Followers

Monday, September 17, 2012

Derma RM1

Tabung derma masjid dihulur daripada satu jemaah kepada jemaah lain yang sedang duduk mengikuti majlis zikir. Tak ramai yang mengisinya. Mungkin tak bawa dompet ketika ke masjid kerana fikir tiada apa yang nak dibeli. Termasuk saya, tak bawa wang ke masjid.

Tabung derma tiba ke tangan seorang budak berusia lebih kurang tujuh tahun. Saya yang berada di sebelahnya hanya memerhati.

Budak itu menyeluk poket seluarnya. Sekeping wang RM1 dikeluarkan dari poket dan dimasukkan ke dalam tabung.

Saya tersenyum. Malu rasanya tengok budak sekolah rendah itu pun boleh bersedia bawa wang untuk menderma. Baiknya, anak siapalah itu.

Sedekah tak mengira usia. Jumlahnya pun tak jadi isu. Yang penting ikhlas. Sesungguhnya yang membezakan antara kita adalah sifat takwa masing-masing.

Allah SWT. berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat ke-265 yang bermaksud, "Dan perumpamaan orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan untuk keteguhan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disirami hujan lebat, maka kebun itu membuahkan hasil dua kali ganda. Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka memadailah hujan gerimis. Dan Allah maha melihat apa yang kamu lakukan."




No comments: