Followers

Sunday, July 24, 2011

Kolam Air Panas yang 'masin' di Karimun, Riau

"Menggelegak tok! Kuat lagi tok... Biar sampai mendidih... Menggelegak kuat-kuat tok. Anak cucu nak tengok." Pak Mat Ular menyeru kepada kolam air panas, supaya kepanasannya meningkat tinggi daripada biasa.
Pada 22 Julai 2011, saya melawat ke Kolam Air Panas yang terletak di Tanjung Hutan, Karimun, Riau, Indonesia. Saya agak bertuah kerana lawatan itu telah menemukan saya dengan 'dukun' penjaga kolam tersebut. Ia satu petanda baik bahawa banyak maklumat berkaitan boleh diperolehi.

Saya sekadar bercerita tentang kepercayaan orang tempatan. Bagaimanapun kita perlu ambil pengajaran bahawa mempercayai kekuatan dan meminta pertolongan daripada selain Allah dalam bentuk yang dilarang itu adalah syirik dan wajib dihindarkan.

Menurut kepercayaan orang di sana, kolam itu keramat dan ada 'penunggu'. Sesiapa yang melawat mestilah meminta izin terlebih dahulu supaya tidak diganggu makhluk halus di situ. Mengikut cerita Pak Mat Ular, suatu ketika dahulu ada tiga orang sakti pernah bertarung di situ merebut untuk menjaga kawasan kolam itu. Tok Mentang, Tok Tuli serta Nonyang (moyang) Yakun bertarung dan ia dimenangi oleh Tok Tuli.

Oleh itu, jika mahu meminta izin perlulah mengaku sebagai Tok Tuli (pemenang) supaya digeruni oleh semangat-semangat lain. Untuk meminta supaya air kolam menjadi panas hingga mendidih, maka mengakulah sebagai Tok Tuli dan seru kolam itu agar bertambah panas.

Saya melihat dengan mata sendiri memang keajaiban itu berlaku. Setelah diseru, air yang hangat menjadi panas hingga mengeluarkan buih-buih dari dasar dan wap panas mula keluar. Secara rahsia, saya mengingatkan kepada saudara mara yang bersama ketika itu supaya menjaga keimanan dan tidak mempercayai kuasa-kuasa yang dinyatakan. Namun bagi saya, kejadian itu adalah kerana faktor kebetulan atau tindak balas alam semulajadi.

Bagi mereka yang mempunyai hajat, perlu bermohon kepada 'tok' di situ dengan meletakkan telur atau pisang di penjuru kolam tersebut sambil memasang niat. Saya ingin mengingatkan bahawa perbuatan serta kepercayaan sebegitu ditegah oleh Islam dan Syirik.

Bagaimanapun, kolam air panas itu memang unik. Ia terletak di dalam hutan dengan jarak yang agak jauh dengan gunung berapi kecil di pulau itu, iaitu Gunung Papan. Airnya tidak berbau belerang dan masin seperti air laut (berbeza dengan air panas di tempat lain yang terkesan dengan sulfur gunung berapi).

Airnya digunakan untuk menyembuhkan penyakit kulit. Pada hemat saya, ianya baik kerana kandungan garam, sedikit sulfur dan suhunya atau mungkin terdapat kandungan lain yang boleh dijadikan sebagai ubat.

Sewajarnya tempat-tempat ini dilawati untuk kita melihat tanda-tanda kekuasaan Allah. Sesungguhnya syirik itu sesat dan wajib kita jauhi. Tipu daya syaitan itu amat licik hingga boleh membuatkan iman kita goyah.

1 comment:

Anonymous said...

Bes jgk eh, cmne nk ksne?