Followers

Monday, June 27, 2011

Barang Mahal yang Tidak Bernilai

Ada jam tangan berharga ribuan ringgit, tetapi nilainya tidak sampai begitu mahal. Ada orang banyak duit tetapi ia tidak memberi manfaat, sebaliknya menyusahkan diri pula.

Kelmarin, saya bersiar-siar di salah sebuah kompleks membeli-belah di Johor Bahru. Saya singgah ke sebuah kedai jam tangan. Di situ, ada banyak jenama jam terkenal termasuk Tag Heuer, Omega, Patek Philippe, Tissot dan sebagainya dijual dengan harga ratusan ringgit. Sedangkan harga sebenar jenama jam sebegitu adalah ribuan ringgit.

Bila saya teliti, rupa-rupanya ia adalah jam tiruan. Ada pelbagai gred. Gred AAA adalah antara yang terbaik. Lebih baik lagi jika mekanikal dalamnya ialah buatan Swiss, Jepun dan cerminnya jenis Sapphire. Saya amati, gred itu 99 peratus serupa dengan yang original.

Sebuah jam tangan Tissot menarik perhatian saya. Model yang saya lihat itu biasanya ada dijual oleh pengedar sah Tissot di kedai lain dengan harga ribuan ringgit. Saya minta 'amoi kedai' keluarkannya dari almari kaca itu. Harganya RM800 dan diakui ianya tiruan bergred tinggi. Saya terkejut melihat terdapat tag original Tissot pada jam itu dan harganya ditulis RM1,500. Memang itulah harganya model jam itu di kedai Tissot sebenar.

Saya terfikir pula tentang satu jenama kasut Crocs yang harganya ratusan ringgit. Tetapi versi tiruannya dijual dengan harga puluhan ringgit sahaja. Kualitinya hampir sama.

Imaginasi saya menerawang lebih jauh. Saya terfikir, tidak mustahil jam atau kasut tiruan bermutu tinggi itu dijual dengan harga original di kedai pengedar yang sah. Kalau tidak semua, mungkin sebahagian daripada stoknya boleh jadi adalah tiruan.

Malang sekali kalau terkena. Saya rasa bisnes di negara kita sudah tercemar. Membayar harga yang tinggi tidak semestinya menjanjikan kita pulangan nilai yang tinggi juga. Silap-silap kita dapat barang mahal yang sebenarnya tidak bernilai.

Berhati-hatilah ketika membeli barang. Jadi pengguna bijak.

Saya rasa, nilai ini sama dengan kehidupan segelintir manusia. Segalanya bergantung kepada diri kita.

Realiti tentang perbezaan nilai kehidupan ini adalah satu realiti. Ada orang bergaji kecil, berkereta Kancil, bayar loan RM300 sebulan, tak pernah miss bayar bulanan dan panjang langkah ke mana-mana. Ada pula orang berkereta Lexus, gajinya besar tetapi pernah miss bayar loan bulanan kereta. Kereta besar, tapi tak bayar gaji atau hak pembantu rumahnya. Padahal duit berkoyan-koyan dalam akaun.

Bagaimanapun, hanya Allah yang maha mengetahui nilai sebenar di sebaliknya. Kita sebagai hamba-Nya, buat sahaja perkara yang betul. Tepuk dada tanya selera. HARGA ialah yang kita bayar, manakala NILAI adalah yang kita dapat.

Adakah kita selalu perolehi NILAI yang sepatutnya berdasarkan HARGA yang kita bayar?

1 comment:

Blog Nazlin Hassan said...

i like this article..terlalu mendalam n byk info tersurat yg dpt disampaikan..