Followers

Thursday, June 23, 2011

Banyak Jin Mengganas di Era Siber

Oleh Abdul Jalil Ali

Semua orang yang waras pasti berasa sedih dengan kematian Faisal Harun. Bukan sahaja sedih, tetapi juga kesal dan sekali gus marah. Kalaulah ada sedikit kewarasan, remaja 26 tahun itu mungkin dapat diselamatkan.

Doktor mengesahkan anak muda dari Kampung Gong Beris, Marang, Terengganu itu mati akibat lemas, setelah dikatakan dipaksa minum air dalam kuantiti banyak termasuk melalui hos getah yang dimasukkan ke mulut mangsa.

Setakat rencana ditulis polis masih memburu seorang bomoh wanita warga Thai berhubung kes ini yang akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Faisal mulanya mengalami gangguan fikiran, tetapi bomoh berusia 43 tahun itu memberitahu mangsa terkena buatan orang. Konon mangsa perlu minum banyak air sehingga muntah untuk mengeluarkan jin yang merasuk dalam badan.

Keluarga mangsa yang ada semasa rawatan dilakukan melihat sendiri bomoh memasukkan salur getah ke mulut mangsa. Paip dibuka dan mangsa meronta-ronta sebab terlalu banyak air masuk ke perut.

Menurut laporan media, oleh sebab tidak tergamak melihat cara mangsa dirawat, anggota keluarga beredar dan menunggu di luar rumah. Beberapa ketika kemudian bomoh memberitahu jin sudah dihalau, tetapi mangsa pengsan. Mangsa dikejarkan ke klinik, dan meninggal dunia.

Bagaimana anggota keluarga boleh membiarkan rawatan bomoh berkenaan yang jelas sekali membahayakan? Fikiran yang waras boleh mengagak apa akan terjadi sekiranya terlalu banyak air dipaksa masuk ke perut, menerusi hos paip pula!

Tragedi menyayat ini bukan kes terpinggir. Sudah sekian banyak menjadi mangsa menerusi rawatan perbomohan. Tetapi sesetengah orang kita masih terlalu percaya pada bomoh. Apa sahaja sakit – termasuk demam panas dan selesema biasa – akan dirujuk kepada bomoh.

Menjadi kebiasaan di mana-mana pun, bomoh akan melakukan jampi serapah. Ada selendang merah atau kuning, keris, asap kemenyan, limau nipis dan sebagainya. Bomoh akhirnya akan mengenal pasti punca masalah: sama ada buatan orang, atau jin masuk dalam tubuh.

Biasa juga ada benda-benda dan pengeras yang diminta. Dalam kes ini, seperti yang diakui oleh keluarga mangsa, bomoh minta disediakan sembilan jenis bahan-bahan pelik berwarna hitam termasuk sembilan ekor ayam kampung, telur ayam, cincau dan anggur serta wang pendahuluan RM200.

Tidak dapat dipastikan, juga tidak pernah ditanya atau dilakukan kajian, apakah jin atau jembalang betul-betul makan ayam kampung, cincau, anggur dan benda-benda lain itu? Apa yang pasti RM200 itu mesti bukan untuk jin, sebab dalam dunia jin tidak ada urus niaga menggunakan RM atau lain-lain mata wang!

Sebenarnya, kita sudah selalu membaca mengenai penipuan sesetengah pengamal perubatan dan rawatan tradisional. Ada wanita yang dikatakan dirasuk jin, dan bomoh menawarkan rawatan khas ke atas pesakit.

Pesakit wanita itu dirawat dalam bilik, dan anggota keluarga tidak dibenarkan berada bersama ketika rawatan atas alasan: “Orang lain tidak boleh masuk bilik sebab jin dalam tubuh pesakit jenis degil...”

Akhirnya baru diketahui apabila berduaan dalam bilik yang samar-samar, bomoh naik semangat, mengusap-usap tubuh wanita dan merogol pesakit berkenaan. Rupanya bomoh itulah ‘jin’ sebenarnya!

Tidak diketahui di luar sana berapa banyak lagi bomoh yang memperdaya pesakit untuk kepentingan dan keseronokan diri. Banyak laporan mengenai penipuan dan kerakusan bomoh telah dibuat kepada pihak polis. Sesetengahnya telah ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.

Belum lama dulu seluruh negara heboh dengan keganjilan seorang gadis sunti – di Terengganu juga! – yang kerap menghilangkan diri sebab dibawa oleh makhluk halus. Beberapa bomoh dipanggil dan semua sepakat mengesahkan bahawa gadis tersebut memang ditawan oleh makhluk halus.

Satu ketika gadis tersebut hilang dari rumah selama beberapa hari, dan sempat menghantar SMS kepada keluarga bahawa dia dibawa makhluk halus ke Gunung Jerai.

Bomoh menilik, berjampi serapah, dan mengesahkan gadis tersebut memang berada di Gunung Jerai. Kemudian baru pecah tembelang, gadis tersebut tidak berada di gunung, sebaliknya pergi ke rumah kawan di Negeri Sembilan. Satu Malaysia kena tipu!

Kesimpulannya, boleh percaya bomoh sebagai salah satu usaha rawatan. Tetapi, jangan terlalu percaya hingga menyusahkan diri. Kalau setakat selesema, tidak perlu bawa ayam hitam untuk bomoh. Pergi sahaja jumpa doktor!

Artikel ini dipetik daripada Sinar Harian 23 Jun 2011.

No comments: