Followers

Sunday, August 28, 2011

Kalau tak puasa, tak boleh raya!

Sambutan Hari Raya berbeza hampir di setiap negara Islam. Kebanyakan sambutan itu disulami dengan dominasi budaya.

Di Malaysia, mood raya digambarkan dengan pelbagai cara. Baju baru, ketupat, rendang, duit raya, ziarah-menziarahi, kuih raya dan lampu kelap-kelip memang sinonim dengan sambutannya. Pagi raya kita akan makan bersama-sama keluarga di rumah dan saling bermaaf-maafan. 'Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin' adalah ucapan lazim.

Di negara lain, mungkin tidak sama. Misalnya di Mesir, selepas solat sunat Aidilfitri, taman-taman bunga dan kawasan peranginan dibanjiri dengan perkelahan keluarga. Tak ada ketupat dan rendang tetapi mungkin ada makanan lain yang istimewa untuk hari itu. 'Kullu sanah wa antum thayyib (semoga kamu dalam keadaan baik sepanjang tahun)' pula adalah ucapan lazim. Tak tahu pula bagaimana sambutan di negara lain.

Bagaimanapun ada cara yang sama dalam menyambutnya melalui sambutan berdasarkan syariat, iaitu dengan membayar zakat Fitrah, melaungkan takbir dan solat sunat Aidilfitri. Semua umat Islam melakukan yang sama pada hari itu.

Apakah kita jelas tentang beza antara budaya dengan syariat berkaitan sambutan Hari Raya? Yang mana satukah lebih diutamakan? Budaya ataupun syariat? Kalau kita faham tujuan sebenarnya tentang wujudnya Hari Raya Aidilfitri, maka kita akan mengutamakan syariat terlebih dahulu. Selepas itu tiada salahnya mengikut budaya yang dibenarkan.

Hari Raya adalah perayaan umat Islam yang meraikan kesyukuran kerana kejayaannya melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan. Kita semua jelas tentang itu. Tapi ada kalanya terpesong juga. Eloklah kita ke pangkal tujuan.

Benar kata orang-orang tua, "Kalau tak puasa, tak boleh raya!"

Tetapi siapakah yang boleh menghalang kita daripada meraikan hari kegembiraan itu? Semua orang boleh meraikannya, cuma bezanya sama ada ia bermakna di sisi Tuhan ataupun syok sendiri sahaja.

Di kesempatan ini saya ucapkan salam Aidilfitri. Mohon maaf atas segala kesilapan, kesalahan dan kekasaran bahasa. Semoga bergembira dan diberkati dihari yang berbahagia.

No comments: