Followers

Saturday, November 26, 2011

Mukjizat Rasulullah dalam perjalanan hijrah

PERJALANAN HIJRAH Rasulullah SAW. bermula apabila kafir Quraisy mula bertindak untuk menangkap baginda kerana mendengar desas-desus umat Islam akan berpindah ke Madinah. Namun Saidina Ali RA. mengambil risiko menyamar dengan baring berselubung selimut di tempat tidur Rasulullah. Kelompok Quraisy yang mahu menangkap baginda mengintip dan percaya bahawa baginda masih belum keluar.

Tanpa disedari, Rasulullah bersama Saidina Abu Bakar RA. keluar ikut tingkap belakang. Bagaimanapun Ibnu Ishaq riwayatkan baginda keluar ikut pintu depan sambil membaca surah Yasin ayat ke-9 yang bermaksud, “Dan Kami adakan di hadapan mereka dinding dan di belakang mereka dinding (pula), dan Kami tutup (mata) mereka sehingga mereka tidak dapat melihat.” Rasulullah melemparkan pasir kepada Quraisy yang sedang mengawasi rumahnya, namun mereka tidak sedar.

Rasulullah menuju ke Bukit Thursina yang terdapat sebuah gua. Mereka bersembunyi di dalamnya. Tiga mukjizat berlaku ketika itu. Segenap saja Muhammad dan Abu Bakar masuk ke gua, seekor labah-labah besar menganyam sarang menutup jalan masuk. Di depannya sebuah pokok akasia secara ajaib tumbuh malam itu juga. Sementara itu tepat di tempat di mana orang harus menapakkan kakinya untuk memanjat memasuki gua, ada seekor merpati gunung mengerami telur-telurnya.

Rasulullah dan Abu Bakar bersembunyi. Manakala kafir Quraisy agresif memburunya. Namun mereka tidak menjenguk ke dalam gua kerana tiga mukjizat itu menunjukkan mustahil ada orang yang memasuki gua itu malam sebelumnya. Selamatlah Rasulullah dan Abu Bakar selama tiga hari di situ.

Dalam perjalanan ke Madinah setelah keluar dari gua, seorang Quraisy bernama Suraqa, mengesan perjalanan mereka yang menaiki unta. Secara senyap-senyap dia keluar kerana mahu membolot ganjaran yang ditawarkan kepada mereka yang berjaya menangkap Rasulullah.

Namun apabila mula nampak kelibat Rasulullah dari suatu jarak di padang pasir, kuda tunggangannya tersungkur sebanyak tiga kali. Sungkuran kali ketiga membuatkan Suraqa terpelanting dari kuda dan jatuh terhuyung-hayang dengan senjatanya. Dia takut dan percaya ada alamat buruk jika diteruskan juga niat menangkap Rasulullah, lantas dia membatalkan niat itu.

Terdapat banyak lagi mukjizat Rasulullah SAW selain itu. Mungkin dalam kisah riwayat yang berbeza. Maha suci Allah yang melindungi kekasih-Nya Muhammad dalam perjalanan Hijrah ke Madinah. Hijrah itulah yang memulakan kegemilangan serta kejayaan dakwah Rasulullah SAW yang kesannya amat mendalam sehingga ke hari ini. Wallahu a’alam.

No comments: