Followers

Wednesday, August 31, 2011

Perayaan agama, bangsa dan negara

Pada 31 Ogos 2011 ini kita meraikan hari ulang tahun kemerdekaan yang ke-54 dan Aidilfitri hari kedua. Ia adalah hari yang sepatutnya mengingatkan kita tentang nilai memartabatkan agama, bangsa dan negara.

Dalam kemeriahan berhari raya, ulang tahun kemerdekaan jangan dilupa.

Kemerdekaan adalah suatu nikmat yang mesti disyukuri. Tiada gunanya menafikan mana-mana pihak dengan tujuan supaya mereka dianggap tidak berjasa dalam usaha mencapai kemerdekaan suatu masa dahulu. Setiap pihak ada peranannya. Segalanya adalah jalan cerita yang membawa kita ke sini.

Rasulullah SAW. pernah bersabda yang bermaksud, "Bercakap mengenai nikmat Allah bererti syukur dan sesiapa yang meninggalkannya bererti kufur. Sesiapa yang tidak bersyukur kepada yang sedikit nescaya tidak akan bersyukur kepada yang banyak. Dan sesiapa yang tidak bersyukur kepada manusia, nescaya dia tidak bersyukur kepada Allah."

Selamat Hari Raya Aidilfitri dan ulang tahun kemerdekaan yang ke-54. Mantapkan akidah kita, perkayakan diri dengan semangat patriotik dan nasionalisme.

Sunday, August 28, 2011

Kalau tak puasa, tak boleh raya!

Sambutan Hari Raya berbeza hampir di setiap negara Islam. Kebanyakan sambutan itu disulami dengan dominasi budaya.

Di Malaysia, mood raya digambarkan dengan pelbagai cara. Baju baru, ketupat, rendang, duit raya, ziarah-menziarahi, kuih raya dan lampu kelap-kelip memang sinonim dengan sambutannya. Pagi raya kita akan makan bersama-sama keluarga di rumah dan saling bermaaf-maafan. 'Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin' adalah ucapan lazim.

Di negara lain, mungkin tidak sama. Misalnya di Mesir, selepas solat sunat Aidilfitri, taman-taman bunga dan kawasan peranginan dibanjiri dengan perkelahan keluarga. Tak ada ketupat dan rendang tetapi mungkin ada makanan lain yang istimewa untuk hari itu. 'Kullu sanah wa antum thayyib (semoga kamu dalam keadaan baik sepanjang tahun)' pula adalah ucapan lazim. Tak tahu pula bagaimana sambutan di negara lain.

Bagaimanapun ada cara yang sama dalam menyambutnya melalui sambutan berdasarkan syariat, iaitu dengan membayar zakat Fitrah, melaungkan takbir dan solat sunat Aidilfitri. Semua umat Islam melakukan yang sama pada hari itu.

Apakah kita jelas tentang beza antara budaya dengan syariat berkaitan sambutan Hari Raya? Yang mana satukah lebih diutamakan? Budaya ataupun syariat? Kalau kita faham tujuan sebenarnya tentang wujudnya Hari Raya Aidilfitri, maka kita akan mengutamakan syariat terlebih dahulu. Selepas itu tiada salahnya mengikut budaya yang dibenarkan.

Hari Raya adalah perayaan umat Islam yang meraikan kesyukuran kerana kejayaannya melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan. Kita semua jelas tentang itu. Tapi ada kalanya terpesong juga. Eloklah kita ke pangkal tujuan.

Benar kata orang-orang tua, "Kalau tak puasa, tak boleh raya!"

Tetapi siapakah yang boleh menghalang kita daripada meraikan hari kegembiraan itu? Semua orang boleh meraikannya, cuma bezanya sama ada ia bermakna di sisi Tuhan ataupun syok sendiri sahaja.

Di kesempatan ini saya ucapkan salam Aidilfitri. Mohon maaf atas segala kesilapan, kesalahan dan kekasaran bahasa. Semoga bergembira dan diberkati dihari yang berbahagia.

Thursday, August 25, 2011

Do it with your heart and soul

Bila menulis, kita akan membacanya semula. Tapi kita sendiri pun tak boleh faham. Apatah lagi orang lain yang baca. Itu tandanya penulisan kita masih cincai. Kalau begitu, jangan harap orang lain kena faham apa yang kita sendiri tak boleh faham.

Begitu juga dengan kerja lain. Apabila kita menguruskan sesuatu, kadang-kadang berlaku kepincangan. Urusan itu boleh jadi lewat, tidak sempurna atau tak kesampaian langsung. Bila ditanya, kita sendiri tahu apa silapnya. Tapi kita buat juga.

Ketika lewat sampai ke suatu tempat atau tidak menepati janji, kita sedar di mana kesilapan atau kekurangannya. Tapi kita ulang lagi.

Begitulah yang terjadi dalam banyak keadaan melalui kehidupan kita. Kita tahu apa silapnya. Kita juga tahu apa kurangnya. Tapi kita buat juga.

Alasan biasa: Segala yang baik adalah daripada Allah dan buruk itu daripada diri kita sendiri... No one is perfect... Manusia tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan... dsb.

Tapi itu kes terlupa, tersilap dan pelbagai jenis 'ter' lagi yang bermaksud tidak sengaja. Manusia memang makhluk yang lemah berbanding Tuhan. Tapi itu bukan alasan untuk meneruskan sahaja kelemahan itu.

Rasulullah SAW. pernah bersabda yang bermaksud, "Seorang mukmin tidak akan jatuh dua kali dalam lubang yang sama."

Bangun dan jatuh itu perkara biasa untuk berjaya. Tapi jatuh dalam lubang yang sama memang tak boleh diterima. Begitu juga dengan kesilapan. Trial and error adalah salah satu kaedah untuk mencipta suatu kejayaan. Tetapi mengulangi error yang sama bukan caranya.

Jadi, apakah cara terbaik untuk elak daripada melakukan kesilapan sengaja yang dikatakan tidak sengaja itu?

Saya fikir, idea seorang sahabat saya tempoh hari memang boleh diterima, iaitu apabila melakukan sesuatu kerja, do it with your heart and soul.

Kalau tak ada hati dan roh di situ, maka akan cincailah hasilnya. Kita tak akan boleh menipu diri kita sendiri. Kebenaran itu berada di dalam.

Wednesday, August 10, 2011

Murtad: Mudah-mudahan kita tidak terus buta perut!

Bacalah dengan pandangan sebagai seorang Islam di Malaysia. Tolak ke tepi dahulu tentang ideologi politik. Baca dengan minda terbuka. Ambillah fakta yang baik untuk pengetahuan dan buang yang bias kepada pemikiran politik tertentu. Semoga artikel yang saya kongsikan ini memberi manfaat kepada anda semua.

Artikel ini disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 10 Ogos 2011 yang ditulis oleh Zaini Hassan melalui ruangan Cuit. Ikuti pandangannya.
NEGARA digemparkan lagi dengan usaha permurtadan. Terbaru ialah kontroversi melibatkan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan kerjasama pihak polis di sebuah gereja Methodist di Damansara Utama 3 Ogos lalu.

Minggu ini, saya menerima tulisan daripada seorang aktivis parti Pas, yang terlalu taksub kepada parti itu, tapi kini terpaksa menangis tersedu-sedu kerana kelakuan parti itu yang sudah tidak sedarkan diri, takbur dan menghalalkan cara, demi ketamakan kuasa politik mereka.

Ikuti tulisan Saudara ANUAR SAHUDIN, seorang yang mengaku sebagai peminat Cuit dan percaya kepada idealisme perpaduan Pas-UMNO. Tulisannya bertajuk: Toleransi dibalas tamparan.

SEBENARNYA isu ini bukan isu baru. Tahun 2008 Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria telah menggemparkan negara apabila mendedahkan laporan Persatuan Paderi Malaysia yang mengisytiharkan lebih 230,000 umat Islam memeluk Kristian.

Umat Islam harus disedarkan oleh isu ini. Ini adalah akibat percakaran politik yang berlaku antara sesama umat Islam di negara ini, dan kelalaian kita. Iaitu antara UMNO dan Pas.

Pas perlu menyedari akibat tolakan ke arah perdamaian yang dihulurkan UMNO mengakibatkan musuh-musuh Islam bertambah berani menuntut pelbagai tuntutan yang sebelum ini jarang kedengaran, terutama kemuncaknya dalam isu kalimah Allah.

Dalam isu kalimah Allah umpamanya, 70 NGO Islam menolak hasrat Katholik, yang menerimanya hanya Pas dan Pakatan Rakyat (PR) sahaja.

Sepatutnya dalam isu-isu melibatkan kepentingan umat Islam dan Islam kita bersatu. Tetapi sebaliknya, demi untuk meraih undi, kepentingan puak dan parti politik Pas sanggup merugikan kepentingan sendiri, bahkan menjual agama. Saya bersetuju dengan pandangan Dr. Riduan Tee Abdullah bahawa dalam isu kalimah Allah umpamanya kita telah kalah. Dr. Riduan Tee berkata, misalnya terbaru, pertubuhan Kristian terus mencabar Kementerian Dalam Negeri berkaitan isu-isu sensitif seperti alkitab dalam bahasa Melayu, kalimah Allah dan sebagainya. Mereka mahu mengimport dan menterjemahkan al-kitab Melayu sebanyak yang mungkin.

Kenapa perkara ini perlu diperbesarkan sedangkan populasi mereka hanya di sekitar di bawah 10 peratus? Jawapannya juga mudah, mereka ada agenda lain. Kita yang terlalu bersangka baik dan terlalu menjaga hati mereka untuk mendapatkan undi. Sedangkan belum tentu mereka mengundi kita. Tidak cukupkah lagi kebebasan beragama yang diamalkan di negara kita? Ujar Dr. Ridhuan.

Isu usaha pemurtadan bukan isu baru dan berlaku di negara ini sahaja, tapi berlaku juga di negara jiran iaitu di Indonesia.

Sebuah majalah yang memenangi johan sebagai majalah berita Islam Terbaik 2010, Sabili, edisi 6 Januari 2011, mendedahkan, mengutip daripada pendedahan majalah Time bahawa tingginya pertumbuhan Kristian di Indonesia.

Majalah ini juga mendedahkan bahawa jumlah gereja adalah melebihi jumlah masjid, berbanding populasi penduduk kedua-dua pihak penganut agama di negara tersebut.

Sabili edisi 7 April 2011 mendedahkan terdapat usaha oleh Gerakan Global Gereja menyasarkan Indonesia tahun 2020 bermajoriti pemeluk Kristian.

Majalah yang sama pula mendedahkan Anwar Ibrahim menerima penghargaan daripada sebuah agensi Yahudi bernama Rand Corporation, sebaris dengan tokoh Jaringan Islam Liberal Indonesia seperti Ulil Absar Abdalla dan Azyumardi Azra kerana jasa-jasanya dalam mendukung kebebasan bersuara (kebebasan yang terlajak. Indonesia menyebutnya kebablasan).

Kalau anda membaca majalah di atas anda akan selalu mendapati ada saja usaha pemurtadan berlaku setiap hari di sana. Antara cara yang mereka guna untuk memurtadkan umat Islam ialah dengan memujuk secara halus, iaitu dengan menghulurkan bantuan kewangan, makanan, atau keperluan harian. Malah usaha ini telah pun berlaku sejak zaman Almarhum Prof. Dr. Hamka lagi.

Jadi eloklah umat Islam di Malaysia mengambil iktibar dan peringatan apa yang ditulis oleh almarhum sekitar tahun 70-an dulu lagi. Memang pihak Kristian tidak pernah jera dan suka memprovokasi umat Islam. Tambahan pula apabila melihat kita terpecah-belah seperti saat ini.

Elok saya petik sebahagian tulisan Almarhum Prof. Dr. Hamka untuk renungan bersama:

‘‘Kita kaum muslimin sebagai golongan terbesar jumlahnya di negeri ini (Indonesia) telah menerima dengan puas dasar Pancasila. Sebab selalu dijelaskan, bahawa sumber dari sila yang empat ialah sila pertama; Ketuhanan Yang Maha Esa. Kita sudah merasa tenteram dengan akidah itu. Tetapi rupanya misi Kristian, dengan perbelanjaan berjuta dolar dari luar negeri datang ke mari membonceng Pancasila itu. Mereka terima Pancasila, tetapi bukan seperti yang kita fikirkan selama ini, bahawa Allah itu Esa adanya.

“Dengan membonceng Pancasila mereka menyebarkan ajaran pengganti ajaran Lailahaillallah itu, dengan mengeluarkan wang berjuta pound sterling dan dolar mereka hendak menukar Ketuhanan Yang Maha Esa itu dengan tafsiran menurut ajaran mereka, iaitu “Tidak ada Tuhan melainkan tiga, dan tiga itu ialah satu”. Allah Bapak ialah Yesus, dan Yesus itu ialah anak, dan anak itu ialah Bapak. Kumpulan ini minta dihormati. Mereka minta tanah, walaupun di tengah-tengah kampung orang Islam yang ber-Ketuhanan Yang Maha Esa sejati; demi Pancasila. Menurut keyakinan mereka, agama Islam ini belum sah. Kita masih kafir kalau kita belum mengakui bahawa Nabi Isa itu adalah Tuhan. Bahawa Nabi Isa itu adalah Allah sendiri yang menjelma menjadi manusia.”

Tulis Prof. Dr. Hamka lagi: Pada suatu malam seorang ulama besar di Jakarta bernama K.H.S.S. Djam‘an mengupas dan menafsirkan ayat al-Quran, surah al-Kahfi, ayat 4 dan 5; “Dan (Nabi itu) mengancam (masuk neraka) orang-orang yang berkata bahawa Allah mempunyai anak. Tidak ada pengetahuan mereka yang benar tentang itu, dan tidak pula nenek moyang mereka. Amat beratlah kata-kata yang keluar dari mulut mereka itu; tidak ada kata-kata mereka itu melainkan bohong semata-mata.”

Kiai Djam‘an yang telah seumur hidup menjadi guru Islam dan mubaligh, dengan sepenuh iman menerangkan pokok sendi kepercayaan Islam itu, kerana menafsirkan ayat itu telah mengalami satu hal yang selama hidupnya tidak disangka-sangka. Beberapa saat setelah habis beliau memberikan penerangan itu, rumah beliau dikepung oleh beberapa pemuda Kristian yang galak dan gagah berani. Beliau dituduh kerana membuka tafsir ayat itu, menuduhnya anti Pancasila.

Kiai Djam‘an dipanggil ke Balai Polis kerana ada laporan beliau anti Pancasila.

Tidaklah mustahil pada akal, dalam beberapa tahun lagi, kalau umat Islam masih lalai dalam mempertahankan pokok akidahnya, bahawa nasib kita di sini akan sama dengan dengan nasib umat Islam di Ethiopia.

Golongan minoriti suku Amhara, iaitu suku Kaisar Haile Selassi sendiri menindas umat Islam, dan menjalankan rencana mengkristiankan mereka dengan seluruh alat kekuasaan yang ada.

Apalagi kalau umat Islam di sini masih saja bercakar-cakaran kerana perebutan pengaruh sesamanya.

Kalau orang sudah berani mengepung tempat mengajar Kiai Besar ternama, mubaligh dan Guru Agama Islam yang telah berjuang sejak kecil untuk menegakkan tauhid dalam negeri ini, bagaimana dengan kita?

Sudah sampai begini sekarang, saudaraku kaum muslimin. Dan kita disuruh toleransi. Saya mengatakan Islam dalam bahaya. Dahulu bahaya komunis, sekarang bahaya gerakan Kristian yang menumpahkan dan menumpukan seluruh kekuatannya buat mengkristiankan umat Islam dalam negara kita.

Saya tidak membenci kawan sebangsa yang berlainan agama, tetapi saya menentang subversif kerohanian yang datang dari luar.

Prof. Dr. Hamka berkata lagi: ‘‘Sebagai putera Indonesia, saya setia dengan Pancasila, apa lagi dasar pertama ialah percaya kepada Tuhan Yang Maha Esa. Bukan saja saya, apalah ertinya saya! Tetapi seluruh umat Islam dan pemimpinnya yang belum dapat dibeli oleh pujukan duniawi, akan tetap menegakkan toleransi dalam negeri ini. Akan tetap berkasih sayang dengan pemeluk agama yang lain. Tetapi saya dan seluruh kaum muslimin akan menentang seluruh aksi dan seluruh kecurangan yang dilancarkan dengan nama agama.”

Gerakan untuk mengkristiankan Melayu Islam di negara ini merupakan perancangan antarabangsa dan ia telah lama dikesan. Contohnya pendedahan buku Rencana Pendirian Persemakmuran Kristian di Asia Tenggara - Surat Arroyo Kepada Bush, tulisan-tulisan Dr. Adian Husaini, Ketua Dewan Dakwah Islamiah Indonesia (DDII), dalam bukunya yang berjudul Membendung Arus Liberalisme di Indonesia, dan tulisan-tulisan Dr. Riduan Tee Abdullah.

Sebaliknya malang apabila Haji Hadi (Presiden Pas) terus mengambinghitamkan UMNO dengan menuduh bahawa isu ini hanya helah BN untuk menutup isu pilihan raya bersih.

Kenyataan Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Abdullah Md Zin patut disokong semua pihak. “Apa saja usaha atau tindakan menyebarkan agama lain kepada umat Islam di negara ini dianggap bertentangan Perlembagaan Persekutuan dan ia perkara serius dan perlu diambil tindakan tegas.”

Pas misalnya sering menuduh UMNO tidak Islamik, menolak Islam, dan itu dan ini.

Mereka membutakan mata atas pengiktirafan Syeikh Al-Azhar bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam terkehadapan, dan mengiktiraf peranannya di mata dunia.

Bukan itu saja, Dr. Adian Husaini, Ketua Dewan Dakwah Islamiah Indonesia (DDII), yang bukunya berjudul Wajah Peradaban Barat, turut memuji Malaysia, bahkan katanya pelaksanaan Islam di Malaysia jauh lebih baik berbanding Indonesia, padahal Indonesia hampir 90 peratus penduduknya beragama Islam, manakala Malaysia cuma kira-kira 55 peratus lebih sedikit, tapi Malaysia lebih komited dan lebih unggul dalam menjaga kesucian agamanya.

Perkim contohnya berjaya mengislamkan kira-kira tiga ribu orang bukan Islam setiap tahun, menjadikan Malaysia hari ini adalah sebuah Negara Islam yang paling berjaya dalam bidang dakwah. Contoh-contoh lain banyak, yang rasanya tidak perlu penulis mengulanginya lagi di sini.

Pemerintah Malaysia berjaya melaksanakan Islam dengan baik, dalam keadaan sebagaimana disebut di atas, walaupun kita belumlah berpuas hati sepenuhnya, padahal Prof. Dr. Hamka menulis dalam Tafsir Al-Azhar halaman 1752, terbitan Pustaka Nasional, cetakan pertama 1983, “Kerana kita pun tahu bahawasanya untuk mencapai suatu cita-cita yang sah dan luhur, wajib juga kita mempertimbangkan ruang dan waktu. Dan tidaklah kita diberi beban oleh Allah melebihi daripada tenaga dan kemampuan yang ada pada kita.

Sebab pekerjaan membentuk undang-undang dari sebuah negara yang telah didirikan dengan kesepakatan segala golongan itu, padahal negara itu dahulunya bekas jajahan, bukanlah semudah apa yang dikhayalkan oleh fikiran.”

Lalu kita balik bertanya kepada Pas, apakah tolakan mereka supaya berdamai dan bersatu oleh UMNO, padahal ini sangat diperintahkan oleh Islam, dalam masa yang sama lebih rela bersekongkol dengan pihak yang jelas-jelas ekstrem, iaitu DAP, yang mengatakan “kalau mahu dirikan negara Islam, langkah mayat saya dulu,” memaki hamun, dan seolah-olah apa yang kerajaan buat tidak ada satu pun yang baik, padahal mereka menikmati berbagai kemudahan dan rezeki di bawah pemerintahan yang mereka anggap jahat dan tidak Islamik.”

Apakah juga parti Keadilan pimpinan DSAI yang penuh kontroversi itu lebih Islamik dan tidak sekular? Dan mereka yang sanggup mengecam saudara sesama Islamnya sebagai syaitan. Beginilah bunyinya pantun seorang pentakfir Pas dari Rantau Panjang, Kelantan, sekitar tahun 1999:

Wa wa bule, wa bule teraju tigo
Undi parti Isle, mati seksok masuk surgo
Wa wa bule, wa bule teraju tigo
Undi parti sete, mati seksok masuk nerko
(Wau wau bulan, wau bulan teraju tiga
Undi parti Islam, mati nanti masuk syurga
Wau wau bulan, wau bulan teraju tiga
Undi parti syaitan, mati nanti masuk neraka)

Apakah ini lebih Islamik, dan layak keluar dari sebuah pertubuhan yang mendakwa sebagai sebuah gerakan Islam, yang membawa-bawa nama Rasulullah SAW? Renung-renungkanlah. Penulis bersetuju dengan pandangan Dr. Riduan Tee Abdullah, bahawa masa bermain-main sudah tamat. Sekarang adalah masa bekerja dan memikirkan masa depan umat Islam secara keseluruhan.

Ingatlah! Orang kafir sentiasa merancang untuk memusnahkan Islam. Tanpa putus asa, mereka sentiasa mengkaji setiap kelemahan umat Islam.

Strategi ini tidak pernah berhenti kerana ia adalah senjata yang paling berkesan. Menunggu masa sahaja untuk menggunakan senjata itu sepenuhnya. Hari ini senjata tersebut telah pun digunakan. Mungkin kita buat-buat tidak berapa perasan. Situasi yang dihadapi oleh umat Islam hari ini dimanipulasikan sepenuhnya. Ini bukan masa untuk saling menyalahkan antara satu sama lain, sebaliknya inilah masanya untuk insaf dan bersatu merapatkan saf.

Inilah masanya untuk mengikuti jejak Fatah dan Hamas yang berdamai, lalu kita pertahankan agama dan perkukuhkan kekuatan kita. Apabila kita bersatu dan teguh percayalah tidak akan ada mana-mana pihak berani bersikap kurang ajar, biadap dan mengambil kesempatan meraup keuntungan. Strategi mereka memang licik dan penyamaran mereka memang halus. Mudah-mudahan kita tidak terus buta!

Monday, August 8, 2011

Wajarkah terima bantuan gereja?

Baru-baru ini, negara kita digemparkan dengan berita tentang agensi agama Islam kerajaan negeri menyerbu sebuah gereja di Shah Alam. Agensi itu mendakwa terdapat aduan orang ramai bahawa terdapat aktiviti penyebaran agama kristian kepada umat Islam melalui pemberian wang dan penjagaan kebajikan kepada ibu-ibu tunggal yang memerlukan.

Dari insiden itu, timbul lagi pelbagai isu berkaitan politik, tanggungjawab badan-badan Islam, badan kebajikan, maruah agama Islam dan kebenaran dakwaan tersebut.

Walau berapa banyak pecahan dan perspektif yang timbul, saya tetap melihat dua perkara iaitu:

Pertama: Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan menyebutkan bahawa Undang-undang negeri dan mengenai wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam.

Kedua: Hadis Rasulullah SAW. yang bermaksud, “Hampir fakir itu akan membawa kepada kekufuran.”

Timbul persoalan dalam pemikiran saya…

Agensi agama Islam kerajaan negeri menjalankan tugasnya melalui penguatkuasaan undang-undang. Tetapi banyak pihak pula yang rasa kesal dan halang tugas itu. Bimbang ada pihak yang terguris. Mengapa ya?

Apakah pendirian si penerima bantuan daripada gereja itu? Adakah dia benar-benar fakir sehingga tidak mampu makan sama sekali? Apakah kita termasuk kategori miskin jika wang cukup belanja asas tetapi tak mampu untuk ber’shopping’? Betul ke, tak ada jalan lain lagi untuk meneruskan kehidupan, atau hanya melalui gereja satu-satunya jalan paling singkat serta mudah?

Ada pula pihak kata, terima wang dan duduk dalam majlis di gereja tidak bermaksud murtad. Mungkin benar, tetapi tindakan menerima dan menyertai itu bagi saya sangat mencurigakan. Kemungkinan untuk murtad atau didakwah supaya menyertai agama itu lebih tinggi.

Bagaimanapun, insiden ini memang memalukan kita sebagai umat Islam. Maka banyaklah pihak mengaku boleh beri sumbangan kepada ibu tunggal, sedangkan si ibu-ibu tunggal mendakwa pengurus bantuan itu semuanya ‘banyak songel’. Sementara itu pihak gereja menawarkan dan memberi tanpa permohonan daripada si pemohon. Habislah!