Followers

Friday, November 11, 2011

Bukan Susu Sapi

Saya kongsikan artikel ini bukan untuk melihat individu yang disebutkan di dalamnya. Bagi saya, ada idea di dalamnya yang boleh buat kita mencelikkan lagi minda. Bacalah dengan penilaian yang terbuka. Usah kita cerita tentang SIAPA, tapi kita lihat apakah sikap yang diceritakan itu BETUL ataupun TIDAK?

Perkara yang dinyatakan dalam artikel ini memang banyak berlaku hingga ada kalanya membuatkan kita rasa 'jaki' dengan ke'poyo'an masing-masing. Meluat pun ada. Semoga kita semua dijauhkan daripada sikap sebegitu. Bak kata seorang kawan saya, action is more powerful than words. Cakap banyak, habuk tarak, pun tara guna juga. Bikin kacau pun lagi susah juga. Tambahan pula memburuk-burukkan orang yang buat kerja itu berdosa besar, sedangkan kita sendiri belum tentu boleh selesaikan kerja dengan sebaiknya. Kalau tak boleh buat, kita jangan mengata orang. Apatah lagi nak ambil kesempatan pula. Jahatnyeee!
BUKANLAH perkara baru apabila Dato’ Abdul Ghani Othman pergi hingga ke ceruk kampung dan desa menemui rakyat untuk mengesan masalah di peringkat akar umbi dan berusaha mencari penyelesaian terbaik untuk kesejahteraan mereka.

Sejak diberi kepercayaan menjadi Menteri Besar Johor pada tahun 1995, saban tahun, atau lebih tepat lagi saban masa, beliau mengadakan lawatan sama ada yang diatur atau yang dilakukan secara mengejut. Penulis yang berada di Johor Bahru sejak 1997 sentiasa mengikuti perkembangan itu, termasuk ketika bertugas sebagai wartawan.

Bezanya, setiap kali program lawatan menemui rakyat dan mengesan masalah mereka, ia disusun atas nama-nama yang berbeza seperti lawatan kerja ke daerah-daerah, lawatan ke kawasan Parlimen, lawatan ke kawasan dewan undangan negeri, lawatan ke mukim-mukim dan terbaru, yang sedang berlangsung sekarang, dinamakan program gerak kerja ke kawasan Parlimen.

Ini tidak termasuk kehadiran Menteri Besar menemui rakyat dalam program-program yang diatur oleh jabatan-jabatan tertentu atau pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, merasmikan upacara-upacara pembangunan, majlis-majlis rasmi lain dan pertemuan-pertemuan mengenai sesuatu isu khusus yang dihadapi rakyat.

Setiap kali program lawatan itu, pelbagai masalah dikemukakan kepada Menteri Besar dan beliau sedaya upaya menyelesaikannya di situ juga, atau dibawa kepada pertimbangan kerajaan negeri, mahupun oleh jabatan yang berkaitan.

Ini dapat dilaksanakan kerana ketua-ketua jabatan kerajaan di peringkat negeri mahupun pihak berkuasa tempatan di kawasan berkenaan turut serta dalam lawatan tersebut dan dapat memberikan respons secara langsung di hadapan Menteri Besar dan rakyat yang terlibat.

Pendekatan ini sememangnya menjadi amalan Abdul Ghani sejak beliau memegang jawatan itu. Sebagai contoh dalam program gerak kerja di Parlimen Gelang Patah, masalah hak milik tanah penduduk Kg Poh Chee Leng Skudai, Kampung Bukit Tempurung dan Desa Wawasan terus dapat diselesaikan.

Yang terbaru ialah masalah pemindahan penduduk di Kampung Seri Maju Senai yang akan terlibat dengan pembinaan laluan berkembar Gemas-Johor Bahru, juga diselesaikan semasa lawatan gerak kerja beliau ke Parlimen Kulai.

Ada banyak lagi permasalahan rakyat yang diselesaikan sepanjang program gerak kerja itu yang dibangkitkan sendiri oleh mereka ketika Menteri Besar dan rombongan tiba di tempat masing-masing, selain isu yang telah dikesan lebih awal oleh Pejabat Daerah, Pejabat Tanah Daerah dan kerajaan tempatan di situ.

Selain itu, Menteri Besar juga mengadakan pertemuan satu demi satu dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang merangkumi pelbagai pihak termasuklah dari institusi pendidikan, persatuan belia, jawatankuasa penduduk, kelab sukan, jawatankuasa rumah ibadat, tokong dan kuil serta persatuan kumpulan etnik. Semuanya diberi kesempatan dan peluang untuk bertemu muka dengan Menteri Besar dan ketua-ketua jabatan bagi menyuarakan apa jua masalah mereka. Yang mampu dan wajar untuk dibantu dan diselesaikan oleh Kerajaan Kegeri akan segera diberi perhatian.

Amalan ini sangat berkesan dan memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya dan ia dapat dilaksanakan dengan adanya kerjasama erat di antara pentadbir dan kakitangan awam dengan pihak eksekutif dan kepemimpinan masyarakat.

Sesiapapun yang mengikuti rombongan ini akan melihat bahawa memang itulah satu daripada caranya untuk memastikan semua lapisan masyarakat mendapat pembelaan tanpa perlu diheboh-hebohkan dengan paparan-paparan dalam media massa.

Lagipun sesetengah media massa lebih berminat untuk memaparkan masalah, keluhan dan kemarahan rakyat terhadap sesuatu perkara kerana ia mendapat appeal daripada pembaca berbanding berita mengenai tindakan kerajaan memberi bantuan atau menyelesaikan keperluan rakyat.

Jadi, biarlah gerak kerja yang dirasai terus oleh rakyat itu yang menjadi buktinya dan rakyat boleh menilainya sendiri, bukannya dicanang-canangkan termasuk dalam alam siber bahawa kononnya seseorang itu membuat kerja.

Penulis berkata demikian kerana ada pihak yang cuba mendakwa kononnya disebabkan suaranyalah atau kehadirannya di kawasan tertentu, maka Menteri Besar terpaksa turun padang menyelesaikan masalah rakyat.

Pihak tersebut mendakwa kononnya kerana dia menjadi wakil rakyat di situ dan membangkitkan sesuatu isu dalam akhbar, maka Menteri Besar pun memberikan perhatian. Inilah yang dikatakan oleh peri bahasa Melayu “lembu punya susu, sapi dapat nama.”

Ini adalah strategi pihak tertentu mahu mendapatkan political mileage atau keuntungan politik sedangkan dia tidak pun mempunyai kemampuan untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Yang dia ada hanyalah air liur dan keupayaan bercakap di sana sini, membakar sentimen dan perasaan serta mengajar semua orang supaya membangkitkan perasaan tidak puas hati dengan matlamat mewujudkan penentangan terhadap kerajaan.

Oleh itu, rakyat Johor yang siuman dan rasional pemikiran tentu dapat membezakan antara intan dan kaca, antara retorik dan tindakan, dan antara air liur dan yang benar-benar melaksanakan kerja dan tanggungjawab serta amanah yang diberikan sebagai pemimpin.

Bukankah pendekatan Kerajaan Negeri dalam membela rakyatnya tetap sama sekalipun ketika Johor tidak mempunyai seorang pembangkang pun dalam Dewan Negeri sebelum ini? Bukankah semua lapisan masyarakat dilayani secara adil sejak dahulu lagi?

Jadi, janganlah berlagak seperti sapi. Orang lain yang buat kerja, tapi orang lain pula yang mahu mendakwa bahawa itu semua adalah hasil kerjanya. Tidak perlulah dilayan mereka yang sekadar tahu bermain dengan sentimen demi mahukan kedudukan dan kuasa.

Artikel ini diterbitkan dalam ruangan Mata Hati, Buletin Holistik bil 32.

No comments: