Followers

Thursday, July 14, 2011

Sahabat Dakwah dekati pesakit di hospital

Oleh Mohd Fadzli Abu Bakar

"Berdakwah kepada pesakit di wad hospital bukanlah sesuatu yang mudah. Sakit adalah satu dugaan yang membuatkan emosi penghidapnya menjadi tidak stabil sehingga membawa kepada kemurungan, susah hati, berasa kurang selesa dan ada kalanya malah berputus asa."

Demikian kata Ahmad Mat Rais, 70, seorang sukarelawan Sahabat Dakwah ketika ditemui sedang mendakwah seorang pesakit di salah satu wad di Hospital Batu Pahat.

Ahmad sudah melakukan tugas itu sejak dua tahun lalu. Dalam tempoh itu, pelbagai pengalaman dilaluinya, termasuk pernah dimarahi pesakit yang tidak menyenangi kehadirannya.

Menurutnya, dalam menjalankan tugas itu dia mengambil pendekatan secara berperingkat-peringkat.

"Mula-mula pesakit hendaklah didekati terlebih dahulu untuk menjalin kemesraan dan saling mengenali antara satu sama lain.

"Mendekati pesakit adalah peringkat paling mencabar dan menarik. Saya kena ramahkan diri untuk menegur dan bertanyakan khabar, bahkan hingga sampai membelanjakan wang sendiri membeli buah tangan untuk mereka," kata Ahmad yang juga naib pengerusi Sahabat Dakwah Hospital Batu Pahat.

Katanya, selepas itu barulah ke peringkat seterusnya yang mengandungi pengisian rohani melalui pemberian kata-kata semangat, tazkirah dan nasihat.

"Orang sakit perlukan dorongan semangat. Oleh itu nilai-nilai seperti reda, sabar dan tawakal perlu diterapkan ke dalam jiwa mereka. Di samping itu saya juga selalu berpesan supaya mereka memperbanyakkan istighfar memohon keampunan daripada Allah yang memberikan ujian sakit dan memberikan nikmat kesihatan."

Jelasnya, sebagai seorang pendakwah, keikhlasan, kesabaran dan ketabahan hati itu penting bagi menentukan kejayaan dalam menyampaikan kebaikan.

Dalam keadaan yang merunsingkan itu, katanya tidak semua pesakit boleh menerima kehadiran pendakwah.

"Tetapi jika kena caranya, pesakit malah mengalu-alukan kehadiran kami untuk kali yang seterusnya."

Bagi Ahmad, tugas sukarelanya berdakwah kepada pesakit di wad hospital memerlukan pendekatan dan pengisian yang sesuai dengan keadaan mereka pada ketika itu.

Dia juga memberi bimbingan tentang cara orang sakit melakukan solat, termasuk cara bertayamum dan solat berbaring atau duduk.

Ahmad turut bersimpati dengan keadaan segelintir pesakit yang tidak berwaris dan tidak terurus.

"Sedih saya melihat ada pesakit yang tidak dilawati oleh sesiapa, ataupun dia memang sebatang kara. Pesakit sebegitulah yang terlebih dahulu saya dekati," katanya.

Walaupun pernah dimarahi pesakit kerana tidak menyenangi kehadirannya, dia tidak mengambil hati atau berputus asa kerana sedia memahami keadaan serta emosi pesakit ketika itu.

Sebagai sukarelawan, tiada waktu berkerja yang ditetapkan. Atas inisiatifnya sendiri, dia melawat pesakit pada sekitar jam 11.00 pagi, kira-kira tiga kali seminggu. Sebelum menemui pesakit, dia melaporkan diri terlebih dahulu di kaunter hadapan.

Sahabat Dakwah ditubuhkan atas inisiatif Jabatan Agama Johor. Sebagai sebuah badan sukarela, ahli-ahlinya tidak diberikan elaun atau ganjaran.

"Saya faham bahawa badan ini dibentuk berdasarkan kesukarelaan untuk berbakti kepada masyarakat. Bagi saya, sudah cukup puas apabila pesaikit dapat menerima kami dengan hati terbuka."

"Dan lebih memuaskan ialah jika usaha kami menampakkan kesan apabila pesakit berasa tenang, reda dan sentiasa mengingati Allah dalam menghadapi ujian itu."

Ahmad berhadap agar Sahabat Dakwah turut disertai oleh generasi muda kerana tenaga mereka sangat diperlukan bagi membantu masyarakat yang memerlukan pengisian rohani seperti itu.

"Pendakwah Islam perlu lebih aktif dalam melaksanakan tugas mereka membimbing masyarakat. Jika kita leka, mubaligh agama lain akan mendekati mereka yang sememangnya memerlukan bantuan ketika itu," katanya.


Artikel ini telah diterbitkan dalam Buletin Holistik terbitan Medkom, bilangan 28/ Jun 2011.

No comments: