Followers

Monday, January 2, 2012

Idea Tidak Rasional (Siri pertama)

Perasaan kita selalu terganggu kerana perkara-perkara yang disifatkan sebagai MESTI dibuat atau MESTI berlaku dalam hidup kita. Menurut Albert Ellis, teori Terapi Rasional Emotif (REBT) simpulkan bahawa ada 3 KEMESTIAN UTAMA (The three majors musts) pembentuk idea yang selalu beri tekanan pada kita, iaitu:
1) Saya MESTI jadi yang terbaik, kalau tidak, bermakna saya tak bagus.
2) Orang lain MESTI buat benda yang betul kepada saya, kalau tidak, bermakna dia teruk dan perlu dihukum.
3) Hidup MESTIlah mudah. Bebas daripada rasa tak selesa dan cabaran.

Pembentuk idea itu dianggap tidak rasional. Bagaimanapun beliau ada senaraikan 12 Idea Tidak Rasional yang boleh kita hindarkan. Semoga ia bermanfaat dan diterjemahkan dengan perspektif yang tidak sempit. Idea tak rasional itu ialah:

Idea tidak rasional pertama: Idea bahawa adalah satu keperluan dahsyat untuk diri kita disayangi atau diterima oleh setiap orang lain yang penting dalam hidup.
  • Adalah mustahil untuk disukai atau dicintai oleh semua orang. Tidak kira berapa popular pun kita, pasti sentiasa ada orang yang tidak menyukai.
  • Setiap orang mempunyai cita rasa berbeza. Oleh itu, tidak kira apa yang kita buat, sesetengah orang akan mengagumi anda manakala sesetengah orang tidak.
  • Terlalu banyak beri perhatian tentang penerimaan orang lain terhadap kita menunjukkan kita kurang beri perhatian dan menerima orang lain. Tak patut!
  • Tak salah berusaha untuk jadi popular. Tapi jangan terlalu memaksa diri dan menjadikan ia suatu kemestian.
  • Adalah lebih baik untuk kita berusaha menerima diri tanpa syarat, iaitu menerima diri sendiri tanpa sentiasa mengira apa yang orang lain fikir tentang kita.
  • Tidak disukai ramai memang suatu keadaan yang tidak menyenangkan. Tapi ia bukanlah hal yang paling teruk sampai boleh membawa maut.

Idea tidak rasional kedua: Idea bahawa kita mestilah jadi sangat berwibawa, perfect dan berjaya dalam semua hal, barulah dianggap berbaloi. Selain itu, tidak.
  • Mana ada orang boleh handal dalam semua perkara. Setiap orang ada bidang kepakaran tersendiri.
  • Bagus juga kalau kita berusaha untuk berjaya, tapi memaksa diri supaya berjaya dalam semua hal itu selalu memberi tekanan yang tiada keperluannya.
  • Kita perlu bersaing untuk berjaya. Tapi akibat terlalu sibuk mengukur kebolehan orang lain membuatkan kita lupa tentang kebolehan diri sendiri. Bukannya kita boleh kawal kebolehan orang pun!
  • Kalau kita terlalu sibuk untuk berjaya sangat, kita akan kehilangan ruang masa untuk melakukan hal-hal yang kita suka. Padahal hal itu sebenarnya boleh membuatkan kita berjaya.
  • Jika kita takut gagal, maka kita akan takut mencuba. Hidup akan jadi bosan kerana kita hanya buat perkara yang kita rasa boleh berjaya sedangkan ada banyak lagi peluang untuk tambah pengalaman baru.
  • Kita sepatutnya tumpukan perhatian dengan bidang dan apa yang kita sedang buat. Jangan sibuk nak buat semua perkara yang orang lain buat.
  • Kegagalan dan kesilapan itu sebahagian daripada lumrah pembelajaran dalam hidup. Gagal atau silap tak perlu dijadikan tekanan yang kononnya macam miserable sangat!

Idea tidak rasional ketiga: Idea bahawa orang-orang yang buruk, jahat atau keji mesti dipersalahkan dan dihukum dengan teruk akibat perbuatan jahat mereka.
  • Manusia tidak sempurna dan tidak mempunyai kawalan mutlak terhadap semua tindakan mereka. Dalam realiti, kita semua melakukan kesilapan dari semasa ke semasa kerana sebab tidak tahu, tidak mampu, ataupun terganggu.
  • Menyalahkan dan menghukum seseorang kerana kesilapan tidak semestinya boleh menjadikan dia lebih baik. Mesti ada sebab kenapa dia buat silap.
  • Semua orang melakukan banyak perkara setiap hati. Setiap orang ada melakukan perkara yang baik dan juga buruk. Oleh itu jangan mudah label orang ‘teruk’ hanya kerana satu tindakan buruk sahaja.
  • Menyalahkan dan menghukum orang kerana silap tidak semestinya akan menghalang mereka mengulanginya lagi. Silap haribulan, mereka akan bertindak lebih buruk dan membalas dendam.
  • Terlalu menyalahkan diri sendiri selalu membuatkan kita jadi takut dan tertekan. Terlalu menyalahkan orang lain pula selalu membuatkan mereka jadi marah dan menyampah.
  • Melakukan kesilapan bukan semestinya menjadikan diri kita teruk sangat. Sepatutnya kita nilai secara positif supaya memperbetulkannya.

Idea tidak rasional keempat: Idea bahawa sangat menyiksakan dan malang jika sesuatu perkara tidak terjadi mengikut kehendak kita.
  • Semakin kita terganggu dengan kehendak yang rigid, maka semakin kurang berkesan usaha kita untuk mengubah perkara yang tidak disukai. Perasaan kita lebih terganggu.
  • Kita tak sepatutnya marah dengan sesuatu yang sudah berlaku. Kalau nak melayan perasaan pun, cukuplah sekadar berasa kecewa untuk sementara.
  • Apabila perkara tidak diingini berlaku sedangkan kita tak mampu mengubahnya, maka bolehlah kita sarankan pada diri bahawa, “Saya harap ianya berbeza dan bukan pengakhir kehidupan.” Seterusnya cuba untuk belajar, menerima sebagai cabaran, dan melihat bagaimana kita boleh memanfaatkan keadaan itu dalam hidup. Kalau tak boleh juga, sila abaikan dan buat perkara lain yang lebih menyenangkan.

Idea tidak rasional kelima: Idea bahawa rasa tidak puas hati disebabkan faktor luaran dan kita tiada upaya untuk mengawal gangguan dari luar itu.
  • Orang lain tidak boleh mengancam kita kecuali dengan pukulan, rompakan atau sebagainya yang bersifat gangguan secara fizikal. Kalau ada pun, ancaman itu jarang berlaku. Jika kita diberi tekanan atau diganggu secara mental, sepatutnya ia tidak memberi kesan pun melainkan kita sendiri yang percaya bahawa ianya menyakitkan.
  • Kebanyakan orang percaya bahawa perasaan tidak dapat dikawal. Sebenarnya kawalan itu tidak mustahil.
Bersambung dalam siri kedua...

No comments: