Followers

Sunday, January 2, 2011

Mudahnya Belajar Bahasa Al-Quran


“BAHASA ARAB itu mudah, tetapi ianya sangat luas.” Itu kata seorang sahabat saya, Syed Sheikh Al-Attas dalam kelas bahasa Arabnya di pusat pengajian Darul Qurba, Larkin, Johor Bahru.

Saya pernah berkunjung ke pusat pengajian bahasa Arab yang dibangunkan oleh Syed Sheikh. Khidmat fotografi saya diperlukan untuk merakam aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) bahasa itu. Maka saya juga memerhatikan sesi itu.

Dalam sesi P&P tersebut, saya tertarik dengan kaedah dan suasana pembelajaran yang diwujudkan di situ. Ia sangat menyeronokkan. Kelihatan kaum ibu berumur antara 40 hingga 60 tahun cepat mempelajari bahasa al-Quran itu.

Pengajian bahasa Arab diberikan melalui kaedah yang mudah. Bermula daripada perbualan umum, maka timbullah minat dan kefahaman yang cepat di kalangan pelajarnya.

Misalnya, ada beza antara perkataan “mata” dan “maata” (ma pendek dan maa panjang). Yang pendek bermaksud ‘bila’ dan yang panjang bermaksud ‘telah mati’. Perbezaan itu membuatkan kita boleh tertawa membayangkan bagaimana kalau kita tersilap sebut. Daripada nak tanya tentang bila, tersilap sebut membawa maksud telah mati.

Satu perkataan juga boleh pelbagaikan dengan disandarkan pada kata ganti nama sama ada untuk dia, mereka, kamu, kamu semua, saya dan kami. Bahasa itu memang unik dan saya rasa semua orang perlu ada pengetahuan mengenainya.

Sebenarnya saya tak menyangka bahasa bahasa Arab boleh diajar dan dipelajari dengan cara yang mudah dan menyeronokkan. Nampaknya pusat pengajian itu sememangnya mempunyai keistimewaan dan keunikan tersendiri pada kaedah dan modul yang digunakan.

Beberapa minggu lepas, saya juga ada mengambil gambar dalam sesi P&P al-Quran yang dihadiri oleh sekumpulan anak-anak yatim dari sekitar Johor Bahru di situ. Guru yang mengajar mereka juga mahir dengan modul Iqra’ yang mampu membuatkan pelajarnya lecih cepat celik al-Quran.

Darul Qurba menyediakan pembelajaran al-Quran era baru, memecahkan tradisi mengaji al-Quran di rumah jiran dengan hanya duduk bersila di lantai. Cara yang lama juga baik, tetapi pada pemerhatian saya kaedah baru itu lebih bijak dan jimatkan masa. Ia memang sesuai untuk anak-anak zaman era IT.

Bagi sesiapa yang berminat untuk celik al-Quran dan belajar bahasa Arab, bolehlah menghubungi Syed Sheikh Al-Attas (016-3222776), Mudir Am Darul Qurba. Pusat pengajian itu menyediakan sesi pembelajaran untuk semua peringkat umur dan jantina.

Jangan malu dan segan. Anda pasti selesa dengan kaedah pembelajaran yang berkesan di situ.

Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud, "Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al-Qur'an dan mengajarnya."

1 comment:

Melihat Kesunyataan said...

Fadzli,
Ada tidak lagi gambar saya (Persatuan penulis Johor) semasa marhaban di rumah MB dulu. Kalau boleh di email pad saya di alamat; shapiai@yahoo.co.uk.
Terima kasih.