Followers

Monday, December 19, 2011

Ereksi lebih lama

"Sembilan dari 10 lelaki di Malaysia akui kebolehan kekal ereksi amat kritikal dalam hubungan kelamin, peka kehendak pasangan."
Artikel ini saya perolehi daripada akhbar Berita Harian, Ahad, 18 Disember 2011, di tulis oleh Suzan Ahmad. Bagi saya, pengetahuan ini agak penting untuk diketahui oleh golongan lelaki terutamanya para suami. Semoga ianya bermanfaat secara positif.
TAHUKAH anda mengikut kajian, lelaki Malaysia mengakui mereka cukup mementingkan kepuasan seksual pasangan. Ini kerana mereka berpendapat, wanita lebih merasa disayangi dan dihargai apabila mencapai kepuasan dalam hubungan seks.

Kaji selidik itu juga merumuskan, lelaki Malaysia yang meletakkan diri mereka pada skala tertinggi, tiga kali ganda lebih yakin dan puas dengan diri mereka sebagai pasangan seks, berbanding golongan lain yang kurang berkemampuan dalam aspek itu.

Kebanyakan lelaki tidak tahu ialah kegagalan fungsi ereksi adalah salah satu tanda awal bagi penyakit kardiovaskular. Lazimnya, ia berlaku seiring dengan diabetes, hipertensi, kolesterol tinggi dan penyakit jantung. - Dr George Lee, Panel pengkaji ISS Maklumat ini adalah antara penemuan kaji selidik Ideal Sex Survey (ISS) yang dikendalikan syarikat farmaseutikal terkemuka, Pfizer. Kaji selidik ISS bermula Disember lalu dengan kelompok 3,282 lelaki dan wanita sebagai responden di 10 negara di rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia.

Kaji selidik ini adalah sebahagian dari usaha berterusan Pfizer untuk memahami pemikiran lelaki dan wanita dalam menentukan konstitusi seks yang ideal. Kajian itu juga merumuskan pandangan lelaki mengenai kesihatan, bentuk badan, personaliti, gaya hidup idaman, keutamaan dalam kehidupan, hubungan seksual, kemampuan seksual dan sikap terhadap seks mengikut Skor Ketegangan Ereksi (EHS).

Apa yang penting, keputusan kaji selidik di Malaysia hampir sama dengan analisis yang diperoleh bagi negara di rantau Asia yang lain. Bagi responden Malaysia, sembilan daripada 10 lelaki dengan tiga daripada empat wanita, meletakkan ketegangan ereksi dan keupayaan untuk mengekalkan ereksi sebagai satu aspek kritikal untuk mencapai pengalaman seksual yang ideal. Rumusan bagi Asia pula menunjukkan lapan daripada 10 lelaki dan wanita memberi perakuan sama berhubung isu sama.

Lelaki dengan kadar ereksi optimum rata-rata lebih puas dengan tahap keinginan seksual mereka termasuk dari aspek keseluruhan kehidupan seksual serta kemampuan seksual berbanding lelaki yang mencapai ketegangan ereksi sub-optimum.
Kajian itu juga menunjukkan lelaki dan wanita bersetuju bahawa ketegangan ereksi Gred Empat dan keupayaan untuk mengekalkannya, memberikan kedua-dua pasangan kualiti orgasma yang lebih baik ketika hubungan seks berbanding ereksi Gred Tiga. Ini bermakna, kedua-dua gender bersetuju bahawa lazimnya kualiti pengalaman seksual lebih penting dari kuantiti.

Salah seorang panel pengkaji ISS, Profesor Madya Dr George Lee dari Universiti Monash berkata, apa yang pasti melalui hasil kaji selidik itu, kualiti ereksi bukan saja memberi kepuasan kepada kaum lelaki secara fizikal, psikologi dan emosi, malah sama penting bagi pasangan. Sekiranya seseorang lelaki mendapat ereksi optimum, dia mencapai kemampuan seksual yang lebih baik dan boleh memuaskan pasangannya.

“Dengan kehidupan seksual yang membahagiakan, lelaki dengan EHS Gred Empat mempunyai imej diri dan keyakinan yang lebih baik dan individu terbabit merasa lebih berjaya dari orang lain,” kata Dr George kepada Sihat.

Selain pengalaman seks yang ideal, kaji selidik ISS juga merujuk kaitan antara kualiti ereksi lelaki dan status kesihatan mereka. Kajian menunjukkan, 25 peratus lelaki Malaysia yang menilaikan tahap ereksi mereka pada Gred Tiga mengaku mempunyai tahap kesihatan lemah atau sederhana, berbanding 17 peratus lelaki dengan EHS Gred Empat yang mengaku mempunyai tahap kesihatan rendah.

Corak sama dilihat di rantau Asia, di mana 38 peratus lelaki dengan EHS Gred Tiga mengaku memiliki tahap kesihatan lemah atau sederhana. Manakala 24 peratus lelaki dengan EHS Gred Empat mendapati tahap kesihatan mereka rendah. Ini adalah satu penemuan penting kerana ereksi sub-optimum sering dikaitkan dengan penyakit jantung iskemik.

“Kebanyakan lelaki tidak tahu ialah kegagalan fungsi ereksi adalah salah satu tanda awal bagi penyakit kardiovaskular. Lazimnya, ia berlaku seiring dengan diabetes, hipertensi, kolesterol tinggi dan penyakit jantung. Akibat kadar kolesterol dan diabetes yang tinggi, salur darah akan dihalang oleh pengumpulan lemak di sepanjang dinding arteri.

“Lama-kelamaan, salur darah ini akan mengeras dan menjadi sempit, mengakibatkan pengaliran darah yang tidak mencukupi kepada organ. Salur darah di bahagian alat kelamin lelaki lebih kecil berbanding di bahagian lain tubuh. Sehubungan itu, apabila salur darah ini bermasalah, bahagian tubuh lain turut terbabit terutama jantung,” katanya lagi.

Jelas Dr George lagi, ereksi sub-optimum boleh menyebabkan banyak hati yang terluka – kepuasan seksual bagi lelaki dengan EHS Gred Tiga dan pasangan mereka adalah lebih rendah, berbanding mereka yang mencapai ereksi Gred 4. Selain itu, risiko untuk mendapat penyakit jantung iskemik adalah lebih tinggi bagi lelaki dengan ereksi Gred Tiga berbanding Gred 4.

Mengambil berat soal kualiti ereksi dan mendapat rawatan intervensi awal melalui khidmat nasihat profesional bukan saja boleh meningkatkan pengalaman seksual anda dan imej diri, malah boleh meningkatkan tahap kesihatan secara keseluruhan.

Prof Lee berkata, kajian ISS oleh Pfizer menunjukkan kedua-dua lelaki dan wanita Malaysia meletakkan harapan tinggi dalam mencapai hubungan seks yang baik dan tidak lagi menganggap seks hanya untuk menambah zuriat.

“Berbeza dengan kepercayaan popular, rakyat Malaysia mempunyai harapan yang tinggi dan keinginan untuk mencapai pengalaman seks yang sempurna dan memuaskan dengan pasangan biarpun tidak diperkatakan secara terbuka.

“Kita berharap kaji selidik ini dapat memberi jawapan kepada masalah kegagalan fungsi ereksi, bukan saja di kalangan pesakit dan pasangan mereka, malah pihak yang memberi rawatan dan khidmat nasihat kepada pesakit.

Friday, December 9, 2011

Penjelasan mengenai peristiwa sihir

Artikel ini adalah ulasan oleh Muhammad Isa Dawud, penulis buku Dajjal akan muncul dari kerajaan jin di Segitiga Bermuda melalui bukunya bertajuk Bencana Sihir Penghalang Perkahwinan.

Beliau mengulas tentang pengalaman sihir yang diceritakan oleh seorang pembaca bukunya melalui surat. Ulasan itu menjawab surat tersebut melalui beberapa pandangan serta hujah yang berguna. Kisah yang terkandung dalam surat itu pernah saya kongsikan di blog ini pada posting bertajuk, "Disihir oleh ibu saudara sendiri..."

Ikuti penjelasan beliau. Semoga kita mengambil iktibar daripadanya.

Memang benar sihir itu adalah helah jahat seorang wanita yang hampir membunuh. Inilah yang selalu saya sebutkan bahawa helah jahat manusia itu adalah lebih jahat daripada helah para Iblis.

Manusialah yang meminta bantuan daripada Iblis dan merancang bagi mereka melaksanakannya. Walaupun yang melaksanakan sihir itu adalah para Iblis, namun sebenarnya manusia yang menjadi guru kepada mereka. Sebenarnya dalam hal ini manusia adalah lebih jahat.

Ketahuilah bahawa ada di kalangan jin yang melaksanakan sihir itu diletakkan dalam keadaan terpaksa atau terdesak melalui nama-nama ataupun azimat tertentu. Sehinggakan jika sihir itu tidak dilaksanakan, maka jin yang didesak itu boleh binasa.

Ada syair Arab menyebutkan tentang hal itu yang bermaksud, "Jin itu datang kepada mangsa sihir dengan azimat serta tangkal lalu mereka tuangkan ke atasnya dengan kesakitan. Orang akan katakan bahawa mangsa sihir itu terkena pandangan mata jin yang jahat. Sebenarnya jika mereka mengetahui, maka mereka akan katakan bahawa mangsa itu terkena pandangan mata manusia yang jahat."

Bagaimanapun, sesiapa yang bertawakal kepada Allah, maka demikian adalah lebih memadai baginya.

Diriwayatkan daripada Akramah, daripada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah saw bersabda: “Barang siapa yang banyak mengalami kedukaan dan kepiluan maka hendaklah memperbanyakkan bacaan: Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan Allah swt (keizinan dan kehendak Allah swt). Demi (tuhan) yang diri Muhammad di tanganNya bahawa (ucapan) Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan Allah swt, merupakan penawar kepada tujuh puluh jenis penyakit. Yang paling rendahnya adalah kedukaan, kepiluan, serta kesedihan.”

Oleh kerana sihir itu merupakan suatu penyakit yang tidak kelihatan serta menyebabkan kemurungan melalui bencana yang telah menimpa atau dengan terlepasnya sesuatu peluang yang baik, maka sesungguhnya ucapan:

“Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan kehendak Allah yang maha tinggi dan agung” (La haula wa la quwwata illa billahil-'aliyyil-'adzim)

Ia adalah salah satu penawar paling berkesan untuk membatalkan atau menghapuskan sihir serta menghilangkan kemurungan yang berpunca daripadanya. Atau apa sahaja yang berpunca daripada sebab-sebab lain.

Perkara ini tidak memerlukan firasat atau pencarian bukti kerana ugutan telah dilakukan secara jelas dan tujuannya juga telah ditentukan. Maka itulah juga yang akan dilakukan. Secara logiknya tidak mungkin apa yang telah berlaku ke atas kamu merupakan suatu kebetulan.

Maka hampir seluruh urusan kamu mengikuti arah yang dikehendaki oleh wanita tersebut (isteri bapa saudara kamu) dan itulah apa yang telah dijelaskan kepada kamu oleh Tuan Sheikh tadi yang membukakan rahsia dengan mengatakan bahawa ianya merupakan sebuah perbuatan sihir jahat yang bertujuan untuk menyiksa kamu habis-habisan.

Apa yang harus kamu bersyukur kepada Allah swt mengenainya adalah keadaan diri kamu yang masih hidup dan kamu masih lagi diliputi dengan rahmat Allah swt yang telah membukakan rahsia mengenai apa yang telah menimpa kamu. Seterusnya kamu harus berusaha untuk menghapuskannya iaitu dengan rawatan melalui seorang yang alim dan pakar di dalam bidang ini.

Hindarkanlah diri kamu daripada mereka yang mengaku dirinya berilmu sedangkan ilmu mereka sebenarnya cetek dan mereka ini merupakan golongan anak-anak Adam yang menghafal sebuah hadis atau sepotong ayat lalu merasakan diri mereka alim dan terus terjun ke dalam perkara-perkara yang tidak mereka mampu untuk melakukannya. Lalu akhirnya membawa kepada bencana yang lebih buruk.

Pada pendapat saya, kesan kejayaan rawatan kamu dengan kadar 15% merupakan suatu kemajuan yang bagus. Tetapi kamu harus meneruskannya kerana jin yang ditugaskan untuk melakukan sihir itu bergantung pada kegoncangan keyakinan anak-anak Adam terhadap Allah swt dengan serangan berpanjangan dan berterusan.

Atau juga dengan meminta bantuan daripada golongan jin yang lain. Lantas ianya mengakibatkan orang yang diuji itu merasa bosan dan ragu-ragu di dalam hatinya lalu dia (orang yang diuji itu) menyangkakan bahawa tiada gunanya untuk terus berusaha sedangkan golongan jin itu berterusan berada di dalam kerugian anggota mereka.

Sebenarnya jika orang yang diuji itu meneruskan rawatan, zikir-zikir harian, serta pembentengan diri, nescaya ianya akan dapat melenyapkan seluruh golongannya (Jin). Selagi mereka berkeras dan berterusan menyerang. Ini merupakan suatu permainan di mana golongan jin ini sangat mahir dengannya dan ianya banyak bergantung pada kejahilan anak-anak Adam terhadap apa yang sedang menimpanya.

Sebagaimana orang yang melakukan sihir juga akan terus berkeras kerana dia belum dapat melihat hasil yang diharap-harapkannya dengan jelas. Allah swt mengelirukan orang yang melakukan sihir jahat lantas dia akan merasa kejayaan hanyalah sebahagian daripada apa yang dikehendakinya dan dia akan terus mengharapkan lebih daripada itu.

Pembaharuan sihir merupakan sebab pada penderitaan berpanjangan terhadap orang yang diuji. Demikian adalah kerana Allah swt sentiasa menginginkan sesuatu yang terbaik untuk dirinya. Iaitu sama ada penderitaan berpanjangan itu menjadi penghapus bagi dosa-dosanya ataupun menggantikannya dengan keuntungan yang berpanjangan hasil daripada ketabahannya serta penyerahan dirinya kepapa Allah swt.

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri dan Abu Hurairah ra bahawa mereka berdua telah mendengar Rasulullah saw bersabda: “ Seseorang mukmin tidak ditimpa dengan kepedihan yang berlarutan, keletihan, kesakitan, atau juga dengan kesedihan, walaupun dengan dukacita yang ditimpakan ke atasnya, kecuali dosa kejahatannya dihapuskan dengannya (dugaan yang menimpanya).” (HR Bukhari dan Muslim).

Disebutkan melalui riwayat lain: “…Walaupun dengan duri yang mencucuknya..”

Ahli bahasa mengatakan bahawa الوصب bermaksud kepedihan yang berpanjangan atau berterusan. Manakala النصب pula adalah keletihan dan kepenatan yang teramat.

Kemudian mengenai perkataan الوصب Allah swt berfirman:

“…dan untuk mereka siksaan yang kekal.” (37:9). Iaitu berterusan, tetap, kekal, atau berturut-turut, dan sebagainya.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra bahawa Nabi Muhammad saw telah bersabda: “Sesiapa yang mati dalam keadaan sakit maka matinya adalah syahid, dan dia akan dilindungi daripada fitnah kubur (siksaan), kemudian akan diberi makan dan diberi keselesaan kepadanya dengan memasuki syurga.” (HR Ibnu Majah).

Di dalam Musnad Abu Daud, ‘Aamir bin Ar-Raam telah meriwayatkan daripada Nabi Muhammad saw bahawa baginda bersabda: “Sesungguhnya seorang mukmin itu apabila ditimpakan dengan kesakitan, kemudian disembuhkan dari oleh Allah, maka ianya merupakan penghapus bagi segala apa yang telah lalu daripada dosa-dosanya, juga merupakan pengajaran baginya dalam menghadapi masa yang akan datang. Dan sesungguhnya seorang munafik itu apabila dia sakit kemudian dia sembuh adalah seperti seekor unta yang diikat kakinya oleh tuannya kemudian dibebaskan. Dia tidak mengerti mengapa dia diikat dan tidak mengerti mengapa dia dibebaskan.” Lalu seorang lelaki yang sedang berada di sekeliling beliau berkata: “Wahai Rasulullah, Apa itu penyakit? Demi Allah saya tidak pernah sakit.” Lalu Rasulullah saw bersabda: “Bangun dari sisi kami. Kamu bukanlah daripada golongan kami.”

Jangan kita salah di dalam memahami pemahaman hadis tersebut bahawa apa yang dimaksudkan adalah kita hendaklah ditimpa kemalangan atau kesakitan. Sesungguhnya kesihatan itu adalah umpama modal bagi seorang yang beriman serta kekuatan di dalam ibadahnya. Di antara doa Rasulullah saw pada malam ‘Lailatul Qadar’:

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon keampunan dan kesihatan di dunia dan akhirat.”

Kemudian baginda juga bersabda: “Sesiapa yang bangun pagi dalam keadaan tubuh badannya yang sihat dan ketenangan pada hatinya, maka seolah-olah dia memiliki dunia dan segala isi-isinya.”

Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim ada meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: “Jangan sekali-kali mendatangkan orang yang sakit kepada orang yang sihat.”

Sesungguhnya apa yang berlaku pada orang ini (lelaki yang mengatakan kepada Rasulullah bahawa dia tidak pernah sakit) (Wallahu A’alam) adalah salah satu daripada dua kemungkinan berikut:

Yang pertama:

Rasulullah saw melihat bahawa lelaki tersebut adalah seorang munafik atau seorang yang telah terkeluar daripada rahmat Allah swt. Dia merupakan dari golongan mereka yang Allah swt tidak suka mendengar rintihannya dengan berkata: “Ya tuhan ku”. Oleh itu Allah swt tidak menjadikan sebarang kebaikan baginya di sebalik sesuatu bencana dan juga tidak menjadikan baginya sebarang penghapusan dosa di sebalik penyakit.

Yang kedua:

Kemungkinan dia menyembunyikan suatu sindiran terhadap apa yang Rasulullah katakan di dalam hatinya. Maka dia adalah seorang yang tidak beriman . Rasulullah saw memulakan ucapannya dan ditujukan kepada orang-orang yang beriman. Apabila beliau mendapati bahawa lelaki tersebut tidak layak untuk menghadiri majlis orang-orang yang beriman ini, lalu baginda berkata kepadanya: “Kau bukanlah daripada golongan kami…” Sesungguhnya Allah swt itu lebih mengerti.

Diriwayatkan oleh Al-Bazzar daripada Rasulullah saw bahawa baginda bersabda: “Saya merasa hairan dan pelik terhadap orang-orang yang beriman dan kegelisahannya kerana penyakit. Sekiranya mereka mengetahui apakah sebenarnya yang telah ditetapkan baginya di sebalik penyakit, nescaya dia akan lebih suka untuk terus sakit sehinggalah dia menemui Allah swt (mati).”

Kemudian Rasulullah saw juga pernah bersabda: “Tiada seseorang lelaki yang beriman mahupun perempuan beriman yang sakit, kecuali Allah swt menjadikannya (penyakit) sebagai penghapus bagi segala dosa-dosanya yang lalu.”

Rasulullah saw bersabda: “Penyakit-penyakit itu adalah penghapus bagi segala apa yang telah lalu (daripada dosa) dan merupakan pengajaran bagi apa akan datang.” (HR Abu Na’im di dalam Thib An-Nabawi).

Disebutkan oleh Imam Malik di dalam kitab Al-Muwatha, daripada ‘Atha bin Yasar bahawa Rasulullah saw telah bersabda: “Apabila seorang hamba itu sakit maka Allah swt mengutuskan kepadanya dua malaikat. Dia (Allah) berkata kepada mereka: Perhatikan apa yang dia katakan kepada para pelawatnya. Sesungguhnya apabila dia didatangi oleh para pelawat, dia bersyukur kepada Allah serta memuji-mujiNya. Maka (Dua malaikat tadi) akan menyampaikannya kepada Allah swt dan Dialah yang maha mengetahui. Dia (Allah) berkata: Hamba Ku adalah berhak terhadap Ku. Sekiranya aku mencabut nyawanya maka Aku berhak untuk memasukkannya ke dalam syurga. Sekiranya Aku menyembuhkannya maka aku gantikan daripada dagingnya dengan daging yang lebih baik serta darah yang lebih baik daripada darahnya, kemudian Aku hapuskan dosa-dosa kejahatannya.”

Sebagaimana juga yang telah disebutkan oleh Imam Malik di dalam Al-Muwatha, daripada Yahya bin Sa’id bahawa ada seorang lelaki yang meninggal dunia pada zaman Rasulullah saw. Maka berkatalah salah seorang lelaki: “Beruntunglah dia meninggal dunia dan tidak ditimpa dengan penyakit.” Lalu Rasulullah saw bersabda: “Apa yang kau katakan itu? Bagaimana kamu tahu? Mungkin Allah swt mengujinya dengan suatu penyakit. Nescaya dia akan menghapuskan dosa kejahatannya.”

Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim di dalam Sahih mereka. Daripada ‘Urwah bahawa Aishah ra berkata: Rasulullah saw bersabda: “Tiada penyakit atau kepedihan yang menimpa seseorang mukmin kecuali ianya menjadi penghapus bagi dosa-dosanya. Walaupun duri yang mencucuknya atau kecelakaan yang menimpanya.”