Followers

Friday, July 8, 2011

Kisah Limau Dimakan Secara Solo

SUATU ketika dahulu, Nabi Muhammad pernah dilawati oleh seorang wanita musyrik ketika sedang bersama-sama dengan para sahabatnya.

Wanita itu menyampaikan hadiahnya kepada Rasulullah. Ia adalah beberapa biji buah limau yang sangat elok dan cantik. Warna dan rupanya memang menyelerakan.

Rasulullah menerimanya dengan rasa gembira dan bermanis muka. Sedangkan wanita itu menanti untuk melihat baginda memakan buah limau itu. Biasalah, kalau kita bagi hadiah pada orang, kita mesti rasa nak tengok bagaimana perasaan orang yang menerima.

Nabi pun terus mengupas dan menjamah buah itu. Wanita itu seronok melihatnya. Nabi tersenyum dan terus menyuap seulas demi seulas. Setiap suapan disusuli dengan senyuman yang manis. Namun, sedikitpun baginda tidak mempelawa para sahabat untuk makan bersama.

Pelik kan? Padahal kebiasaannya Nabi mesti ajak para sahabat untuk makan bersama. Buah kurma yang sedikit pun akan dikongsi bersama. Tapi kali ini tidak. Buah limau yang cantik dan menggoda selera mereka itu tidak diberi sedikitpun kepada mereka.

Nabi makan limau itu hingga habis. Dengan senyuman gembira. Disaksikan juga oleh wanita yang memberinya.

Setelah itu, wanita berkenaan meminta diri untuk pulang. Kepulangannya diiringi dengan senyuman dan ucapan terima kasih daripada Nabi.

Para sahabat memang pelik dengan sikap Nabi pada waktu itu. Kita sendiri pun pelik. Macam mana kali ni baginda boleh makan secara solo? Para sahabat bertanya untuk mendapat kepastian.

Baginda pun menjawab, “Tahukah kamu, semasa saya menjamah ulas limau yang pertama, ianya sangat masam. Jika kamu semua turut serta untuk makan bersama, saya bimbang kalau ada di kalangan kamu akan mengenyitkan muka ataupun memarahi wanita itu. Saya bimbang kalau hatinya tersinggung. Oleh itu, saya habiskan kesemuanya.”

Begitulah akhlak Nabi sebagai pemimpin. Masam ataupun manis, dia yang tanggung risiko terlebih dahulu. Baginda juga tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang walaupun benda tu kurang baik.

Sementara itu, wanita si pemberi limau pulang dengan hati yang kecewa. Kenapa ya? Padahal Nabi menyambut limau yang diberi itu dengan penuh penghargaan, senyum gembira dan berterima kasih.

Sebenarnya dia berniat ingin mempermain serta mempersendakan Nabi dan para sahabat dengan hadiah limau yang sangat masam itu. Malang, rancangannya ditewaskan hanya dengan akhlak mulia Nabi.

1 comment:

Anonymous said...

contoh yang terbaik.. sangat kagum dengan nabi muhammad s.a.w