Followers

Tuesday, May 24, 2011

Kerja Sepenuh Hati

Bayangkan kita sedang mengemas, menyapu lantai ataupun membasuh baju. Perkara pertama yang melintas dalam minda kita ialah menganggap kerja-kerja itu berat, leceh, memenatkan dan paling koman ialah kita fikir nak cepat siap.

Bagaimana pula kalau di pejabat? Sebagai manusia biasa kadang-kadang kita rasa malas nak pergi kerja, rasa nak cepat balik, curi tulang, cari helah dan lebih banyak buat benda lain berbanding tugas yang dipertanggungjawabkan.

Macam mana pula kalau berkaraoke, bermain, melayan hobi dan berborak kosong? Tak rasa berat dan leceh pun. Penatnya tak terasa dan macam tak cukup masa pula.

Itu beza antara perkara yang tidak disukai dan disukai. Mungkin juga beza antara sesuatu perkara itu penting ataupun tidak.

Orang yang mengkategorikan sesuatu perkara itu penting, lebih utama ataupun tidak, ialah diri sendiri. Jika ianya dianggap penting, maka seluruh usaha akan tertumpu kepadanya. Benda susah pun boleh jadi senang.

Dalam perihal solat, Allah SWT. berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat ke-45 & 46 yang bermaksud, "Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk."

Memang ada kebenarannya. Hanya hati yang khusyuk, iaitu tenang dengan tumpuan sepenuhnya sahaja yang menjadikan sesuatu hal itu mudah untuk dilaksanakan.

Begitu juga dengan pekerjaan dan perbuatan yang lain. Jika kita tenang dan menaruh minat sepenuh hati, maka ianya akan jadi mudah dan lebih sempurna.

Setiap benda ada jasad dan rohnya. Ada pula fizikal dan metafiziknya. Badan tanpa roh, tidak bermakna. Kerja tanpa 'feel' pun tidak akan berjaya.

Hidup kita penuh dengan kerja. Kalau sudah menjadi tanggungjawab, eloklah kita pasang azam supaya bersikap suka melaksanakan sesuatu kerja itu dengan sepenuh hati. Hasilnya pasti memuaskan... iaitu memperolehi kesempurnaan pada hasil kerja, kesenangan hati dan berkat pada rezeki.

Apa yang lebih penting lagi ialah... ketenangan pada hati kita. Semoga hal ini menjadi renungan kita bersama.

No comments: