Followers

Tuesday, May 4, 2010

Kursus Mentafsir Mimpi

Pagi ini saya tertarik dengan sebuah berita di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia 4 Mei 2010 mengenai kursus mentafsir mimpi di Saudi.

Kursus itu bakal diadakan melalui sebuah institusi pengajian oleh seorang pentakwil mimpi terkenal, Yusuf al-Harthy. Penuntut akan ditawarkan sijil di peringkat sarjana muda, master dan Ph.D.

Pada pandangan saya, ilmu ini agak sukar diterima masyarakat moden. Namun saya bersetuju dengan kenyataan al-Harthy bahawa mentakwil mimpi itu merupakan salah satu cara memberi kaunseling kepada seseorang. Bagi saya, idea ini sangat menarik kerana mimpi adalah sesuatu yang memberi kesan kepada orang yang mengalaminya.

Tidak kiralah sama ada kita percaya dengan mimpi ataupun tidak. Yang pastinya, selepas bermimpi sesuatu biasanya kita masih teringat-ingat tentang mimpi itu dan cuba memahamkan kaitannya dengan kehidupan ataupun pemikiran kita. Jadi, saya rasa ia boleh dikaitkan untuk memberi kaunseling kepada seseorang yang mempercayainya.

Teori psikoanalisis oleh Sigmund Freud ada mengakui peranan minda luar sedar dan bawah sedar yang boleh mempengaruhi tingkah laku seseorang.

Bagaimana pula dengan anda? Percayakah dengan mimpi? Ataupun hanya menganggap mimpi itu sekadar permainan dalam tidur? Kalau begitu, relevankah subjek mentakwil mimpi itu menjadi suatu bidang kepakaran yang diiktiraf sijilnya?