Followers

Wednesday, October 5, 2011

'Lex Loci' bumi Malaysia

"Yang di-Pertuan Agong ialah raja bagi sekalian warganegara Malaysia, bukan raja bagi orang Melayu atau orang Islam sahaja. Maka titah diraja hendaklah menjadi titah kepada sekalian warganegara rakyat jelata."
Itu satu kenyataan yang kita selalu terlepas pandang, tak ambil berat, mungkin terlupa atau mungkin juga buat-buat tak faham. Saya kongsikan artikel di bawah untuk tatapan semua...

Artikel ini ditulis oleh TAN SRI DR. NORDIN KARDI,
Penyandang Kursi Za'ba, Universiti Pendidikan Sultan Idris

MEMBACA titah diraja Raja Dr. Nazrin Shah pada Kongres Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Seluruh Malaysia 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur memang menggamit saya untuk memahami, menganalisis dan mengulas.

Namun, saya tiada keberanian menzahirkannya kerana sebagai orang Melayu kuranglah beradab bersuara sebelum dititahkan. Apabila saya mendapat pesanan ringkas daripada rakan rapat saya yang juga rapat dengan istana memberi isyarat bahawa istana seperti tiada halangan untuk saya menyentuh mengenainya secara terbuka, maka dengan rasa rendah diri, dengan ini memberanikan diri melakukannya.

Banyak perkara disentuh dalam titah itu seperti persejarahan Malaysia, kedudukan raja-raja, kedudukan agama Islam, kedudukan orang Melayu, menghalusi dasar bagi penguatkuasaan Perlembagaan, autoriti institusi dan infrastruktur agama Islam, dan pencerobohan dari kecil hingga yang besar terhadap kesucian agama Islam.

Hodoh adab saya jika sebagai hamba rakyat mengatakan ada cacat pada titah itu, namun sebagai rakyat Malaysia saya merasa titah sedemikian wajar dilebarkan maksud liputan perintahnya, bukan kepada orang Islam semata-mata, mengambil kira maksud semangat bahawa Malaysia adalah negara beraja dan ketua negaranya adalah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, yang melalui sesuatu musyawarah mewakilkan perintah itu kepada wakil baginda semua, iaitu Raja Dr. Nazrin.

Jika tidak dilihat seperti yang saya maksudkan, maka akan bertemurunlah nanti tafsiran bahawa Raja Melayu itu ialah raja untuk orang Melayu sahaja, sebaliknya raja Melayu adalah raja bagi setiap rakyat jelata yang menghuni bumi Malaysia.

Apabila Raja Dr. Nazrin pada perenggan ke-31 teks titah yang diterbitkan itu menzahirkan klausa lex loci of the land' maka pendirian saya ini terasa kuat akan benarnya.

Jika amalan undang-undang mentafsirkan lex loci sebagai undang-undang di sesuatu tempat maka titah diraja yang menyebutkan Islam sebagai lex loci of the land maka setiap rakyat jelata yang tinggal di bumi Malaysia sama ada mereka Islam atau bukan Islam, Melayu atau bukan Melayu hendaklah menjaga agama atau undang-undang itu walaupun mereka bukan penganut atau bertauhid kepadanya.

Di mana-mana pun, kalau begitu, apabila ada orang bertanya kepada rakyat Malaysia apakah agama negara bangsa kamu, mereka akan lebih dahulu menjawab agama negara bangsa kami ialah Islam. Selepasnya baharu menjawab agama peribadi kami ialah 'b atau c atau d'.

Maksudnya, semua rakyat Malaysia menjunjung, menjaga dan menjayakan suatu agama negara sebagai 'lex loci' termasuk segala peraturan dan pengecualiannya seperti perkenan perintah raja-raja Melayu yang merupakan raja negara bangsa.

Tanggungjawab terhadap perintah itu hendaklah dipatuhi oleh setiap rakyat jelata tanpa kekecualian sama seperti tanggungjawab-tanggungjawab lain sebagai warganegara Malaysia. Secara mudah kewajipan itu boleh difahami seperti wajibnya rakyat Malaysia membawa kad pengenalan di mana-mana sahaja mereka berada di bumi Malaysia dan wajib pula memiliki pasport Malaysia apabila berada di negara orang. Demikianlah kedudukan Islam sebagai lex loci bumi Malaysia.

Secara jelas titah itu menyebutkan bahawa Tanah Melayu yang diambil oleh Inggeris kemudian dipulangkan kembali kepada empunya tanah itu iaitu raja-raja Melayu. Dalam keadaan itu, raja-raja Melayu boleh memerintah negeri masing-masing dengan pemerintahan beraja mutlak tetapi raja-raja Melayu kemudiannya begitu pemurah menyerahkannya kepada rakyat untuk diurus setelah negara ditebus mengikut suatu tatacara yang dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan. Sehinggakan, raja-raja sanggup menyerahkan kuasa mengurus diri baginda-baginda sendiri pun kepada Perlembagaan itu. Perlembagaan itu menetapkan kewajipan-kewajipan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ditafsirkan dalam bahasa Inggeris sebagai Supreme Head, Supreme Ruler atau boleh juga Paramount Ruler bagi menggambarkan adanya ruler yang lain yang diwakili baginda. Secara teori dan yang tertulis dalam Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa eksekutif tetapi baginda melaksanakannya atas nasihat atau dilaksanakan oleh Kabinet yang diketuai oleh Perdana Menteri yang kemudiannya menjawab pula di Parlimen atas pelaksanaan kuasa Yang di-Pertuan Agong itu.

Yang di-Pertuan Agong adalah antara segelintir Raja Pemerintah di dunia yang terlantik secara pemilihan dari kalangan raja-raja Melayu yang bermesyuarat apabila pemerintahan Yang di-Pertuan Agong tamat tempoh atau mangkat.

Oleh sebab raja-raja telah menyerahkan kuasa kepada rakyat melalui Perlembagaan, maka Perlembagaan telah mengatur cara-cara raja melaksanakan tanggungjawab baginda. Dua cara yang diperuntukkan oleh Perlembagaan ialah: (1) budi bicara tanpa perlu persetujuan sesiapa pun dan, (2) melaksanakan sesuatu kuasa selepas dinasihati oleh Perdana Menteri atau Persidangan Raja-Raja.

Budi bicara Yang di-Pertuan Agong termasuk menentukan masa Persidangan Raja-Raja, pembubaran Parlimen dan yang penting pelantikan Perdana Menteri. Yang di-Pertuan Agong boleh melantik sesiapa sahaja menjadi Perdana Menteri tanpa mengira parti jika pada pendapat baginda orang itu akan mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Jika orang yang dilantik baginda itu diundi tidak percaya oleh Dewan Rakyat maka Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara seterusnya untuk melantik pula seseorang yang lain. Di satu lagi cabang Parlimen, iaitu Dewan Negara, 44 orang ahlinya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Oleh sebab Yang di-Pertuan Agong yang dipilih oleh raja-raja Melayu itu Ketua Utama Negara maka setiap rakyat yang berkhidmat untuk rakyat adalah melaksanakan tugas bagi pihak baginda semua. Ini jelas apabila Perlembagaan Negara perkara 132 berkaitan perkhidmatan awam menyebut bahawa semua perkhidmatan awam meliputi: (a) angkatan tentera; (b) perkhidmatan kehakiman dan perundangan; (c) perkhidmatan awam am Persekutuan; (d) pasukan polis; (e) dimansuhkan; (f) perkhidmatan awam bersama yang disebut dalam Perkara 133; (g) perkhidmatan awam setiap negeri; dan (h) perkhidmatan pendidikan, semuanya menjalankan tugas untuk kebajikan awam bagi pihak Yang di-Pertuan Agong.

Ini bermakna Yang di-Pertuan Agong yang mewakili raja-raja Melayu itu berkuasa terhadap semua cabang pentadbiran negara yang merangkumi legislatif, judicial dan eksekutif.

Tidak juga boleh dilupakan bahawa tanggungjawab menjaga keselamatan dan keamanan negara juga adalah terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong kerana Perlembagaan memperuntukkan bahawa baginda adalah Supreme Commander angkatan tentera.

Apa yang saya cuba ketengahkan ialah, tidak mengapalah jika ada tafsiran dalam bentuk sejarah yang lain, Yang di-Pertuan Agong ialah raja bagi sekalian warganegara Malaysia, bukan raja bagi orang Melayu atau orang Islam sahaja. Maka titah diraja hendaklah menjadi titah kepada sekalian warganegara rakyat jelata.

Jika titah itu mewakili Yang di-Pertuan Agong seperti yang disebut oleh baginda Dr. Raja Nazrin maka titah itu sewajarnya mempunyai tafsiran dan kuasa eksekutif untuk dilaksanakan oleh Kabinet yang diketuai oleh Perdana Menteri melalui peraturan-peraturan atau cara-cara yang boleh dan tidak pula bertentangan dengan Perlembagaan; oleh judicial yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara dan oleh legislatif yang mempunyai segala tatacaranya sendiri untuk menjadikan titah itu sesuatu undang-undang negara.

Demikian perasaan saya terhadap titah diraja itu dengan melihat bahawa raja-raja Melayu adalah penguasa, hakim dan penguat kuasa lex loci di bumi Malaysia seperti yang dinyatakan oleh Dr. Raja Nazrin. Namun begitu raja-raja pernah mengingatkan supaya kuasa raja-raja tidak dipohon kuasa eksekutifnya hanya apabila keadaan menjadi getir sedangkan dalam keadaan mewah dan riang raja-raja hanya dijadikan simbol dan penyeri acara rasmi.

Raja-raja adalah di atas sekalian rakyat jelata sama ada Islam atau bukan Islam. Melayu atau bukan Melayu. Maka setiap titah diraja berkaitan negara yang diperintah moleklah tidak ditujukan berulang-ulang hanya kepada orang Melayu atau orang Islam.

Teringat saya dahulu semasa menerima surat rasmi ditawarkan masuk ke universiti pada awal tahun 1970-an, sampul suratnya tertulis 'Urusan Seri Paduka Baginda'. Demikian juga apabila saya mendapat tawaran pekerjaan. Seluruh kampung yang melihat surat 'Urusan Seri Paduka Baginda' akan riuh kerana surat itu selalunya diletakkan di kedai terdekat dengan jalan raya. Penerimanya baik Melayu, Cina atau India, baik Islam, Kristian, Hindu, Buddha atau Pagan akan sama ada ketakutan atau berseri-seri wajah kerana isi surat dari sampul yang bercetak demikian. Masih adakah sampul surat sedemikian sekarang? Jika tiada, siapa mengubahnya?

Dulu sebelum 1996 Naib Canselor Universiti apabila dilantik akan menerima watikah perlantikan daripada Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Sekarang, memadailah nampaknya surat daripada Menteri atau Ketua Setiausaha Kementerian sahaja bagi pihak Menteri. Ada orang kata "ah, itu simbolik sahaja, tidak penting". Tidak mengapalah. Ampun Tuanku!

Artikel ini disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 4 Oktober 2011.

No comments: