Followers

Tuesday, November 1, 2011

Disihir oleh ibu saudara sendiri...

Kisah benar yang menarik ini saya kongsikan untuk bacaan anda. Ia adalah daripada salah sebuah buku berbahasa Arab yang pernah saya terjemahkan bertajuk Bencana Sihir Penghalang Perkahwinan, ditulis oleh Muhammad Isa Dawud (penulis buku Dajjal akan muncul dari kerajaan jin di Segitiga Bermuda).

Helah si isteri bapa saudara yang hampir membunuhku

Saya bertegas tidak menerima sepupu sebagai pasangan hidup. Walaupun ibu bapa saudara dan juga anak gadis mereka yang meminati saya terus memaksa, namun saya tetap menolak tanpa sebarang sebab.

Apabila saya berkata kepada isteri bapa saudara saya, “Ini adalah persoalan jodoh dan nasib yang telah ditentukan oleh Allah.” Dia dengan keadaan marah memandang dan berkata kepada saya, “Adakah ini kata putusmu yang terakhir?” Lalu saya berkata, “Ya, semoga Allah menemukan jodohnya dengan orang yang lebih baik daripada saya.”

Lantas dia berkata dengan nada yang agak marah, “Dia tidak mahukan orang lain selain kamu dan dia tidak akan berkahwin dengan orang lain melainkan kamu.” Dia membuka tudungnya lalu menunjukkan kepalanya yang sudah beruban dan menggenggam rambutnya sambil mengugut bagaikan seekor beruang ganas sambil menyatakan, “Demi si fulan (menyebutkan nama anaknya) aku bukanlah si fulan (menyebut namanya sendiri) jika kau dapat menyaksikan perkahwinanmu selain dengan anakku.”

Lalu saya tertawa melihat desakan yang aneh itu. Saya rasa ianya lucu, kosong dan tidak mengandungi maksud tersirat.

Akan tetapi peredaran masa telah memberi pengajaran bahawa saya leka terhadap liku-liku kehidupan yang penuh dengan ranjau dan duri. Ternyata saya tidak berpengalaman di dalam menghadapi helah kejahatan kaum wanita. Berikut adalah peristiwa yang saya alami.

Tiga bulan setelah peristiwa ugutan itu berlaku, saya telah memilih seorang gadis yang lemah lembut serta memahami.

Walaupun sudah mempunyai calon isteri saya masih mengunjungi ke rumah bapa saudara untuk mengeratkan hubungan antara kami. Saya menyerahkan kad jemputan kepada mereka dengan penuh penghormatan. Pakcik saya merupakan seorang yang baik dan memahami, dia mendoakan kebaikan untuk saya.

Akan tetapi isterinya yang garang itu merampas kad jemputan lalu meneliti isi kandungannya dengan gelojoh lantas berkata, “Kamu terlalu terburu-buru. Adakah kamu yakin bahawa kamu akan dapat duduk di jinjang pelamin selepas sepuluh hari dari sekarang?” Saya menjawab dengan selamba, “Ya berdoa sajalah untuk saya, makcik….”

Kemudian dia berkata dengan renungan mata penuh dendam, “Saya mendoakan agar Allah menjodohkan kamu dengan gadis yang lebih baik. Bagaimanapun kau tidak akan berkahwin dengan orang lain selain selain anakku.”

Saya berterima kasih dan sambil berharap agar mereka sekeluarga dapat hadir ke majlis tersebut. Dia berkata lagi, “Ada ke orang lain yang boleh melayani kamu? Demi tuhan, tiada orang lain yang akan menghulurkan minuman kepada kamu dan pengantin perempuan melainkan aku sendiri yang akan menghulurkannya.”

Maka tibalah hari yang dinanti-nantikan. Hiasan digantung di sana-sini. Majlis persandingan pun bermula. Saya dan pasangan bersedia mengambil tempat di atas kerusi persandingan yang telah disediakan khas untuk kami. Muzik dan nyanyian pun bermula. Makanan dan minuman ringan pun diedarkan kepada para tetamu.

Memang benar, isteri bapa saudara saya itu menunaikan kata-katanya. Dia datang kepada kami dengan membawa dua cawan minuman sambil tertawa dan berkata, “Tidakkah aku telah katakan bahawa akulah yang akan menghidangkan minuman kepada kamu dengan tanganku sendiri?”

Dia pun menghulurkan minuman kepada saya. Kemudian dengan tenang dia menghulurkan dulang kepada pengantin perempuan tanpa mengucapkan apa-apa walau sepatah ucapan tahniah pun. Saya dan isteri pun menikmati minuman itu sambil tersenyum memandang sesama sendiri.

Tidak berapa lama kemudian, saya rasakan bagaikan ada ketulan batu yang jatuh bergolek-golek dari atas bukit yang tinggi di perut saya. Ia sangat menyakitkan hingga saya mengeliat-liat di atas pelamin menahan sakit kerana tidak mahu menjejaskan majlis.

Keadaan saya semakin bertambah rumit apabila saya merasakan seolah-olah isi perut dicincang dengan sebilah pedang. Tiba-tiba saya selesema teruk dan berpeluh dengan banyak. Saya hilang kawalan diri dan terjatuh ke lantai dengan meronta-ronta serta menjerit kesakitan.

Detik terakhir yang masih saya ingat ketika itu ialah, isteri saya merebahkan badannya ke atas saya sambil menampar-nampar wajahnya (kebiasaan orang Arab menampar muka sendiri ketika ditimpa kesedihan). Dia menjerit-jerit memanggil nama saya dengan nada kekesalan serta menyayat hati. Saya pengsan.

Ketika sedar, saya sudah berada di hospital. Saya dikelilingi oleh tiga doktor, isteri dan adik beradik. Saya merasakan bahawa setiap anggota dalam tubuh saya lemah lesu dan hancur luluh. Seolah-olah saya jatuh dari tingkat sepuluh daripada sebuah flet yang tinggi.

Dalam keadaan yang tidak bermaya itu, dengan susahnya saya mengucapkan: “Apakah yang telah terjadi? Berikan saya kepastian. Apakah yang telah menimpa saya?”

Salah seorang daripada tiga orang doktor tadi mendekati saya dan berkata: “Alhamdulillah, kamu berada di dalam keadaan yang baik. Nampaknya kamu telah memakan sesuatu yang telah tercemar.”

Dalam keadaan yang sakit itu saya berkata kepadanya: “Adakah memakan sesuatu yang telah tercemar boleh menyebabkan saya hilang kesedaran atau pengsan?”

Doktor itu menjawab dengan hairan: “Tidaklah sampai ke tahap sebegitu kecuali makanan itu telah dibubuh dengan racun. Walaubagaimana pun kami akan cuba mengenal pasti puncanya dan tuan akan bersama-sama kami di sini selama seminggu dengan izin Allah. Bertenanglah tuan dalam keadaan baik. Alhamdulillah…”

Selepas beberapa hari saya menjalani pemeriksaan, akhirnya doktor mendapati bahawa saya berada di dalam keadaan sihat sempurna dengan kadar 100%. Apa yang saya alami adalah berpunca daripada sesuatu yang telah tercemar dan tidak diketahui puncanya.

Virus yang menjangkiti saya tidak dapat dikenal pasti. Mereka telah melakukan rawatan pembersihan perut ketika mereka menghantar saya ke hospital. Melalui rawatan tersebut mereka mendapati di dalam perut saya tidak terdapat benda lain melainkan hanya cecair.

Entah mengapa ketika itu fikiran saya terus melompat mengingatkan minuman manis yang telah dihulurkan kepada saya oleh isteri kepada bapa saudara saya. Saya merasakan suatu perasaan yang seolah-olah menunjukkan bahawa minuman yang dihulurkan olehnya mempunyai kaitan yang rapat dengan apa yang saya alami. Tetapi saya hanya tidak memperdulikan perasaan tadi dan menganggapnya sebagai suatu perasaan yang didorong oleh syaitan yang direjam.

Walau bagaimana pun saya telah dikeluarkan daripada hospital dan saya hanya membawa ubat-ubatan untuk rawatan pembersihan perut.

Tetapi suatu kejutan yang tidak pernah terlintas di dalam fikiran saya dan tidak pernah saya duga. Apabila pengantin yang lemah lembut itu telah berubah perasaannya terhadap saya tanpa sebarang sebab dan meminta cerai. Walaupun dengan segala usaha secara langsung atau pun melalui perantaraan, saya melakukannya.

Dia menangis dan menjerit seraya berkata: “Saya tak mahukan dia.” Ketika ditanya oleh keluarganya dalam keadaan tenang mengenai keputusannya itu, dia menjawab: “Saya tak mahukan dia. Sudah! Cukup. Tiada cacat cela pada dirinya. Akan tetapi saya tetap tidak mahukan dia.”

Untuk mengukuhkan lagi keputusannya dan memudahkan urusan perceraian tersebut, dia memaafkan segala haknya ke atas saya. Termasuklah sebahagian daripada hantaran yang tertangguh. Yang mana ianya memang merupakan hak baginya menurut syariat. Dia mengembalikan emas perkahwinan kepada saya berserta dengan gambar-gambar yang pernah saya berikan kepadanya. Saya menerima keputusannya dan menyerahkan segala-galanya kepada Allah swt.

Tidak berapa lama setelah itu saya diberitahu oleh seorang kawan yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan keluarga pengantin saya itu bahawa akhirnya pengantin saya itu berterus terang dan menyatakan mengenai hakikat sebenar. Iaitu dia selalu melihat saya dalam rupa menakutkan seperti Ifrit yang ganas.

Dia langsung tidak mengesali akan perbuatan dan sikap saya. Tetapi dia takut kepada saya walaupun dia berjauhan. Maka bagaimana pula keadaannya apabila saya telah menjadi suaminya?

Kemudian isteri bapa saudara saya datang melawat saya setelah mendapat tahu bahawa urusan perceraian saya dengan bekas isteri saya yang belum pernah saya sentuhi itu telah selesai. Dia kembali dengan tawaran-tawaran yang penuh dengan godaan.

Secara ringkasnya, dia akan menghadiahkan saya dengan sebuah kondominium bersebelahan dengan Sungai Nil. Bahkan ianya akan didaftarkan dengan nama saya. Lebih daripada itu lagi dia berjanji akan menghadiahkan kepada saya mahar serta mas kahwin untuk anaknya.

Apa yang dikehendaki daripada saya ialah hanya bersetuju untuk berkahwin dengan anaknya. Saya tidak mengetahui mengapa saya berkata kepadanya: “Berikan saya masa untuk berfikir.” Dia beredar dalam keadaan gembira kerana saya akan memikirkan mengenai perkara itu.

Di tengah malam, saya dikejutkan oleh deringan bunyi telefon daripada sepupu saya yang cuba meluahkan melalui panggilan tersebut akan segala hasrat hatinya dengan bahasa yang agak romantik. “Sesungguhnya Allah swt (maha suci Allah swt daripada apa yang mereka katakan dan segala yang kita gambarkan) yang telah membatalkan perkahwinan kerana Allah swt menginginkan yang terbaik bagi saya. Yang terbaik untuk diri saya dan juga diriNya.” (kata sepupu saya). Dia berjanji akan menjadi seorang hamba yang taat dan tidak sekali-kali akan mengucapkan perkataan ‘tidak’ dalam setiap perkara yang akan saya perintahkan.

Akan tetapi saya cuba untuk meyakinkan dia bahawa urusan hati adalah terletak di tangan Tuhan. Mungkin dia memang benar-benar akan membahagiakan saya manakala saya pula tidak mungkin akan dapat membahagiakan dia. Akan tetapi segala usaha saya hanyalah sia-sia belaka. Selalunya panggilan telefon daripadanya di waktu malam berakhir dengan keengganan saya yang berterusan. Dia terus mendesak bermati-matian.

Pada suatu malam ketika kami sedang berbual, saya merasakan seolah-olah ada seseorang yang mendengar perbualan kami secara mencuri-curi. Kemudian dengan suatu perasaan yang tidak saya fahami, saya merasakan bahawa ibunyalah yang mencuri-curi dengar akan perbualan kami. Ternyata bahawa sangkaan saya tepat kerana pada pagi-pagi dinihari, saya menerima satu panggilan daripada ibunya.

Dengan licik lidahnya menyusun kata-kata yang menarik simpati sambil berkata bahawa anaknya telah patah hati sejak semalam lantas dia bertanya: “Adakah semalam kamu telah mengatakan apa-apa kepadanya atau membuatkan dia marah dengan sesuatu perkara?”

Saya berkata kepadanya: “Tidak, bahkan semalam saya tidak berada di sini langsung.” Lalu dia berkata: “Pelik… walaupun dia menangis sepanjang malam.” Ketika itulah saya ketahui bahawa dia telah mencuri dengar perbualan kami.

Saya mula merasa takut dengan sesuatu yang saya sendiri pun tidak pasti mengenainya. Apa yang membingungkan saya ialah, setiap kali saya mengenali seseorang gadis dengan niat hendak mengahwininya, gadis itu akan melarikan diri daripada saya. Sekalipun saya mengetahui bahawa gadis itu adalah daripada golongan gadis yang suka berpoya-poya dan bermain-main, kemudian saya menerimanya dan menjalankan segala urusan kami seperti biasa.

Jika saya memikirkan sepintas lalu untuk berkahwin dengannya, perasaan tersebut akan lari daripada saya dan berubah secara tiba-tiba untuk mencari gadis-gadis dengan tujuan bersuka-suka sahaja.

Pada suatu hari saya menemui seorang gadis dan perasaan romantik pun muncul di antara kami yang akhirnya dari sebuah persahabatan menjadi sebuah percintaan. Akhirnya kami berterus terang dan merancang ingin bersama seperti setiap pasangan yang lain. Setiap pasangan yang bercinta pastinya menginginkan hidup bersama.

Saya tidak mengetahui mengapakah perasaan takut dan bimbang itu mula berulang pada diri saya. Akhirnya saya dapat memastikan bahawa perasaan tersebut adalah benar-benar perasaan takut dan bimbang. Saya lebih yakin merasakan bahawa perasaan bimbang dan takut itu adalah hanya pada orang yang saya cintai sahaja. Tidak pada diri saya sendiri.

Akan tetapi dengan dorongan abang saya yang melarang saya daripada terus hidup dengan bayang-bayang ketakutan yang tiada puncanya dan dasarnya itu, saya pun terus membuat keputusan untuk melalui sahaja kehidupan yang stabil. Kami memulakan peringkat pertunangan dengan bacaan Al-Fatihah bersama keluarganya.

Pada suatu hari saya meminjam sebuah kereta daripada abang saya untuk melaksanakan atau menguruskan beberapa urusan yang berkaitan dengan diri serta tunang saya. Secara tiba-tiba enjin kereta terbakar. Pintunya sukar untuk dibuka. Pada detik-detik yang cemas itu akhirnya kami dapat keluar. Pada masa yang sama, dengan kehendak Allah swt, sebuah bas menghampiri kami dan pemandunya dengan segera mengambil pemadam api dan membantu kami memadamkan api yang sedang marak di enjin kereta.

Saya memperbaiki kereta sekadar apa yang saya mampu. Abang saya pun bermurah hati dan membayar semula apa yang telah saya belanjakan untuk memperbaiki keretanya sambil beliau berkata: “Aku di samping mu di dalam ujian mu ini. Cukuplah dengan kerugian yang telah kau alami pada perkahwinan mu dulu.”

Sehingga itu perjalanan hidup kami berjalan seperti biasa. Akan tetapi saya terkejut apabila abang tunang saya hendak menemui saya secara tiba-tiba di tengah malam. Saya memenuhi kehendaknya.

Di dalam pertemuan itu, tiba-tiba dia mengeluarkan emas pertunangan kami dan berkata: “Adik saya menarik diri di dalam perkara ini. Saya harap kamu dapat memaafkan saya, dia, serta keluarga kami.” Lalu saya hanya meminta penjelasan sahaja mengenai apakah yang telah berlaku.

Setelah desakan yang bersungguh-sunggh daripada saya dia berkata: “Pertunangan ini sebenarnya awal-awal lagi merupakan sebuah nahas. Terus terang saya katakan bahawa selepas kemalangan kamu berdua (enjin kereta terbakar), keadaan di rumah kami segala-galanya tonggang terbalik dan tidak tentu arah. Saya meminta maaf kerana tidak dapat menjelaskan lebih daripada ini.”

Saya hanya menerima ketetapan daripada Allah swt dengan penuh keredhaan di hati. Akan tetapi saya mula menjauhkan urusan perkahwinan atau niat untuk berkahwin dari fikiran saya secara langsung.

Saya mulai kembali ke jalan yang tidak diredhai Allah swt. Tetapi saya dapat merasakan bahawa saya sedang menghancurkan diri saya dengan kedua-dua belah tangan saya sendiri. Kini saya sedang berada di persimpangan dilema.

Saya mendapat keyakinan yang penuh daripada salah seorang Sheikh bahawa isteri bapa saudara saya telah melakukan sihir yang jahat ke atas saya. Sihir yang mengikat seketat-ketatnya daripada berkahwin.

Tetapi masalah saya ialah, segala usaha saya untuk merawat tidak berhasil kecuali dengan kadar lebih kurang 15%. Syukur Alhamdulillah dengan segala keadaan. Yang penting bagi saya ialah pendapat tuan. Adakah perasaan saya itu berada pada tempatnya…?!…

Ikuti penjelasan berkaitan sihir tentang peristiwa ini pada posting akan datang...

No comments: