Followers

Thursday, April 15, 2010

Isi akaun anda walaupun ketika tidur...

Dunia hari ini… Orang mencari, menambah dan mengembangkan wang supaya ia menjadi lebih banyak. Kalau boleh, sambil tidur pun kita mahu duit masuk dalam akaun kita. Tetapi, adakah cukup dengan mencari wang semata-mata? Bagaimana pula dengan akaun pahala kita?

Kebiasaannya, cara mendapatkan ganjaran wang adalah dengan berkerja atau makan gaji. Ada kerja, ada wang. Tak ada kerja, tak ada wang. Bagaimanapun ada juga cara lain untuk menambah dan mengembangkan wang, iaitu dengan berniaga. Selain itu, ada pula cara bijak menambahkan wang, iaitu melalui pelaburan.

Memetik kisah seorang peniaga Cina daripada buku Jutawan Senyap, si peniaga itu berkata bahawa dia buat duit sambil tidur. Bila ditanya tentang cara, rupa-rupanya dia peniaga Yong Tofu yang merendam sotong sebelum tidur. Bila dia bangun pagi, sotong sudah menjadi lebih besar.

Banyak orang ingin menanam saham. Ada yang melabur di ASB ataupun Unit Amanah supaya duit yang disimpan itu berkembang. Para artis dan penulis pula sibuk menyiapkan album dan buku yang menjanjikan pendapatan melalui royalti. Jika royaltinya 10% daripada harga pasaran, kemudian dalam keadaan sedang enak dia tidur di petang hari minggu ada orang membeli bukunya di kedai, maka jadilah ia orang yang mendapat duit walaupun ketika tidur.

Itu perihal wang dan kekayaan duniawi! Bagaimana pula dengan saham pelaburan akhirat?

Rasulullah SAW. pernah bersabda yang bermaksud, “Apabila seseorang itu mati maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: Ilmu bermanfaat, sedekah jariah dan anak soleh yang mendoakannya.”

Oleh itu, ajarkan atau berkongsilah ilmu dengan orang lain tanpa sifat kedekut. Jika ilmu itu diamalkan, maka bertambahlah pahala dalam akaun kita walaupun ketika tidur.

Banyakkanlah bersedekah kerana selama pemberian kita digunakan, maka bertambahlah pahala dalam akaun kita walaupun ketika tidur.

Didiklah anak dengan betul supaya dia menjadi anak soleh yang mendoakan kita, maka sejahteralah keadaan dalam kubur walaupun ketika itu kita tidur untuk selamanya.

Mari kita cari pelaburan yang boleh penuhkan akaun wang dan pahala kita walaupun ketika itu kita sedang tidur. Menulis buku juga baik kerana kita berkongsi manfaat ilmu dan juga buat duit dengannya. Anda bila lagi?

Tuesday, April 6, 2010

Tata Cara membayar Zakat Insurans (video)

Saya ingin berkongsi sedikit pengetahuan mengenai zakat. Semoga ia bermanfaat untuk para pembaca.


Reka Multimedia dan Suara latar: Shahib Amin

Video-video lain mengenai Zakat klik sini.