inilah yang bisa membentuk sikap individu dalam mengemudi kehidupan masa kini sama ada dari aspek pengendalian diri, semangat, ketekunan serta kemampuan menghadapi persoalan mengenai makna dan nilai. Ianya dapat membawa individu untuk memilih jalan hidup yang lebih bermakna, yang membezakan antara mereka dan haiwan. Oleh kerana kesemua jenis kecerdasan ini bertapak dalam tujuh dimensi jiwa yang berbeza, ianya juga berfungsi memberi kesan kepada kemampuan akal, hati dan jiwa yang berbeza. Sepatutnya ia semua digemblengkan secara bersama untuk memastikan kejayaan yang sempurna dunia dan akhirat.

Namun, jika disoal mana yang lebih berpengaruh antara kepandaian (intelektual-genius) atau sikap dalam menentukan kejayaan seseorang individu, semestinya faktor sikap yang dibentuk oleh kecerdasan EQ dan SQ yang baik adalah lebih dominan. Hakikat ini perlu diperluaskan di negara kita yang masih menitikberatkan kecemerlangan akademik berorientasikan peperiksaan semata. Pembentukan modal insan yang lebih kukuh emosi dan rohani sepatutnya lebih ditekankan jua. Lupakah kita akan kisah si arnab dan kura-kura?..