Followers

Tuesday, January 31, 2012

Mengenali Wali Songo

ADA sembilan ulama yang sangat berjasa dalam penyebaran Islam di Jawa. Mereka dikenal sebagai Wali Songo (Sembilan Wali/Wali Sembilan). Wali Songo mengembangkan agama Islam dari abad ke-14 hingga abad ke-16, menjelang dan setelah runtuhnya kerajaan Majapahit.

Dalam Babad Tanah Jawi dikatakan semasa berdakwah, para wali itu dianggap sebagai ketua kumpulan pendakwah untuk menyebarkan Islam di daerah tertentu. Selain dikenal sebagai ulama, mereka juga berpengaruh besar dalam hal ehwal pemerintahan.

Oleh sebab itu mereka digelar Sunan (susuhan atau junjungan) iaitu gelaran yang biasa digunakan untuk raja di Jawa. Bukti kebesaran Wali Songo dapat dilihat daripada peninggalan mereka.

Wali Songo menyampaikan dakwah Islam melalui cerita wayang atau kesenian lain sehingga penduduk setempat berasa akrab dan tidak asing dengan ajaran baru yang disampaikan.

Pendekatan budaya

Ketika menyebarkan Islam, Wali Songo menggunakan pelbagai bentuk kesenian tradisional masyarakat setempat dengan menyisipkan nilai Islam dalam kesenian tersebut.

Usaha itu membuahkan hasil, bukan sahaja mengembangkan agama Islam tetapi juga memperkayakan budaya Jawa.

Masyarakat Jawa sangat menggemari kesenian tradisional mereka seperti wayang kulit. Oleh sebab itu, Wali Songo menggunakan kesenian tersebut sebagai saluran dakwah.

Babad Tanah Jawi

Buku ini memuatkan cerita tentang kebudayaan Jawa yang merupakan campuran antara sejarah, mitos dan kepercayaan. Di dalamnya terdapat kisah Wali Songo.

Dalam babad itu diceritakan bahawa sekumpulan Wali seperti Sunan Ampel, Sunan Giri, Sunan Bonang, Sunan Kalijaga, Sunan Gunung Jati dan Sunan Kudus sering mengadakan pertemuan di Demak.

Juga dijelaskan peranan masing-masing dalam menyebarkan agama Islam di Jawa. Mereka berdakwah di daerah yang penduduknya belum memeluk Islam.

Raden Fatah

Dalam menyebarkan Islam, Wali Songo tidak hanya akrab dengan masyarakat umum tetapi juga dengan pemerintah. Sultan Ampel memainkan peranan semasa merancang kerajaan Islam pertama di Jawa, iaitu kesultanan Demak.

Para wali melantik Raden Fatah (putera Kertabumi Brawijaya ke-5, raja terakhir Majapahit sebagai sultan pertama Kesultanan Demak). Raden Fatah mendapat pendidikan Islam daripada Sunan Bonang. Sementara dalam menjalankan pemerintahannya, Raden Fatah meminta nasihat Sunan Kalijaga.

Di Daerah Cirebon, Sunan Gunung Jati sangat berjasa dalam mendirikan Kesultanan Cirebon dan Kesultanan Banten. Masjid Demak, masjid tertua di Jawa, dibina oleh Wali Songo dan Raden Fatah, pemerintah Kesultanan Demak pada masa itu.

Jawa

Wali Songo juga memainkan peranan utama untuk menyebarkan Islam di Jawa, terutama di sepanjang pesisir utara Jawa. Mulai dari Gersik di Jawa Timur hingga Cirebon dan Banten di Jawa Barat. Meskipun demikian, wilayah pergunungan juga turut dijelajahi oleh wali itu.

Hal ini terbukti daripada apa yang dilakukan oleh Sunan Muria. Beliau dikenal sebagai wali yang selalu berdakwah ke pelosok desa dan wilayah pergunungan di sekitar Gunung Muria, Jawa Tengah. Makamnya pun terletak di daerah pergunungan tersebut.

Sunan Ampel

Sunan Ampel dikenali sebagai wali yang tidak bersetuju dengan adat istiadat masyarakat Jawa pada masa itu seperti kebiasaan mengadakan jamuan dan kenduri doa selamat.

Namun wali lain berpendapat hal itu tidak dapat dihapuskan dengan segera. Bahkan mereka mengusulkan agar adat istiadat seperti itu diberikan warna Islam.

Akhirnya Sunan Ampel menyetujui usul itu, walaupun tetap bimbang bahawa ia akan berkembang menjadi bidaah.

Ampel Denta

Sunan Ampel memulakan dakwahnya dari sebuah pondok pengajian yang dibina di Ampel Denta (berdekatan Surabaya). Oleh sebab itu, beliau dikenal sebagai pembina pondok pengajian pertama di Jawa Timur. Sunan Giri, Raden Fatah, Sunan Bonang dan Sunan Drajat ialah murid Sunan Ampel.

Di pondok pengajiannya, Sunan Ampel menerima pemuda yang datang dari pelbagai tempat dari seluruh Nusantara untuk mempelajari agama Islam dan menjadi muridnya.

Sunan Bonang

Sunan Bonang menyebarkan agama Islam dengan menyesuaikan diri dengan corak kebudayaan masyarakat Jawa yang menggemari wayang dan muzik gamelan.

Untuk itu, beliau mencipta lagu gamelan yang mengandungi nilai keislaman. Setiap bait lagu diselangi dengan ucapan dua kalimah syahadat (syahadatain) sehingga muzik gamelan yang mengiringinya kini dikenal sebagai sekaten.

Tuban

Sunan Bonang pernah mempelajari Islam di Pasai, Aceh. Sekembalinya dari Pasai, beliau memusatkan kegiatan dakwahnya di Tuban dengan mendirikan pondok pengajian agama.

Para pelajarnya datang dari segenap penjuru Nusantara. Sunan Bonang yang dilahirkan di Ampel Denta, Surabaya, meninggal dunia di Tuban pada 1525.

SALAH seorang Wali Songo yang terkenal ialah Sheikh Maghribi. Beliau juga dikenali dengan nama Maulana Malik Ibrahim, Sunan Gresik juga dikenal dengan nama Maulana Maghribi (Syeikh Maghribi) kerana beliau dikatakan berasal dari wilayah Maghribi (Afrika Utara).

Namun hingga kini tidak diketahui secara pasti sejarah tentang tempat dan tahun kelahirannya.

Beliau dikatakan lahir sekitar pertengahan abad ke-14. Beliau berasal dari keluarga Islam yang taat beragama, dan beliau mempelajari agama Islam sejak kecil, namun tidak diketahui siapa gurunya, hingga beliau kemudiannya menjadi seorang ulama.

Sunan Gersik

Sunan Gersik diyakini sebagai pelopor penyebaran agama Islam di Jawa. Beliau berdakwah secara intensif dan bijaksana. Sunan Gresik bukan orang Jawa, namun beliau mampu memahami keadaan masyarakat yang dihadapinya dan menerapkan kaedah dakwah yang tepat untuk menarik perhatian masyarakat kepada Islam.

Usaha menghilangkan sistem kasta dalam masyarakat pada masa itu menjadi objek dakwah Sunan Gresik. Cita-cita dan perjuangannya menyebarkan Islam di Jawa kemudian diteruskan oleh anaknya, Sunan Ampel.

Sunan Giri

Sunan Giri ialah putera Maulana Ishak. Nama asalnya Radin Paku. Beliau ditugaskan oleh Sunan Ampel untuk menyebarkan agama Islam di Blambangan. Sunan Giri pernah belajar di Pesantren Ampel Denta.

Setelah dewasa, dalam perjalanan menunaikan haji bersama-sama Sunan Bonang, beliau singgah di Pasai untuk mendalami ilmu agama.

Sekembalinya ke Jawa, Sunan Giri membina pondok pengajian agama di daerah Giri. Beliau banyak menghantar pendakwah ke Bawean (Madura), bahkan juga ke Lombok, Ternate dan Tidore di Maluku. Makam Sunan Giri atau Raden Paku terletak di Bukit Giri, dekat Gresik, Jawa Timur.

Syarif Hidayatullah

Nama asal Sunan Gunung Jati ialah Syarif Hidayatullah. Beliau adalah cucu raja Pajajaran yang lahir di Mekah. Setelah dewasa, beliau memilih untuk berdakwah di Jawa. Di Jawa, beliau bertemu bapa saudaranya, Raden Walangsungsang (Pangeran Cakrabuana).

Setelah bapa saudaranya meninggal dunia, beliau menggantikan bapa saudaranya dan Berjaya menjadikan Cirebon sebagai kerajaan Islam pertama di Jawa Barat.

Beliau juga adalah pengasas Kesultanan Banten yang bermula dengan puteranya, Sultan Maulana Hasanuddin. Atas inisiatif Sunan Gunung Jati, Sunda Kelapa diserang diserang pada 1527 di bawah pimpinan Fatahillah, panglima perang Kesultanan Demak yang juga menantu Sunan Gunung Jati.

Sunan Muria

Sunan Muria ialah salah seorang Wali Songo yang sangat berjasa dalam penyebaran Islam di kawasan desa. Putera Sunan Kalijaga ini suka menyendiri dan tinggal di desa bersama-sama rakyat biasa.

Dalam menyebarkan Islam, Sunan Muria selalu menjadikan desa terpencil sebagai tempat dakwahnya.

Sinom dan Kinanti

Seperti para Wali Songo yang lain, Sunan Muria juga menggunakan kesenian sebagai cara berdakwah. Dua puisi yang diciptanya dan sangat terkenal ialah puisi Sinom dan Kinanti.

Puisi Sinom umumnya menggambarkan suasana ramah-tamah dan mengandungi nasihat. Puisi Kinanti pula bernada gembira dan digunakan untuk menyampaikan ajaran agama, nasihat dan falsafah hidup.

Sunan Drajat

Sunan Drajat dikenal sebagai seorang wali yang berjiwa sosial tinggi. Beliau banyak memberikan pertolongan kepada yatim piatu, fakir miskin, orang sakit dan orang susah.

Perhatiannya yang besar terhadap masalah sosial sangat tepat pada masa itu kerana beliau hidup pada masa keruntuhan Kerajaan Majapahit (sekitar 1478).

Rakyat pada ketika itu dalam keadaan kacau-bilau dan menyedihkan. Sunan Drajat juga menggunakan media kesenian semasa berdakwah. Untuk itu, beliau mencipta puisi Jawa yang hingga kini masih digemari, iaitu puisi Pangkur.

Sunan Kudus

Sunan Kudus atau Jaafar Sadiq digelar wali al-'ilmi (orang berilmu luas) oleh para Wali Songo kerana mempunyai keahlian khusus dalam bidang agama.

Oleh sebab kepakarannya itu, beliau banyak dikunjungi oleh para penuntut dari pelbagai wilayah.

Beliau juga diamanahkan untuk mengendalikan pemerintahan di daerah Kudus. Beliau menjadi pemimpin agama dan juga pemerintah di wilayah itu.

Masjid Menara Kudus

Sebagai permulaan untuk menyebarkan Islam, Sunan Kudus membina sebuah masjid di daerah Loran pada 1549. Masjid itu diberi nama Masjid al- Aqsa atau al-Manar.

Wilayah sekitarnya disebut Kudus, nama yang diambil daripada nama kota al-Quds (Baitulmaqdis di Palestin) yang pernah dikunjunginya.

Masjid itu kemudian dikenal dengan nama Masjid Menara Kudus kerana di sebelahnya terdapat menara tempat beduk masjid. Masjid yang dibina oleh Sunan Kudus ini juga merupakan salah satu masjid tertua di Indonesia.

Sunan Kalijaga

Sunan Kalijaga berasal dari suku Jawa asli. Beliau berdakwah dengan cara berkelana. Dengan wawasan yang luas dan pemikiran yang tajam, Sunan Kalijaga tidak hanya disukai oleh rakyat, tetapi juga oleh cendekiawan dan pemerintah. Raden Fatah dari Kesultanan Demak sering kali meminta nasihatnya.

Dandanggula

Sunan Kalijaga juga dikenal sebagai budayawan dan seniman (seni suara, ukir dan busana). Beliau mencipta aneka cerita wayang yang berunsur Islam, Sunan Kalijaga memperkenalkan sejenis wayang yang diperbuat daripada kulit kambing (wayang kulit), kerana pada masa itu wayang selalunya dilukis pada seperti kertas lebar (wayang beber). Dalam seni suara, beliau ialah pencipta lagu Dandanggula. Sebahagian dari lirik lagu Dandanggula ciptaan Sunan Kalijaga adalah tentang rukun iman.

Artikel ini dipetik daripada akhbar Utusan Malaysia bertarikh 24 dan 31 Januari 2012.

Friday, January 20, 2012

Barang naik

Babak 1

Tauke bot: "Udang hidup harganya RM50 sekilo."
Geng pancing: "Eh, kenapa dah naik harga? Biasa RM40 sekilo.?"
Tauke bot: "Biasalah, raya Cina sudah dekat maa. Semua harga barang naik."

Itu kenaikan harga udang hidup yang dibuat umpan untuk kami memancing. Udang itu ditangkap dengan jaring dan dijual untuk kemudahan kaki pancing.


Babak 2

Tukang gunting: "Sekarang potong rambut sama cuci sekali RM35."
Saya: "Eh, bukan biasa RM25 ke?"
Tukang gunting: "Saya tak tahu. Boss saya suruh kasi naik harga."
Saya: "Kenapa tiba-tiba naik?"
Tukang gunting: "Biasa memang mau dekat raya Cina, semua harga naik."
Saya: "Termasuk servis? Kenapa macam tu? Tapi lepas raya nanti turun balik tak?"
Tukang gunting: "Ya lorrr. Ini memang biasa tiap-tiap tahun. Tapi lepas raya nanti turun balik."

Babak 3

Pomen: "Semua kos spare part dengan upah RM300."
Saya: "Eh kenapa mahal sangat? Biasa RM200 lebih je."
Pomen: "Biasalah bang, ini sudah mau raya Cina. Semua barang naik."

***

Ketiga-tiga babak itu memang realiti yang saya lalui di sepanjang dua minggu lepas, iaitu pada waktu menjelang perayaan Tahun Baru Cina. Harga barang dan perkhidmatan dinaikkan sewenang-wenangnya. Oleh kerana ia bukan barang kawalan, maka orang tak ambil peduli sangat.

Saya terfikir. Siapakah dalang yang mempengaruhi kenaikan harga barang itu? Yang akhirnya memilih pihak tertentu menjadi kambing hitam fenomena itu?

Kita pertimbangkan sendiri. Mungkin video di bawah ini boleh kita pertimbangkan kebenarannya. Tepuk dada, tanya selera.

Friday, January 13, 2012

DUA KALI LIMA

Saya mahu ulas suatu fenomena hari ini yang banyak berlaku di kalangan orang Islam. Ia adalah fenomena kesalahan dalam berfikir apabila seseorang berhujah dengan membandingkan benda buruk dengan yang buruk juga.

Tidak keterlaluan kalau saya kata, ianya sangat memalukan umat Islam dan menjengkelkan masyarakat kita yang mahu miliki minda kelas pertama. Harap kita berfikiran terbuka merenungkan fenomena ini.

Fenomena 1: Seseorang meluahkan kata-kata, “Tak guna pakai tudung, tapi mulut macam longkang. Walaupun aku tak pakai tudung, tapi mulut aku tak macam dia.”

2 x 5: Tak pakai tudung memang haram. Mulut jahat pun haram juga. Sama je. Dari segi kewajipan, tudung wajib dipakai dan mulut wajib dipelihara. Bila masa pulak ada hukum syarak kata mulut baik adalah lebih afdal daripada wanita bertudung?

Fenomena 2: Seorang wanita Islam berdakwah melalui status FB setiap hari. Cakap tentang hukum hakam, kongsi maksud Quran, hadis dan kata-kata hikmah cendekiawan Islam. Tapi gambar profilenya, astaghfirullah… bukan setakat tak pakai tudung, tapi dedah buah dada dan tayang diri pakai bikini.

2 x 5: Niatnya bagus. Berkongsi ilmu agama. Besar ganjaran pahala untuk orang yang menyebarkan ilmu. Dalam masa yang sama, dedah aurat. Tak cukup dedah aurat, pakai bikini lagi. Tak cukup pakai, bangga lagi!!! Bila masa pulak ada hukum kata tak kisah kalau nak separa bogel pun, asalkan niat di hati sentiasa baik? Bolehkah maruah itu ditebus dengan memberikan tazkirah kepada orang lain? Nilainya jauh berbeza!

Fenomena 3: Seseorang ditegur kerana tingkah laku tidak senonoh. Tapi dimarahi pula atas alasan menyibuk hal orang lain. Katanya, “Lebih baik kau nilai diri sendiri dulu sebelum tegur orang.” Bermaksud kalau belum perfect, jangan tegur kesalahan orang.

2 x 5: Bila masa pulak ada hukum syarak kata tak boleh berpesan ke arah kebaikan kalau diri belum sempurna? Kalau begitu, dunia kita tak akan ada budaya tegur menegur dan saling berpesan, sebab setiap manusia tidak sempurna.

Saya bukanlah nak mencari kesalahan orang lain. Kita semua manusia, tak sempurna. Tapi fenomena di atas bagi saya sudah melampau dan dangkal sangat. Manusia dikurniakan akal untuk berfikir. Namun berfikir di luar otak dan mengagungkan prinsip diri yang tak betul itu memang merosakkan. Bila masa pulak norma manusia kata boleh buat apa saja asalkan ada pendirian dan prinsip. Itu tak betul bai! Jelas tak boleh diterima akal.

Orang kata jangan menilai daripada kulit. Tapi kalau kulit dah koyak rabak dan bergelumang kotoran, takkanlah isinya boleh cantik? Hentikanlah prinsip-prinsip bodoh itu.

Setiap orang tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Manusia tidak maksum. Bagaimanapun, ia tidak sesuai langsung untuk dibandingkan dengan perbuatan-perbuatan munkar yang dilakukan dengan ‘selamba badak’, bahkan ditayang dan dibangga-banggakan.

Saya benar-benar tak faham. Racun jenis apakah yang sudah menyerap masuk ke dalam pemikiran mereka?

Sekian tazkirah untuk hari Jumaat yang mulia ini. Tazkirah ini juga adalah untuk muhasabah diri saya sendiri. Siapa mahu terima, silakan. Jika tidak mahu, tak perlu komen dan tuding balik mencari kesalahan pada artikel ini. Semoga hari ini lebih baik daripada semalam.

Monday, January 2, 2012

Idea Tidak Rasional (Siri pertama)

Perasaan kita selalu terganggu kerana perkara-perkara yang disifatkan sebagai MESTI dibuat atau MESTI berlaku dalam hidup kita. Menurut Albert Ellis, teori Terapi Rasional Emotif (REBT) simpulkan bahawa ada 3 KEMESTIAN UTAMA (The three majors musts) pembentuk idea yang selalu beri tekanan pada kita, iaitu:
1) Saya MESTI jadi yang terbaik, kalau tidak, bermakna saya tak bagus.
2) Orang lain MESTI buat benda yang betul kepada saya, kalau tidak, bermakna dia teruk dan perlu dihukum.
3) Hidup MESTIlah mudah. Bebas daripada rasa tak selesa dan cabaran.

Pembentuk idea itu dianggap tidak rasional. Bagaimanapun beliau ada senaraikan 12 Idea Tidak Rasional yang boleh kita hindarkan. Semoga ia bermanfaat dan diterjemahkan dengan perspektif yang tidak sempit. Idea tak rasional itu ialah:

Idea tidak rasional pertama: Idea bahawa adalah satu keperluan dahsyat untuk diri kita disayangi atau diterima oleh setiap orang lain yang penting dalam hidup.
  • Adalah mustahil untuk disukai atau dicintai oleh semua orang. Tidak kira berapa popular pun kita, pasti sentiasa ada orang yang tidak menyukai.
  • Setiap orang mempunyai cita rasa berbeza. Oleh itu, tidak kira apa yang kita buat, sesetengah orang akan mengagumi anda manakala sesetengah orang tidak.
  • Terlalu banyak beri perhatian tentang penerimaan orang lain terhadap kita menunjukkan kita kurang beri perhatian dan menerima orang lain. Tak patut!
  • Tak salah berusaha untuk jadi popular. Tapi jangan terlalu memaksa diri dan menjadikan ia suatu kemestian.
  • Adalah lebih baik untuk kita berusaha menerima diri tanpa syarat, iaitu menerima diri sendiri tanpa sentiasa mengira apa yang orang lain fikir tentang kita.
  • Tidak disukai ramai memang suatu keadaan yang tidak menyenangkan. Tapi ia bukanlah hal yang paling teruk sampai boleh membawa maut.

Idea tidak rasional kedua: Idea bahawa kita mestilah jadi sangat berwibawa, perfect dan berjaya dalam semua hal, barulah dianggap berbaloi. Selain itu, tidak.
  • Mana ada orang boleh handal dalam semua perkara. Setiap orang ada bidang kepakaran tersendiri.
  • Bagus juga kalau kita berusaha untuk berjaya, tapi memaksa diri supaya berjaya dalam semua hal itu selalu memberi tekanan yang tiada keperluannya.
  • Kita perlu bersaing untuk berjaya. Tapi akibat terlalu sibuk mengukur kebolehan orang lain membuatkan kita lupa tentang kebolehan diri sendiri. Bukannya kita boleh kawal kebolehan orang pun!
  • Kalau kita terlalu sibuk untuk berjaya sangat, kita akan kehilangan ruang masa untuk melakukan hal-hal yang kita suka. Padahal hal itu sebenarnya boleh membuatkan kita berjaya.
  • Jika kita takut gagal, maka kita akan takut mencuba. Hidup akan jadi bosan kerana kita hanya buat perkara yang kita rasa boleh berjaya sedangkan ada banyak lagi peluang untuk tambah pengalaman baru.
  • Kita sepatutnya tumpukan perhatian dengan bidang dan apa yang kita sedang buat. Jangan sibuk nak buat semua perkara yang orang lain buat.
  • Kegagalan dan kesilapan itu sebahagian daripada lumrah pembelajaran dalam hidup. Gagal atau silap tak perlu dijadikan tekanan yang kononnya macam miserable sangat!

Idea tidak rasional ketiga: Idea bahawa orang-orang yang buruk, jahat atau keji mesti dipersalahkan dan dihukum dengan teruk akibat perbuatan jahat mereka.
  • Manusia tidak sempurna dan tidak mempunyai kawalan mutlak terhadap semua tindakan mereka. Dalam realiti, kita semua melakukan kesilapan dari semasa ke semasa kerana sebab tidak tahu, tidak mampu, ataupun terganggu.
  • Menyalahkan dan menghukum seseorang kerana kesilapan tidak semestinya boleh menjadikan dia lebih baik. Mesti ada sebab kenapa dia buat silap.
  • Semua orang melakukan banyak perkara setiap hati. Setiap orang ada melakukan perkara yang baik dan juga buruk. Oleh itu jangan mudah label orang ‘teruk’ hanya kerana satu tindakan buruk sahaja.
  • Menyalahkan dan menghukum orang kerana silap tidak semestinya akan menghalang mereka mengulanginya lagi. Silap haribulan, mereka akan bertindak lebih buruk dan membalas dendam.
  • Terlalu menyalahkan diri sendiri selalu membuatkan kita jadi takut dan tertekan. Terlalu menyalahkan orang lain pula selalu membuatkan mereka jadi marah dan menyampah.
  • Melakukan kesilapan bukan semestinya menjadikan diri kita teruk sangat. Sepatutnya kita nilai secara positif supaya memperbetulkannya.

Idea tidak rasional keempat: Idea bahawa sangat menyiksakan dan malang jika sesuatu perkara tidak terjadi mengikut kehendak kita.
  • Semakin kita terganggu dengan kehendak yang rigid, maka semakin kurang berkesan usaha kita untuk mengubah perkara yang tidak disukai. Perasaan kita lebih terganggu.
  • Kita tak sepatutnya marah dengan sesuatu yang sudah berlaku. Kalau nak melayan perasaan pun, cukuplah sekadar berasa kecewa untuk sementara.
  • Apabila perkara tidak diingini berlaku sedangkan kita tak mampu mengubahnya, maka bolehlah kita sarankan pada diri bahawa, “Saya harap ianya berbeza dan bukan pengakhir kehidupan.” Seterusnya cuba untuk belajar, menerima sebagai cabaran, dan melihat bagaimana kita boleh memanfaatkan keadaan itu dalam hidup. Kalau tak boleh juga, sila abaikan dan buat perkara lain yang lebih menyenangkan.

Idea tidak rasional kelima: Idea bahawa rasa tidak puas hati disebabkan faktor luaran dan kita tiada upaya untuk mengawal gangguan dari luar itu.
  • Orang lain tidak boleh mengancam kita kecuali dengan pukulan, rompakan atau sebagainya yang bersifat gangguan secara fizikal. Kalau ada pun, ancaman itu jarang berlaku. Jika kita diberi tekanan atau diganggu secara mental, sepatutnya ia tidak memberi kesan pun melainkan kita sendiri yang percaya bahawa ianya menyakitkan.
  • Kebanyakan orang percaya bahawa perasaan tidak dapat dikawal. Sebenarnya kawalan itu tidak mustahil.
Bersambung dalam siri kedua...