Followers

Monday, August 8, 2011

Wajarkah terima bantuan gereja?

Baru-baru ini, negara kita digemparkan dengan berita tentang agensi agama Islam kerajaan negeri menyerbu sebuah gereja di Shah Alam. Agensi itu mendakwa terdapat aduan orang ramai bahawa terdapat aktiviti penyebaran agama kristian kepada umat Islam melalui pemberian wang dan penjagaan kebajikan kepada ibu-ibu tunggal yang memerlukan.

Dari insiden itu, timbul lagi pelbagai isu berkaitan politik, tanggungjawab badan-badan Islam, badan kebajikan, maruah agama Islam dan kebenaran dakwaan tersebut.

Walau berapa banyak pecahan dan perspektif yang timbul, saya tetap melihat dua perkara iaitu:

Pertama: Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan menyebutkan bahawa Undang-undang negeri dan mengenai wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam.

Kedua: Hadis Rasulullah SAW. yang bermaksud, “Hampir fakir itu akan membawa kepada kekufuran.”

Timbul persoalan dalam pemikiran saya…

Agensi agama Islam kerajaan negeri menjalankan tugasnya melalui penguatkuasaan undang-undang. Tetapi banyak pihak pula yang rasa kesal dan halang tugas itu. Bimbang ada pihak yang terguris. Mengapa ya?

Apakah pendirian si penerima bantuan daripada gereja itu? Adakah dia benar-benar fakir sehingga tidak mampu makan sama sekali? Apakah kita termasuk kategori miskin jika wang cukup belanja asas tetapi tak mampu untuk ber’shopping’? Betul ke, tak ada jalan lain lagi untuk meneruskan kehidupan, atau hanya melalui gereja satu-satunya jalan paling singkat serta mudah?

Ada pula pihak kata, terima wang dan duduk dalam majlis di gereja tidak bermaksud murtad. Mungkin benar, tetapi tindakan menerima dan menyertai itu bagi saya sangat mencurigakan. Kemungkinan untuk murtad atau didakwah supaya menyertai agama itu lebih tinggi.

Bagaimanapun, insiden ini memang memalukan kita sebagai umat Islam. Maka banyaklah pihak mengaku boleh beri sumbangan kepada ibu tunggal, sedangkan si ibu-ibu tunggal mendakwa pengurus bantuan itu semuanya ‘banyak songel’. Sementara itu pihak gereja menawarkan dan memberi tanpa permohonan daripada si pemohon. Habislah!

No comments: