Followers

Tuesday, January 18, 2011

Ekspresi penulis: Antara ganjaran dengan kepuasan.

"Kenapa tak terbitkan sahaja hasil karya tuan?"

Itu pertanyaan saya kepada seorang penulis senior. Hasil karyanya memang hebat. Puisinya menusuk jiwa.

"Kalau ada penerbit yang berminat, maka saya alu-alukan. Tapi kalau tiada, tak diterbitkan pun tak mengapa. Tapi saya akan terus kongsikan hasil penulisan itu untuk dibaca," jawab penulis itu.

"Bukankah menerbitkan hasil karya itu boleh buat duit? Boleh dapat royalti tahunan. Menulis transkrip hanya sekali, tetapi hasilnya dinikmati secara berterusan." Saya terus bertanya lagi.

"Ya, memang benar. Tapi saya mahukan kepuasan berkarya. Royalti itu soal nombor dua. Saya mahukan ilmu dan berkongsi dengan orang lain," kata penulis itu, selamba.

Dalam fikiran saya, terimbau pula tentang kenyataan seorang pemilik syarikat penerbit buku terkenal, "Saya memang mata duitan. Terbitkan buku untuk keuntungan." Ada betulnya juga. Kalau bukan kerana keuntungan, buat apa keluarkan modal untuk mencetak dan tanggung kos operasi.

Kenyataan kedua-dua pihak itu jelas menampakkan kontra dalam sudut pemikiran masing-masing. Namun, yang mana satukah yang betul? Mungkin masing-masing ada alasannya yang tersendiri.

Saya pilih jalan tengah. Bagi saya, kalau tiada royalti, mungkin bukan rezeki saya melalui buku-buku itu. Sekurang-kurangnya jika ada yang terbaca perkongsian ilmu saya dan memanfaatkannya, maka itu royalti saya untuk akaun di akhirat kelak. Itu royalti yang akan terus dibayar sehingga saya mati. Tapi kalau ada royalti wang, syukur Alhamdulillah. Itu rezeki untuk diri dan keluarga. Kedua-dua keadaan itu boleh selari.

Apa yang pasti, selagi dikurniakan idea untuk menulis, maka saya akan teruskan. Jika boleh buat duit, syukurlah ada rezeki saya di situ. Setakat ini pun saya pernah mendapat hasil bayaran royalti daripada buku-buku yang lepas. Ia memang buat duit, hasil gabungan idea penulis seperti saya dengan bantuan penerbit yang memasarkannya.

Saya bukan hanya menulis buku. Tetapi juga menulis artikel, blog, teks ucapan, laporan dan nota untuk disampaikan kepada masyarakat. Jika ia dimanfaatkan, maka itu adalah suatu kepuasan kepada saya.

Saya akan terus menulis, walaupun bukan semua yang ditulis itu dibayar dengan tunai secara jelas.

No comments: