Followers

Sunday, January 30, 2011

Simptom kemurungan dan penawarnya

Pada akhir tahun 2010, kira-kira tiga juta rakyat Malaysia dikatakan terdedah kepada kecelaruan mental dan kebanyakannya berpunca daripada kemurungan (depression). Penyakit itu kebanyakannya berpunca daripada faktor biokimia dalam otak termasuk akibat peristiwa hitam dalam hidup, hilang orang tersayang, cabaran hidup terlalu sukar dan tahap sosioekonomi rendah.

Apa itu kecelaruan kemurungan atau depressive disorder?

Tak semestinya berasa sedih itu adalah 'murung'. Sedih adalah suatu perasaan biasa. Tetapi jika ia berlanjutan sehingga tingkah laku berubah ketara, cepat marah, resah, mempunyai idea pelik, memikir dan bercakap soal bunuh diri, penyalahgunaan dadah serta alkohol dan tidak upaya melakukan aktiviti harian; maka itu berkaitan dengan kemurungan.

Ini antara tanda-tanda biasa kemurungan:
  • Rasa tak berdaya dan putus asa. Rasa seperti tidak ada yang boleh dilakukan untuk memperbaiki situasi.
  • Hilang minat dalam kegiatan seharian. Tidak tertarik pada hobi, hiburan, kegiatan sosial, atau seks. Tak mampu rasa gembira dan senang hati dengan kegiatan itu.
  • Perubahan pada selera makan atau berat badan.
  • Gangguan tidur. Mungkin insomnia, iaitu tak boleh tidur ataupun terlebih tidur, iaitu hipersomnia.
  • Mudah marah atau gelisah. Tahap toleransi jadi rendah, hampir semua orang akan terkena tempias kepada sifat itu.
  • Hilang tenaga. Rasa letih dan lesu. Badan terasa tidak cergas sehingga memerlukan masa yang lebih lama untuk menyelesaikan sesuatu kerja.
  • Membenci diri. Rasa tidak berharga dan bersalah. Mudah mengkritik diri sendiri.
  • Mengalami masalah konsentrasi. Masalah fokus, membuat keputusan, atau daya ingatan.
  • Sakit pada anggota fizikal tanpa diduga. Sering sakit kepala, punggung, otot, dan perut.
Apa nak buat kalau mengalami simptom itu?

Dapatkan sokongan orang lain seperti keluarga dan kawan-kawan yang boleh dipercayai. Jangan bersendirian. Sememangnya mengubah gaya hidup tidak semudah yang kita fikirkan. Tetapi jika berjaya, ia memberi kesan yang baik kepada kita. Cuba lakukan perkara berikut:

  • Dekatkan diri kepada Allah.
  • Bina hubungan yang memberi sokongan moral.
  • Libatkan diri dengan sukan.
  • Ambil makanan yang menyihatkan.
  • Urus stress dan relaks.
  • Lawan idea negatif dalam diri.
Jika kita dapati kawan-kawan kita mengalami masalah ini. Berikan sokongan. Atas dasar kemanusiaan, mereka perlukan seseorang.

Keputusan Rasmi Pilihanraya Dun Tenang

BN menang majoriti 3,707 undi. Peratus perbezaan undi 38.25 %.

Calon BN dapat 6,699 undi.

Calon Pas dapat 2,992 undi.

Tuesday, January 18, 2011

Ekspresi penulis: Antara ganjaran dengan kepuasan.

"Kenapa tak terbitkan sahaja hasil karya tuan?"

Itu pertanyaan saya kepada seorang penulis senior. Hasil karyanya memang hebat. Puisinya menusuk jiwa.

"Kalau ada penerbit yang berminat, maka saya alu-alukan. Tapi kalau tiada, tak diterbitkan pun tak mengapa. Tapi saya akan terus kongsikan hasil penulisan itu untuk dibaca," jawab penulis itu.

"Bukankah menerbitkan hasil karya itu boleh buat duit? Boleh dapat royalti tahunan. Menulis transkrip hanya sekali, tetapi hasilnya dinikmati secara berterusan." Saya terus bertanya lagi.

"Ya, memang benar. Tapi saya mahukan kepuasan berkarya. Royalti itu soal nombor dua. Saya mahukan ilmu dan berkongsi dengan orang lain," kata penulis itu, selamba.

Dalam fikiran saya, terimbau pula tentang kenyataan seorang pemilik syarikat penerbit buku terkenal, "Saya memang mata duitan. Terbitkan buku untuk keuntungan." Ada betulnya juga. Kalau bukan kerana keuntungan, buat apa keluarkan modal untuk mencetak dan tanggung kos operasi.

Kenyataan kedua-dua pihak itu jelas menampakkan kontra dalam sudut pemikiran masing-masing. Namun, yang mana satukah yang betul? Mungkin masing-masing ada alasannya yang tersendiri.

Saya pilih jalan tengah. Bagi saya, kalau tiada royalti, mungkin bukan rezeki saya melalui buku-buku itu. Sekurang-kurangnya jika ada yang terbaca perkongsian ilmu saya dan memanfaatkannya, maka itu royalti saya untuk akaun di akhirat kelak. Itu royalti yang akan terus dibayar sehingga saya mati. Tapi kalau ada royalti wang, syukur Alhamdulillah. Itu rezeki untuk diri dan keluarga. Kedua-dua keadaan itu boleh selari.

Apa yang pasti, selagi dikurniakan idea untuk menulis, maka saya akan teruskan. Jika boleh buat duit, syukurlah ada rezeki saya di situ. Setakat ini pun saya pernah mendapat hasil bayaran royalti daripada buku-buku yang lepas. Ia memang buat duit, hasil gabungan idea penulis seperti saya dengan bantuan penerbit yang memasarkannya.

Saya bukan hanya menulis buku. Tetapi juga menulis artikel, blog, teks ucapan, laporan dan nota untuk disampaikan kepada masyarakat. Jika ia dimanfaatkan, maka itu adalah suatu kepuasan kepada saya.

Saya akan terus menulis, walaupun bukan semua yang ditulis itu dibayar dengan tunai secara jelas.

Sunday, January 2, 2011

Mudahnya Belajar Bahasa Al-Quran


“BAHASA ARAB itu mudah, tetapi ianya sangat luas.” Itu kata seorang sahabat saya, Syed Sheikh Al-Attas dalam kelas bahasa Arabnya di pusat pengajian Darul Qurba, Larkin, Johor Bahru.

Saya pernah berkunjung ke pusat pengajian bahasa Arab yang dibangunkan oleh Syed Sheikh. Khidmat fotografi saya diperlukan untuk merakam aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) bahasa itu. Maka saya juga memerhatikan sesi itu.

Dalam sesi P&P tersebut, saya tertarik dengan kaedah dan suasana pembelajaran yang diwujudkan di situ. Ia sangat menyeronokkan. Kelihatan kaum ibu berumur antara 40 hingga 60 tahun cepat mempelajari bahasa al-Quran itu.

Pengajian bahasa Arab diberikan melalui kaedah yang mudah. Bermula daripada perbualan umum, maka timbullah minat dan kefahaman yang cepat di kalangan pelajarnya.

Misalnya, ada beza antara perkataan “mata” dan “maata” (ma pendek dan maa panjang). Yang pendek bermaksud ‘bila’ dan yang panjang bermaksud ‘telah mati’. Perbezaan itu membuatkan kita boleh tertawa membayangkan bagaimana kalau kita tersilap sebut. Daripada nak tanya tentang bila, tersilap sebut membawa maksud telah mati.

Satu perkataan juga boleh pelbagaikan dengan disandarkan pada kata ganti nama sama ada untuk dia, mereka, kamu, kamu semua, saya dan kami. Bahasa itu memang unik dan saya rasa semua orang perlu ada pengetahuan mengenainya.

Sebenarnya saya tak menyangka bahasa bahasa Arab boleh diajar dan dipelajari dengan cara yang mudah dan menyeronokkan. Nampaknya pusat pengajian itu sememangnya mempunyai keistimewaan dan keunikan tersendiri pada kaedah dan modul yang digunakan.

Beberapa minggu lepas, saya juga ada mengambil gambar dalam sesi P&P al-Quran yang dihadiri oleh sekumpulan anak-anak yatim dari sekitar Johor Bahru di situ. Guru yang mengajar mereka juga mahir dengan modul Iqra’ yang mampu membuatkan pelajarnya lecih cepat celik al-Quran.

Darul Qurba menyediakan pembelajaran al-Quran era baru, memecahkan tradisi mengaji al-Quran di rumah jiran dengan hanya duduk bersila di lantai. Cara yang lama juga baik, tetapi pada pemerhatian saya kaedah baru itu lebih bijak dan jimatkan masa. Ia memang sesuai untuk anak-anak zaman era IT.

Bagi sesiapa yang berminat untuk celik al-Quran dan belajar bahasa Arab, bolehlah menghubungi Syed Sheikh Al-Attas (016-3222776), Mudir Am Darul Qurba. Pusat pengajian itu menyediakan sesi pembelajaran untuk semua peringkat umur dan jantina.

Jangan malu dan segan. Anda pasti selesa dengan kaedah pembelajaran yang berkesan di situ.

Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud, "Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al-Qur'an dan mengajarnya."