Followers

Thursday, July 29, 2010

Tawakal Mergastua

Hari ini, sepuluh naskhah percuma buku Warkah Alam hasil karya saya dengan W.B. Rendra tiba di rumah. Saya tidak sangka bahawa rupanya akan sebegitu cantik dan rasa pelik bagaimana saya mendapat idea untuk menulis isi kandungannya sebelum ini. Mungkin kerana saya agak terharu dan terlalu gembira melihat hasil karya ke-14 ini diterbitkan. Kali ini saya yakin hasil karya ini lebih memukau dan memberi manfaat kepada pembaca, percayalah...

Mari saya kongsikan petikan salah satu daripada bab yang bertajuk Tawakal Mergastua yang menceritakan bagaimana manusia itu sepatutnya mencontohi sifat tawakal pada burung ketika mencari rezeki.
Sesungguhnya jika kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu akan diberikan rezeki seperti rezeki burung-burung. Mereka keluar pada waktu pagi dengan kelaparan dan pulang pada waktu petang dalam keadaan kenyang.

Seawal fajar menyingsing, bayangan burung-burung terbang menyilangi langit. Seawal matahari terbit, kicauan burung memecah keheningan pagi - keluar mencari rezeki. Di rimba kemodenan pula, manusia sesak bersimpang-siur bersama tunggangan mereka - mahu mengisi keperluan dan kemewahan.

Mona menumpukan perhatian pada pemanduannya. Sesekali dia menjeling ke cermin pantulan kecil di sisinya. Melihat kenderaan bertayar dua menyelit lalu berderet-deret umpama kereta api yang tiada pengakhirnya. Hari ini dia terkandas lagi. Bukan hari ini saja, esok lusa mungkin seperti ini juga.

“Bosannya I nak pergi kerja.” Kata Mona sambil menekan suis tingkap automatik. Tingkap yang tadinya terbuka, ditutup rapat. Kononnya dia hendak jimatkan petrol, sebab itulah penghawa dingin pun tidak dibuka. Akibatnya terasa panas, bising dan bau asap yang tidak menyenangkan.
Sarah yang menumpang bersama sekadar menjeling. Pipi tembamnya mula kembung kerana mulutnya dimuncungkan.

“Kenapa pula bosan? Kalau tak kerja, you nak makan apa?” Dia memang penasihat motivasi amatur kepada Mona, rakan sekerjanya. Mereka jiran sederet di kawasan perumahan yang sama, pergi kerja pun bersama-sama. “Kerja setengah mati, tapi tak kaya-kaya juga. Duit
pun tak pernah cukup setiap bulan!” Tangannya lincah menukar ke gear satu. Jarak dengan kereta hadapan yang renggang mula dirapatkan semula....
Dapatkan senaskhah buku Warkah Alam yang akan berada di pasaran tidak lama lagi. Anda pasti terpesona dengan isi kandungannya.

Thursday, July 22, 2010

Adakah kita seperti keldai mengejar lobak?

Setiap pekerjaan yang kita lakukan pasti ada tujuan. Bagi golongan muda di bawah umur 30-an, mencari kekayaan dan kestabilan diri dalam kerjaya adalah tujuan utama. Semakin meningkat usia, maka semakin kita mencari makna hidup dan pekerjaan yang lebih bermakna, iaitu lebih daripada sekadar untuk mencari kemewahan hidup.

Hari ini, iaitu pada 22 Julai 2010 genap usia saya mencapai 31 tahun. Saya terus berfikir mencari makna hidup dan kepuasan berkaitan nilai pada diri saya sendiri. Kebanyakan masa saya dihabiskan dengan berkerja. Namun saya bertanya pada diri, apakah pengisian jiwa yang saya dapat daripada kerja-kerja itu? Atau ia sekadar tempat untuk cari makan?

Di mana-mana sahaja kita perlu berkerja dan bertanggungjawab dengan peranan kita sebagai satu komponen dalam masyarakat. Hasilnya, kita diberi ganjaran insentif sebagai bekalan untuk meneruskan hidup. Itu suatu keuntungan bagi setiap orang. Cukup makan, ada tempat tinggal, pakaian dan sedikit kemewahan. Syukur, Alhamdulillah...

Namun perbualan dengan ayah saya ketika makan malam meraikan ulang tahun kelahiran saya tadi membuatkan saya berfikir. Suatu kisah diceritakan, iaitu tentang keldai mengejar lobak. "Sebatang lobak digantung dengan tali di hadapan keldai supaya terus mengejar untuk mendapatkannya. Tetapi lobak itu terus ke depan mengikuti setiap langkah kita. Belum pasti lagi ia dapat dikongkang walaupun sudah sekian lama mengejarnya."

Saya berdoa supaya tidak tergolong daripada golongan itu serta diberi kekuatan untuk ikhlas menjalankan tanggungjawab sebagai seorang khalifah, insan bercita-cita tinggi, manusia yang berperasaan dan suami yang prihatin. Semoga doa kawan-kawan dan keluarga agar panjang umur serta dimurahkan rezeki itu dikabulkan Allah SWT. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Walau di mana pun kita berada, berlakulah adil kerana Tuhan itu maha adil yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk setiap hamba-Nya.

Renungi maksud sebuah hadis, "Jika mengejar dunia, nescaya semakin meninggalkan kita. Jika mengejar akhirat, maka dunia akan mengejar kita."

Thursday, July 15, 2010

Lapar dikelilingi makanan... Susah hati dalam kemewahan...

Pulang dari pejabat, saya membuka peti sejuk di dapur rumah untuk mengambil air minuman. Kelihatan banyak baki makanan yang tak habis dimakan sebelum ini. Saya terfikir...

"Hidup kita kini mewah dengan makanan. Rezeki melimpah-ruah kerana melebihi keperluan. Ada kalanya sampai terpaksa dibuang..."

Namun ada ketikanya kita terlalu memilih apabila perlukan makanan. Bahkan sanggup berlapar walaupun dikelilingi dengan makanan kerana kita tak mahu makan makanan sedia ada.

Ada masanya pula kita rasa susah hati. Mengenangkan kelengkapan hidup yang masih rasa kekurangan. Padahal keperluan asas sudahpun dipenuhi. Bahkan boleh dikatakan agak mewah. Kita bersusah hati dalam keadaan hidup yang serba mencukupi.

Akhirnya kita kembali berfikir tentang nilai ihsan pada diri. Sikap selalu bersyukur dan mengamalkan qanaah itu menenangkan jiwa dengan sentiasa merasakan cukup dengan apa yang ada.

Bagaimanapun jika mahu tambah kualiti hidup, eloklah kita terus berusaha. Tetapi jangan lupa, tenangkanlah hati dengan rasa syukur dan qanaah sentiasa.