Followers

Saturday, June 19, 2010

Peningkatan hidup itu seperti menanam pokok, bukan memanjat tangga...

Hidup bukan semestinya meningkat dengan hanya memanjat tangga untuk ke atas. Tetapi kehidupan itu sepatutnya umpama pokok tumbuh dan meninggi dengan penjagaan yang baik...
Itu kata Amitabh Bachan melalui kisah lakonannya dalam cerita bertajuk Baghban. Beliau memegang watak sebagai ayah kepada tiga orang anak yang mempunyai seorang anak angkat. Namun anak-anaknya jenis yang tidak mengenang budi ibu bapa. Kecuali anak angkatnya yang lebih menghormati dan mengambil hati.

Tiga orang anak itu dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan kelengkapan dalam hidup. Tetapi setelah berjaya dan berkahwin, mereka melupakan ibu bapa mereka bahkan mengherdik serta menyakitkan hati mereka tanpa timbang rasa.

Hanya seorang anak angkat sahaja yang tahu mengenang budi. Menjaga perasaan, bahkan sanggup menghadiahkan bapanya sebuah kereta mewah.

Akhirnya, si bapa baru mengetahui bahawa ada sebuah buku yang pernah ditulis olehnya laris di pasaran. Dia menjadi jutawan dan sangat terkenal.

Anak-anak yang telah melupakannya ingin kembali kerana mahukan kekayaan dan menumpang populariti.

Namun, nasi sudah menjadi bubur. Luka boleh dijahit dan sembuh. Tetapi parut tidak akan hilang.

Dalam sesi Bicara Buku, ayahnya memberi ucapan yang membuatkan saya sedar dan berfikir semula. Buku yang terkenal itu adalah kisah keperitan hidupnya sebagai seorang ayah.

Anak-anak selalunya membuang tangga yang dipanjatnya setelah berada di tempat yang tinggi. Tetapi sepatutnya mereka sedar bahawa hidup ini meninggi dan membesar seperti sebatang pokok. Ia perlu disiram dan dibaja sebagaimana di peringkat awal ia disemai dan bercambah. Bagaimanapun, setelah pokok itu membesar, apa yang menentukan survivalnya ialah kekuatan akarnya. Jika akarnya reput, maka pokok itu tiada maknanya.

Tuesday, June 8, 2010

Cakap banyak, kurang buat atau buat banyak, kurang cakap...

Banyak cakap, kurang buat. Atau kurang cakap, banyak buat. Mana satu yang lebih penting?

Minggu lepas, saya mendengar luahan masalah daripada seorang kawan. Lantas saya menasihatkannya supaya sabar dan menganggapnya sebagai suatu dugaan. Jawapan yang diberikan membuatkan saya berfikir semula, "Cakap senang la! Cuba hadap... baru tahu rasanya..."

Memang benar. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya.

Saya berfikir lanjut tentang hal kerja pula. Apakah dalam melakukan sesuatu kerja itu kita perlu banyak cakap, kurang buat ataupun kurang cakap, banyak buat?

Bagi pendapat saya, lebih baik diseimbangkan antara memberi cadangan dan melaksanakannya. Kalau asyik memberi cadangan tetapi tidak turut serta melaksanakannya, pun susah juga hingga membebankan orang lain. Sebaliknya, kalau senyap terus pun kurang elok juga kerana ia menunjukkan cara kerja yang pasif dan hanya menunggu arahan.

Itu perihal 'cakap' yang berkaitan dengan lontaran idea atau memberi cadangan. Bagaimana pula dengan perihal 'cakap menceceh' atau 'cakap kosong'? Ada kalanya saya sendiri terjerumus ke dalam percakapan itu sehingga kerja saya lambat siap kerana tidak fokus dengan kerja yang dibuat. Oleh itu, marilah kita kawal aktiviti 'cakap-cakap' kita ketika berkerja supaya lebih fokus, dapat menghasilkan output berkualiti dan lebih banyak kerja boleh disiapkan.

p/s: Satu sikap yang kita perlu elakkan, iaitu banyak cakap, kerja tak buat. Sama-samalah kita elakkannya.