Followers

Wednesday, December 15, 2010

Jangan Cakap...

"WAK, saya tengok wak ni jarang betul sakit dan bermasalah. Tak pernah tengok muka wak bermasalah. Apa rahsia wak? Kalau ada ilmu atau mentera yang diamalkan tu, kongsilah dengan saya..." salah seorang kawan saya, Subandrio kepada Wak Rimon, bapa kepada kawan saya yang lain.

Wak Rimon berusia dalam lingkungan umur 80-an. Berkerja sebagai petani sawah padi. Masih kuat mengusahakan tanahnya sendiri. Semua orang pelik, entah apa rahsia yang diamalkan sehingga dia jarang sakit atau nampak bermasalah.

Ketika ditanya oleh Subandrio dia menjawab dengan serius, "JANGAN CAKAP..."

Kami yang berada di situ terkedu. Masa tu kami sedang makan malam bersama. Agaknya dia tak bagi bercakap semasa makan. Ataupun dia tak suka ditanya begitu.

Tetapi Subandrio ingin tahu juga. Dia tanya lagi, "Wak, apa rahsianya? Kongsilah..."

Wak Rimon menjawab lagi, "JANGAN CAKAP la..."

"Ala Wak... kami pun nak juga sentiasa sihat dan jarang ada masalah." Subandrio tetap dengan pendiriannya kerana ingin tahu.

"Iya... JANGAN CAKAP... Kalau sakit sikit-sikit tu diam saja sudahlah. Kalau ada masalah pun, tak payah nak bising-bising. Makan ubat dan selesaikan saja." Wak Rimon menjelaskan jawapannya sambil tersenyum dan terus menyuap nasi ke mulutnya.

"Ooooohhhh," saya, Subandrio dan kawan-kawan lain baru faham apa maksudnya.

Itu kisah 10 tahun lepas, saya tinggal di rumah seorang kawan di Sekinchan, Selangor. Perkampungan itu adalah kawasan penanaman padi yang cantik dan mendamaikan. Banyak perkara yang saya pelajari di situ. Macam-macam petua dan prinsip orang kampung.

Kini, apabila ramai orang semakin aktif dengan Facebook dan rajin update statusnya mengingatkan saya tentang kisah itu. Memang ada betulnya. Semua orang ada masalah dan pernah sakit. Tapi tak semua orang suka mengeluh dan menceritakan kelemahannya kepada orang lain.

Kita ni memang gatal mulut. Kalau di Facebook, kita gatal tangan :)

Thursday, December 9, 2010

Siapakah yang lebih malang?

SI CELIK berkata, "Malangnya aku tak dapat melihat saat-saat bahagia."

Si rabun pula berkata, "Aku lebih malang sebab aku tak boleh melihat dengan jelas."

Si buta mencelah, "Aku lebih malang sebab aku tak boleh melihat langsung."

Seorang yang pernah sempurna penglihatannya tetapi cedera hingga buta pun menyampuk, "Aku lebih malang sebab aku pernah ada nikmat penglihatan, tetapi nikmat itu hilang."

Seorang pesakit kronik katarak mata pula berkata, "Aku lagi la malang. Susah nak melihat. Kenan tanggung kos perubatan lagi."

Si celik menjawab semula, "Semua tu tak mengapa. Aku yang ada penglihatan normal ni pun tak dapat melihat saat bahagia."

Dialog itu akan berkitar semula menceritakan keadaan masing-masing yang dianggap lebih malang.

Siapa yang lebih malang sebenarnya?

Jika kita bersedih, lihatlah orang yang lebih malang ataupun lebih teruk daripada kita. Nescaya kita akan merasa lebih bersyukur.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Sesiapa yang tidak bersyukur pada yang sedikit, maka dia juga tidak akan bersyukur pada yang banyak."

Adakah kita lebih banyak bersyukur? Bersyukur itu selalu menenangkan hati...

Monday, December 6, 2010

Petanda baik Jika ada orang iri hati kepada kita

Apabila wujud watak-watak iri hati terhadap kita, itu suatu petanda kita sudah melepasi tahap sederhana dalam hidup. Cuma ada lebih kurang 5 peratus sahaja orang yang berada di atas tahap sederhana, iaitu menjadi seorang yang hebat dan berjaya.

Itu maksud kata seorang motivator terkenal, Irfan Khairy dalam artikelnya. Semalam saya terbaca artikel itu di sebuah majalah Solusi dan tertarik dengan pandangannya.

Dalam hidup kita memang wujud orang-orang yang berperasaan iri hati. Bagi saya ia adalah normal kerana manusia ingin bersaing dan menjadi yang terbaik. Jika ia disusuli dengan tindakan dan pemikiran positif, maka hasilnya pun begitu juga akan berbalik kepada kita.

Iri hati itu ada sasarannya yang tersendiri, iaitu iri hati kepada kejayaan dan pencapaian orang lain. Setakat ini belum ada orang iri hati kerana orang lain gagal atau mundur :)

Semoga perkongsian ini memberi semangat kepada kita. Jangan mudah terkesan dengan tindakan iri hati orang lain. Biarlah ia bersemadi dalam diri orang itu sendiri. Jangan usaha kita pula tersangkut disebabkan hati orang lain. Ia tidak berbaloi. Mohon juga dijauhkan daripada persaingan yang negatif dan tindakan hasad dengki.

***

Di kesempatan ini, saya ucapkan selamat menyambut tahun baru Hijriah. Ia suatu detik yang amat bermakna dalam sejarah kita sebagai umat Islam. Tahun baru ini tidak disambut dengan mercun, seks bebas, party, lumba motor dan countdown. Mari kita sambut dengan membaca doa akhir tahun dan awal tahun. Begitu juga dengan niat supaya kita berhijrah seluruh jiwa raga ke destinasi yang lebih baik.