Followers

Sunday, September 18, 2011

Jasad dan Roh = Perbuatan dan Makna

Semalam, ibu saya mendengarkan saya satu rakaman telefon bimbitnya berisi ceramah motivasi Prof. Dr. Muhaya di Radio IKIM tentang kelembutan hati dan nilai roh pada diri kita. Daripada kata-kata itu saya membuat rumusan berdasarkan apa yang saya faham.

Manusia itu diciptakan daripada tanah. Perumpamaannya ialah dengan tanah juga. Tanah mengeras tanpa air. Zikir dan amalan kita kepada Allah ibarat air yang melembutkan hati.

Kita selalu panas hati, mudah marah, sebak, cepat melenting, paranoid dan sensitif. Kebanyakkannya adalah kehendak jasad. Manusia itu gabungan jasad dan roh. Roh yang menjadi penghubung kita dengan Tuhan. Maka roh itulah yang perlu diperkayakan.

Sebagai contoh, semua orang makan. Makanan itu kehendak jasad. Tapi bagaimana kita memperkayakannya dengan nilai kerohanian? Makan bermula dengan bismillah. Isikannya dengan niat bahawa makanan itu untuk memperkuatkan diri menunaikan tanggungjawab dan beribadah.

Begitu juga dengan pekerjaan lain. Bila kita buat hanya untuk memenuhi keperluan jasad, maka kita tidak akan rasa senang hati dan puas dengan pekerjaan itu. Pekerjaan jasad yang kita lihat dengan mata kasar, iaitu yang dilakukan oleh anggota tubuh kita. Tetapi nilainya adalah pada roh yang merangkumi niat berbakti, keikhlasan dan ibadah kepada Tuhan.

Jika mahu kesempurnaan dalam kerja, maka sertakan perbuatan jasad itu dengan rohnya sekali. Begitu juga kalau mahu hidup sempurna, perkayakan jasad kita dengan nilai kerohanian dan falsafah.

Bila hidup kita serba tak kena, jangan salahkan kehidupan yang selalu kita fikir membosankan atau malang. Jangan juga salahkan pekerjaan yang memberi kita daya untuk hidup. Sebenarnya roh kita perlu dihidupkan. Jawapannya adalah dalam diri kita sendiri...


No comments: