Followers

Wednesday, December 15, 2010

Jangan Cakap...

"WAK, saya tengok wak ni jarang betul sakit dan bermasalah. Tak pernah tengok muka wak bermasalah. Apa rahsia wak? Kalau ada ilmu atau mentera yang diamalkan tu, kongsilah dengan saya..." salah seorang kawan saya, Subandrio kepada Wak Rimon, bapa kepada kawan saya yang lain.

Wak Rimon berusia dalam lingkungan umur 80-an. Berkerja sebagai petani sawah padi. Masih kuat mengusahakan tanahnya sendiri. Semua orang pelik, entah apa rahsia yang diamalkan sehingga dia jarang sakit atau nampak bermasalah.

Ketika ditanya oleh Subandrio dia menjawab dengan serius, "JANGAN CAKAP..."

Kami yang berada di situ terkedu. Masa tu kami sedang makan malam bersama. Agaknya dia tak bagi bercakap semasa makan. Ataupun dia tak suka ditanya begitu.

Tetapi Subandrio ingin tahu juga. Dia tanya lagi, "Wak, apa rahsianya? Kongsilah..."

Wak Rimon menjawab lagi, "JANGAN CAKAP la..."

"Ala Wak... kami pun nak juga sentiasa sihat dan jarang ada masalah." Subandrio tetap dengan pendiriannya kerana ingin tahu.

"Iya... JANGAN CAKAP... Kalau sakit sikit-sikit tu diam saja sudahlah. Kalau ada masalah pun, tak payah nak bising-bising. Makan ubat dan selesaikan saja." Wak Rimon menjelaskan jawapannya sambil tersenyum dan terus menyuap nasi ke mulutnya.

"Ooooohhhh," saya, Subandrio dan kawan-kawan lain baru faham apa maksudnya.

Itu kisah 10 tahun lepas, saya tinggal di rumah seorang kawan di Sekinchan, Selangor. Perkampungan itu adalah kawasan penanaman padi yang cantik dan mendamaikan. Banyak perkara yang saya pelajari di situ. Macam-macam petua dan prinsip orang kampung.

Kini, apabila ramai orang semakin aktif dengan Facebook dan rajin update statusnya mengingatkan saya tentang kisah itu. Memang ada betulnya. Semua orang ada masalah dan pernah sakit. Tapi tak semua orang suka mengeluh dan menceritakan kelemahannya kepada orang lain.

Kita ni memang gatal mulut. Kalau di Facebook, kita gatal tangan :)

1 comment:

Anonymous said...

Nasihat yang baik. kadang2 ringan tulang berkongsi masalah dengan dunia. konon2nya kita sahaja yang bermasalah. :-)

Azrin.