Followers

Monday, June 27, 2011

Barang Mahal yang Tidak Bernilai

Ada jam tangan berharga ribuan ringgit, tetapi nilainya tidak sampai begitu mahal. Ada orang banyak duit tetapi ia tidak memberi manfaat, sebaliknya menyusahkan diri pula.

Kelmarin, saya bersiar-siar di salah sebuah kompleks membeli-belah di Johor Bahru. Saya singgah ke sebuah kedai jam tangan. Di situ, ada banyak jenama jam terkenal termasuk Tag Heuer, Omega, Patek Philippe, Tissot dan sebagainya dijual dengan harga ratusan ringgit. Sedangkan harga sebenar jenama jam sebegitu adalah ribuan ringgit.

Bila saya teliti, rupa-rupanya ia adalah jam tiruan. Ada pelbagai gred. Gred AAA adalah antara yang terbaik. Lebih baik lagi jika mekanikal dalamnya ialah buatan Swiss, Jepun dan cerminnya jenis Sapphire. Saya amati, gred itu 99 peratus serupa dengan yang original.

Sebuah jam tangan Tissot menarik perhatian saya. Model yang saya lihat itu biasanya ada dijual oleh pengedar sah Tissot di kedai lain dengan harga ribuan ringgit. Saya minta 'amoi kedai' keluarkannya dari almari kaca itu. Harganya RM800 dan diakui ianya tiruan bergred tinggi. Saya terkejut melihat terdapat tag original Tissot pada jam itu dan harganya ditulis RM1,500. Memang itulah harganya model jam itu di kedai Tissot sebenar.

Saya terfikir pula tentang satu jenama kasut Crocs yang harganya ratusan ringgit. Tetapi versi tiruannya dijual dengan harga puluhan ringgit sahaja. Kualitinya hampir sama.

Imaginasi saya menerawang lebih jauh. Saya terfikir, tidak mustahil jam atau kasut tiruan bermutu tinggi itu dijual dengan harga original di kedai pengedar yang sah. Kalau tidak semua, mungkin sebahagian daripada stoknya boleh jadi adalah tiruan.

Malang sekali kalau terkena. Saya rasa bisnes di negara kita sudah tercemar. Membayar harga yang tinggi tidak semestinya menjanjikan kita pulangan nilai yang tinggi juga. Silap-silap kita dapat barang mahal yang sebenarnya tidak bernilai.

Berhati-hatilah ketika membeli barang. Jadi pengguna bijak.

Saya rasa, nilai ini sama dengan kehidupan segelintir manusia. Segalanya bergantung kepada diri kita.

Realiti tentang perbezaan nilai kehidupan ini adalah satu realiti. Ada orang bergaji kecil, berkereta Kancil, bayar loan RM300 sebulan, tak pernah miss bayar bulanan dan panjang langkah ke mana-mana. Ada pula orang berkereta Lexus, gajinya besar tetapi pernah miss bayar loan bulanan kereta. Kereta besar, tapi tak bayar gaji atau hak pembantu rumahnya. Padahal duit berkoyan-koyan dalam akaun.

Bagaimanapun, hanya Allah yang maha mengetahui nilai sebenar di sebaliknya. Kita sebagai hamba-Nya, buat sahaja perkara yang betul. Tepuk dada tanya selera. HARGA ialah yang kita bayar, manakala NILAI adalah yang kita dapat.

Adakah kita selalu perolehi NILAI yang sepatutnya berdasarkan HARGA yang kita bayar?

Thursday, June 23, 2011

Banyak Jin Mengganas di Era Siber

Oleh Abdul Jalil Ali

Semua orang yang waras pasti berasa sedih dengan kematian Faisal Harun. Bukan sahaja sedih, tetapi juga kesal dan sekali gus marah. Kalaulah ada sedikit kewarasan, remaja 26 tahun itu mungkin dapat diselamatkan.

Doktor mengesahkan anak muda dari Kampung Gong Beris, Marang, Terengganu itu mati akibat lemas, setelah dikatakan dipaksa minum air dalam kuantiti banyak termasuk melalui hos getah yang dimasukkan ke mulut mangsa.

Setakat rencana ditulis polis masih memburu seorang bomoh wanita warga Thai berhubung kes ini yang akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Faisal mulanya mengalami gangguan fikiran, tetapi bomoh berusia 43 tahun itu memberitahu mangsa terkena buatan orang. Konon mangsa perlu minum banyak air sehingga muntah untuk mengeluarkan jin yang merasuk dalam badan.

Keluarga mangsa yang ada semasa rawatan dilakukan melihat sendiri bomoh memasukkan salur getah ke mulut mangsa. Paip dibuka dan mangsa meronta-ronta sebab terlalu banyak air masuk ke perut.

Menurut laporan media, oleh sebab tidak tergamak melihat cara mangsa dirawat, anggota keluarga beredar dan menunggu di luar rumah. Beberapa ketika kemudian bomoh memberitahu jin sudah dihalau, tetapi mangsa pengsan. Mangsa dikejarkan ke klinik, dan meninggal dunia.

Bagaimana anggota keluarga boleh membiarkan rawatan bomoh berkenaan yang jelas sekali membahayakan? Fikiran yang waras boleh mengagak apa akan terjadi sekiranya terlalu banyak air dipaksa masuk ke perut, menerusi hos paip pula!

Tragedi menyayat ini bukan kes terpinggir. Sudah sekian banyak menjadi mangsa menerusi rawatan perbomohan. Tetapi sesetengah orang kita masih terlalu percaya pada bomoh. Apa sahaja sakit – termasuk demam panas dan selesema biasa – akan dirujuk kepada bomoh.

Menjadi kebiasaan di mana-mana pun, bomoh akan melakukan jampi serapah. Ada selendang merah atau kuning, keris, asap kemenyan, limau nipis dan sebagainya. Bomoh akhirnya akan mengenal pasti punca masalah: sama ada buatan orang, atau jin masuk dalam tubuh.

Biasa juga ada benda-benda dan pengeras yang diminta. Dalam kes ini, seperti yang diakui oleh keluarga mangsa, bomoh minta disediakan sembilan jenis bahan-bahan pelik berwarna hitam termasuk sembilan ekor ayam kampung, telur ayam, cincau dan anggur serta wang pendahuluan RM200.

Tidak dapat dipastikan, juga tidak pernah ditanya atau dilakukan kajian, apakah jin atau jembalang betul-betul makan ayam kampung, cincau, anggur dan benda-benda lain itu? Apa yang pasti RM200 itu mesti bukan untuk jin, sebab dalam dunia jin tidak ada urus niaga menggunakan RM atau lain-lain mata wang!

Sebenarnya, kita sudah selalu membaca mengenai penipuan sesetengah pengamal perubatan dan rawatan tradisional. Ada wanita yang dikatakan dirasuk jin, dan bomoh menawarkan rawatan khas ke atas pesakit.

Pesakit wanita itu dirawat dalam bilik, dan anggota keluarga tidak dibenarkan berada bersama ketika rawatan atas alasan: “Orang lain tidak boleh masuk bilik sebab jin dalam tubuh pesakit jenis degil...”

Akhirnya baru diketahui apabila berduaan dalam bilik yang samar-samar, bomoh naik semangat, mengusap-usap tubuh wanita dan merogol pesakit berkenaan. Rupanya bomoh itulah ‘jin’ sebenarnya!

Tidak diketahui di luar sana berapa banyak lagi bomoh yang memperdaya pesakit untuk kepentingan dan keseronokan diri. Banyak laporan mengenai penipuan dan kerakusan bomoh telah dibuat kepada pihak polis. Sesetengahnya telah ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.

Belum lama dulu seluruh negara heboh dengan keganjilan seorang gadis sunti – di Terengganu juga! – yang kerap menghilangkan diri sebab dibawa oleh makhluk halus. Beberapa bomoh dipanggil dan semua sepakat mengesahkan bahawa gadis tersebut memang ditawan oleh makhluk halus.

Satu ketika gadis tersebut hilang dari rumah selama beberapa hari, dan sempat menghantar SMS kepada keluarga bahawa dia dibawa makhluk halus ke Gunung Jerai.

Bomoh menilik, berjampi serapah, dan mengesahkan gadis tersebut memang berada di Gunung Jerai. Kemudian baru pecah tembelang, gadis tersebut tidak berada di gunung, sebaliknya pergi ke rumah kawan di Negeri Sembilan. Satu Malaysia kena tipu!

Kesimpulannya, boleh percaya bomoh sebagai salah satu usaha rawatan. Tetapi, jangan terlalu percaya hingga menyusahkan diri. Kalau setakat selesema, tidak perlu bawa ayam hitam untuk bomoh. Pergi sahaja jumpa doktor!

Artikel ini dipetik daripada Sinar Harian 23 Jun 2011.

Percaturan Hidup

  • Hidup kita macam permainan catur. Ada pelbagai watak, peranan, kelebihan dan kekurangan. Ada yang jalan setapak, pantang berundur. Ada yang jalan belok-belok, boleh langkah. Ada yang jalan tegak. Ada yang menyerong. Ada yang bebas tapi tak boleh langkah.
  • Warna hitam atau putih bukan ukuran yang menentukan siapa menang ataupun kalah. Kebijaksanaan dan strategi mempunyai pengaruh paling kuat, manakala kecuaian pula mengundang padah.
  • Langkah yang dibuat pada awalnya mempengaruhi sepanjang permainan itu. Silap langkah, kena makan. Terburu-buru mengakibatkan kerugian.
  • Boleh main tipu kalau pemain lawan cuai. Mungkin pergi ambil air minuman di dapur sekejap. Tapi mangsa tipu rasa pelik kenapa strateginya tak menjadi. Namun kemenangan si penipu bukan suatu kepuasan. Ia memakan diri.
  • Merancang perlu untuk jangka panjang. Ada kawan saya bagi tips, satu gerakan kuda mestilah dilakukan berserta perancangan tiga gerakan seterusnya. Lepas jalan, ke mana nak pergi dalam tiga langkah lagi?
  • Peraturan tetap peraturan. Askar tak boleh undur, jangan la undurkan. Kalau taknak main, pergi main dam haji ke, dam ular, atau sebagainya.
  • Boleh korbankan askar buat umpan. Umpan kecil untuk makan lebih besar. Korbankan satu untuk makan lebih banyak.
  • Waktu berfikir perlu terhad. Kalau tidak, sampai esok pagi pun tak boleh selesai permainan. Zaman budak-budak dulu siap boleh berhenti seketika, untuk makan nasi.
  • Kemenangan boleh diduga. Kekalahan juga begitu. Kalau tinggal king seketul je, confirm kalah. Cuma cepat atau lambat je. Cepat-cepatlah berlakon sakit perut supaya tidak mati katak.
  • Kalau fikir balik, percaturan realiti hidup lebih kurang macam permainan catur juga. Banyak sudut perlu diperhatikan. Sekian posting blog untuk kali ini. Semoga anda lebih kayeee dan berjayeeee…

Wednesday, June 15, 2011

Ruqyah Syar'iyyah versi bacaan Al-Afasy

Ruqyah Syar'iyyah adalah kombinasi potongan-potongan ayat Al-Quran yang boleh dimanfaatkan untuk menghindarkan diri daripada gangguan jin dan sihir. Anda boleh muat turun ayat tersebut di link di bawah ini (right-click, kemudian save link as)


Fail audio ayat yang saya kongsikan ini adalah versi bacaan Sheikh Mishary Rashid Ghareeb Mohamad Rashid Al-Afasy yang lembut alunan suaranya. Biasanya bacaan yang kita dapati di internet adalah bacaan imam Masjidil Haram. Oleh itu, saya ambil inisiatif mengolah untuk versi bacaan Al-Afasy pula. Semoga bacaan beliau dapat menenangkan hati kita yang mendengar.

Untuk pengetahuan anda, potongan ayat-ayat yang terkandung di dalam Ruqyah adalah:
1) Surah Al-Fatihah
2) Surah Al-Baqarah ayat 1 - 5
3) Surah Al-Baqarah ayat ke-102
4) Surah Al-Baqarah ayat 163 - 164
5) Ayat Al-Kursi
6) Surah Al-Baqarah ayat 285 - 286
7) Surah Aali Imran ayat 18 - 19
8) Surah Al-A'raf ayat 54 - 56
9) Surah Al-A'raf ayat 117 - 122
10) Surah Yunus ayat 81 - 82
11) Surah Taaha ayat ke-69
12) Surah Al-Mukminun ayat 115 - 118
13) Surah As-Soffaat ayat 1 - 10
14) Surah Al-Ahqaaf ayat 29 - 32
15) Surah Ar-Rahman ayat 33 - 36
16) Surah Al-Hasyr ayat 21 -24
17) Surah Al-Jin ayat 1 - 9
18) Surah Al-Ikhlas
19) Surah Al-Falaq
20) Surah An-Naas

Melalui pengamatan saya, ayat-ayat tersebut banyak menyampaikan maksud tentang Iman, penafian tentang pengaruh sihir dan juga tentang jin. Kalau begitu, memang sesuailah ayat-ayat itu dimanfaatkan untuk menangani sihir dan menghindar gangguan jin.

Caranya mudah. Dengan teknologi yang kita ada, sekurang-kurangnya audio ini boleh dimainkan sahaja dan kita boleh dengar berulang kali. Kalau dapat mengikuti bacaannya adalah lebih baik.

Saya sendiri menyimpan fail mp3 ini di komputer dan handphone. Bila diperlukan, saya cuma mainkan sahaja fail audio itu.

Ada kalanya pada waktu si anak kecil menangis tanpa masalah fizikal, ketika kita sukar tidur kerana mimpi mengarut, jiwa kacau atau sebagainya yang berkaitan dengan gangguan jin serta sihir, Ruqyah ini mungkin berguna.

Di samping itu marilah kita renungi firman Allah SWT. dalam surah Al-Isra' ayat ke-82 yang bermaksud, "Dan kami turunkan daripada Al-Quran itu sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat kepada orang-orang yang beriman..."

Semoga ianya bermanfaat untuk anda semua.

Monday, June 13, 2011

Manusia Terkejam

Saya tertarik dengan sebuah artikel tulisan Hafizahril Hamid di Utusan Malaysia 13 Jun 2011 bertajuk Manusia Terkejam. Ia menceritakan tentang kisah kekejaman pemimpin yang menghapuskan golongan manusia tertentu seperti Hitler yang menghapuskan orang Yahudi. Pembersihan etnik ini tidak berlaku di Malaysia. Tetapi saya rasa terkilan kerana masih ada masyarakat kita yang rasa dizalimi dalam negara serta pemerintahan yang aman damai ini. Ikuti artikel di bawah ini. Baca dengan mata kepala dan hayati dengan mata hati.

KITA sering tertanya-tanya bagaimana seorang manusia yang cukup sifatnya, matang akalnya, dan sihat tubuh badannya mampu bertindak seumpama lebih hina dari haiwan membunuh ribuan nyawa tanpa sekelumit perasaan belas kasihan.

Bayangkan apakah perasaan seorang pemimpin yang mengarahkan pembunuhan ribuan manusia semata-mata kerana wujudnya perasaan benci dan dendam.

Apakah mereka ini seolah-olah tidak ada perasaan, tidak ada belas kasihan atau sifat pemaaf, sesuatu yang dianugerahkan Tuhan bagi melengkapkan kewujudan manusia.

Di manakah kewarasan mereka ini yang sanggup memilih bertindak di luar batasan kemanusiaan dan membunuh mereka yang tidak berdosa. Lebih menyedihkan semua ini dilakukan atas alasan dan perspektif yang terlalu sempit.

Malangnya kerana kuasa dan dendam semua pembunuhan itu “dihalalkan” tanpa mengira umur dan jantina.

Melihat kepada situasi ini, beberapa nama “besar” seperti Adolf Hitler, Pol Pot, Joseph Stalin serta Slobodan Milosevic, Radovan Karadzic dan Ratko Mladic yang bertanggungjawab menyembelih umat Islam di Bosnia akan terus dikenang kerana berkongsi satu perkara.

Mereka ini seperti hilang akal melakukan kekejaman di luar batasan kemanusiaan.

Populariti

Mereka ini berkongsi “populariti” sebagai manusia terkejam dalam sejarah moden manusia bukan terhadap orang lain tetapi di kalangan rakyat mereka sendiri.

Lebih menyedihkan askar-askar mereka ini pernah berjiran malah menjadi rakan rapat kepada mangsa kekejaman sebelum berubah menjadi perogol dan pembunuh yang kemudian mengkambus mayat mereka tanpa sebarang rasa bersalah.

Perkhabaran terbaru tentang penangkapan bekas jeneral Bosnia-Serb, Ratko Mladic, setelah melarikan diri sejak sekian lama atas dakwaan pembunuhan beramai-ramai semasa perang Serbia-Bosnia disambut dengan penuh kesyukuran oleh kaum keluarga yang terselamat.

Mladic, yang menjadi komander tentera Bosnia-Serb semasa perang Bosnia 1992-95, didakwa oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa pada 1995 kerana melakukan pembunuhan beramai-ramai lebih 8,000 umat Islam di Srebrenica dan melakukan pengepungan selama 48 bulan ke atas Sarajevo.

Dia telah ditahan di kampung Lazarevo, berhampiran bandar Zrenjanin kira-kira 100 kilometer dari ibu negara Belgrade pada 25 Mei lepas.

Mladic juga perlu dipersalahkan bersama Radovan Karadzic dan bekas Presiden Slobodan Milosevic kerana mengorbankan lebih 100,000 nyawa dan menjadikan sekitar 1.8 juta penduduk sebagai pelarian di seluruh dunia.

Bagaimanapun adalah sangat dikesalkan Mladic dilihat langsung tidak menyesal, sedih atau malu dengan apa yang telah dilakukan. Malah dia dengan selamba menyatakan seluruh dunia mengenali siapa dirinya dan berbangga dengan apa yang dilakukan.

Tidak menyesal

“Saya ialah Ratko Mladic. Saya mempertahankan bangsa saya, negara saya dan kini mempertahankan diri saya. Saya mahu hidup untuk melihat diri saya bebas,

Malah dia dilaporkan sempat berkata, rakyat Serbia patut menanggung sama kesalahan Perang Balkan itu kerana menyokong Milosevic.

Milosevic bagaimanapun meninggal dunia akibat serangan jantung beberapa tahun lalu ketika dalam perbicaraan di The Hague.

Dunia juga pasti tidak akan melupakan bagaimana seorang pemimpin yang dilihat bijak dan pernah melanjutkan pelajaran ke Perancis, iaitu Saloth Sar atau Pol Pot yang akhirnya turut berperangai binatang dengan membunuh lebih dua juta penduduk Kemboja.

Malang bagi rakyatnya yang sememangnya hidup dalam kemiskinan terpaksa jatuh lebih melarat kerana dipaksa berundur ke belakang kerana penduduk telah dipaksa berpindah ke luar bandar untuk bercucuk tanam.

Penentangan

Ketika itu wang tidak ada nilainya lagi. Makanan dan pelajaran digerakkan secara berkelompok. Pihak yang menunjukkan penentangan akan dibunuh secara kejam. Kemunduran telah mencetuskan krisis kebuluran, namun mereka enggan menerima bantuan asing.

Bersandarkan kepada pegangan komunis, tidak ada sebarang amalan dan pegangan agama dibenarkan dan orang Islam di negara itu merupakan antara pihak yang paling teruk menerima kesannya dengan masjid dan al-Quran dibakar.

Namun kekejamannya berakhir setelah askar Vietnam berjaya memasuki Kemboja pada 1978 dan Pol Pot melarikan diri ke Thailand. Beliau menghabiskan 20 tahun tinggal di kem dalam hutan di sempadan Thailand-Kemboja sebelum meninggal dunia pada 1998.

Namun tidak ada yang boleh melupakan kekejaman Pol Pot yang hanya memerintah selama tiga tahun tetapi bernafsu buas seperti binatang walaupun mereka yang dibunuh itu adalah terdiri dari bangsanya sendiri.

Satu lagi nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi pastinya akan membuatkan kita sedar kesan apabila seorang pemimpin yang salah diberi peluang untuk berkuasa.

Adolf Hitler walaupun mencatat sejarahnya yang tersendiri terutama dalam pembunuhan yang dikenali sebagai holocaust terhadap kaum Yahudi, namun beliau juga dianggap sebagai seorang yang terlalu fanatik dengan peperangan dan kuasa serta terlalu mengagungkan bangsanya, yang turut menjadi antara punca kekalahannya.

Walaupun pada peringkat awal beliau diangkat sebagai hero dan nasionalis namun akibat kegilaan dan obsesi yang melampaui batas untuk kuasa membuatkan jutaan bangsa Yahudi dibunuh secara kejam serta jutaan lagi mati akibat peperangan.

Kini walaupun beliau sudah lama mati kerana membunuh diri bersama isterinya Ava Braum setelah kalah dalam Perang Dunia Kedua namun dunia akan tetap memandang serong terhadapnya kerana kekejaman yang berlaku ketika zamannya.

Begitu juga dengan seorang lagi pemimpin yang dianggap agung di Rusia, Joseph Stalin yang terkenal kerana membawa perubahan daripada ekonomi pertanian pembangunan industri dalam konteks komunisme.

Namun akibat yang terpaksa ditanggung rakyat adalah terlalu ketara sehingga mengakibatkan kebuluran yang maha dahsyat.

Dianggarkan antara empat hingga 10 juta orang terbunuh sepanjang pemerintahannya tidak termasuk mereka yang terkorban kerana kebuluran.

Kebuluran

Dikatakan seramai enam hingga lapan juta lagi rakyatnya mati kerana kebuluran teruk yang berlaku pada 1932 - 1933.

Jutaan mereka yang tidak sehaluan dengan Stalin telah dikerah dalam kem tahanan dan dibuang ke daerah pedalaman Rusia.

Beliau juga seperti pemerintah sebelumnya, Lenin percaya bahawa agama adalah satu halangan dalam membentuk sebuah negara komunis yang ideal dan bertanggungjawab membunuh ratusan ribu pengikut, paderi, imam dan mempromosi amalan atheism.

Dianggarkan seramai lebih 20 juta orang mati ketika era kekejaman Lenin sahaja.

Dalam era moden sekarang pembunuhan sebegini telah dilakukan secara terancang dan tidak dilihat sebagai kekejaman melalui peperangan yang dilakukan oleh pihak yang mendakwa diri sebagai polis dunia.

Inilah yang dilakukan oleh pemimpin seperti George W. Bush yang bertanggung jawab membunuh ribuan rakyat Iraq dan Afghanistan namun terlepas kerana ia “dihalalkan” dari sebarang hukuman.

Malah orang seperti Osama Ladin yang sekurang-kurangnya mempunyai pegangan perjuangan tersendiri dilihat sebagai pengganas yang melampau dan dilabel setaraf dengan Stalin dan Hitler tetapi tidak kepada orang seperti Bush.

Melihat kepada kekejaman yang dilakukan adalah sangat menyedihkan kerana yang melakukan segala kerosakan ini terdiri dari pemimpin yang sepatutnya membawa kebaikan dan kesejahteraan kepada rakyat.

Yang menjadi mangsa adalah rakyat yang tidak berdosa dan terpaksa dikorbankan tanpa sebarang nilai hanya kerana kegilaan kepada kuasa dan takhta sang pemimpin yang hilang kewarasannya.

Friday, June 3, 2011

PERTANDINGAN MENCIPTA LOGO KELAB RAKAN JELAJAH JOHOR

Hadiah berupa wang tunai berjumlah RM150.00

Tarikh tutup pada 11 Jun 2011

Kelab Rakan Jelajah Johor baru ditubuhkan bagi menarik penyertaan serta mengumpulkan anak-anak muda atau anak Johor di bawah sebuah komuniti. Kelab ini akan menganjurkan program sukan, rekreasi, kebajikan, khidmat sosial, penjelajahan, kebudayaan dan keagamaan.

Oleh itu, bagi sesiapa yang berbakat dalam seni reka, KRJJ menjemput anda untuk menyertai pertandingan mencipta logo bagi kelab ini. Penjelasan lanjut adalah seperti di bawah.

Cara Penyertaan

· Format logo: .jpeg (format .ai atau .psp diperlukan jika logo anda menang)

· Hantar ke email kelabjj@gmail.com

· Logo dilengkapi dengan penjelasan bagi ‘reka bentuk’ dan ‘keterangan’. Contoh: Lambang ini berbentuk bulat dengan gabungan simbol tiga orang bertindih serta perkataan Kelab Rakan Jelajah Johor. Lambang ini berwarna merah dan biru. Warna merah melambangkan keaktifan ahli dan warna biru melambangkan setia kawan serta kerja sama. Bentuk bulat melambangkan kebersamaan…

· Sila sertakan butir peribadi, iaitu nama penuh, nombor telefon dan alamat.

Syarat Penyertaan

· Setiap peserta hanya dibenarkan menghantar satu logo sahaja untuk dipertandingkan.

· Kelab Rakan Jelajah Johor berhak menggunakan logo yang menang dan ia menjadi hak rasmi kelab. Tiada sebarang tuntutan boleh dibuat oleh pencipta logo.

· Peserta hendaklah warga negara Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan menetap di negeri Johor.

· Reka bentuk logo hendaklah asli, iaitu hasil idea sendiri. Tidak dibenarkan meniru atau menyerupai logo lain. Dalam hal ini, pihak KRJJ berhak membatalkan penyertaan pada bila-bila masa sekiranya terdapat unsur peniruan yang dikesan.

· Tiga logo terbaik akan dipilih untuk dicadangkan dalam mesyuarat agung persatuan. Logo yang mendapat undi popular dianggap sebagai pemenang. Pencipta logo yang menang akan diterima sebagai ahli KRJJ tanpa pembayaran yuran pendaftaran dan tahunan untuk tahun pertama. Keputusan panel adalah muktamad.

· Keputusan akan diumumkan pada: 20 Jun 2011

Wednesday, June 1, 2011

Roda Kehidupan dan Tayar Kereta

Setiap pagi, kita bangun seawal mungkin. Tunai tanggungjawab sebagai seorang hamba Allah dan ahli kepada keluarga. Bersiap untuk ke pejabat ataupun ke kuliah. Berkerja, belajar dan bersosial. Setelah itu pulang ke rumah, berehat untuk menemui keesokan harinya.

Lain orang, lain pula rutin hariannya. Setiap hari biasanya melalui aktiviti yang sama. Macam roda yang berpusing. Putarannya sama dan berulang-ulang. Itulah RODA KEHIDUPAN.

Pagi tadi, selama lebih kurang setengah jam memandu kereta untuk ke pejabat, saya berfikir...

Kehidupan kita macam tayar kereta. Hampir setiap hari berpusing dengan pusingan yang sama.

Namun sesekali ada juga terlanggar lubang, batu, tunggul atau melalui jalan tidak rata. Jalan pula tidak semestinya lurus. Ada selekoh tajam, simpang untuk berhenti dan bukit-bukau.

Lebih tidak diingini, apabila tayar pancit tercucuk benda tajam. Ataupun bunganya haus kerana sudah lama. Ia memaksa kita untuk menyelenggarakannya.

Adakah kita akan menyumpah seranah paku yang mencucuk tayar kereta? Ataupun menyalahkan lubang yang dilanggar? Ataupun tidak mahu memandu kerana jalan tidak elok dan lurus?

Apa pun keadaannya kita perlu hadapi juga. Tayar pancit perlu ditampal. Jalan berlubang perlu dielak. Kalau mahu perjalanan yang selesa, perlu ganti dengan tayar yang berkualiti dan lebih selamat.

Merungut sahaja memang tidak menyelesaikan apa-apa. Apatah lagi pergi menghabiskan masa mencari jenis paku yang membocorkan tayar atau menyiasat sebab musabab tayar itu haus. Sedangkan ketika itu keperluan menampal atau menggantikannya adalah lebih utama.

Hidup kita memang macam tayar kereta... agaknya laa...